Sebaik Khadijah melabuhkan punggung pada kerusinya,dia lantas menghidupkan komputer pejabat. Sambil menunggu komputer sedia untuk digunakan, dia mengeluarkan buku nota kerjanya dan juga botol air dari beggalasnya.
“Assalamualaikum perempuan...bersih dah ke kena basuhdengan boss tadi?” Alin, kawan baik Khadijah dari zaman kolej menegur. Mereka sama-sama mencari kerja di situ dan bersama diterima. Menyambung utuh lagi persahabatan mereka.
“Waalaikumsalam mak cik…kalau aku stop lambat tiap Isnin…takut boss kejutan budaya pula nanti.” Khadijah menyahut. Buat mereka berdua ketawa kecil.
“By the way, teman aku buang benda kejap,” pinta Alin.
“Kau ni…mana ada orang buang saka tengah bandar,” balas Khadijah.
“Aku cili jugak mulut minah ni kang! Aku bukan nak buang saka la!” Alin mencebik geram. Cepat tangan kanannya mencubit lengan Khadijah. Kawan baiknya itu sekadar menerima sambil ketawa kecil.
“Habis tu?”
“Fail-fail lama dengan manuskrip yang kena reject.” Alin membalas.
“Cantik juga tu. Lagipun mental aku tak ready lagi nak start kerja ni.” Khadijah pantas menjawab.
Dua sahabat itu berjalan seiring ke ruangan menyimpan fail dan juga manuskrip. Di situ Alin memberitahu fail dan manuskrip yang mana satu hendak dilupuskan. Entah kenapa, mata Khadijah tertarik untuk terus memerhatikan sebuah manuskrip dengan tajuk ‘Manuskrip Terakhir’. Seakan ada satu kuasa yang menarik perhatian dan hatinya untuk segera menyentuh manuskript ersebut.
“Manuskrip bila ni?” Dia bertanya sambil membuka helaian pertama manuskrip yang dimaksudkan.
“Mana? Tu? Kalau tak silap aku lima bulan lepas kut. Mulanya aku nak bagi kau je. Tapi masa tu kau tengah sibuk edit manuskrip thriller kalau tak silap aku kan? Jadi aku malas nak tambah beban kau. Sebab aku ni kan kawan yang prihatin la katakan.” Alin pada nada penuh yakin memuji dirinya sendiri.
Dalam kiraan saat semua perhatian Khadijah terpaku pada helain pertama manuskrip yang gagal lepas penilaian.
* * * * *
Cinta boleh bermula di mana saja…Bila-bila saja…Kepada sesiapa saja. Kisah cinta aku dan dia bermula di dalam sebuah lif. Ketika usiaku 21, sedangkan dia kurang setahun dariku. Sebuah kolej swasta menemukan kami. Tapi salah satu daripada dua lif di dalamnya telah menjadi lokasi yang memulakan kisah cinta kami.
Aku masih ingat apa yang dipakainya hari itu. Baju kurung hijau cerah, dipadankan dengan tudung bawal dengan warna yang sama. Kasut tapak rata hitam. Solekkan pada mukanya menambah seri dan kecantikan wajahnya. Berdiri dengan senyuman ramah. Berjalan dengan penuh keyakinan.
“Hai. Nama saya Nur Fatimah. Awak…Umar kan? Best student sem lepas kan?” Nada suaranya ramah dan bersahaja. Sedang tangan kanannya dihulur hendak bersalaman.
Demi ALLAH aku tergamam ketika itu. Akalku gagal memikirkan baris kata. Seluruh tubuhku seperti tidak lagi mampu aku kawal dengan baik. Sudahnya aku berdiri kaku seperti patung. Diam dan membiarkan permintaan salamnya tidak disambut.
Reaksi kekok dan memalukan aku itu tidak sedikit pun menghakis senyuman ramah di bibirnya. Dia sudahnya menarik kembali tangannya. Lalu berdiri menghadap pintu lif yang sudah agak lama tertutup. Membiarkan hanya kami berdua di dalamnya.
Pendakian lif terhenti di tingkat lima. Sesaat kemudian pintu terbuka. Tiada sesiapa yang menanti di luar. Dia mula menghayunl angkah keluar. Entah dari mana, aku akhirnya mendapat keberanian untuk membuka suara.
“Hai. Saya Umar.”
Dia yang sudah ada di luar lif pantas menoleh. Senyuman ramahnya bersinar lagi. Aku memberanikan diri untuk bertentang mata dengannya.
“Jumpa awak lagi nanti.” Dia memberitahu. Aku kematian kata. Dia kemudian berlalu pergi. Pintu lif yang tertutup rapat memisahkan kami, sementara.
* * * * *
Khadijah berhenti membaca. Namun hatinya sudah terpaku dengan manuskrip yang masih kejap di tangannya. Tiada niat di hatinya untuk melepaskannya. Jauh sekali membuangnya. Ia seakan punya satu kuasa yang tidak mampu dia jelaskan. Namun dia akui dirinya kini sedang terpukau dengan kuasa itu.
“Hoi! Kau dah kenapa? Termenung jauh pula dia.” Alins udah menyusun semua fail yang akan dia humban ke tong sampah besar di belakang bangunan pejabat.
“Kenapa manuskrip ni kena tolak?” Khadijah bertanya.
“Bagi aku manuskrip tu mengarut. Bila aku tanya boss pun dia cakap benda yang sama.” Alin membetulkan ikatan rambutnya.
“Aku nak bawa balik la manuskrip ni boleh?” Nada suara Khadijah kedengaran begitu bersungguh.
“Kau nak simpan buat harta pun boleh.” Alin meletak semua fail dan manuskrip ke dalam bakul beroda. Jenis yang selalunya ada di pasaraya.
Khadijah tersenyum sendiri sambil matanya menatap manuskrip di tangannya. Helaian pertama karya itu sudah cukup untuk memukau hatinya. Tapi kenapa? Dia sendiri tidak ada jawapan yang pasti.