Home Novel Alternatif Perspektif (Diari Seorang Prosopagnosia)
Perspektif (Diari Seorang Prosopagnosia)
F.Ain.K
2/7/2019 23:35:07
145,655
Kategori: Novel
Genre: Alternatif
13.5✓
Tajuk : Don't Judge My Blindness


OKTOBER 2013



Sedar - sedar aku sudah berada di dalam kegelapan. Hari sudah malam ke? Sedangkan tadi setahu aku hari masih tengahari ketika aku naik ke atas katil. Aku duduk dari baring dan melihat sekeliling. Hanya sunyi dan kelam yang menemani keadaan. Aku segera turun dari katil dan membuka lampu bilik. 4 ruang katil yang tersedia nyata kosong. Aku lihat di atas katil dan di atas meja, ada barang milik rakan-rakan sebilik aku tadi. Ke mana mereka pergi?


Aku mencapai telefon di tepi bantal. Angka di telefon menunjukkan pukul 12:45 AM. Eh, takkanlah aku tidur hingga ke tengah malam? Sedangkan aku tidak mendengar langsung bunyi jam loceng. Dan tak mungkinlah rakan-rakan sebilik aku tidak mengejutkan aku untuk menyertai program. 


Aku segera duduk di atas katil bawah. Meminjam duduk sementara. Fikiranku yang keliru tiba-tiba dikejutkan oleh ketukan kuat pada pintu. 3 kali ketukan iramanya. Aku membiarkan seketika untuk memastikan bahawa aku tidak tersalah dengar. Senyap menghuni seketika. Kemudian ketukan di pintu itu berulang lagi sekali. Kali ini barulah aku berani untuk bersuara.


“Siapa tu?” sedikit kuat aku bersuara bagi bertanya empunya ketukan.


Tiada jawapan yang aku terima. Hanya sunyi menghuni. Ketukan berulang lagi. Dan tidak kira berapa kali aku bertanya siapa di pintu, tiada jawapan yang aku dapat. 


Aku gagahkan diri untuk melangkah ke pintu. Dua saat aku ambil untuk menenangkan diri dan mencari kekuatan. Tangan yang menggigil perlahan aku pulaskan pada tombol pintu. Pintu terbuka perlahan. Ada seorang lelaki berdiri di depan pintu. Membelakangkan aku. 


“Cari siapa?” bergetar suaraku bertanya.


Lelaki itu hanya berdiri kaku. Aku mengulang lagi sekali soalan yang sama tapi dengan nada yang agak tinggi, kerana fikirku mungkin lelaki itu tidak mendengar soalan aku kali pertama tadi.


“Aku datang. Menuntut janji,” suara garau yang kedengaran membuatkan aku terkejut. 


Perlahan-lahan lelaki tersebut berpusing dan menghadap aku. Aku yang terkaku tak mampu berdiri lagi. Kaki aku yang lemah membuatkan aku terduduk ke belakang. Jelas di depan aku kini wajah yang paling aku takuti. Yang jelas di telinga aku kini adalah jeritan seseorang. 



“Awak! Awak! Bangun-bangun. Awak mengigau ni,” terasa tamparan lembut di pipi aku beserta suara yang perlahan berbisik di telinga aku.


Pantas aku membuka mata. Nafas aku yang turun naik kasar membuatkan dadaku sakit cuba menyedut nafas dengan rakus. Ternyata aku bermimpi. Dan aku menjerit-jerit di dalam tidur. Rakan sebilik aku ini memilih untuk memanjat ke katil atas untuk mengejutkan aku. 


Segera aku duduk dan cuba menenangkan diri. 


“Awak okey ke?” tanya rakan sebilik aku itu.


Aku mengangguk beberapa kali. Aku segera mengumpul kekuatan untuk bertanya sesuatu kepada rakan sebilik aku itu.


“Tadi. Saya ada sebut apa-apa tak masa tidur?”


Dia dilihat sedang berfikir sejenak. 


“Tak ada pula. Cuma awak tiba-tiba aje menjerit ketakutan. Risau juga saya.”


Aku menarik nafas lega dan mengucapkan terima kasih kepada dia sebelum dia berlalu ke tandas. Jam di telefon bimbit menunjukkan angka 1:47 petang. Aku perlu segera mengambil wuduk dan bersedia untuk solat zohor. Jika terlewat pasti mereka yang lain akan menunggu aku di kafe nanti. 


Selesai makan tengahari kami masuk semula ke dalam dewan. Aku hanya mengikut langkah kaki Lutfi Ikram kerana fikiran aku tidak berada di sini. Aku lebih memikirkan perihal mimpi aku tadi. Akhir-akhir ini mimpi seperti itu semakin kerap datang menemani tidurku. Adakah petanda yang dibawa? Meremang bulu romaku tiba-tiba. Sungguh aku tak mahu melalui lagi perkara yang sama. 


Lutfi Ikram yang lebih mesra alam dan mudah mengingati peserta-peserta lain membuatkan aku berasa lebih tenang untuk berdiri di sebelahnya. 


Program petang itu kami teruskan lagi dengan aktiviti yang telah dirancang. Aktiviti mengeratkan ukhuwah dan cuba mengenali ahli kumpulan dijalankan. Program petang itu berakhir dengan arahan dari pihak pengurusan supaya peserta ke kafe untuk minum petang, juga untuk terus beristirehat di bilik. Program akan bersambung pada pukul 9:00 malam nanti di dewan yang sama. 


“Nanti 8:00 malam kita jumpa kat kafe ye for dinner. Jangan lambat tau. Nanti nak beratur panjang,” maklum Lutfi Ikram pada aku sebelum kami masing-masing berpecah ke bilik. 


Aku hanya mengangguk. Tentatif di tangan aku baca dengan teliti. Malam ini aktivitinya adalah mengunjungi Trauma Room. Aku tak pasti apa tujuan aktiviti ini. Untuk membantu merawat trauma atau untuk menambahkan trauma. Seriau bila aku fikirkan. Aku pernah mengunjungi Pameran Trauma Room ketika di Pusat Sains Negara beberapa tahun yang lepas. Ternyata ia bukanlah tempat yang ingin aku kunjungi. Sangat menakutkan. Jadi aku harapkan kali ini ia bukan dalam konsep yang sama. 


Previous: 13.4✓

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.