Tajuk : Hantu Masa Silam.
Ah.. aku di sini lagi. Di dalam pekat malam. Kesunyian menguasai diri aku. Kenapa harus aku kembali ke sini lagi?
Letih. Sungguh aku letih. Saban malam ia terjadi. Kadang-kadang setiap hari berterusan selama seminggu. Kadang-kadang ia menjadi sebulan 2 atau 3 kali. Semakin kerap bila depression aku menyerang. Namun tetap hadir walaupun aku riang di kala siang. Apakah sumpahan ini?
Aku ingin, walau sekali. Cukup walau sekali, berteman tidur mimpi yang indah dan bukan menyesakkan seperti ini. Tapi sejujurnya aku tak ingat bila kali terakhir aku bermimpi indah.
Mungkin kerana sudah bertahun rutin yang sama berulang, bermacam jenis mimpi yang mengerikan tiba, aku seolah sudah tahu bahawa apa yang aku lihat bukan nyata, tapi hanya mimpi. Minda separa sedar aku tahu bahawa ini hanya mimpi. Aku di dalam mimpi dan aku sedar ini mimpi. Tapi kenapa ia tetap berulang dan aku tak mampu untuk menghentikan semua kegilaan ini?
Di dalam pekat malam aku berdiri. Tiada walau seorang pun di sisi. Yang ada hanya susunan-susunan rumah memenuhi kawasan. Aku sedang berdiri di tengah jalan raya, tanpa ada satu pun kenderaan yang melaluinya. Lampu jalan menerangi malam yang gelap, malar. Aku berjalan mencari tahu di mana aku dan kenapa aku di sini lagi. Angin malam terasa sejuk. Kenapa aku mampu merasai sejuk malam sedangkan ia hanya mimpi?
Kedengaran suara berbisik-bisik di sekeliling aku. Tiba-tiba sahaja aku dihampiri oleh sekumpulan manusia yang membentuk bulatan besar mengelilingi aku. Topeng berwarna putih yang menutupi seluruh wajah mereka membuatkan aku tak mampu meneka siapa mereka. Perlahan mereka berjalan ke arah aku. Mereka seolah berkata-kata sesuatu, tetapi aku tak dapat mendengar dengan teliti apa yang mereka katakan.
Dada aku yang berombak kencang dan waras aku yang hilang ditelan gelap, membuatkan aku melutut di atas jalan raya. Sakitnya untuk aku bernafas. Badan aku yang menggigil ketakutan membuatkan suhu badan aku terasa panas. Aku tahu ini mimpi. Ini hanya mimpi! Jadi hentikanlah semua kegilaan ini!
Semakin lama mereka semakin rapat ke arah aku. Aku perlu lari. Aku perlu lari sebelum mereka menyentuh aku. Mindaku yang separuh sedar meminta sama ada aku lari dari situ atau aku harus bangun dari mimpi ini, tapi ketakutan menguasai aku.
“Jangan… jangan de..kat... ” kataku dengan suara yang menggigil.
Lama kelamaan suara bisikan mereka menjadi semakin terang untuk aku dengari kerana jarak mereka yang semakin dekat dengan aku.
Ah.. aku perlu hentikan semua ini. Aku perlu tahu kenapa rangkaian mimpi aku dihadiri oleh mimpi seperti ini. Apa yang mimpi ini mahu tunjukkan pada aku?
“Korang ni siapa?! Korang nak apa dari aku?!” jeritku menghentikan pergerakan mereka dari terus mendekati aku.
“Kau takkan pernah bebas. Sampai bila-bila,” garau suara yang bertutur membuatkan aku memandang tepat ke hadapan. Kepala aku dongakkan. Seseorang berdiri di situ. Seseorang di sebalik topeng.
Aku kenal suara itu.
Aku tak mampu lagi mengawal diri. Tangisan berhamburan. Suara tangisan aku yang mendayu kasar dan tersekat-sekat membuatkan aku semakin susah untuk bernafas. Aku perlu sedar dari mimpi ini!
Tersentak dengan mimpi, pantas mata aku buka. Aku lihat siling. Aku lihat ke kanan, almari bukuku tegap di dinding. Tangisan aku masih kedengaran. Nafas lega aku hembus berulang kali. Aku kini di dalam bilik. Aku sudah terlepas dari kengerian tadi.
Lalu aku bangun membuka lampu bilik. Mencapai tuala dan bergerak ke bilik air. Tuala aku gantung di pintu. Paip air aku buka dan air sejuk dari shower mengalir deras. Aku memilih untuk terus berdiri di bawah paip air, membiarkan air mengalir deras menghilangkan takut aku. Aku biarkan baju aku tak berbuka dan basah. Lencun badanku ternyata mendamaikan.
Perlahan aku duduk di lantai bilik air. Masih membiarkan deras air di atas kepala. Aku tidak mampu memikirkan apa-apa. Letih menguasai segala. Aku hanya mahu tenang tanpa gangguan, dan supaya air yang mengalir membawa bersama air mataku.