12,176
Kategori:
Genre:
Senarai Bab
Bab 1

Bab 1

 

 

2030.

 

29 Februari 11. 29 malam. Stesen Keretapi Dabong.

 

 

 

Raiqal kini berdiri di hadapan stesen keretapi lama Dabong di Negeri Kelantan Darul Naim yang telah ditutup dan ditinggalkan begitu sahaja setelah siapnya Projek Keretapi ECR yang melalui pesisir Pantai Timur hingga ke Kota Bharu. Bangunan kayu dan Landasan usang ditinggalkan begitu sahaja setelah tidak lagi digunakan. Terbiar menjadi khazanah negara.

Raiqal melihat jam tangannya. Waktu menunjukkan pukul 11.29 malam. Keadaan di stesen sangat gelap kerana tidak ada lampu yang dipasang di dalam stesen. Hanya cahaya bulan menerangi langkah Raiqal. Kedengaran bunyi meliuk-liuk tingkap papan yang ditiup angin. 29 Februari, tarikh yang hanya berlaku 4 tahun sekali. Dikatakan tahun lompat. Tahun di mana siapa yang lahir pada tarikh tersebut hanya boleh menyambutnya 4 tahun sekali.

Raiqal melihat papan tanda yang telahpun senget. Benda lama, tidak sesiapapun yang peduli. Raiqal ke sini dengan satu tujuan. Untuk menyingkap rahsia urban legend yang hanya berlaku 4 tahun sekali. Ya. Tujuannya hanya satu… Koc 13. Koc yang hanya ada 4 tahun sekali. Koc yang akan membelah Banjaran Titiwangsa dan melalui beberapa kawasan yang dikatakan seram dam berpuaka. Raiqal adalah seorang peminat cerita-cerita seram. Dia sudah berada di seluruh dunia dan tempat yang dikatakan seram. Dia ada kelebihan yang dikurniakan oleh Tuhan. Kelebihan meneroka dunia di sebelah sana.

Dia telah meneroka semua tempat berhantu di Pulau Bidong, Kellie Castle, Genting Highland, Highland Towers, Banglo Nabila dan banyak lagi. Bukan sahaja dalam negara tetapi di luar seperti Moundsville Penitentiary, Trans-Allegheny Asylum, Hutan Aokigahara, Hotel Stanley, Pulau Patung Mexico dan banyak lagi. Kesemuanya kerana minat, kepuasan dan perasaan ingin tahu. Pelbagai kejadian ditempuhi hingga melibatkan nyawa tetapi semuanya diharungi.

Kini dia berada di hadapan stesen untuk menaiki Koc 13. Bagaimana dia tahu? Ini semua berdasarkan kajiannya sendiri melalui Urban Legend yang berlegar di internet. Zaman sekarang zaman Google. Semuanya info di alam maya. Dia tertarik dengan satu kisah urban legend di UrbanLegend.com. Kisah Koc 13… hanya ada seorang di dunia ini yang berjaya menaikinya. Itupun 20 tahun dahulu. Pak Hameed. Selepas itu tidak ada sesiapa yang berjaya menaikinya. Pak Hameed pula selepas meletakkan pengalamannya di laman maya hilang tanpa jejak secara misteri. Hanya catatan awalnya berjaya dimuat naik sebelum dia menghilang. Ini membuakkan semangat peminat mistik untuk menaiki tren ini. Tetapi gagal. Dan Raiqal tertarik untuk mencuba nasib.

Raiqal melangkah ke dalam stesen. Lampu telefon bimbit dibuka untuk menerangi langkahnya. Ternyata keadaan di dalam stesen terlalu usang. Lantai kayu berderap bunyinya apabila dipijak. Raiqal melangkah dengan berhati-hati. Matanya meliar memandang keadaan stesen. Bumbung ada yang sudah terkopak. Daun-daun kering dan sampah memenuhi lantai stesen. Dinding kayu ada yang sudah terkopak. Ada juga tulisan vandalisme. Raiqal menuju ke platform. Nyata masih ada lagi landasan keretapi dari hujung ke hujung. Raiqal melihat bulan.

“Nampaknya bulan mengambang. 29 Februari. Malam Jumaat. Malam yang tepat untuk Koc 13 muncul. 20 tahun dahulu sangat lama. Ya tersangat lama. Harap nasib aku baik. Koc 13. Muncullah kau,” gumam Raiqal.

Raiqal beredar ke salah satu kerusi kayu di platform. Setelah dipastikan kerusi itu masih lagi kukuh, Raiqal melabuhkan punggungnya. Dia mengambil beg Deutarnya lalu mengeluarkan tabletnya. Sementara menunggu dia mahu melayari internet. Dia terus log ke laman profilnya. Membaca kembali informasi koc 13. Catatan

“Koc 13. Aku tak bagaimana boleh terjebak dengan Koc 13. Semuanya secara kebetulan. Aku suka meneroka keindahan alam. Maka aku gunakan jalan keretapi untuk melihat keindahan banjaran Titiwangsa. Dari satu stesen ke satu stesen! Dan akhirnya Stesen Keretapi lama Dabong. Ya Dabong. Kerana tidak ada hotel atau rumah tumpangan. Aku mengambil keputusan untuk tidur di stesen ini. Tepat pukul 11 malam. Tidak ada sesiapa yang berada di stesen ini kecuali aku.

Penjaga stesen dan pengawal seperti terkocoh-kocoh meninggalkan stesen ini. Aku tidak tahu mengapa. Mungkinkah disebabkan malam ini Malam Jumaat? Nak ambil berkat? Nak ambil pahala? Aku? Aku jadi beginipun setelah bercerai dengan bini aku. Kecewa aku bawa diri membelah Banjaran Titiwangsa membawa hati yang lara. Aku berhent kerja. Aku harap dengan simpanan yang ada sampailah hasrat aku pergi ke China. Mongolia sebelum memulakan hidup baru.

Aku hanya tidur di atas kerusi kayu antik yang terdapat di stesen ini beralaskan beg tidur. Tepat 12.59… aku terjaga apabila terdengar bunyi enjin keretapi sayup-sayup kedengaran. Aku lantas bangkit dari pembaringan. Dari jauh nampak lampu suram kepala keretapi. Eh! Bukankah tidak ada keretapi lagi pada waktu begini? Tiba-tiba kedengaran bunyi tapak kaki dari platform… aku…”

Prak!

Bunyi kayu lantai stesen yang mereput patah dipijak seseorang kedengaran. Raiqal memberhentikan bacaaannya. Serta-merta di memandang ke arah dalam stesen.

“Siapa tu?” soal Raiqal.

Dia harap bukan penjenayah atau perompak yang datang. Dia menyeluk beg Deutarnya dan mengambil pisau rambo yang memang tersedia untuk menangangi apa-apa ancaman.

“Manusia ke hantu tu?” laung seseorang dari dalam stesen.

“Manusia macam kaulah,” balas Raiqal lalu bangun.

Dia menghidupkan lampu lalu menuju ke arah dalam stesen. Raiqal melihat seorang pemuda sedang jatuh terduduk memegang kakinya. Raiqal mendapatkan pemuda tersebut. Lampunya menyuluh wajah pemuda yang berwajah Pan Asia yang sedang mengerut kesakitan. Rasanya wajah yang dia kenal. Tapi di mana? Raiqal ingat-ingat lupa.

“Kenapa?” soal Raiqal sebaik sahaja mendapatkan lelaki tersebut.

“Jatuh. Kayu mereput,” jawab pemuda tersebut.

“Kau buat apa di sini?” soal Raiqal.

“Koc 13,” jawab pemuda tersebut.

Raiqal menghulurkan tangannya. Pemuda itu menyambut dan berdiri. Dia mengibas buntutnya yang diseluti habuk kayu.

“Jadi engkaupun nak naik koc tu? Nama kau?” soal Raiqal.

“Aiman Aklaken,” jawab pemuda itu lalu tersenyum.

Raiqal terpaku. Aiman Aklaken… novelis seram Malaysia  yang bertaraf antarabangsa! Dia adalah peminat setia Aiman Aklaken terutama buku pertamanya subconscious mind atau dalam bahasa Melayunya minda bawah sedar. Kemudian buku kedua Frangipani Sister. Paling akhir Twitter yang Raiqal rasa gagal dan mendapat kritikan yang sangat melelahkan oleh pengkritik. Raiqal pun rasa Twitter adalah karya Aiman Aklaken yang setaraf sampah.

“Jadi tuanpun nak naik koc 13?” soal Raiqal inginkan kepastian.

“Tak payah panggil aku tuan. Panggil sahaja engkau aku seperti tadi. Ya. Aku nak cari idea untuk karya aku seterusnya. Itupun kalau dapat naik. Kalau tak, aku terpaksa pergi ke tempat lain. Trans-Allegheny Asylum ke. Hutan Akiohara. Ini semua sebab novel Twitter aku dikritik macam hanat. Aku kena refresh balik otak aku ni,” jelas Aiman Aklaken.

“Trans-Allegheny dan Akiohara aku sudah pergi. Anyway.. namaku Raiqal,” Raiqal memperkenalkan dirinya.

“Kau dah pergi sana? Seorang diri?” soal Aiman Aklaken teruja.

Raiqal mengangguk.

“Hebat. Mesti kau ada ilmukan. Anyway sepatutnya ada kawan temani aku. Tapi dari tadi aku tunggu dan cuba telefon tapi tak berangkat. Cakap berdegar. Aku terpaksa pergi ke sini seorang diri. Kalau nasib koc 13 tu ada… kaulah peneman aku.”

“Itupun tak pasti jika Koc 13 itu ada. Kalau tak… itu hanyalah dongengan.”

“Betul juga kata kau. Internet ini bukannya boleh percaya. Sudah 20 tahun sejak Pak Hameed naik koc tu. Tapi selepas itu tidak ada siapa yang naik lagi.”

Kedengaran bunyi burung hantu bersahutan di luar stesen. Pandangan mereka terarah ke arah pokok dipercayai datangnya bunyi burung hantu. Tiba-tiba lampu kaunter tiket menyala. Terkejap pasang terkejap padam. Berkelip-kelip. Mereka memandang kaunter tiket. Ada tulisan jawi pada papan tanda kaunter.

“Koc 13! 29 Februari! 12.59 malam!” baca Raiqal.

“Kau boleh baca Jawi Raiqal?” soal Aiman Aklaken yang kini berwajah cuak.

Raiqal mengangguk. Dia menghampiri kaunter. Aiman Aklaken terhincut-hincut mendapatkannya daripada belakang. Raiqal mendapat ada dua keping tiket bertulisan jawi gaya lama di atas kaunter. Raiqal mengambil dan membacanya.

“Koc 13. Duduk di mana-mana. Raiqal Jantan,” ucapnya.

Raiqal terpempan. Nampaknya koc 13 ada malam ini! Siapa pula yang meletakkan tiket di atas kaunter?

“Apa yang tertulis tu?” soal Aiman Aklaken.

“Kau tak boleh baca Jawi?” balas Raiqal.

“Akukan Pan Asia. Memang aku lahir Malaysia. Kemudian aku sekolah antarabangsa. Selepas itu aku belajar di luar negara. Aku tulis novel. Meletup. Memang taklah aku belajar Jawi,” jelas Aiman Aklaken.

Raiqal menangguk. Dia mengambil satu lagi tiket lalu memberikan kepada Aiman Aklaken. Berkerut Aiman Aklaken membacanya.

“Itu tiket kau. Koc 13. Duduk dimana-mana. Aiman Aklaken. Jika tidak naik! Kematian akan menghantui kau!” jelas Raiqal.

Tidak berkelip mata Aiman Aklaken memandang Raiqal. Tangannya yang memegang tiket menggigil.

Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.