Home Novel Alternatif JELAGA
JELAGA
RUMIÈ AL-HADI
14/7/2020 00:36:14
34,236
Kategori: Novel
Genre: Alternatif
Senarai Bab
DEBU

 Ngeri dalam sunyi
Satu jalan lurus redup di bawah rimbun
Sayup alam berbisik di celah gemersik
nyanyian unggas
Ketika lenggok daunan menyantun
kerikil di bumi
Saat ditatang telapak hati yang cuba mencari diri
Dalam damai yang menjerit
Di celah lolong semesta
...ketika langkahku tersadung
debu jalanan mengajar aku
tentang kerdil diri, tentang segala yang kecil tak terpandang dan tentang nikmat yang terhidang
Mana mungkin jejakku terukir di jalanan tanpa
DEBU
Mana mungkin aku merasai luka
tanpa berasa cinta



------------------------------------------------------------------


"SYAFI, ada suka siapa-siapa tak kat sekolah?" soal Kak Nita tiba-tiba pada hari ketiga aku tinggal di rumahnya. Aku hanya melihat wajah Kak Nita, tidak faham kenapa soalan itu yang ditanyanya.

"Kalau ada, boleh beritahu siapa?" soal Kak Nita lagi. Aku masih diam leka menikmati teh tarik dan kuih yang disediakan oleh pembantu ruma Kak Nita.

"Tak ada," jawab aku ringkas.

"Bukan budak kelas A ada sukakan Syafi ke?"

Aku berpaling melihat wajah Kak Nita yang senyum ke arah aku. Siapa pula budak kelas A yang sukakan aku? Setahu aku budak kelas A tidak ramai pun lelaki. Majoritinya perempuan. Budak kelas A tingkatan berapa? Dua? Tiga? Kalau tingkatan tiga maknanya kelas senior, sekelas dengan Kak Nita. Ah! Mustahil ada senior sukakan aku. Di blacklist oleh mereka aku rasa lebih tepat. Aku senyum sendiri.

"Kenapa senyum? Tak percaya ke?"

"Mana ada orang sukakan saya. Tengok rupa saya pun mereka tak terliur nak jadikan girlfriend," ujar aku sambil ketawa perlahan.

"Siapa kata lelaki yang suka. Perempuan tak boleh ke?"

Teh tarik yang aku hirup bagai tersekat di kerongkong sejurus mendengar kata-kata Kak Nita itu. Aku segera berpaling ke arah Kak Nita yang serius memandang wajah aku tanpa berkelip. Perempuan? Perempuan gila mana yang sukakan aku lebih daripada seorang kawan? Aku yang tersilap dengarkah?

"Tak boleh ke kalau perempuan sukakan Syafi?" soal Kak Nita lagi.

"Kalau tak betul, memanglah tak boleh," jawab aku bersahaja. Kalau boleh aku tidak mahu melanjutkan perbualan ini lagi.

"Syafi tak nak tahu dia siapa ke?" lagi sekali Kak Nita menyoal. Aku segera geleng kepala, kunyah kuih dan hirup teh tarik yang terhidang.

"Saya tak nak tahu. Senang. Malas nak layan soal perasaan," jawab aku jujur.

Benar. Aku tidak ada rasa untuk melayan soal perasaan. Perasaan aku sendiri pun tak terjaga, inikan pula nak menjaga perasaan orang lain. Tambah pula yang dikatakan sukakan aku itu pelajar perempuan. Dunia pelajar asrama ini terdapat pelbagai cerita. Tidak perlu aku sangkal kerana memang benar dunia homoseksual itu ada tumbuh di sekolah berasrama penuh. Di sekolah aku juga tidak kurang. Bukan aku tidak tahu siapa yang berpasangan dengan siapa.

Aku lihat wajah Kak Nita sekilas. Gadis itu hanya tunduk membisu. Entah apa yang difikirkannya setelah mendengar jawapan aku. Aku biarkan sahaja. Kak Nita memang selalu begitu. Sekejap riang, sekejap sedih. Nanti berubah riang semula. Emosinya selalu berubah-ubah. Aku sudah terbiasa.

"Macam mana Kak Nita tahu? Dia cakap dengan Kak Nita supaya beritahu saya ke?" soal aku pula.

"Kata tadi tak nak tahu?"

"Syafi tak nak tahu siapa orangnya. Tapi Syafi nak tahu macam mana Kak Nita tahu." Kak Nita segera mengalihkan pandangannya ke arah kolam renang di hadapan kami.

"Kawan-kawan bercerita," jawab Kak Nita lembut.

"Oo.. Okey. Kalau dia tanya Kak NIta sendiri, cakap saja Syafi tak ada perasaan pada perempuan. Senang," jawab aku. Kak Nita hanya senyum dan menganggukkan kepala.

"Syafi tak rasa sunyi ke?" tiba-tiba Kak Nita menyoal aku semula selepas lama diam.

"Saya lahir memang menempah sunyi. Tak ada beza sunyi dan riuh," jawab aku. Wajah Kak Nita aku pandang semula.

Aku tahu dia sedih. Ya, ada manusia yang punya segala-galanya. Rumah bagai istana. Duit tak pernah kering di poket tapi masih juga berasa miskin dalam kasih sayang. Aku lihat hakikat itu dalam diri Kak Nita. Pada usia tujuh belas tahun, dia ada segala-galanya tapi masih berasa miskin kasih sayang. Menjadi anak tunggal kepada ibu bapa yang tidak punya masa untuknya bukan satu situasi yang mudah untuk dilalui.

Namun menjadi aku yang lahir tidak punya apa-apa, bukan setakat miskin harta benda malah miskin kasih sayang juga; jauh lebih sukar tetapi tahap ketabahan setiap daripada kita tidak boleh disamakan. Aku lihat Kak Nita sekali lagi. Gadis di hadapan aku ini sangat cantik. Siapa yang tidak kenal Haznita? Pelajar lelaki mana yang tidak sukakannya? Malah ada juga ura-ura mengatakan guru-guru muda ada juga yang terpaut kepadanya.

"My mom and dad are getting divorce. Mereka rahsiakan daripada Kak Nita tapi Kak Nita dah lama dapat agak mommy dan daddy tak mungkin kekal lama bersama. I have to choose to stay here with daddy or follow mommy ke US. Sambung belajar di sana," ujar Kak NIta buat aku terkejut namun aku tidak bertanya lebih lanjut.

"Kalau Kak Nita decide to follow mommy, meaning kali ni last kita jumpa. Kalau Kak NIta decide stay dengan daddy pun still, kali ni last kita jumpa juga sebab tahun depan dah tak sekolah menengah lagi," jelas gadis itu sambil terus merenung ke langit luas. Aku cuma angguk-angguk. Tidak tahu untuk berkata apa.

Bukan aku pandai memujuk pun. Silap-silap nanti aku dan sikap berterus-terang aku ini bakal menambahkan sedih Kak Nita pula tapi takkan nak berdiam diri saja. Serupa macam aku tak kisah pula.

"Syafi tak sedih ke kalau mak ayah Syafi tak pedulikan Syafi?"

Kalau boleh aku memang tidak suka membangkitkan kisah aku dan keluarga kepada sesiapa. Hati ini bukan diperbuat daripada besi waja sebab itulah aku sering mengelak membangkitkan soalan tentang perasaan, keluarga dan kisah silam. Bukan aku boleh ubah pun apa yang sudah berlaku dan aku sama sekali tidak mampu ubah sikap manusia lain termasuk sikap emak dan abah.

"Sedih pun tak boleh ubah," jawab aku kemudian sambung makan kuih yang masih berbaki.

Aku tahu Kak Nita sedang sedih jadi tak perlu dilayankan sangat kesedihan dia. Orang sedih adakala akan mudah fikir dan buat perkara tidak rasional. Itu normal. Tambah pula menjadi aku, memang aku akan tolak segala jenis perasaan jauh-jauh dalam hati kemudian aku kunci. Itu cara yang terbaik buat masa ini. Jika satu masa cara itu bakal menjadi segala yang buruk, aku tidak mahu fikir. Nanti hadap sahaja.

Empat hari aku bermukim di rumah Kak Nita, akhirnya aku ambil keputusan untuk bermusafir ke daerah lain. Mulanya Kak NIta menghalang. Namun aku tetap berkeras atas beberapa sebab. Sebenarnya aku janggal dengan perhatian yang aku terima daripada Kak Nita. Menjadi aku yang selalu dipinggir, diberi perhatian sebegitu merupakan satu suasana asing bagi aku. Aku tidak begitu menyukai sesuatu yang membuatkan aku berasa asing dan lemah. Maka aku ambil keputusan untuk berkelana ke daerah timur. Mengikut rentak dan hati.

"Kau tak takut ke jalan sendiri? Kau perempuan. Bahaya," Che Nah pernah satu masa menasihati aku.

"Kalau nak mati kena bunuh, dalam rumah pun boleh mati kena bunuh."

"Selalu kau pergi mana?"

"Mana kaki dan hati tergerak nak pergi."

"Best ke?"

Aku pandang wajah Che Nah. Kawan aku itu tersengeh-sengeh menunggu jawapan.

"Best kalau kau buang rasa takut. Best kalau kau tak berharap apa-apa. Best kalau kau lebih mendengar dan melihat," jawab aku.

"Kau ni suka buat aku confuse. Aku faham part best je," jawab Che Nah lalu beredar masuk ke bilik.

Sebenarnya bukan aku tidak takut. Ada masa bila menumpang tidur di masjid atau menginap di motel murah beberapa hari seorang diri buat aku takut juga. Cuma aku belajar menerima keadaan dan belajar untuk tidak terlalu memikirkannya. Belajar untuk berhati-hati dan tidak terlalu meletakkan seratus peratus kepercayaan kepada manusia di sekeliling.

Di daerah timur tanahair ini sebenarnya aku lebih selesa. Tidak terlalu hiruk-pikuk dengan manusia mengejar masa dan kehidupan. Kali ini aku menginap di chalet di sebuah perkampungan nelayan. Harganya pun murah. Jauh dari sibuk kota. Tiap malam aku akan menyusur pantai terus ke jeti berhampiran sekadar melihat kehidupan nelayan.

Riuh-rendah suara mereka ketika sibuk menarik sauh. Isteri-isteri dan anak-anak yang menghantar suami dan ayah dengan harapan agar rezeki mereka murah dan tonggak keluarga kembali pulang ke dakapan mereka. Mereka tak mewah tapi gembira. Petang hari pula aku sekali lagi menyusur pantai, duduk santai di warung-warung kecil, minum kopi, makan keropok lekor.

"Adik dari mane? Doh banyok kali gak tengok mari sini? Datang dengan sape?" soal kakak yang berniaga di salah satu warung tepi pantai ketika menghantar kopi dan keropok lekor yang aku pesan. Aku senyum. Kadang-kadang aku faham loghat yang dituturkan. Ada masa memang terpinga-pinga juga dibuatnya.

"Dari KL... datang seorang," jawab aku ringkas. Sengaja aku cakap aku dari Kuala Lumpur.

Kopi yang baru diletak ke meja, aku hirup perlahan-lahan kerana masih panas. Aku capai keropok lekor dan cicah dengan sos. Bukan senang nak dapat makan keropok lekor original dan fresh macam ini. Kalau yang dijual di pasaran kebanyakannya sudah terlalu banyak diadun tepung. Keropok lekor yang dijual di kampung-kampung nelayan tidak lokek dengan isi ikannya.

"Adik duduk chalet mane? Dok skoloh ke?" soal kakak itu lagi, kali ini dia duduk santai di pangkin bersama dengan aku.

"Chalet sana tu. Cuti sekolah sekarang. Sebulan," jawab aku jujur.

"Hoh! Lamo deh cuti skoloh bukang dua menggu?"

"Saya sekolah asrama. Tak sama."

"Hoooo budok bijok la ni. Mok dengan pok tok mari skali? Umo berapo adik ni?"

"Tak. Mak, abah sibuk. Nak masuk enam belas tahun," jawab aku sambil menikmati keropok lekor dan pemandangan pantai. Dibuai pula angin pantai waktu petang.

"Budok sangak lagi. Adik dok takut jalan-jalan soghang?"

"Tak," jawab aku ringkas lalu pandang wajah kakak tersebut yang seakan pelik melihat tingkah-laku aku. Aku hulurkan senyum dan kembali makan keropok lekor. Aku sudah terbiasa disoal begitu dan melihat reaksi yang sama setiap kali.

"Adik ni kadang kita tengok macam puang, kadang macam laki pun ada," si kakak cuba memancing, ayat biasa yang sering diguna jika ada yang ingin tahu jantina aku.

"Perempuan," jawab aku ringkas sambil aku hirup baki kopi dan habiskan keropok lekor yang terakhir. Aku serahkan duit kertas dua ringgit ke tangan si kakak lalu minta diri untuk beredar ke jeti melihat budak-budak kampung leka memancing.

Aku tahu jika aku terus duduk bersama kakak tadi, bermacam soalan lagi yang bakal menyusul buat aku jadi rimas. Silap-silap nanti ditazkirahnya aku kerana kelihatan seperti lelaki. Aku mahu tinggal lebih lama di sini tanpa perlu diganggu dengan pelbagai andaian. Aku hanya ingin tenang bukan untuk cari kawan.

Bila senja mula muncul aku akan tunggu sehingga matahari hilang dari ufuk. Jangan tanya apa aku fikir. Ada masa aku sendiri tidak tahu apa yang aku fikirkan. Ada masa aku sekadar melihat senja tanpa rasa. Bila senja hilang, aku akan pulang semula ke chalet dan tiba subuh, usai solat aku akan berlari ke jeti semula melihat nelayan pulang membawa hasil tangkapan.

Jika bosan ke pantai, aku sewa basikal kayuh jelajah kampung. Ada masa aku hanya habiskan masa dengan membaca. Begitulah rutin aku selama seminggu aku di situ.

"Assalamualaikum. Boleh cakap dengan Cikgu Maziah? Saya pelajar dia," ujar aku ketika menghubungi nombor telefon rumah Cikgu Maziah. Terdengar suara lelaki yang menjawab panggilan tadi memanggil nama Cikgu Maziah.

"Assalamualaikum. Siapa ni?"

"Saya Syafi, cikgu."

"Oh, Syafi. Kat mana ni?"

"Kampung. Cikgu dah balik ke asrama ke?"

"Petang nanti cikgu balik. Ustazah Ramlah dah balik semalam. Kelab silat pun dah ada masuk minggu lepas. Ada tournament antara sekolah. Syafi nak masuk asrama ke?"

"Boleh ke cikgu?"

"Untuk Syafi boleh saja. Nanti cikgu beritahu Ustazah Ramlah Syafi nak masuk awal. Syafi nak datang hari apa?"

"Hari ni, boleh?"

"Okey, nanti Syafi sampai terus pergi bilik warden, ya. Cikgu beritahu ustazah lepas ni. Syafi...," suara Cikgu Maziah terhenti seketika. Aku masih menunggu.

"Syafi bukan kat kampung, kan? Tak apalah.Nanti cikgu sampai, kita berbual, ya?" aku cuma mengiakan sahaja permintaan Cikgu Maziah sebelum telefon aku kembalikan ke ganggang.

Cikgu yang seorang itu seperti dapat mengagak aku tidak berada di kampung bersama keluarga. Mungkin dia sudah terbiasa memerhati tingkah laku aku selama ini. Masuk kali ini sudah berkali-kali aku akan jadi pelajar paling awal mendaftar masuk ke asrama. Selalunya aku akan datang sendiri dan hanya bawa satu beg sandang seperti mana waktu aku pulang bercuti.

Guru-guru lain ada juga yang mempertikaikan sikap dan perlakuan aku. Aku tahu. Mungkin atas persetujuan bersama pengetua sekolah, guru kaunseling dan warden menyebabkan keberadaan aku di sini dipermudahkan. Bukan aku tidak tahu ada sebilangan pelajar juga ingin tahu kenapa aku pulang awal tetapi persoalan itu tidak pernah bertemu jawapan.

Aku lihat jam di tangan yang sudah menunjukkan pukul sepuluh pagi. Usai bersarapan di warung berhampiran chalet, aku terus berkemas dan keluar dari chalet untuk menunggu teksi di jalan utama. Lama juga menunggu, barulah ada teksi yang lalu dan berhenti ketika aku tahan.

"Nok gi mane dik?"

"Terminal bas."

"Jauh denun... boleh baya duploh ghia ko?" Aku angguk-angguk kepala tanda setuju dan terus masuk ke perut teksi. Sepanjang perjalanan itu aku cuma diam melayan perasaan sendiri. Pakcik teksi pun turut diam. Yang kedengaran cuma lagu dari corong radio yang dipasangnya.

Jarak dari chalet ke terminal utama mengambil masa kira-kira empat puluh lima minit jadi dengan harga tambang dua puluh ringgit itu bagi aku memang berpatutan malah agak murah. Mungkin pakcik teksi lihat aku remaja bukan orang dewasa. Sampai di terminal aku segera menjengah ke setiap kaunter untuk mendapatkan tiket sehala ke sekolah.

Kalau naik bas 'lompat-lompat' pastinya harga tiket lebih murah tapi kali ini aku agak letih untuk menapak, bersesak dan berpanas dalam bas tanpa aircond itu. Mujur ada tiket sebelah pagi yang terus menghala ke sana. Sekali lagi aku lihat jam. Sudah hampir pukul sebelas pun, lalu aku segera mencari bas mengikut nombor yang diberi.

Tidak ramai pun penumpang yang turut naik untuk pergi ke daerah yang sama aku tujui. Mulanya aku duduk di kerusi belakang tetapi berasa agak tidak selesa kerana terdapat dua lelaki yang duduk berhampiran lalu aku berpindah ke bahagian hadapan, diam, peluk beg dan tunggu sehingga bas bergerak ke destinasi.

"Kenapa Syafi selalu minta masuk asrama awal? Kawan lain sampai ada yang tak mahu masuk semula," soal Ustazah Ramlah satu masa dahulu usai selesai aku belajar mengaji bersama dengannya. Cikgu Maziah yang turut berehat di ruang tamu segera berpaling ke arah kami.

"Kat rumah tak ada siapa. Mak, abah kerja. Abang dan kakak pun jarang ada. Kat sini boleh solat berjemaah, mengaji dengan cikgu. Boleh makan sedap-sedap empat kali sehari. Tak perlu nak kena masak sendiri," jawab aku sambil tunduk dan senyum. Dalam jawapan sedih itu aku selitkan apa yang aku rasa lucu.

Ya, siapa yang tak seronok kalau dapat makan percuma empat kali sehari? Sedap pula tu. Hari-hari berubah menu. Tak perlu nak fikir masak apa hari ini. Tak perlu penat basuh pinggan dan cawan. Tak perlu dengar orang bergaduh siang malam. Di sini aku tenang. Boleh layan apa saja yang mahu aku fikirkan. Boleh berteman buku 24 jam sehari. Boleh melukis apa sahaja semahu hati aku tanpa dihujat itu dan ini.

Aku pandang wajah Ustazah Ramlah sekilas dan lihat Cikgu Maziah dari ekor mata. Aku tahu mereka tidak menyangka jawapan itu yang aku beri kepada mereka tetapi aku juga diajar untuk jujur dengan mereka seperti yang selalu disaran guru kaunseling.

"Kamu kena belajar luahkan isi hati kamu. Kamu kena cakap apa yang berlaku, kena berdepan dengan hari lepas dan hari hadapan kamu," kata-kata guru kaunseling itu selalu sahaja bermain di benak aku.

Namun bukan semua yang aku luahkan. Aku masih sama seperti dahulu. Ada yang tidak menjadi masalah untuk aku luahkan. Ada yang aku rasakan tidak perlu diberitahu kepada sesiapa. Senyum aku masih tidak dapat diagak sama ada ianya gembira dan tangis aku masih tidak menumpahkan airmata.

Lamunan aku terhenti ketika bas berhenti  seketika untuk menurunkan penumpang. Yang tinggal hanya aku, pemandu bas dan dua orang gadis yang duduk di bahagian tengah bas. Aku tengok jam. Sudah hampir pukul dua petang. Aku tinjau kawasan sekitar dari tngkap bas. Kawasan bas berhenti ini tidak asing bagi aku bermakna sekejap lagi aku bakal sampai di simpang jalan utama menghala ke sekolah. Dari situ nanti aku perlu jalan kaki ke kawasan sekolah.

Aku betulkan duduk dan fokus memerhati kawasan sekitar takut nanti kalau leka terlepas pula untuk turun. Sesekali pemandu bas melihat ke arah aku dan dua penumpang lain. Mungkin sekadar memastikan jumlah penumpang yang masih tinggal. Sejurus bas kembali menyambung perjalanan, aku sandarkan badan ke kerusi semula.

Selepas tiga puluh minit, dari jauh aku sudah nampak pondok bas di simpang jalan menghala ke kawasan sekolah lalu segera meminta pemandu bas memberhantikan bas di situ. Lelaki yang layak aku panggil ayah itu segera mengangguk dan memperlahankan pemanduannya kemudian berhenti betul-betul di hadapan pondok bas tersebut.

"Mung takdok beg laing?" soal pemandu bas kepada aku sekadar memastikan aku tidak terlupa beg di bahagian simpanan sekiranya ada.

"Tak ada pakcik. Ni saja. Terima kasih," jawab aku sambil aku tunduk tanda hormat kemudian terus keluar dari perut bas.

Perlahan-lahan aku menapak menyusuri jalan menghala ke kawasan sekolah. Lengang. Tiada manusia yang kelihatan. Tiada kenderaan di atas jalan memandangkan kawasan ini jauh dari penempatan dan kawasan perniagaan. Suasan hening sahaja. Yang kedengaran cuma desir angin pantai membuai pohon ru yang memenuhi sepanjang jalan dan kawasan sekitar.

Entah mengapa aku sentiasa rasa gembira setiap kali pulang ke asrama. Tidak seperti rakan-rakan yang lain. Satu-satunya tempat yang membolehkan aku menjadi diri aku yang sebenarnya. Manusia akan tetap mengadili dan menghukum namun, sekurangnya tiada siapa yang menghalang untuk aku menjadi diri sendiri.

Sejurus sampai di hadapan pintu masuk kawasan sekolah, pengawal keselematan segera meminta kad pelajar. Aku serahkan kepada mereka kerana itu memang tugas mereka. Aku diarah untuk duduk dahulu di ruang menunggu sementara mereka menghubungi pihak warden. Entah apa yang mereka khabarkan. Tidak lama kemudian kad pekalar aku dipulangkan segera dan aku dibenarkan masuk.
"Pelik sungguh la budok sorang ning. Tiap tahung dio paling awa maghi masuk. Budok laing takdo nok dafta awa-awa gini, dok sorang kat bilik. Tok takut ko?"

"Rama cakak budok ni memang pelik pung. Tok cakak banyok, tok saing ngang budok laing sangak. Suko dok sorang-sorang."
"Tapi baik budoknya... cakak lembuk ngang oghang tue, senyung ja."

Suara dua pengawal keselamatan, seorang lelaki dan seorang lagi perempuan itu rancak berbual tentang aku, masih jelas kedengaran. Aku abaikan sahaja. Aku tinjau asrama pelajar lelaki kalau-kalau ada ahli kelab silat di kawasan lobi. Sunyi. Mungkin mereka keluar ke tournament fikir aku. Dari jauh aku lihat tingkap bilik warden di blok aspuri yang elok terbuka menandakan ada penghuni.

Setiba di lobi aspuri, aku rebahkan tubuhku ke sofa di ruang menunggu. Televisyen yang selalunya ada di sini mungkin telah disimpan oleh pihak pengurusan. Yang kedengaran cuma bunyi kicau burung pipit dan deru angin. Sunyi. Perut aku mula berkeroncong minta di isi. Malas pula rasanya untuk naik ke bilik warden mendapatkan kunci bilik.

Jam di dinding ruang lobi menunjukkan pukul tiga petang. Mahu atau tidak aku tetap terpaksa berjumpa dengan Ustazah Ramlah atau Cikgu Maziah untuk mendapatkan semula kunci bilik tersebut.

"Syafi, kalau satu hari nanti Syafi sukakan seseorang, Syafi jangan hesitate to tell that person." Kata-kata Kak Nita tiba-tiba bermain di fikiran aku. Aku cuma perhati wajah gadis itu.

"Jangan jadi macam Kak Nita." Aku masih diam, tidak tahu mahu balas apa. Lama juga kami hanya termenung kosong.

"Kenapa tak cakap. Dah suka cakap sajalah," ujar aku bagai manusia yang tiada perasaan. Cakap tanpa terlalu banyak berfikir.

Kak Nita berpaling ke arah aku. Lama juga dia tenung aku hingga buat aku serba salah. Kemudian gadis itu hanya senyum dan angguk-angguk. Entah apa maksud senyum dan anggukan kepalanya.

"One day you will understand."

Kata-kata Kak Nita berlalu begitu sahaja. Aku tidak pasti sama ada satu hari nanti aku bakal faham dengan apa yang dimaksudkan Kak Nita jika sekarang pun aku seperti gagal memahami hati dan perasaan sendiri.

Previous: SARAT
Next: LESAP

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh RUMIÈ AL-HADI