-Pov 3
Kepalanya yang tidak gatal sengaja digaru perlahan sebelum akhirnya tersenyum kecil.
Kenangan.
Gambarnya yang berpakaian uniform putih sekolah bersama kot pengawas berwarna biru gelap yang besar gedabak hampir tujuh tahun lepas ditenung sekali lagi sebelun dimasukkan semula ke dalam album.
Sticky note berwarna biru yang dia letakkan di belakang gambar itu dicabut.
Nama yang tertera dia baca perlahan. Am. Dia sudah dapat jawapan siapa lelaki gerangan Am ini.
Dialah si pemilik kot biru tersebut. Dia jugalah yang menghalang Khaira dari menghancurkan muka syaitan yang tidak habis-habis menyeksa hidupnya selama ini.
Sesekali, dia tersenyum. Sesekali, dia mengeluh.
Entahlah. Macam-macam perkara dia dah hadap waktu zaman sekolah dulu.
Mujur sahaja, di alam universiti... Dia tidak berjumpa dengan manusia spesies mereka sewaktu di zaman sekolah.
Tapi bila dikenangkan balik... namanya buruk di sekolah bukan sebab dia yang bermasalah.
Tapi, sebab dia terpaksa buat masalah.
Demi dia. Walaupun sekarang dia sudah pergi buat selamanya.
Keluhan kecil dilepaskan. Apa-apa pun dia bersyukur sebab sekarang, dia dah ada kerja tetap. Dia dah mampu tanggung dirinya sendiri dengan cara yang sebetulnya tanpa mengharapkan sesiapa.
Tapi ujian tu tetap sentiasa ada. Seorang lagi insan yang paling dia sayang... kini terdampar lemah di atas katil wad hospital.
Ayah. Ayah disahkan menghidap penyakit jantung. Sudah setahun ayah bertarung dengan penyakitnya. Dia yang pada asalnya berniat ingin menyambung lagi pelajaran dalam bidang sarjana kerana beroleh biasiswa, akhirnya hanya terpaksa membiarkan peluang tersebut dilepaskan.
Dia patut tahu yang ayah cuma ada dia untuk menjaganya. Macam mana ayah sanggup menjaganya seorang diri dulu, macam tu juga dia akan buat.
Ayah. Cinta pertama anak perempuannya.
Khaira mula bangun dari kerusi yang menjadi tempat dia berlabuh sedari tadi. Dapur dituju. Dia masih tinggal di sini- rumah kayu yang menjadi tempat dia membesar sedari dulu. Meski seburuk manapun orang cakap tentang rumah ini, rumah ini tetap menjadi tempat dia berlabuh selama hampir 24 tahun.
Bekas yang berisi ayam yang telah dibawa keluar dari peti sejuk 20 minit yang lepas dibuka. Ayam dikeluarkan dan dibasuh. Dia dah minta kedai potongkan haritu sebab dia malas nak gunakan sendi ototnya.
Khaira dan sifat malasnya berpisah tiada.
Dia nak masak dulu. Buat sup ayam... mungkin? Sebelum nanti dia akan bertolak ke hospital.
Biasanya, waktu yang dia ada untuk menemani ayahnya cuma sekejap memandangkan dia bekerja. Kalau diikutkan hati nak saja dia menemani si ayah setiap masa namun, jika dia tidak bekerja... siapa yang ingin membayar bil hospital? Duit tidak turun dari langit begitu sahaja.
"Assalamualaikum,"
Baru saja dia nak buka api dapur, telinganya menangkap ada seseorang memberi salam. Dia berkerut kecil. "Siapa pula datang tengah hari macam ni?" Soalnya sendiri.
Dia sempat menyarung tudung sarung hitamnya terlebih dahulu sebelum langkah kaki dibawa menuju ke ruang depan. Tombol pintu dipegang lalu dipulas perlahan. Kepalanya dijenggulkan sedikit untuk melihat gerangan siapa yang datang tiba-tiba macam ni.
Buat kesekian kalinya, wajah kelirunya ditayangkan. Ada seorang lelaki berpakaian jubah putih bersih bersama beberapa bekas polisterin di tangannya berdiri tercegat di hadapan rumah.
Dalam keadaan ragu-ragu, dia menyarung selipar sebelum berjalan berdekatan lelaki itu.
"Ya, encik? Cari siapa?"
Dia memandang sekilas lelaki tersebut. Sekali lagi dia berkerut. Macam pernah nampak je mamat ni. Bisiknya dalam hati.
Entah kenapa, Khaira dapat rasakan ada sesuatu pada lelaki tersebut.
Macam...
Macam pernah jumpa.
Tak. Bukan pernah jumpa tapi...
Macam selalu jumpa.
Sedar yang mereka telah membazirkan masa dengan hanya berdiam diri setelah hampir dua minit, akhirnya dia bersuara memecahkan suasana. "Encik cari siapa?"
Lelaki itu kelihatan terkejut sebelum kembali tersedar. "Err..."
Khaira hanya diam tapi sedari tadi matanya tidak lepas memandang wajah manusia di depannya itu.
"Ha! Ni, saya dengan kawan saya ada buat sedekah Jumaat. Jadi kami agihkan makanan ni untuk bagi dekat penduduk kawasan ni." Dia yang jelas masih gugup itu bersuara menerangkan tujuan asalnya ke sini tadi. Bekas polisterin yang masih berada pada genggamannya dia hulurkan kepada gadis di depannya itu tanpa sedikitpun memandang ke arahnya.
Makanan itu disambut.
"Oh, saya dah lambat ni. Kawan saya dah tunggu dalam kereta. Saya minta diri dulu, ye?
Gadis itu tersenyum kecil ke arahnya. "Terima kasih."
Dia hanya mengagguk kecil sebelum langkah kaki dibawa ke arah kereta lamboghini berwarna putih yang berada tidak jauh dari situ.
"Sama-sama..."
"...Makayla." Sambungnya sambil tersenyum sendiri sebelum ada suara garau yang mula memasuki ruang pendengarannya.
"Bro! Dah berkicap aku tunggu kau dekat sini dari tadi! Cepatlah masuk!"
Matilah dia. Mesti kena bebel kejap lagi.
•••
"Assalamualaikum, ayah." Salam diberi sebelum dia melabuhkan punggung di atas kerusi yang tersedia bersebelahan katil. Tangan lelaki yang bergelar ayah yang semakin lama semakin berkerut diambil dan dikucup lembut.
Matanya dikalihkan melihat ke arah mesin yang menunjukkan kadar degupan jantung pesakit. Keluhan kecil dilepaskan sambil matanya terpejam rapat apabila melihat kadar degupan jantung si ayah semakin lama semakin merundum.
Tadi sebelum dia masuk ke dalam bilik ini pun, dia ada berjumpa dengan doktor yang bertanggungjawab merawat ayahnya di sini untuk bertanya sejauh mana tahap kesihatan yang telah ditunjukkan sebelum ini. Tapi jawapan doktor tersebut sikit pun tidak dapat merawat hatinya, malah membuatkan dia semakin risau.
"Kadar degupan jantung Pakcik Rahim semakin berkurang, Khaira. Jantung dia semakin lemah."
Itu jawapan yang dia peroleh.
"Khaira?"
Dia tersentak apabila namanya tiba-tiba diseru. Matanya yang terpejam tadi terus dicelikkan. "Ya, ayah?"
"Dengar tak... apa ayah... cakap tadi?" Suara ayahnya yang tersekat-sekat cukup membuatkan hatinya seperti dicarik-carik.
Kepalanya digelengkan sebagai jawapan. Terlalu memikirkan perkara lain tadi sehingga dia tidak dapat memberikan perhatian sepenuhnya.
Dia lihat dengan matanya sendiri yang insan di hadapannya kini sedang berusaha untuk tersenyum ke arahnya.
Sumpah, dia nak menangis sekarang. Namun tetap ditahan mutiara jernih itu dari terus mengalir.
"Ayah cakap apa tadi?" Aku bertanya semula. Tangannya aku ambil dan mengusap lembut.
"Ayah takut masa ayah dah tak lama..." Mendengarkan itu, pantas saja tubir matanya memecahkan air jernih.
"Jangan cakap macamtu ayah. Tolong jangan cakap." Khaira menggeleng-gelengkan kepalanya yang semakin menunduk.
Kepalanya diusap perlahan bersama ketaran yang terasa. "Ayah cuma nak cakap... sebelum ayah mati, ayah harap sangat kalau ada orang yang akan jaga anak ayah ni."
Kepalanya terus menegak semula. Mata yang masih berair terus saja membesar.
"Apa ayah cakap ni?" Tanyanya bersama nada tidak percaya.
"Ayah nak anak ayah dijaga elok-elok bila ayah dah tak ada nanti."
Sekali lagi, dia memandang wajah tua itu dengan perasaan yang berbaur.
"Ayah ada kenal seorang ni... Ayah tak tahu kenapa, tapi ayah yakin dia mampu jaga Khaira." Wajah tua itu tersenyum buat kesekian kalinya. Wajah cantik si anak dipandang lembut meski dia sedang menahan rasa sakit tika ini.
"Ayah biar betul? Ayah kenal dekat mana ni? Litmatch?"
Dia menunjukkan wajah tidak percayanya. Adakah ini bermana dia bakal dijodohkan oleh ayah sendiri?
"Kenal dekat mana tu tak penting tapi... ayah yakin, Khaira kenal dia."
Seketika, suasana kembali menjadi sunyi sebelum dia kembali bersuara, "Ayah yakin ke dengan buat macam ni akan buat Khaira bahagia? Silap-silap jantan tu nak mainkan Khair je..." Dia sedikit kurang percaya dengan apa yang diutarakan si ayah sekarang ni. Entah-entah mamat yang ayah nak kenenkan ni ada letak apa-apa jampi, ye tak?
"Ayah yakin, dia cukup baik untuk anak ayah. Dia dah lama kirim doa untuk bersama Khaira. Dan mungkin ini waktunya Tuhan makbulkan."
"Tolong, Khaira. Terima dia. Demi ayah."
•••