Home Novel Alternatif Perspektif (Diari Seorang Prosopagnosia)
Perspektif (Diari Seorang Prosopagnosia)
F.Ain.K
2/7/2019 23:35:07
145,631
Kategori: Novel
Genre: Alternatif
2✓
Tajuk : Tindakan Yang Kecil Itu Mendatangkan Cinta.


FEBRUARI 2014


Langit malam itu gelap. Tidak kelihatan bintang. Cuma ada bulan yang segan silu ditutup awan. Malam ini dingin sekali. Walaupun sudah lewat malam, namun masih ada segelintir penghuni kota yang berpeleseran mencari erti hidup. 


Rahman duduk beralaskan kotak di sudut kaki lima bangunan kedai. Adat gelandangan, bila malam menjelang mereka akan memenuhi setiap sudut kesunyian kota. 

Perutnya bergendang halus. Rahman sudah biasa hanya makan beberapa hari sekali. Keadaan dirinya tidak memungkinkan dia untuk memiliki pekerjaan biarpun sudah beratus kali dia mencuba. Umurnya sudah lanjut. Sudah hampir 60 tahun. Kudratnya sudah lemah. 


Air mata rindu mengalir lembut di pipi Rahman. Sekeping gambar sedang diteliti oleh Rahman. 20 tahun telah berlalu. Itulah gambar terakhir mereka bersama. Isteri dan dua orang anak kesayangannya.


Semuanya bermula hari itu. 20 tahun yang lalu. Hari itu sama seperti hari-hari biasa. Rahman bangun untuk mandi juga solat subuh. Isterinya, Hasnah sudah lagi awal bangun ke dapur untuk menyiapkan sarapan pagi. Sesudah menyiapkan sarapan, Hasnah memanggil anak-anak mereka untuk bersedia ke sekolah. 


Aizan dan Nizam masing-masing berumur 10 dan 12 tahun. Rahman sememangnya menyelusuri bahtera perkahwinan agak lewat berbanding kawan-kawannya. Dia berumur 35 tahun ketika diijabkabulkan manakala Hasnah pula 27 tahun. 


Pagi itu meja sarapan riuh dengan gurauan mereka. Rahman bahagia dengan apa yang dimilikinya. Hasnah juga. Walaupun Rahman hanya bekerja sebagai posmen dan Hasnah suri rumah tangga, keluarga mereka bahagia. 


Rahman perlahan menyuakan sudu berisi bihun ke arah mulut Hasnah. Hasnah yang sedang mengunyah karipap terhenti kunyahannya dan melihat ke arah Rahman. Hasnah tersenyum. Manis sekali pada pandangan Rahman. Rahman tersenyum malu membalas senyuman Hasnah. Perlahan Hasnah membuka mulutnya dan menjamah bihun yang diberi Rahman. Sungguh indah sekali perasaan itu pada Rahman. Perkara semudah senyuman yang membuatkan Rahman berulang kali jatuh cinta pada Hasnah. 


“Nanti malam, abang pulang awal. Kita ke Funfair di bandar ya,” lembut suara Rahman memberitahu. 

Riuhan suara kanak-kanak teruja memenuhi ruang. Hasnah hanya tersenyum lalu mengangguk. Sinaran bahagia terpancar di wajahnya. 


Dan malam itu merupakan malam terakhir Rahman melihat senyuman Hasnah. Kenderaan yang dinaiki mereka remuk dilanggar lori, meninggalkan hanya Rahman yang tempang menangisi takdir. 


“Assalamualaikum. Pakcik sihat?”


Rahman lantas mendongak memandang suara yang menyapa. Hilang sudah kenangan lama yang menyedihkan. Perlahan Rahman menyeka air mata di pipi. 


Kelihatan beberapa orang sukarelawan jalanan memberikan makanan kepada para gelandangan di kawasan itu. 


3 orang lelaki dan 2 orang wanita itu memang selalu menjenguk nasib gelandangan di sini. Kelihatan juga beberapa orang muka baru yang turut membantu sukarelawan tetap tersebut memberikan makanan. Mungkin rezeki Rahman malam ini, apalagi perutnya sedang kelaparan. 


Usai makan, salah seorang dari sukarelawan tersebut mendekati Rahman. Rahman sedar dia belum pernah berjumpa dengan sukarelawan yang sedang tersenyum di depannya kini. Mereka duduk dan berbual sementara sukarelawan tersebut menunggu rakan yang lain selesai dengan tugas mereka. 


Sejam kemudian sukarelawan yang lain pun mula beransur pulang. 


“Pakcik, saya mungkin tak ingat nama Pakcik atau wajah Pakcik selepas ni jika kita jumpa lagi. Tapi Pakcik jangan segan tegur saya ya. Saya ni pelupa sikit,” ucap sukarelawan tersebut kali terakhir lalu memberi salam dan berlalu dengan senyuman.


Rahman hanya terpinga dan menjawab salam. Dalam benak Rahman takkanlah selepas mereka berbual hampir sejam sukarelawan tersebut masih boleh lupa lagi wajah Rahman. 


Jelas di kejauhan langkahan kaki sukarelawan tersebut semakin perlahan. 


“Terima kasih Pakcik beri saya peluang untuk mengingati emosi kekesalan dan kerinduan,” katanya perlahan beserta senyuman peringatan untuk dirinya sendiri. Biarpun dia tak mampu merasai dengan jelas, tapi dia mampu mengingati dan tahu apa yang perlu dilakukan jika dia berjumpa emosi yang sama selepas ini. Akal logiknya mengumpul data yang lengkap. 

Previous: 1✓
Next: 3✓

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.