Home Novelet Thriller/Aksi KERANA AKU BUKAN DIA
KERANA AKU BUKAN DIA
Syaf_Asriqa
13/7/2020 15:02:46
127,480
Kategori: Novelet
Genre: Thriller/Aksi
BAB 10

DUA sekawan yang sedang bertarung di gelanggang tinju semakin fokus membaca pergerakan lawan masing-masing. Sesekali, Hud menyendengkan tubuhnya menangkis tumbukan yang dilayangkan oleh Yunus. Pemuda itu hanya mengelak sahaja tanpa membalas serangan daripada bekas rakan sejawat yang pernah berada dalam unit yang sama dengannya. Apabila Yunus menghayunkan tendangan, Hud terlebih dahulu mengelak dengan menjadikan lengannya sebagai penghadang.

"Aku laparkan pukulan dan tendangan kau, Hud Aidan! Cepatlah balas. Kau mengelak ni kenapa?" kata Yunus. Keluhan berat terlepas dari bibirnya tatkala Hud seakan-akan tidak berminat dengan pertarungan mereka.

"Aku pun lapar juga ni! Lapar nak makan mi kari dekat belakang dewan ni. Aku dah lama duduk sini dan dah tiba masanya untuk aku..."

Tak semena-mena, Hud kematian kata tatkala Yunus tiba-tiba menyerang dengan menghayunkan lututnya ke perut pemuda itu. Hud tertunduk kesakitan sambil matanya memandang wajah Yunus yang sudah ketawa sinis.

"Kau main tipu!"

"Hah balaslah! Kau ni kenapa Hud? Selalu kau tak akan bagi orang pukul kau. Hari tu aku dengar yang kau kena serang dengan samseng-samseng..."

Buk!

Kali ini, Yunus pula yang kematian kata apabila Hud tiba-tiba menghayunkan tendangan sisi ke tubuhnya sehingga hampir sahaja dia terduduk jika tidak berpaut pada tiang gelanggang. Sungguh, tendangan padu Hud itu seakan-akan mematahkan pinggangnya. Mereka saling berbalas senyuman sinis sebelum kembali dengan pertarungan masing-masing.

Yunus terlebih dahulu mara dengan berpusing lantas menghayunkan tendangan ke tubuh Hud. Namun, Hud bijak membaca pergerakan lawan dengan membentes kaki lawannya sehingga Yunus tersungkur. Buru-buru Yunus bangun seraya meluru ke arah Hud. Hud hanya menepis serangan demi serangan dengan tunduk dan menyendangkan tubuhnya sehingga Yunus kelelahan.

"Aku lapar, Yunus! Kau belanja aku sebab aku menang. Lain hari sajalah kita lawan. Aku dah tak ada tenaga ni," kata Hud sambil menepuk bahu Yunus yang berwajah tegang itu. Seakan-akan tidak berpuas hati apabila dia tak mampu menjatuhkan Hud. Hanya sorotan matanya sahaja yang memerhatikan Hud yang sedang berkemas untuk meninggalkan dewan itu.

"Yunus! Cepatlah. Banyak benda nak borak dengan kau wahai kawan lama!" kata Hud yang sudah melangkah ke muka pintu dewan.

Yunus hanya mencebik seraya keluar dari gelanggang dan membuntuti Hud dari belakang. Nampaknya, 'buah tangan' yang mahu diberikan kepada Hud sememangnya berpihak kepada pemuda itu sendiri. Tidak dapat Yunus nafikan bahawa, Hud memang seorang yang tangkas dan bijak membaca pegerakan lawan walaupun sudah lima tahun Hud meletakkan jawatannya sebagai seorang pegawai polis.

"SUNYI rasanya bila kau tak ada kat unit kita. Rasa macam tak percaya pun ada yang kita orang kehilangan seorang ketua yang selalu tenang bila berhadapan dengan jenayah. Mana taknya, kau ni jenis semua orang cepat selesa dengan kau sebab kau jenis yang ceria orangnya. Selalu bagi positive vibe dekat orang sekeliling kau kalau semua orang tertekan nak handle sesebuah kes," kata Yunus. Bercerita mengenai kenangan ketika Hud masih menjadi sebahagian daripada pegawai di bahagian jenayah narkotik.

Hud yang sedang menjamah mi kari Pak Ayob hanya tersenyum tawar dengan omongan bekas rakan sejawatnya. Terasa payau tekaknya bila teringat akan kejadian buruk yang menimpa lima tahun yang lalu. Seleranya serta merta hilang walaupun mi kari yang masih berasap itu masih kelihatan menyelerakan. "Kau dah naik pangkat dan terus ganti tempat aku. Bukankah itu perkara yang patut dibanggakan?" soal Hud. Sesekali, dia berpandangan dengan Yunus yang sudah berubah riak wajahnya.

"Kau jangan cakap macam tu. Memanglah naik pangkat jadi inspektor tu sesuatu yang patut dibanggakan tapi lain tahu rasanya bila hilang orang penting dalam unit narkotik tu. Hud, semua orang suka dengan cara kerja kau. Bila kau susun strategi dalam memberkas penyeludupan atau apa-apa sahaja berkaitan dengan jenayah narkotik. Aku cuma nak cakap yang apa yang pernah berlaku dulu tu bukannya salah kau. Semuanya dah takdir yang dituliskan oleh Tuhan."

Tak semena-mena, kata-kata yang menusuk halwa telinga Hud membuatkan rasa sebu menjengah dinding hatinya. Kenangan buruk mengenai dunia kepolisiannya tiba-tiba digantikan pula dengan kenangan manis sepanjang dia berkhidmat. Ketika dia dan rakan sejawatnya berjaya memberkas penyeludupan dadah. Apabila dia dan rakan sekerjanya bertungkus lumus menyiasat dan mencari pelaku sehingga berjaya. Usaha demi usaha yang dilakukan bersama-sama sehingga mencapai sebuah kejayaan. Teringat akan hal itu, Hud tersenyum sendiri.

"Kirana macam mana? Bolehlah kau masuk line memandangkan aku dah letak jawatan," giat Hud sambil menepuk bahu Yunus. Terlintas juga di benak fikirannya mengenai seorang gadis bernama Kirana yang merupakan sarjan di dalam unit jenayah narkotik.

"Ubah topik ke Hud?"

"Tak adalah. Aku cuma teringat pasal Sarjan Kirana. Kau kan suka sangat dekat dia dulu tapi dia asyik nak try aku je. Sekarang ni, aku dah lost contact dengan dia. Kau macam mana dengan dia?" soalan dibalas dengan soalan. Buat seketika, dua sekawan itu saling berpandangan. Jelas, riak wajah Yunus menunjukkan reaksinya bertukar mendung. Seakan-akan ada sesuatu yang kurang menyenangkan terpancar di wajah pemuda berbadan sasa itu.

"Kenapa ni?"

"Kau memang tak ambil port ke pasal rakan-rakan sejawat kau dulu?"

Serta merta, senyuman Hud mula menghilang dengan soalan yang diajukan oleh Yunus. Sudu yang berada di tangan diletak di dalam mangkuk. Saat ini, Hud benar-benar hilang selera. Sungguhlah, dia tidak suka apabila seseorang bercerita mengenai kenangan ketika dia berada dalam unit narkotik dahulu. Bagi Hud, dia hanya mahu mengelak dari berbicara mengenai cita-cita yang terkubur akibat kejadian yang menyebabkan dia menjadi trauma.

"Kirana dah meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya. Dia nampak tertekan dan prestasi kerja dia pun makin jatuh sejak kau letak jawatan. Kau nampak tak sayangnya dia pada kau macam mana? Sampai kerja pun tak ada semangat. Tertekan sampai kemalangan masa on the way nak pergi kerja," terang Yunus tatkala Hud sudah kematian bicara. Segelas air sejuk diteguk sebelum dia kembali menyambung menjamah mi kari yang tinggal sedikit.

Hud terkesima. Berita yang disampaikan oleh Yunus seakan-akan menghempap hidup seorang Hud Aidan. Seseorang terkorban lagi kerana dirinya. Sebuah keluarga kehilangan ahli keluarga yang diharapkan dalam keluarga mereka. Oh Tuhan! Hud rasa dia yang tidak layak untuk diberikan peluang kedua untuk hidup. Sudah tiga orang terkorban kerana dia dan kini seorang lagi terkorban disebabkan dirinya. Tak semena-mena, bisikan-bisikan negatif seolah-olah menyalahkan Hud di atas kematian Kirana.

"Kenapa Ibrahim tak pernah bagi tahu aku?" soal Hud. Nada suaranya yang tenang sudah bertukar tegang.

Hampir sahaja Yunus tersedak dengan soalan mengejut Hud. Segera dia mencapai segelas air sejuk lalu diteguk. Ibrahim pernah memberikan peringatan agar jangan sesekali memberitakan mengenai perihal Kirana terhadap Hud kerana kesan psikologi yang ada dalam diri pemuda itu. Wajah Hud yang sudah berubah kelat itu dipandang dengan tatapan yang penuh dengan rasa bersalah. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya!

"Dia mati sebab aku, kan? Kau hilang orang yang kau cinta sebab aku. Jadi sebab tu kau sanggup bagi tahu..."

"Bu... bukan macam tu. A... aku bagi tahu sebab aku rasa... kau perlu tahu pasal Kirana. Tapi tak bermaksud aku salahkan kau di atas apa yang dah berlaku. Lagi pun Kirana tertekan sebab adik dia sakit. Kau tahu kan adik dia ada penyakit jantung. Janganlah salahkan diri kau di atas apa yang dah berlaku," ujar Yunus. Cuba memberikan ketenangan kepada Hud setelah berita itu membuatkan suasana menjadi dingin dan tegang.

Tiada lagi bicara yang terzahir daripada mulut Hud Aidan apabila bisikan-bisikan itu terus menerus meyalahkannya di atas kejadian yang telah berlaku. Kenangan di antara dia dan Kirana tiba-tiba terlintas di benak fikiran. Ketika Kirana meluahkan perasaan kepadanya setelah dia memberikan surat peletakan jawatan kepada orang atasan. Ketika Kirana mengalirkan air mata kerana keadaan seorang Hud Aidan yang mentalnya terlalu parah. Sungguh, Hud kesal. Namun, apalah ertinya penyesalan itu jika semuanya sudah terlambat?

"WAHAI kakakku sayang Naurah Afrina binti Talib, cuba senyum sikit! Macam tak ikhlas je dengan permintaan Isha ni. Nak Isha tarik balik ke permohonan maaf kakak tu?" ugut Arisha yang sedang duduk di bahagian penumpang sambil jari jemarinya ligat menghantar whatsapp buat sahabatnya. Sesekali dia memandang wajah masam Afrina yang sedang memandu ke IOI City Mall Putrajaya.

"Isha saja je kan marah kakak lama-lama sebab nak kenakan kakak? Kakak dah banyak kali dah kata kakak tak berminat nak berkenalan dengan mana-mana lelaki. Kalau ikutkan hati kakak ni memang taklah kakak nak ikut permintaan Isha tu," keluh Afrina sambil menumpukan perhatian mencari kotak parkir sebaik sahaja mereka sampai ke destinasi. Tak pasal-pasal hari cutinya diganggu oleh Arisha.

Arisha mencebik. Berdesing pula telinganya mendengar omongan daripada Afrina. Lantas, dia duduk bersandar di belakang pintu sambil memandang wajah kakaknya dan berpeluk tubuh. "Sebab tu kakak kena ikut hati Isha. Isha je boleh paksa kakak keluar. Sebab ni je caranya supaya kakak tak terperap dalam bilik kalau kakak off day. Kak Afrina, Isha ni bukan saja tau nak kenakan kakak. Isha nak juga tengok kakak bahagia dan cari pengganti arwah. Kakak tak kesian ke tengok mama dengan abah? Usia dia orang dah lanjut tau tapi masih tak boleh nak bermain dengan cu..."

"Ya, Naurah Arisha! Kakak faham. Tapi bukan macam ni caranya. Isha tahu kan kakak tak suka orang paksa-paksa kakak. Mama dengan abah pun tak pernah desak kakak cari pengganti. Dia orang faham bukan mudah untuk kakak terima orang baru. Susahlah nak cakap dengan orang yang tak faham kakak sendiri ni!" marah Afrina. Adiknya ini memang lancang sepertinya dan memang sering membuatkan Afrina rasa panas hati.

Arisha mengeluh lantas membetulkan posisi duduknya. Dia berpeluk tubuh sambil membantu Afrina mencari kotak parkir yang kosong. "Memanglah tak desak sebab nak jaga perasaan kakak je," gumam Arisha.

"Hah cakap apa tu?"

"Cakap... hah tu parking! Cepat-cepat, Diana dengan abang dia dah tunggu lama dah tu," kata Arisha sambil menegakkan duduknya. Dia mengunjuk sebuah kotak parkir kosong yang terletak di sebuah 
penjuru. Senyumannya melebar apabila kemenangan berpihak kepadanya. Setelah lima kali gagal memujuk Afrina akhirnya dia dapat mempertemukan kakaknya dengan abang kepada sahabatnya juga.

"CIK misi?"

"How do you know who I am?" soalan diberikan semula kepada pemuda yang duduk bertentangan dengannya. Riak wajah Afrina dipenuhi dengan kejutan. Sungguh, dia tidak pernah melihat pemuda berkemeja kotak-kotak berwarna hitam di hadapannya saat ini. Tapi pemuda itu seolah-olah mengenali dirinya pula.

"Saya Ibrahim. Kawan Hud yang bawa Hud ke Atma Home Nursing dulu. Awak lupa ya?" kata Ibrahim. Senyuman terukir di bibirnya tatkala Afrina menilik wajahnya dan cuba mengingati pertemuan pertama mereka kira-kira empat minggu yang lalu.

"Maaflah. Saya ni ada short term memory sikit. Lagi pun malam tu kelam kabut sangat kan. So, awaklah yang adik saya asyik sebut-sebut tu. Banyak dia cerita pasal awak pada saya," kata Afrina. Dia memandang wajah Arisha yang duduk di sebelahnya. Bukan main berseri lagi wajah adiknya itu. Yalah, kemenengan berpihak kepadanyalah katakan.

"Wah! Interesting yang kak Afrina dah kenal dengan abang Rahim. Tak sangka pula kau orang pernah berjumpa sebelum ni. Hah baguslah tu boleh eratkan lagi silaturahim kau orang. So, Diana aku rasa kita biarkan dululah kot sesi perkenalan abang dengan kakak kita ni kan. Eh jom teman aku shopping baju baru," ujar Arisha. Senyumannya semakin melebar apabila temu janji yang ditetapkan untuk Afrina dan Ibrahim berjalan dengan lancar.

"Good luck abang. Nanti call Diana kalau dah selesai. Kak Afrina, Diana minta diri dulu. Kalau abang ada buat apa-apa dekat kakak, kakak lapor je dekat Diana. Tahulah Diana nak buat apa nanti," kata Diana seraya bangun dari duduknya. Dia menepuk bahu abangnya seraya berjalan beriringan dengan Arisha.

"Aku harap tu jodoh abang akulah. Jadi nanti kita boleh jadi ipar. Wow dahlah kita ni bestfriend lepas tu boleh jadi ipar pula tu," kata Diana sambil ketawa kecil.

"Kita kena banyak-banyak usaha ni. Aku pun kalau boleh nak beripar dengan kau. Kita ni sekepala jadi nanti kalau kau jadi ipar aku tak adalah aku nak susah payah selesakan diri dengan orang lain lagi," ujar Arisha pula. Dia lega apabila rancangannya berjaya. Tak sia-sia dia sengaja merajuk lama-lama. Pengakhirannya, kakaknya menurut permintaannya.

Dalam masa yang sama, usai memberikan pesanan kepada pelayan, Ibrahim memulakan lagi bicaranya bersama Afrina. "Awak mesti kena paksa dengan Arisha, kan? Nampak sangat muka awak tak suka dengan apa yang dia buat."

Afrina tersenyum kecil dengan omongan Ibrahim. Kepalanya digelengkan dengan perbuatan adik bertuahnya. Sesekali pandangannya ditebarkan di sekeliling restoran nasi ayam itu. "Betullah tu. Dia sengaja nak merajuk dengan saya lama-lama sebab saya tak sambut birthday dia. Dia tak faham kakak dia ni kena kerja lebih masa sikit sebab kena rawat kawan awak tulah," kata Afrina. Ada keluhan kecil terbit di bibir merah jambu gadis itu.

"Jadi semua ni salah Hud?" tebak Ibrahim. Dia mula senang berbicara dengan gadis bertudung bawal kain satin dengan corak bunga-bunga kecil itu.

"Exactly! Tapi nak buat macam mana kan dah kerja saya untuk rawat pesakit. Tapi saya peliklah, kenapa dengan kawan awak malam tu? Terkejut saya dibuatnya malam-malam orang datang klinik sebab kena belasah macam tu," kata Afrina. Tiba-tiba rasa ingin tahunya muncul semula tatkala mereka berbicara mengenai keadaan Hud yang cedera beberapa minggu yang lalu.

"Ada orang serang Hud masa dalam perjalanan nak balik rumah mama dia. Tapi dia tu degil. Tak nak saya bawa ke hospital. Sebab tulah, awak terpaksalah hadap manusia degil tu dan pegakhirannya Arisha merajuk sebab kakak dia tak sambut birthday dengan dia," jawab Ibrahim.

"Dia kena rompak ke?"

Ibrahim mula pelik dengan setiap soalan daripada Afrina. Seolah-olah gadis itu berminat ingin mengetahui mengenai sahabatnya sahaja. Kalau dua sekawan itu tahu bahawa kakak dan abang mereka berbicara mengenai orang lain pasti mereka kecewa. Tapi, Ibrahim peduli apa. Dia juga menerima nasib yang sama seperti Afrina. Dipaksa untuk memuaskan hati adik kesayangan.

"Masih dalam siasatan pihak kami lagi. Tapi jangan risau dia dah sembuh dan dah boleh bekerja semula," kata Ibrahim.

"Tahu. Nasib baik dia hidup lagi kan. Kalau tak, kesian keluarga dia kena hadap kematian dia secara mengejut. Tapi kalau dia mati malam tu nak buat macam mana kalau dah namanya ajal, bukan?"

Omongan Afrina membuatkan senyuman Ibrahim mula terasa pahit. Dia melihat ada kesinisan dalam wajah gadis yang tiba-tiba menjadi lancang itu. Seakan-akan melepaskan sesuatu yang dipendam di lubuk hatinya yang paling dalam. Seakan-akan ada dendam yang berselirat di hati gadis berkulit kuning langsat itu.

Menyedari Ibrahim senyap membuatkan Afrina tersedar akan kelancangan mulutnya. Dia berdeham buat seketika sebelum menghirup jus tembikai yang baru sahaja dihantar ke mejanya. "Kejap, kami? Awak polis?"

"Ya, saya polis di bawah jabatan siasatan jenayah. Tapi cara awak cakap awak dah tahu ni kan macam awak ikut perkembangan Hud je," ujar Ibrahim. Dia mula dalam mood siasatannya apabila kata-kata Afrina sebentar tadi kedengaran seperti orang yang berdendam. Bukannya dia mahu menuduh Afrina. Tapi omongan Afrina bisa membuatkan gadis itu menjadi suspek.

"Memanglah saya tahu pasal kawan awak tu Encik Rahim. Saya bekerja sebagai jururawat peribadi mama kepada kawan awak tu dah masuk dua bulan," kata Afrina. Pelipis yang tak gatal digaru saat teringat akan konflik dalam keluarganya Hud itu. Semakin dia bekerja di sana, semakin jelas konflik dalam keluarga Hud dan kadangkala memeningkan Afrina sendiri.

Sekali lagi, Ibrahim terkejut. Dia ketawa dengan kata-kata Afrina. "Tak sangka. Mesti awak terkejut bila awak tahu anak kepada Datin Khalida tu Hud. Nampak tak dunia ni kecil je. Pusing-pusing pun mesti kita terjumpa juga orang yang kita pernah jumpa sebelum tu. Apa pun, awak janganlah formal sangat dengan saya. Panggil Rahim dah cukup memadai," kata Ibrahim. Perbualan mereka tidak lagi canggung seperti sebelumnya. Ibrahim bijak memainkan situasi untuk mengelakkan dari kejanggalan berlaku di antara dia dan Afrina.

"Saya setuju dengan kata-kata awak tu. Dunia ni kecil je dan apa yang kita selalu nak elak mesti jadi juga dengan kita. Apa yang kita mampu buat cuma hadap sahajalah dengan apa yang sudah ditakdirkan untuk kita," ujar Afrina seraya menjamah nasi ayamnya. Benar kata Ibrahim. Kerana dunia ini kecil dia ditemukan semula dengan Hud setelah 14 tahun kejadian buruk itu berlaku. Mana mungkin dia melupakan kejadian 
pembulian terhadapnya. Bukan mudah untuk dia bangkit dan membentuk jati dirinya semula! Kerana itulah, sukar untuk dia memaafkan di atas segala perbuatan Hud terhadapnya dahulu.

"KAKAK dah nak balik ke?" soalan Dina mematikan langkah Afrina di perkarangan rumah agam itu. Dia berpaling memandang Dina yang sedang memeluk sebiji bola di tangannya. Lantas, Afrina menghampiri gadis kecil bergaun kuning dengan corak bunga-bunga kecil itu. Rambutnya kelihatan serabai dengan peluh mengalir di dahinya.

"Kakak dah habis kerja. Dina dah makan?" soal Afrina seraya mencapai tisu di dalam begnya. Dia membongkok seraya mengelap peluh di dahi Dina.

Dina mengangguk. Budak perempuan itu tersenyum suka apabila mendapat belaian daripada Afrina. Bukan selalu dia mendapat belaian lembut seperti yang sering diberikan oleh Afrina. Disebabkan belaian Afrina jugalah dia semakin selesa dengan jururawat peribadi neneknya itu.

"Dina ni main sampai berpeluh-peluh. Sini kakak ikatkan rambut Dina," kata Afrina seraya memimpin tangan Dina duduk di sebuah gazebo berhadapan dengan sebuah kolam renang. Terdapat lukisan, warna, beberapa buah buku dan beg sekolah milik Dina di atas gazebo. Afrina tersenyum sendiri melihat lukisan-lukisan hasil tangan anak kecil itu.

"Hari ni Dina belajar apa dekat sekolah?" soal Afrina sambil menyikat rambut Dina yang panjang paras bahu dengan tangannya.

"Dina belajar membaca guna buku bahasa Inggeris lepas tu kan kakak teacher ada ajar nyanyi lagu baru. Twinkle-twinkle little starTeacher kata nanti boleh suruh mummy nyanyikan sebelum tidur. Tapi, Dina tak nak kacau mummy kalau mummy tidur. Dina takut mummy marah," jawab Dina. Sesekali, dia kalih ke belakang memandang wajah Afrina yang sedang mengikat rambutnya. Ada riak sedih di sebalik wajah gadis kecil itu.

"Nanti nak suruh Pak cik Hud nyanyikanlah. Pak cik Hud selalu layan Dina," celoteh Dina lagi.

Ketika itu, setiap kepetahan daripada Dina yang berumur lima tahun hanya didengari oleh Afrina. Dia seakan-akan mula ralit dengan khayalannya sendiri. Entah mengapa saat itu dia terfikir andai dia bersatu dengan arwah Umar, pasti mereka akan dikurniakan cahaya mata yang sebaya dengan Dina saat ini. Kalau tidak pun pasti lebih muda daripada Dina.

"Kakak!"

Laungan kuat Dina terus mematikan lamunan Afrina. Dia tersentak. Wajah Dina yang sudah berada dalam pangkuan Hud dipandang dengan mata yang terkebil-kebil. Lantas, dia beristighfar. Al-fatihah disedekahkan kepada arwah tunangnya. Rasa sebu yang datang tanpa diundang itu cepat-cepat ditepis jauh. Pasti semua itu hasutan Syaitan agar dia kembali lemah.

"Jauh termenung, cik misi," usik Hud. Dia tersengih sehingga menampakkan gusinya. Namun, melihat wajah masam Afrina menimbulkan satu akal di benak fikiran Hud. Sungguh, dia mahu melihat wajah itu tersenyum. Selama hampir sebulan dia ditemukan dengan Afrina, tidak pernah sesekali dia melihat senyuman gadis bertudung bawal maroon itu.

"Saya balik dulu. Jangan biarkan Dina duduk seorang kat luar kalau pagar tu tak kunci. Dina..."

"Cik misi nak gula-gula tak?" pintas Hud. Dia mencapai sebungkus gula-gula dari beg plastik yang berisi barangan dapur yang dikirim oleh Mak Timah.

"Saya tak makan gula-gula," tolak Afrina apabila Hud menghulurkan gula-gula berjenama mentos berperisa mint kepadanya. Wajah Dina yang sedang ralit menjamah aiskrim berperisa coklat dipandangnya. Sungguhlah, wajah polos Dina sering memberikan ketenangan kepada Afrina. Comel!

Hud hanya tersenyum dengan penolakan Afrina. Gula-gula terus dimasukkan ke dalam poket beg galas gadis itu. Afrina kerut dahi apabila sewenangnya sahaja Hud meletakkan gula-gula itu ke dalam begnya. "Saya cakap saya tak makan gula-gula, Encik Hud!" tegas Afrina seraya mencapai beg galasnya. Dia bangun dari duduk seraya menyandang beg galas di bahunya. Buat seketika, mereka saling berpandangan. Ada tawa halus terbit di bibir Hud melihat wajah mencuka Afrina.

"Kelakar ke?" tegas Afrina. Tanpa sedar, suaranya naik seoktaf. Sakit pula hatinya diketawakan oleh pemuda itu.

"Jangan marah cik misi. Gula-gula tu pedas jadi kalau kau mengantuk masa kerja kau boleh makan gula-gula tu. Anggaplah sebagai ucapan terima kasih sebab jaga mama," ujar Hud. Dia tersengih lagi menampakkan gusinya. Namun, wajah tegang Afrina membuatkan wajah Hud serta merta bertukar tegang. Perlahan-lahan, Hud menarik hujung bibirnya dengan jari telunjuk dan ibu jarinya. Menunjukkan bibir yang sedang tersenyum.

"Senyum tu kan satu sedekah. Cik misi janganlah buat muka ketat sangat," usik Hud lagi. Dia kembali memberikan senyuman kepada Afrina. Namun, senyumannya dibalas dengan jelingan sebelum gadis itu keluar dari rumah agam Datin Khalida. Hud hanya memerhatikan langkah Afrina bersama dengan senyuman yang semakin melebar. Baru sahaja tadi dia lihat senyuman kecil Afrina ketika berbicara bersama Dina. Sekarang, wajah itu kembali masam. Misteri sungguh misi bernama Naurah Afrina ini.

Bersambung...


Nota penulis: Terima kasih sudi memilih karya ini sebagai bahan bacaan kalian ^_^ sesiapa yang ada wattpad bolehlah follow saya sekali ye https://www.wattpad.com/user/Syaf_Asriqa

Previous: Bab 9
Next: BAB 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Syaf_Asriqa