Home Novel Alternatif JELAGA
JELAGA
RUMIÈ AL-HADI
14/7/2020 00:36:14
30,181
Kategori: Novel
Genre: Alternatif
Senarai Bab
LESAP

Jerit tak bersuara
Laung tak bergema
Halilintar yang bergemuruh
Dalam hingar-bingar
Jurai airmata
LESAP
Sejauh mana kuheret kaki...
Yang diinjak masih hati sendiri
Waktu rindu padamu masih menjentik



------------------------------------------------------------------



"TAHUN ni awak dah jadi senior Syafi. Kenalah tunjuk contoh kepada junior. Student perempuan lain semua pakai tudung. Kenapa awak degil tak nak pakai. Awak tau tak berdosa buka aurat," suara Zati, Ketua Badan Perwakilan yang baru dilantik menusuk gegendang telinga aku.

Aku hanya terkelip-kelip memerhatikan wajah Zati tanpa menunjukkan sebarang reaksi sedangkan semua mata terarah kepada aku ketika itu. Hari ini Badan Perwakilan Pelajar memanggil semua pelajar berkumpul di dewan bagi membincangkan agenda pendaftaran pelajar tingkatan satu yang baru pada hari esok.

Aku seperti biasa selesa memilih untuk duduk di barisan paling akhir bersama Fairus, Che Nah dan Aya. Ketiga-tiga rakan sebilik aku itu berpandangan sesama sendiri. Wajah Che Nah yang terkenal agak kasar sudah mula berubah.

"Eh, mulut dia sedapnya nak hukum orang. Tahulah ahli surau, confirm masuk syurga. Tak perlulah aibkan orang macam tu," ujar Fairus perlahan.

"Dia cakap sekali lagi memang aku maki juga nanti. Sejak jadi budak BWP ni bukan main lagi celupar mulut tu," ujar Che Nah pula.
Aku hanya diam, masih tekun memerhati wajah Zati yang berdiri di podium. Wajahnya sudah cukup cantik, suara pun lemak merdu dan popular di kalangan pelajar baik lelaki juga perempuan. Aku cuma senyum dan kemudian tunduk. Malas terlalu ambil pusing dengan kata-kata dan sikap Zati. Lagipun bukan semua kata-katanya salah.

Zati masih membebel dan menyebut-nyebut nama aku tetapi apa yang diperkatakan olehnya seperti angin lalu. Aku masih juga duduk mendengar tanpa sebarang reaksi. Mungkin kerana itu agaknya Zati rasa tercabar dan semakin meninggi suara. Habis itu mahu aku jawab dan bertikam lidah ke? Gila!

"Sudah-sudahlah kecam orang sangat as if kita confirm masuk syurga," tiba-tiba satu suara dari barisan pelajar lelaki terdengar menyindir.

Semua yang hadir berpaling ke arah suara tersebut. Aku juga. Cuma aku tidak terlalu ambil pusing lantas membiarkan sahaja. Che Nah, Aya dan Fairus juga tertinjau-tinjau. Aku kembali senyum. Perjumpaan yang sepatutnya menjadi medan perbincangan berkenaan urusan pelajar baru bertukar menjadi perbincangan tentang aku. Absurd!

Satu. Dua. Tiga. Aku bingkas bangun, tanpa menghiraukan mata yang memandang, terus melangkah keluar dari dewan. Untuk apa ada di situ menjadi mangsa kritikan dan menjadi objek perbincangan serta pertelagahan. Aku bosan. Lebih baik menjauhkan diri agar agenda perjumpaan tersebut berjalan normal.

Aku terus ke taman di bahagian belakang makmal yang betul-betul mengadap ke arah laut. Duduk santai di gazebo yang tersedia sambil termenung.

"Syafi, ada budak kelas B nak kenal kau. Dia ajak datang bilik dia," ujar Dura, gadis tomboy yang belajar di kelas F dan sama-sama berada dalam Kelab Taekwando. Kami tidak berkawan rapat cuma saling kenal atas urusan kelab.

Aku pandang ke arah Dura yang masih bersandar dan tersengeh di tepi rak buku menunggu jawapan aku. Ruang perpustakaan hari itu agak sunyi. Hanya ada beberapa orang pelajar sahaja yang kelihatan tekun mengulangkaji.

"Dia ada kat meja hujung sana. Jomlah join," ujar Dura lagi.

"Tak apalah aku nak buat ulangkaji. Lain kali saja," jawab aku, menolak pelawaan Dura dengan hormat.

Gadis itu mengangguk-angguk kemudian beredar semula ke mejanya manakala aku kembali menumpukan perhatian kepada apa yang aku baca sebelum ini. Kadangkala aku terfikir, akukah yang sebenarnya pelik atau manusia sekeliling aku ini yang pelik? Sudah arif tentang sikap aku yang suka menyendiri dan tidak suka berkawan pun, masih juga datang dan mahukan apa yang tidak selesa untuk aku berikan.

Aku kembali mengeluh. Desir ombak yang silih berganti kedengaran sayup-sayup. Kalaulah aku tidak dipisahkan oleh pagar dawai setinggi lapan kaki ini, sudah lama aku berlari ke pantai. Biar tapak kaki ini berasa butir pasirnya dan bercanda bersama air laut. Aku inginkan segala yang lapang dan luas tetapi lahir menjadi aku, lapang dan luas itu boleh jadi impian yang terlalu besar.

"Syafi... kenapa duduk seorang kat sini? Bukan ke ada perjumpaan kat dewan?" tiba-tiba satu suara mengejutkan lamunan aku.

Aku segera berpaling. Wajah Cikgu Maziah yang tersenyum lebar tepat memandang ke arah aku. Aku cuma mampu tersengeh sahaja.
"Boleh cikgu join tak ni?" Aku segera mengangguk dan memberi ruang untuk Cikgu Maziah. Dalam fikiran, aku perlu bersedia jika ditazkirah oleh Cikgu Maziah sekejap lagi.

"Duduk sini waktu petang, angin sepoi-sepoi kalau baca buku boleh tertidur ni." Aku senyum lagi.

"Kenapa tak join perjumpaan?"

"Dah pergi tadi," jawab aku ringkas dan senyum. Senyum adalah modal jawapan terbaik dan ringkas bagi aku.

"Ada yang kutuk Syafi lagi ke?" Aku senyum lagi. Mengia tidak, menidakkannya pun tidak juga.

"Manusia memang macam tu Syafi. Jangan terlalu fikir apa orang sekeliling kita kata tentang kita. Syafi bukan budak nakal. Berapa ramai murid yang cikgu kenal, Syafi satu-satunya yang tak pernah melawan dan tak pernah ada isu dalam pelajaran. Cuma penampilan dan pergaulan Syafi saja yang lain daripada mereka," ujar Cikgu Maziah lagi.

"Ada setengah orang bila ada masalah mereka luahkan dalam perbuatan. Ada orang... macam Syafi, diam dan senyum. Simpan daripada pengetahuan orang," sekali lagi guru aku ini berbicara lembut. Aku angguk-angguk.

"Syafi ada apa-apa nak cerita kat cikgu tak? Manalah tahu kalau Syafi rasa perlu cerita. Kalau Syafi tak selesa nak cerita kepada Encik Syukri, boleh cerita dengan cikgu," ujar Cikgu Maziah buat aku berpaling ke arahnya tetapi seperti selalu aku cuma senyum kemudian kembali menatap langit luas.

Ada masa, aku sendiri pun tidak tahu bagaimana mahu mulakan cerita. Terlalu berselirat buat hati aku tambah sarat sebab itu aku lebih suka letak jauh-jauh dalam hati. Orang kata tidak elok kerana satu hari nanti ia bakal membarah juga tetapi buat masa sekarang, jadi remaja, aku sendiri tidak tahu bagaimana untuk menjadi dewasa dan bertindak seperti orang dewasa. Orang dewasa pun ada yang bersikap seperti remaja baru menempuh hidup. Lantas bagaimana?

"Ustazah Ramlah suka puji Syafi bila mengaji. Katanya susah nak cari budak yang baca surah biasa pun berlagu. Lembut, tenang katanya. Kalau diasuh silap-silap boleh taranum," ujar Cikgu Maziah sambil berpaling memandang aku. Aku senyum tetapi hanya membiarkan sahaja.

"Allah beri Syafi banyak kelebihan yang orang lain tak ada. Syafi mungkin tak nampak tapi cikgu nampak." kata-kata Cikgu Maziah menarik perhatian aku lalu aku berpaling ke arahnya.

"ALLAH beri Syafi kemampuan dalam seni, baik lukisan dan penulisan. ALLAH beri jiwa dan hati yang lembut kepada Syafi. ALLAH beri  sifat tenang dan sabar yang cikgu tengok susah nak nampak dalam diri orang lain. ALLAH beri Syafi hati yang terang, walaupun tak pernah belajar asas Quran dan tajwid tapi sekali ustazah ajar sahaja Syafi dah faham, mampu baca quran dengan lancar dan baik. ALLAH beri Syafi otak yang cerdas. ALLAH beri Syafi sifat penyayang... cikgu selalu tengok Syafi berbual dengan ikan dalam kolam tu, dengan kucing Pakcik Jalil yang nama Tempe dan anak-anaknya kat kantin, dengan burung-burung peliharaan Cikgu Zubir kat kebun mini tu. ALLAH beri Syafi wajah yang comel," ujar Cikgu Maziah tapi komen yang terakhir itu buat aku tergelak.

"Eh! Kenapa gelak?"

"Yang comel tu kelakar," ujar aku, kembali ketawa.

"Syafi tahu tak cikgu-cikgu selalu perhati Syafi dan cakap Syafi comel? Cikgu Syed tu pernah cakap 'Syafi tu manja budaknya kalau perhati betul-betul. Tengok dia berbual dengan ikan, comel sungguh', betul cikgu tak tipu," ujar Cikgu Maziah buat aku tersengeh-sengeh.

"Comel tapi buka aurat tetap tak comel," jawab aku lalu ketawa semula.

"Syafi, hukum ALLAH itu, sebagai hambaNYA memang kita kena patuh. Tapi kasih sayang ALLAH juga luas tiada sempadan. Dosa dan pahala tidak boleh dibentuk dan digambarkan. Begitu juga syurga dan neraka. Ambil kata-kata yang positif letak dalam jiwa Syafi. yang mana menegur dalam nada memperlekeh, letak ke tepi."

Aku cuma diam. Cikgu Maziah memang suka berikan aku nasihat. Mungkin untuk memotivasikan remaja outcast seperti aku yang selalu cuba pergi ke kanan tetapi disepak ke kiri. Untuk kekal di kelompok kiri tidak sehaluan pula dengan hati.

"Semalam cikgu guna Quran Syafi untuk tadarus. Cikgu jumpa ini dalam Quran Syafi," ujar Cikgu Maziah sambil menunjuk penanda buku yang aku lukis dengan cat air dan aku tulis puisi pendek. Aku berasa muka aku membahang. Ah! Kenapa pula dia guna Quran aku itu? Bukan tak ada Quran lain di bilik warden.


KEMBARA ROH
Hidup adalah kembara roh berdurasi
Bermula dari tumbuh nyawa
Di alam rahim hingga ke dunia
Durasi yang tiada penentu
Untuk setiap nyawa berbeza
Hidup ini adalah kembara roh
Mengisi jasad
Berjalan di bumi
Mencari pintu akhir
Di kiri atau kanan
Selagi ada durasi berdetik nadi

- Syafi Shahri -


"Cikgu suka sangat puisi yang Syafi tulis ni. Syafi boleh berikan pada cikgu tak? Cikgu nak simpan buat kenangan," ujar Cikgu Maziah lagi. Aku perhati wajah Cikgu Maziah yang masih menunggu jawapan aku dengan senyum manisnya. Aku angguk dan kembali melayan perasaan sendiri. Tidak lama kemudian Cikgu Maziah dengan sopan minta diri untuk beredar. Aku cuma angguk dan memerhati langkahnya yang semakin menjauh.

Lama juga aku duduk bersendiri di gazebo itu menanti masa beredar. Dari jauh kelihatan kanak-kanak riang berkejaran di pantai. Pantai dan sekolah aku ini terletak berdekatan dengan kampung nelayan. Setiap petang akan kelihatan anak-anak orang kampung berdekatan yang bermain dan beriadah di pantai itu. Deru ombak kedengaran sayup-sayup.

"Hah! Kat sini rupanya," tegur Che Nah sambil menepuk kasar bahu aku. Hampir luruh juga jantung ini terkejut disanggah begitu.
"Kau ni, cuba feminin sikit," ujar aku sekadar mengusik. Che Nah lantas mencebikkan bibirnya.

"Macamlah kau feminin sangat. Sesuailah kita ni, tak payah nak feminin luaran sangatlah. Dalaman kena feminin tu wajib," ujar Che Nah buat aku ketawa.

Rakan aku yang seorang ini walaupun bertudung labuh tetapi kasarnya boleh tahan. Cara berjalan pun macam gangster. Pelajar lelaki kalau buat hal dengannya memang akan terima akibat tanpa belas kasihan tapi Che Nah sangat baik hati. Selalu jadi pembela aku jika aku dibuli. Maklumlah aku hanya akan senyum dan sengeh sahaja.

"Dah selesai ke perbincangan?"

"Dah."

"Mana Fairus dan Aya?"

"Mereka pergi kantin ambil kuih dan air. Nanti mereka bawa sini. Aku dah cakap bawa ke taman, kau mesti duduk sini. Bijak tak aku?"
"Bijak." Senyum Che Nah melebar ketika dipuji.

"Esok kelas kita kena jaga bahagian koperasi. Dua team. Satu jaga bahagian pengambilan buku dan satu lagi bahagian pengambilan uniform," jelas Che Nah panjang lebar. Aku cuma angguk-angguk.

"Kau tahu ke siapa yang sound Zati tadi?" Aku geleng. Malas aku mahu ambil tahu.

"Sham. Budak kelas G."

"Sham mana pula ni? Berapa ramai Sham kat sekolah kita ni," ujar aku acuh tak acuh.

"Sham ketua kelab taekwando kau tu lah."

"Syamseer?" Che Nah pantas mengangguk. Aku kembali diam.

Walaupun aku dan Sham menganggotai kelab yang sama dan dia juga ketua kelab, aku tidak pernah sekali berbual dengannya. Sekadar pergi latihan dan ikut tournament. Aku tahu Sham memang popular di kalangan pelajar perempuan dan guru namun aku tidak pernah rasa populariti orang lain memberi kesan untuk kelangsungan hidup aku.

"Lepas kau keluar, dia sound Zati sekali lagi," kata-kata Che Nah menarik perhatian aku semula.

"Dia cakap apa?"

"Awak panggil student semua nak bincang tentang kemasukan pelajar baru, kan? Fokus kepada agendalah. Ini bukan agenda nak kritik orang. Kalau rasa agenda nak kritik orang lebih baik jangan libatkan student lain. Haa... itu dia cakap," ujar Che Nah siap dengan gaya dan mimik muka.

"Kau ni kelakarlah Che Nah."

"Kelakar dan comel, kan? Aku dah lama tahu. Aku rasa Sham tu suka kaulah."

"Gila..." jawab aku sepatah lalu ketawa.

"Eh! Mana kau tahu entah-entah taste dia jenis macam kau ni," jelas Che Nah serius.

"Ish! Aku tak ada masa nak layan dan fikirlah. Baru tingkatan tiga, gila nak bercinta bagai, dah kenapa?"

"Kau ni... beku!" kuat juga Che Nah menempelak aku sebelum Fairus dan Aya juga turut menyertai kami duduk santai di gazebo. Sepinggan pisang goreng dan dua gelas teh tarik kami kongsi makan berempat. Perbualan mereka masih berkisar tentang Sham. Aku cuma menjadi pendengar bual dan gelak tawa rakan-rakan. Cukuplah, itupun sudah buat aku gembira.

"Patutlah teguran orang tak diendah, rupanya kesayangan Cikgu Maziah dan ketua kelab taekwando."

Tiba-tiba suara itu menerjah gegendang telinga aku. Berdesing! Aku segera berpaling dan melihat Zati, Zatul dan Ilya berdiri berhampiran. Che Nah sudah mula bingkas bangun tapi cepat-cepat aku tarik lengannya agar kembali duduk. Aku bisik ke telinga Che Nah agar tidak masuk campur, biar aku sahaja yang bersemuka dengan mereka.

Sungguh, seumur hidup aku, aku tidak pernah meninggikan suara kepada sesiapa. Aku tidak pernah bertelingkah dengan sesiapa juga. Mungkin kali ini aku perlu bersuara kerana mempertahankan nama guru yang banyak berjasa kepada aku juga adalah kemestian. Perlahan-lahan aku hampiri tiga gadis itu. Aku perhati wajah mereka tanpa segaris senyum. Aku amati dalam-dalam.

"Zati, aku memang tak suka ganggu hidup orang lain dan aku kalau boleh akan buat hal aku sendiri tanpa kacau sesiapa. Aku memang tak kisah sangat orang nak kutuk dan perlekehkan aku. Aku dah biasa dan memang aku tak terkesan pun. Tapi kalau kau nak jadi kesayangan Cikgu Maziah, aku boleh recommend dan puja puji nama kau kepada dia. Kalau kau nak aku up nama kau kepada guru lain pun aku boleh buat juga sebab bukan Cikgu Maziah seorang yang perhatikan aku. Kalau kau sukakan Sham, kau tak perlu susah berebut dengan aku. I have no feelings. Aku tak ada masa nak layan soal perasaan orang. Kalau kau nak, Sabtu ni aku ada latihan taekwando macam biasa. Aku boleh beritahu dia kau sukakan dia. Cuma satu saja aku nak pesan, jangan terlalu kerap sangat kau tendang terajang perasaan aku dan jangan kau nak babitkan Cikgu Maziah. Kau boleh pilih nak benci dan kutuk aku, just stop at that, tak perlu babitkan guru kau sendiri. Kau menimba ilmu pun dengan dia. Redha guru pun penting atas ilmu yang dia beri kepada kau."

Aku diam seketika, memerhati riak wajah tiga gadis di hadapan aku yang terdiam seribu bahasa.

"Aku nak beritahu kau... ramai orang cakap aku pelik. Cikgu-cikgu pun cakap aku pelik, guard dengan tukang kebun pun cakap aku pelik. Kau tahu tak, orang pelik ni kalau dia start retaliate, dia boleh balas dengan cara yang pelik-pelik juga. Senang macam ni sajalah, aku uruskan hidup aku. Aku tak akan sibuk kacau hidup siapa-siapa, Jangan risau... aku memang tak ada selera nak bercinta. Kau jaga urusan hidup kau. Kita buat hal sendiri. Jika kau perlukan khidmat aku, kau boleh cakap. Aku tak ada masalah."

"Wah! Dah pandai gertak orang."

"Aku tak gertak, aku cuma beritahu kau supaya jangan buat aku hilang waras. Sekarang ni aku waras lagi," jawab aku sambil terus merenung tepat ke mata Zati. Tiada senyum. Tiada riak perasaan yang terpamir.

Zatul dan Ilya cepat-cepat menarik tangan Zati agar beredar meninggalkan aku. Aku tahu Zati masih tidak puas hati namun paksaan rakan-rakannya menyebabkan dia terpaksa mengikut juga. Aku perhati langkah tiga gadis itu sehingga mereka menghilang daripada pandangan kemudian aku kembali duduk di gazebo, senyum kepada Che Nah, Fairus dan Aya yang seakan terkejut melihat tindakbalas aku sebentar tadi.

Aku biarkan sahaja. Sungguh, aku tidak pernah memberi sebarang tindakbalas atas apa pun perlakuan dan kata-kata yang dilemparkan kepada aku sebelum ini kerana ia hanya melibatkan nama aku seorang sahaja tetapi jika nama guru pun turut terlibat sama, itu sudah melangkau titik sabar. Aku sedar rakan-rakan tidak pernah meilhat sisi gelap yang ada dalam jiwa ini. Mungkin sisi gelap itu lebih dahsyat daripada apa yang mereka tahu.

Entah mengapa sejak hari itu aku benar-benar dibiarkan bersendiri. Zati juga tidak lagi melayan aku seperti sebelumnya. Kehidupan aku di asrama berlangsung seperti biasa. Tiba cuti sekolah aku akan balik ke kampung seketika seperti biasa kemudian akan bermusafir ke mana sahaja yang terlintas. Emak dan abah masih tidak berubah. Abang juga semakin parah dengan pengambilan bahan terlarang. Kakak juga sudah tinggal di Johor kerana berjaya melanjutkan pengajian di salah sebuah universiti di sana.

Setiap kali aku pulang, yang ada hanya rumah kosong. Aku juga semakin jauh daripada kehidupan mereka. Wujud aku juga tidak begitu dipeduli. Sesekali ketika bermusafir, bertemu dengan pelbagai orang, aku sebenarnya cemburu. Aku cemburu melihat kehidupan berkeluarga orang lain. Aku cemburu melihat kehidupan berkeluarga rakan-rakan di sekolah. Aku cemburu melhat bagaimana keluarga Ustazah Ramlah dan Cikgu Maziah melayan mereka sebagai anak, adik dan kakak.

Ada masa aku ingin tahu bagaimana perasaan mereka. Bagaimana rasanya dilayan sebegitu. Aku tidak pernah tahu. Seminggu sekali aku tetap perlu menghadiri sesi kaunseling bersama Encik Shukri. Hinggalah Encik Syukri mengambil keputusan untuk berpindah ke cawangan sekolah di utara tanah air. Tempatnya digantikan oleh Puan Ainon. Rutin sesi kaunseling aku masih tidak berubah. Setiap kali berjumpa, aku akan diajak berbual seperti biasa. Aku faham mereka cuba untuk membawa aku keluar dari apa yang aku lalui, namun aku masih tetap sama.

Ada masa aku layan mereka. Ada masa sepanjang sesi aku hanya senyum, sengeh dan terus diam. Lima tahun begitu, aku dapat berasa mereka juga akhirnya pasrah dengan sikap dan perlakuan aku. Cikgu Maziah masih melayan aku seperti selalu. Sesekali aku terima surat daripada Kak Nita yang sudah berhijrah ke luar negara. Tiada perubahan yang terlalu ketara dalam diri aku selain daripada rasa sunyi yang seakan membusung dalam jiwa tetapi tidak terlihat oleh mata kasar sesiapa.

Ketika majlis graduasi tamat persekolahan, hanya aku yang tidak diiring keluarga. Hanya aku yang naik ke pentas mengambil tauliah tanpa ada sesiapa yang mengambil gambar. Hanya aku tanpa keluarga. Sedih? Makna sedih itu sudah terlalu biasa hingga aku tidak lagi menganggapnya satu bentuk kesedihan. Malah aku adakala tidak tahu lagi apa itu sedih. Usai majlis graduasi, teman-teman lain sibuk dengan keluarga masing-masing sedangkan aku sudah kembali ke asrama, mengemas barang-barang kemudian duduk santai di lobi sekadar menonton televisyen seolah hari itu sama seperti hari-hari lain. Tiada yang istimewa.

"Syafi, balik dengan apa? Beg besar ni," tegur Cikgu Maziah.

"Naik bas." jawab aku ringkas dan senyum.

"Mak, abah tak datang jemput? Kan hari akhir ni? Kakak?"

"Mereka sibuk. Saya boleh balik sendiri. Dah biasa," jawab aku tanpa riak kecewa.

"Jom cikgu hantar," pelawa Cikgu Maziah.

"Tak apa cikgu saya dah beli tiket bas pukul tiga petang ni. Saya nak naik bas," jawab aku dan Cikgu Maziah mungkin sudah cukup faham sikap aku yang tidak akan mengalah daripada keputusan yang aku telah buat.

"Nanti Syafi tahu ke nak urus borang kemasukan universiti? Kalau tak tahu call cikgu.  Insya-ALLAH Syafi tak ada masalah nak masuk mana-mana universiti," ujar Cikgu Maziah sambil bahu aku ditepuk-tepuknya. Aku cuma mampu senyum. Itulah kali terakhir aku duduk berbual bersama Cikgu Maziah.

Ya, semakin usia berganjak, semakin manusia berubah.Aku bukan lagi remaja belasan tahun yang perlu mengikut aturan hidup orang dewasa. Segalanya berubah selepas tamat persekolahan. Jika rakan lain sibuk bercuti bersama keluarga, aku pula terpaksa membanting tulang mencari apa juga kerja untuk menampung keperluan pengajian yang seterusnya.

Siang menjadi buruh ladang, malam menjadi guru tuisyen untuk anak-anak kampung. Pendek kata, aku tidak punya masa untuk bersosial apatah lagi untuk bercuti. Jika ingin sambung pengajian, siapa yang bakal menampung perbelanjaan aku nanti? Aku tahu mak dan abah tidak akan peduli.  Mereka pasti akan melebihkan kakak. Abang? Keadaan abang semakin hari semakin parah. Apa yang boleh aku harapkan daripada abang?

Jika aku ingin terbang dari penjara kehidupan yang sebegini, aku harus berusaha berkali ganda berbanding rakan-rakan yang lain. Segala bebanan itu terletak di bahu aku sendiri. Tiga minggu selepas tamat persekolahan, aku terima surat berdaftar dari Kementerian Pendidikan Tinggi. Dua tawaran melanjutkan pengajian, dalam bidang senibina dan juga sains aero angkasa. Aku perhati surat tawaran tersebut. Mahu aku cerita dan kongsikan dengan siapa?

"Mak, Syafi dapat tawaran pergi United Kingdom, belajar senibina. Satu lagi dapat pergi Amerika, belajar earo angkasa."

"Kita ni bukan orang kaya nak belajar jauh-jauh negara orang putih tu. Kakak pun belum habis belajar nak guna duit banyak."
Aku tunduk dan diam, cuma mampu bawa diri dan hati ke bilik termenung sendiri.

"Abah, Syafi dapat tawaran pergi United Kingdom, belajar senibina. Satu lagi dapat pergi Amerika, belajar earo angkasa."

"Kau kerja siang malam tu bolehlah guna untuk ke sana beli apa yang perlu. Abah bukan ada duit. Cuba tanya mak kau."Aku tunduk dan diam, cuma mampu bawa diri dan hati ke bilik termenung sendiri.

"Kakak, Syafi dapat tawaran pergi United Kingdom, belajar senibina. Satu lagi dapat pergi Amerika, belajar earo angkasa."

"Kakak tahulah Syafi bijak, tapi kakak kan tak habis lagi belajar. Siapa nak keluarkan belanja nak beri barang keperluan ke sana? Ingat sikit ke balanja nak ke sana. Kalau pun dapat biasiswa, untuk beli keperluan pakaian semua masih guna duit sendiri. Mana mak  dan abah ada duit. Lagipun Syafi tu, dengan perangai tomboy pergi sana nanti entah apa jadi."

Aku tunduk dan diam, cuma mampu bawa diri dan hati ke bilik, termenung sendiri lagi. Kali ini aku tidak bertanya lagi. Aku simpan surat tawaran kemas-kemas dan masukkan ke dalam kotak kayu di bawah katil. Rutin aku kembali seperti biasa. Pergi kerja, cari duit untuk kehidupan sendiri tanpa perlu bergantung kepada sesiapa jika akhirnya aku perlu pergi dari daerah ini.

Previous: DEBU

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh RUMIÈ AL-HADI