Home Novel Alternatif Perspektif (Diari Seorang Prosopagnosia)
Perspektif (Diari Seorang Prosopagnosia)
F.Ain.K
2/7/2019 23:35:07
145,897
Kategori: Novel
Genre: Alternatif
9.1✓
Tajuk : Biarkan Aku Lari Hingga Puas (Bhgn 1)


OKTOBER 2008 - APRIL 2012



Bersusun nombor telefon terpapar di dalam almari kaca, di sudut dinding kedai. Terlampau banyak hingga pening aku memilih. Aku tidak ada spesifik nombor kegemaran tapi aku sebolehnya cuba menghindar nombor 4. Kerana tarikh lahir aku.


Aku memilih UMobile kali ini kerana aku telah pernah menggunakan Celcom, Maxis, dan TuneTalk. 


Selepas ini pasti aku akan dengar lagi soalan dari mereka apabila mereka tahu aku bertukar nombor telefon lagi. Terutamanya kawan-kawan seuniversiti aku. Aku sebolehnya cuba untuk tidak berhubung dengan orang yang sama setelah aku menukar nombor, cuma orang-orang tertentu sahaja yang akan aku hubungi. Aku selesa begini. Boleh dikatakan aku kini mempunyai banyak kenalan dari pelbagai bangsa, negara, dan tempat kenalan namun lingkungan yang rapat dengan aku boleh dibilang dengan jari. 


Nombor telefon aku bertukar hampir setiap tahun. Tapi aku tak pernah memberitahu kepada sesiapa alasan sebenarnya. Cukuplah sekadar aku jawab apabila mereka bertanya; bahawa nombor lama aku mati kerana tak topup, atau simkad lama aku rosak, atau aku kehilangan simkad tersebut, atau ada orang yang mengganggu nombor lama aku.


Bukanlah hobi aku untuk menukar nombor setiap tahun. Tetapi ia seperti menjadi kewajipan dan habit pada diri aku.


Kamu tahu bukan yang aku ini memakai topeng? 

Bukan hipokrit. Bukan tikam belakang. Cuma aku menggunakan topeng untuk melindungi diri aku yang keliru dan celaru. Jujur aku katakan ia bukan mudah bagi aku. Ia sangat memenatkan. Sepanjang tahun aku dikelilingi manusia, sepanjang tahun kami ketawa bersama, sepanjang tahun aku bersama mereka, membantu mereka, ada ketika mereka memerlukan aku. 


Tapi akhirnya aku masih terasa kosong dan sunyi. Aku masih tidak mampu berlaku jujur pada diri. Aku masih tidak mampu menjadi diri aku. Dan akhirnya aku hilang di dalam topeng, aku tak tahu siapa diri aku. Aku penat ketawa walaupun aku ingin menangis. Aku penat berkata ‘aku okay’ walaupun sebenarnya aku ingin mati. 


Jadi selepas setahun yang panjang telah aku keluarkan kudrat yang ada, aku penat. Aku ingin sendiri. Aku hanya ingin berdiam tanpa ada siapa yang mengenali aku. Aku ingin menghindar dari mereka semua. Aku ingin lenyap dari ingatan mereka. Dan aku ingin menjadi orang baru, dengan watak yang baru. 


Tapi anehnya, seberapa jauh aku berlari, selama mana aku menyorok, lelaki itu pasti hadir semula. Kadang kala aku merasakan takdir mempermainkan aku. Keadaan yang bermain dengan emosi ini amat membingungkan bagi aku. Kerana bukan emosi aku yang perlu difikirkan, tetapi emosi dia. Aku tak mampu memahami emosi dia, atau apa yang difikirkan oleh dia, atau apa yang dia mahu dari aku.


Dia adalah antara orang yang aku ingati. Tingginya 172 cm. Tidak gemuk. Tidak terlampau kurus. Berkulit coklat manis. Tidak terlampau gelap, tidak terlampau cerah. Memakai cermin mata. Dan bermata coklat cair. Dialek percakapan Penangnya juga pekat. Akhirnya mungkin lebih baik untuk aku tak mengingati wajah dia. 


Cukup aku kenalkan dia sebagai Azratul Azhar. Aku masih tak memahami bagaimana otak aku boleh berfungsi dengan baik mengingati namanya. Sepatutnya dia yang harus aku lupakan. 


Perkenalan kami bermula di universiti ketika aku mengambil Diploma. Azhar merupakan salah seorang dari beratus senior jurusanku. Dan aku tidak ingat bagaimana mulanya kami berkenalan. Yang aku tahu, bila aku sedar kewujudan dan mengingati namanya, dia sudah menjadi salah seorang yang selalu berada dalam lingkungan kenalan aku ketika di universiti. 


Hubungan kami terikat pada kelab yang sama. Kelab menjadi punca kami selalu berhubung ketika di universiti. Bagi aku pada mulanya dia bukanlah seorang yang menarik untuk aku kenali atau rapat. Malah hingga sekarang aku masih merasakan bahawa dia bukanlah seorang yang menarik. Dia hanyalah lelaki biasa yang aku anggap senior. Prinsip aku adalah tidak menyentuh hak orang lain. Jadi dari awal aku tak pernah terdetik untuk berfikir bahawa Azhar adalah lebih dari teman lelaki kepada senior perempuan aku. 


3 tahun di universiti banyak perkara yang berlaku, namun bagi aku Azhar masih sekadar orang asing dan hanya senior satu jurusan. Aku tak pernah mengendahkan kewujudannya.


Ketika aku masuk tahun ke 4, aku mula menjalani latihan praktikal di KL. Inilah yang mula menghubungkan aku dengan Azhar kerana dia bekerja di KL. Aku sebenarnya tidak ingat apa yang membuatkan aku mula rajin membalas mesej dari dia. Mungkin kerana kasihan, mungkin kerana gosip. Iya, tersebar dalam kalangan kami ketika itu bahawa Azhar telah berpisah dengan senior perempuan itu. Dan senior perempuan itu memilih untuk bertunang dengan orang lain. 


Mungkin sifat ingin tahu aku mengenai emosi manusia, yang mengheret kaki aku untuk mengetahui lebih lagi apa yang Azhar rasakan ketika itu dan apakah penawarnya. Dan aku akui itu silap aku. Aku yang memulakan permainan ini. 


Aku ingat lagi ketika dia membantu aku mencari bilik sewa untuk praktikal, kami singgah di sebuah supermarket. Bagi aku keadaan Azhar ketika itu sangat tidak stabil. Emosi Azhar bercelaru. Mungkin masih teringatkan senior perempuan itu kerana mereka baru berpisah. Azhar tersenyum tapi kenapa aku rasakan dia tak mahu tersenyum ketika itu. 


Tahukah kamu bahawa kelemahan aku adalah memahami atau merasai emosi sekeliling? Jadi aku biarkan Azhar dengan caranya. Ketika melihat barang keperluan diri di dalam supermarket seperti berus gigi dan sabun, Azhar mula bercerita tentang bagaimana senior perempuan itu mengajar dia cara membeli belah, cara memilih berus gigi, cara memilih sabun, dan Azhar terus menyambung ceritanya. Tanpa sedar air matanya bergenang. Dia segera berjalan menuju ke luar kedai dan duduk di bangku berhampiran tandas. 


Dan aku melakukan sesuatu yang bodoh ketika itu. Tersangat bodoh. Aku hanya mampu ketawa kecil memandang Azhar yang sedang menangis, ketika aku duduk di hadapannya waktu itu. Jujur aku katakan, aku tak tahu macam mana reaksi orang lain jika mereka melihat seorang lelaki menangis di hadapan mereka. Tapi aku hanya mampu ketawa kecil. Namun sungguh aku tidak mentertawakan Azhar atau sebab dia menangis. Aku ketawa kerana aku tiba-tiba teringat bahawa sudah beberapa kali aku melihat lelaki menangis di hadapan aku, kadang atas alasan yang tak aku fahami. Yang lebih jelas aku ketawa kerana aku tak mampu memahami atau merasai apa yang dia rasakan ketika itu, empatiku tidak muncul. Lagi pula aku tak pasti apa jenis tindakan logik yang harus aku lakukan jika melihat seseorang menangis di hadapan aku.


Ternyata tawa kecil aku membuatkan Azhar terasa hati, marah mungkin. Siapa tahu. Kerana berbulan selepas itu baru Azhar mengatakan rasa tidak puas hatinya apabila aku ketawa ketika dia menangis. Itu membuatkan aku sentiasa mengingatkan diri supaya jangan memberikan apa-apa reaksi apabila seseorang menangis di hadapan aku, kerana aku tak kan pernah tahu apa reaksi yang sepatutnya aku berikan. 

Previous: 8✓
Next: 9.2✓

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.