Home Novel Cinta Cinderella
Cinderella
ainRAZAK
28/12/2020 01:25:31
36,829
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 7

Bunyamin memberhentikan kereta dihadapan sebuah rumah tumpangan. Dia mematikan enjin Honda City kesayangannya. Masing-masing mendiamkan diri. Langsung tidak terkeluar hatta sebutir kata-kata dari bibir mereka.




Dia mengimbas semula punca berlaku kejadian sehingga menyebabkan Huda ada bersamanya kini.




Sejurus dia menemani Syauqi dan Huda pulang ke rumah, mereka menanti kedatangan pihak polis bersama-sama. Kemudian Syauqi menyusul ke balai polis untuk menemani ibunya. Huda juga sudah menghilangkan diri masuk ke dalam rumah.




Bunyamin pula, meminta izin untuk kembali ke bilik yang disewanya sementara menanti hari siang yang akan menjelma.




Tetapi sewaktu dia memakir keretanya dihadapan deretan kedai di tengah pekan, dia ternampak kelibat seseorang yang seakan dia kenali. Lelaki itu berjalan dalam keadaan yang mencurigakan.




Ya, dia yakin susuk tubuh yang dilihatnya itu adalah Bakri. Ayah kepada Syauqi. Dan juga lelaki yang banyak menyimpan seribu satu rahsia kehidupan Huda dan Lily Airin.




Lantas dia cuba mengintai perlakuan lelaki tersebut dalam diam. Hatinya rasa tidak enak bermula dari saat dia ternampak Bakri. Dia telah mengekori langkah lelaki itu. Sehinggalah teksi yang dinaiki oleh Bakri berhenti dihadapan sebuah rumah. 




Dalam keadaan langkah tubuh yang tidak stabil , Bakri merempuh masuk ke dalam kediaman yang dihuni oleh Huda keseorangan malam itu. 




Dan sesuatu yang sudah dia jangkakan telah berlaku. Belumpun sempat dia bertindak, Huda sudah berjaya menyelamatkan diri. Gadis itu datang kearah keretanya dalam keadaan tergopoh gapah tanpa kepala yang bertutup.




Tanpa isyarat, Huda terus masuk ke dalam. 




Bunyamin sendiri tergamam melihat keadaan gadis itu yang sudah tercungap-cungap dalam keadaan diri yang hanya berkaki ayam. Dan Huda juga turut terkedu saat pandangan mereka bersatu.




Mungkin gadis itu terkejut kerana tidak menyangka bahawa kereta yang dia naiki untuk melepaskan diri adalah kereta Bunyamin. Kereta sahabat Syauqi.




Tanpa berlengah, Bunyamin terus menghidupkan enjin kereta dan berlalu dari situ. Huda pula kelihatan terpinga-pinga. 




Sepanjang perjalanan Bunyamin memacu Honda City miliknya, masing-masing mengeraskan diri seperti batu. Dia mahupun Huda langsung tidak berbicara. Mungkin rasa terkejut gadis itu masih belum reda.




Bunyamin menarik nafas sedalamnya. 




Ingatan tadi tercantas dek realiti yang ada didepan mata. Bunyamin tahu, Allah pasti telah mengaturkan sesuatu yang lebih baik buat mereka berdua.




Dia melirik kearah Huda dengan ekor mata. Gadis itu kelihatan menunduk. Dia terlupa yang Huda tidak bertudung. Patutlah Huda berkeadaan begitu dari tadi lagi. Walaupun dalam suasana gelap, masih jelas kelihatan bayang-bayang tubuh Huda yang tidak bertutup sepenuhnya.




Bunyamin keluar dari kereta dalam keadaan tergesa-gesa. But kereta dibuka perlahan-lahan. Dia mencari-cari sesuatu. Kemudian tangannya mencapai sehelai baju sweater berwarna hitam yang  mempunyai hud.




Dia kemudiannya kembali masuk ke dalam kereta. Daun pintu ditutup rapat semula.




"Nah! Pakai ni. Tutup aurat kau" ujar Bunyamin sambil menghulurkan baju panas itu kearah Huda.




Dia tidak langsung memandang wajah Huda. Gadis itu menyambut pemberian Bunyamin tanpa banyak soal. Dari ekor matanya, dia dapat melihat Huda memakai baju pemberian dia.




Kepala gadis itu juga sudah bertutup kemas. Tiada lagi juntaian rambut panjang yang menggurai terkeluar. Bunyamin menarik nafas dalam-dalam sebelum memulakan bicara.




"Lepasni kau naik tidur dalam bilik yang aku sewakan tu" ujar Bunyamin memecahkan kebisuan antara mereka.




Huda berdehem. Air liur terasa kesat dikerongkong. Dia langsung tidak memandang wajah rakan Syauqi. Tapi dia dapat mengagak, lelaki itu sedang memandangnya.




Dia membetulkan sedikit baju yang diberikan oleh lelaki itu padanya. Syukur rakan Syauqi itu memahami. Tapi hatinya masih belum benar-benar yakin.




Mungkinkah ini salah satu perangkap untuk dia, buat sekian kalinya? Huda berasa was-was. Perasaan negatif tetap muncul dalam benak.




"Er, er, selamat ke aku tidur dalam tu nanti?" soal Huda semula. Dia meluahkan rasa ragu-ragu.




Jangan dia keluar dari mulut harimau, masuk ke dalam mulut buaya sudahlah. Punah hidupnya nanti. Terasa seram sejuk tubuh Huda. Sisa rasa sakit masih terasa.




Bunyamin memandang gadis itu dengan pandangan mata helangnya.




"Kalau aku nak perangkap kau, dah lama aku heret kau masuk dalam motel tu tanpa banyak soal" balas Bunyamin tegas.




Berani gadis itu mencurigai pertolongan yang mahu dia hulurkan? Apakah muka dia tergolong dalam golongan jantan munafik yang berpura-pura baik seperti Bakri?




"Maaf! Aku bukan nak curiga dengan pertolongan yang kau berikan. Tapi aku takut. Aku harus lebih berhati-hati. Aku taknak pisang berbuah dua kali" Huda berterus terang.




Entah kenapa, bila berada dekat dengan jejaka itu dia berasa selesa. Terbang segala rasa was-wasnya sebentar tadi. 




Huda memberanikan diri bertentang mata dengan Bunyamin.




"Kau nak tidur mana nanti?" soal Huda kemudian.




Kalau dia tumpang bilik lelaki itu, mana pula lelaki itu mahu tidur malam ni. Rasa kasihan menjalar dalam dirinya. Dia tidak berniat langsung mahu menyusahkan sesiapa.




Lagipun sikit masa lagi, siang akan menjengah. Jam sudah menunjukan pukul 5.45 pagi.




"Aku tidur dalam kereta" jawab Bunyamin perlahan.




Dia segera melarikan pandangan dari bertentang mata dengan gadis itu. Hatinya bagai terusik. Wajah Huda memang menyerupai seseorang yang dia amat kenali.




"Takpe ke?" 




"Habis? Kau nak aku tidur sekali dengan kau satu bilik?" Lantang Bunyamin menyoal.




Pantas Huda menggelengkan kepala. Gila dia mahu tidur sebilik dengan lelaki yang bukan mahramnya. Dia bukan buta agama. Tidak dapat membezakan yang halal dan haram.




Bunyamin mengorak senyuman dihujung bibir. Tahupun takut. Dia juga bukan sejenis lelaki yang suka berdua-duaan dengan perempuan. 




"Jom, aku bawa kau naik tunjuk bilik. Lagipun aku nak ambil barang sikit" ujar Bunyamin. Dia membuka pintu kereta. Cepat saja dia keluar dari kereta.




Huda memandang lelaki yang sudah berada di anak tangga rumah tumpangan. Mahu tidak mahu, Huda terpaksa menurut. Dia mengekori langkah Bunyamin dari belakang.




Sebaik sahaja mereka masuk ke dalam bilik bernombor 511, Bunyamin terus menuju ke bilik air. Huda pula memandang sekeliling sementara menanti lelaki itu. Letih berdiri, dia duduk dibirai katil.




Namun, ketukan bertalu-talu dimuka pintu buat dia tersentak. Belumpun sepuluh minit mereka di dalam, sudah ada yang datang. Siapakah yang mengekori mereka? Dia tertanya-tanya. Adakah Bakri berjaya menjejaki dia?




Huda bingkas bangun. Dia menyorok dibelakang jejaka itu saat Bunyamin keluar dari bilik air. Bunyamin memandangnya pelik.




"Kau dah kenapa?" soal Bunyamin hairan.




"Tuu ... " Huda memuncungkan bibir menghala ke pintu. Serentak itu, sekali lagi ketukan berbunyi.




Bunyamin terus menghala kearah pintu. Tanpa teragak-agak, daun pintu dikuaknya perlahan-lahan. Akhirnya terbuka luas. 




Terpampang di depan mata mereka 4 orang lelaki yang berpakaian kemas dan berkopiah. Jantung Huda langsung berdegup kencang. Begitu juga Bunyamin.




Dia tidak menjangkakan hal ini akan terjadi.




"Kami dapati ada berlaku perlakuan tidak bermoral dalam bilik ini" ujar salah seorang lelaki yang berdiri dimuka pintu.




Bunyamin tergamam. Lidahnya terkelu. Dia meraup rambut panjangnya ke belakang. Huda yang berada dibelakang Bunyamin juga turut sama terkejut. Dia hampir terjatuh.




"Allah! Bala apakah pula ini?" bisik Huda perlahan.




"Maaf Encik dan Cik. Boleh kami minta kad pengenalan?" 




Bunyamin menyeluk poket belakang jeansnya. Kemudian dia mengeluarkan sekeping kad lalu diserahkan kepada lelaki yang berkopiah itu. 




Dua orang lelaki lagi masuk ke dalam bilik. Memeriksa keadaan sekeliling. Mungkin mencari sesuatu yang mencurigakan.




"Bilik kemas. Belum sempat berbulan madu lagi ke? Lama kita orang tengok awak berdua dalam kereta tadi" ujar seorang lelaki dengan sinis. 




Dia memandang ke arah Huda. Huda mengundur diri ke belakang. Dia keliru. Fikirannya celaru. 




"Aku tak buat apa-apapun. Semua ni salah faham!" jerit Huda dalam hati. Namun kata-katanya tidak mampu diluahkan. 




Dia tertunduk mendengar tuduhan lelaki itu.




"Huda, bak kad pengenalan awak" pinta Bunyamin. 




Huda mengeluarkan sesuatu dari kocek seluar track suit nya. Mujur kali ini dia sempat mencapai dompet kecil kepunyaan dia diatas meja sebelum membaling Bakri dengan pasu kecil.




Dia menghulurkan kad pengenalannya pada Bunyamin. Kemudian Bunyamin menghulurkan pada lelaki yang meminta tadi.




"Dari pemeriksaan kami, kamu berdua tidak mempunyai sebarang hubungan halal yang membolehkan kamu berdua-duaan dalam bilik begini. Encik dan Cik kena ikut kami ke balai" ujar lelaki tadi.




"Tak perlu, saya akan bernikah dengan gadis ni. Lepas tu saya akan bawa dia ke sana untuk prosedur seterusnya" ujar Bunyamin tiba-tiba.




Huda tersentak.




"Tapi ... kita tak buat apa-apapun. Kenapa nak kena kahwin?" soal Huda pantas.




Semua pandangan terarah pada wajah Huda. Mereka sudah menjangkakan semua ini. Jawapan klise yang selalu digunakan oleh setiap pasangan yang ditangkap berkhalwat. Mereka sudah lali dengan alasan itu.




"Kau ikut saja apa yang aku katakan Huda. Jangan membantah" arah Bunyamin separuh berbisik.




Akhirnya Huda terpaksa mengangguk walaupun hatinya berbelah bahagi. Apa pilihan yang dia punya. Segalanya nampak gelap sahaja. 




"Okey, sila gerak Encik, Cik ... " ujar pegawai tadi. Dia memberi ruang untuk Huda dan Bunyamin berlalu terlebih dahulu.




Mereka sempat mencapai dan membawa apa yang perlu sahaja. Huda mengekori langkah Bunyamin dengan perasaan bercampur-baur. Kelam rasanya dunia dia. Sudah dia katakan tadi, dia keluar dari mulut harimau, dia masuk pula ke dalam mulut buaya. 




Allah, hidupnya benar-benar diuji.







Bersambung ....

Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.