Home Novel Alternatif Perspektif (Diari Seorang Prosopagnosia)
Perspektif (Diari Seorang Prosopagnosia)
F.Ain.K
2/7/2019 23:35:07
20,796
Kategori: Novel
Genre: Alternatif
8
Tajuk : Khabar dari Jepun dan Disebalik Suara.



Akhirnya Ahad tiba. Setelah seminggu bertungkus lumus bekerja, menyiapkan assignment, menghadiri discussion, dan membantu aktiviti sukarelawan; akhirnya aku boleh bernafas hari ini. 


Telah aku susun jadual di dalam kepala, apa yang perlu aku lakukan hari ini. Aku perlu mengemas rumah, masak makanan tengahari, membasuh baju yang sudah seminggu bertimbun, dan petang nanti aku perlu ke universiti untuk meminjam buku buat rujukan.


Rumah sunyi lagi hari ini. Iya, aku kini duduk seorang diri. Ikmal telah berpindah ke rumah sewa lain yang lebih dekat dengan tempat kerjanya. Lebih-lebih lagi selepas ibu Ikmal meninggal dunia, tidak manis rasanya aku dan Ikmal duduk serumah. Walaupun kami rasa seperti adik beradik, tapi kami halal untuk berkahwin.


Masakan aku hari ini sangat simple. Memasak untuk makan seorang sangat mudah, tidak perlu cerewet. Walaupun pada awalnya agak susah untuk aku menentukan kuantiti. Sebelum ini selalunya aku akan masak dalam kuantiti yang lebih banyak kerana kami bertiga. 


Tauhu dan tempe goreng sambal, ikan masin gelama jeruk, dan telur dadar menjadi menu makan tengahari aku. Nasi panas dimakan pula bersama kicap. Walaupun simple tapi tetap membuatkan aku menambah nasi kali ke dua. 


Aku lihat jam di dinding. Sudah pukul 12:32 tengahari. Aku perlu mula membasuh baju. Kalau tidak nanti tidak sempat kering esoknya. Lagi pula sekarang cuaca tak menentu. Kadang-kadang hujan. Kadang-kadang panas. 


Deringan telefon di dalam bilik mematikan langkah aku dari menuju ke arah mesin basuh. Segera aku berlari anak ke bilik dan mencapai telefon. Terpampang gambar dan nama pemanggil dari aplikasi whatsapp. Otak aku pantas berfikir, ini panggilan dari senior aku. Tapi dia sekarang berada di Jepun. Ada hal penting mungkin? 


Lagi pula dia tak pernah menghubungi aku. Kami tak pernah bercakap di dalam telefon. Dari zaman belajar hingga sekarang dia hanya mendekati aku melalui mesej. Sama ada di Facebook atau pun whatsapp, semuanya hanya mesej. Dan perbualan kami berkisar tentang sekolah atau kawan-kawan lain, atau aktiviti yang perlu kami uruskan di sekolah. 


Aku biarkan deringan itu tamat sendirinya tanpa menjawab. Aku paling malas menjawab panggilan telefon. Bagi aku kalau hal penting, pasti orang tersebut akan mesej aku kemudiannya.


Seketika kemudian telefon berdering semula. Selepas beberapa ketika dengan malas aku menjawab. Kami bertanya khabar seperti biasa. Setelah seketika berbual aku merasakan panggilan ini tiada arah tujuan. Dia hanya mula bercerita tentang hidupnya di Jepun, perihal kawan seuniversitinya, perihal rumah sewanya. Aku setia mendengar. Adakalanya aku membalas dengan memberikan beberapa soalan positif untuk menunjukkan aku minat mendengar. 


Sejam telah berlalu namun tiada tanda perbualan akan terhenti. Aku mula menyumpah aplikasi whatsapp di dalam hati, kerana memberikan panggilan percuma seperti ini.


Dalam kepanjangan dia meneruskan perbualan, telahanku bermula lagi. Sepanjang yang aku tahu, kami tidak rapat. Aku tidak pernah menceritakan walau satu hal peribadi pun kepada seniorku ini. Dia juga boleh jadi tidak tahu pun nama penuh aku. Kebanyakan kawan-kawan aku hanya mengenali nama Facebook aku. Walaupun tidak rapat, benar juga aku selalu membalas mesej dari dia, walaupun selalunya lambat. Heee…. Aku yang terkenal malas menjawab panggilan dan membalas mesej, ternyata tanpa aku sedari selalu membalas mesej dari seniorku ini. Baru aku sedar. 


Kebanyakan mesej seperti aku nyatakan sebelum ini adalah berkaitan aktiviti dan sekolah. Dia pun tak pernah menunjukkan minat untuk tahu tentang aku, walau mungkin kebanyakan masa bila dia mula bertanya soalan peribadi tentang aku, aku hanya akan ignore. Bagi aku senior aku ini bersifat self-centered. Dan aku okey dengan keadaan ini kerana tak perlu untuk aku bercerita tentang aku. 


Selain dari itu tiada hubungan istimewa antara kami. Tetapi panggilan telefon yang lama ini membuatkan aku terasa seperti dia sebenarnya ada perkara lain yang hendak diceritakan. Aku cuba tanyakan beberapa kali sama ada dia okay dengan hidupnya di Jepun atau dia ada masalah. 

Dia katakan hidupnya okay, walaupun ada beberapa masalah dengan pelajar lain yang dikatakan menabur fitnah pada dirinya. Aku masih setia mendengar. Tapi dia katakan lagi segalanya okay sekarang dan nada suaranya juga ceria.


Sebenarnya aku ingin tanyakan, adakah dia kesunyian di sana membuatkan dia menghubungi aku hari ini? Tapi ayat itu tak terkeluar dari mulut aku.


Selepas itu dia terus kembali menyambung topik yang sama berulang-ulang. Selama 2 jam panggilan aku hanya mendengar topik yang sama. Parah telinga aku. 


Kisahnya adalah, dia ternyata jatuh cinta dengan wanita jepun. 

Aku tahu tentang itu kerana sebelum ini dia telah memberitahu aku di dalam mesej. Aku menyokong dia dan memberikan beberapa tips untuk mendekati wanita itu. Walaupun aku tak pasti perbezaan budaya memungkinkan tips aku itu berjaya atau tidak. 


Dia juga beberapa kali mengatakan bahawa tarikh kelahiran aku dan wanita yang diminatinya adalah sama. Jadi dia katakan mahu memahami aku untuk dia dapat memahami wanita itu nanti. Aku iyakan sahaja. Kalau aku boleh membantu, apa salahnya. Dia mula bertanyakan aku soalan mengenai pandangan dan hubungan, dan cuba mengkaji respon dari aku.


Andai dia faham, setiap respon dari aku, aku selitkan perkataan, “kalau saya, saya akan lakukan begini. Tapi tak tahulah kalau orang lain”. Iya, kerana aku tak rasa akal logik aku juga respon aku dan wanita itu akan sama. Otak aku tak berfungsi sama seperti orang normal yang lain. Tapi seperti biasa, seniorku tak pernah tahu keadaan aku. Mungkin dia tak tahu aku paling teruk dalam memberikan nasihat dan pandangan berkaitan perasaan dan emosi. 


Selepas 2 jam perbualan telefon akhirnya kesabaran aku di tahap maksimum. Inilah panggilan telefon paling lama dan gila bagi aku. Aku katakan pada dia bahawa aku perlu membasuh baju, lalu aku ucapkan selamat tinggal. Gila sungguh manusia bila diberi panggilan percuma.


Dan itu merupakan kali terakhir aku mendengar suara dia. Selepas dari itu kami ada mesej beberapa kali dan sesuatu terjadi. Nanti akan aku ceritakan. Lalu kami putus hubungan terus. Dia di Jepun. Dan aku di Malaysia. 


Tapi bagi aku itu perkara biasa. Hubungan kami setakat senior dan junior. Sedangkan setiap hari juga orang datang dan pergi dalam hidup aku tanpa aku sedari. Cuma walaupun sudah 3 tahun lebih berlalu, hingga ke hari ini aku masih pelik mengenai panggilan 2 jam dari Jepun, apa yang dia rasakan disebalik suara cerianya, dan apa yang sebenarnya terjadi antara kami hingga terputus hubungan. Segalanya mengelirukan.  


Previous: 7
Next: 9-1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.