Home Novelet Thriller/Aksi KERANA AKU BUKAN DIA
KERANA AKU BUKAN DIA
Syaf_Asriqa
13/7/2020 15:02:46
130,453
Kategori: Novelet
Genre: Thriller/Aksi
BAB 13

AFRINA terjaga dari lena tatkala bunyi mesin potong rumput kedengaran di luar rumah teres dua tingkat itu. Sebentar tadi, usai solat Subuh dan membersihkan diri, Afrina menghubungi Doktor Azizah untuk memohon cuti kerana keadaannya yang kurang sihat. Mujur majikannya memahami dan dapatlah gadis itu berehat selama dua hari. Sungguh, Afrina merasakan kepalanya masih berdenyut dengan sendi yang terasa sakit menandakan dia mula diserang demam. Sememangnya, semalam merupakan hari yang penuh dengan kejutan ditambahkan pula dia yang mempunyai imunisasi tubuh yang lemah telah bermandikan hujan.

Kipas yang ligat berputar menjadi tatapan Afrina sambil jarinya memutar cincin yang tersarung di jari manis. Saat itu juga, kotak memorinya tiba-tiba sahaja mengimbas kejadian yang mendebarkan apabila dia dan Hud diserang oleh orang yang tak dikenali. Malahan, detik Hud ditembak membuatkan gadis itu semakin bimbang. Ada apa dengan seorang Hud Aidan sehinggakan pemuda itu diburu seperti itu? Kali pertama mereka ditemukan setelah 14 tahun berlalu Hud juga dalam kondisi yang cedera setelah bergelut dengan orang yang mahu membunuhnya. Malahan, semalam kejadian yang sama berulang kembali. Semakin fikiran Afrina ligat memikirkan mengenai pemuda itu, kepalanya semakin berdenyut sakit.

"Okay! Tu masalah dia bukan masalah aku. Kalau dia mati sekali pun kesah apa..."

"Kakak!"

Tak semena-mena, lamunan Afrina terhapus dengan kemunculan Arisha yang meluru masuk ke dalam kamarnya. Gadis itu mencebik geram dengan tingkah Arisha yang sudah tersengih-sengih seperti kerang busuk. Tahulah Afrina apa yang dimahukan oleh adiknya yang berperangai tak semenggah. Perlahan-lahan, Afrina bangun dari pembaringan lantas bersandar di belakang kepala katil. Hampir sahaja dia terloncat apabila Arisha melompat duduk di birai katilnya.

"Isha ni kenapa? Mama kata jangan kacau kakak kan hari ni? Kakak tak sihatlah nak layan Isha!" tegas Afrina. Sesekali, dia terbatuk-batuk apabila tekaknya terasa gatal.

"Tapi kakak dah tidur lama kut. Lepas Subuh sampai dah pukul 8 pagi kakak tidur. Takkan kakak tak segar lagi? Kakak pun satu tak nak pergi klinik. Ke kakak nak Isha call abang Rahim hantarkan kakak ke klinik? Diana kata hari ni abang dia cuti. Jadi bolehlah Isha tolong kakak ambil kesempatan..."

Pap!

Tak semena-mena, Arisha mengadu kesakitan apabila bahunya ditampar kuat oleh Afrina. Dahinya berkerut menahan sakit sambil tangan kanan menggosok bahu kirinya. Bibirnya mula tercebik geram dengan kekasaran Afrina. Pakej dengan muncung menandakan dia tidak berpuas hati dengan kakaknya.

"Jangan buat kakak macam terhegeh-hegeh dengan Rahim. Nanti apa pula dia kata kalau Isha asyik aturkan pertemuan kami? Tak manis kalau buat macam tu! Kakak dah cakap kan yang tak ada siapa boleh paksa kakak untuk terima pengganti arwah Umar. Kakak tak kesahlah kalau kakak andartu sekali pun tapi hati kakak ni cuma untuk arwah Umar. Faham?" tegas Afrina. Matanya dijelingkan dari memandang raut wajah Arisha. Begitulah Afrina jika dia mula diserang demam. Hatinya bisa menjadi terlebih sensitif sehingga kadangkala mengujarkan sesuatu yang berkaitan dengan arwah tunangnya.

"Kakak marah ke?"

"Tak! Kakak cuma bagi peringatan mesra untuk adik kakak yang mengada ni!" ujar Afrina sambil mencubit kuat pipi Arisha. Melepaskan geram apabila Arisha sudah membuatkan mood seorang Afrina terganggu.

"Sakitlah! Mama... tengok Kak Afrina ni dia asyik nak cubit dan pukul Isha je!" adu Arisha sambil mengusap pipinya yang mula kemerahan. Afrina punya penangan itu memang berbisa sehingga membuatkan Arisha merasakan otot pipinya dicarik-carik! Berair mata gadis bertudung selendang hitam itu akibat cubitan kakaknya.

"Mengadu! Itu sajalah yang Isha tahu kan. Hah ni kenapa datang bilik kakak ni? Ada orang ke dekat bawah sampai Isha kena pakai tudung ni? Ke Isha pergi mengurat pak cik potong rumput kat bawah tu pula?" soal Afrina sambil menarik hujung selendang Arisha. Dia ketawa kecil melihat wajah cemberut adiknya. Sungguhlah, tingkah Arisha itu benar-benar membuatkan hati Afrina tercuit lucu. Namun, tawanya terhenti apabila hidungnya yang gatal membuatkan dia terbersin.

"Hello! Isha tak gila lagi tahu nak mengurat Pak Wan pemotong rumput tu. Abah suruh Isha tengokkan kakak kalau kakak dah bangun ke belum. Dia nak ajak kakak sarapan kat bawah sekali dengan abang tall, dark and handsome!" jawab Arisha dengan nada yang teruja. Terbayang wajah pemuda yang sedang bersarapan bersama abahnya di luar rumah. Keramahan pemuda itu bersama senyuman yang tak lekang dari bibir benar-benar membuatkan Arisha bertambah suka.

"Gedik betullah budak ni! Siapa pula tetamu yang abah jemput tu? Abang angkat Isha ke? Atau pak we baru Isha yang entah ke berapa kali dah tu?"

Arisha ketawa dengan soalan cepumas kakaknya. Dia terangguk-angguk bersetuju dengan omongan Afrina. "Crush barulah! Majikan kakak yang semalam tu..."

"What?" Tak semena-mena Afrina terjerit kecil dengan omongan adiknya. Dahinya mula berkerut tatkala kebenaran yang satu itu seolah-olah menampar pipinya dengan kuat. Tanpa berlengah, Afrina bangun dari duduk seraya mencapai tudung sarung yang tergantung di almari lalu disarung ke kepalanya. Menutupi auratnya sudah cukup memadai sebelum gadis itu meluru menuruni anak-anak tangga. Oh Tuhan! Afrina rasa dia mahu jadi gila dengan kehadiran Hud Aidan di rumah ibu bapanya ini.

SEBAIK sahaja kaki Afrina melangkah menuruni anak tangga yang terakhir, kedengaran tawa Encik Talib yang seolah-olah terhibur dengan sebuah perbualan di luar rumah. Afrina segera berdiri di muka pintu ingin melihat adakah ini mimpi ataupun kebenaran? Tak semena-mena, membuntang mata Afrina melihat figura yang duduk di taman mini perkarangan rumah bersama ayahnya. Keluhan berat terlepas dari bibir pucat gadis itu. Kepalanya digelengkan dengan kehadiran tetamu tak diundang.

Lantas, kaki diatur kembali masuk ke dalam rumah. Mahu mencari ibunya. Sungguh, Afrina benar-benar mahu meminta kepastian bagaimana Hud Aidan bisa berada di rumahnya dan berbual bersama ayahnya Afrina dengan mesra. Walhal malam semalam Hud sudah diberikan amaran tegas oleh Encik Talib kerana keadaan Afrina yang seolah-olah kebajikannya sebagai pekerja tidak dipedulikan.

"Afrina nak makan? Mama ada buatkan bubur untuk Afrina," kata Puan Sofea sebaik sahaja dia bertembung dengan anak sulungnya di dalam dapur.

"Sebelum Afrina makan, Afrina nak tanya dulu kenapa mamat tu boleh ada kat rumah kita? Kenapa abah nampak mesra semacam dengan mamat tu? Dia dah guna-gunakan abah ke lepas abah marah dia semalam?" soal Afrina bertalu-talu. Nada suaranya yang tegang membuatkan Puan Sofea sedikit tersentak. Lebih-lebih lagi melihat wajah Afrina yang berkerut seribu menandakan anak gadisnya tidak menyukai dengan kehadiran Hud.

"Dia call abah Subuh tadi. Dia ingatkan tu nombor Afrina rupanya nombor abah. Lepas tu abah dengan Hud pergi uruskan kereta Afrina yang rosak tu. Tup tup boleh pula abah Afrina tu ajak Hud pergi main badminton dekat dewan yang abah selalu main tu memandangkan kawan abah tak jadi nak main badminton. Hah, balik-balik je dia orang dah macam kawan lama. Mudah mesra nampaknya majikan Afrina tu," jelas Puan Sofea sambil tersenyum.

Sungguh, kepala Afrina semakin berdenyut dengan penjelasan daripada ibunya. Matanya dipejam rapat sebelum tangannya naik memicit dahinya. Perkataan 'bodoh' tak henti-henti terbit di dinding hatinya kerana memberikan nombor telefon ayahnya kepada Hud. Tujuannya memberikan nombor telefon ayahnya kepada Hud hanya disebabkan Afrina tak mahu Hud menganggunya di luar waktu kerja. Tapi, tidak disangka bahawa Hud mengambil kesempatan!

"Afrina okay..."

"Mama ada paracetamol tak? Afrina rasa kepala Afrina dah nak meletup ni mama," pintas Afrina. Matanya dicelikkan buat seketika. Jelas, wajah resah Puan Sofea yang sedang memeriksa suhu badannya dengan melekapkan belakang tangan ke pipinya kelihatan.

"Panas badan Afrina ni. Kenapa tak rehat kat bilik je? Suruh je Isha hantarkan bubur naik bilik kamu. Hah tulah! Degil kan tak nak pergi klinik," omel Puan Sofea seraya memimpin tangan Afrina duduk di ruang makan. Afrina hanya mengikut sahaja rentak ibunya dengan tangan yang masih memicit dahi. Hud Aidan memang benar-benar membuatkan seorang Naurah Afrina jadi semakin pusing!

Sepeninggalan Puan Sofea untuk mencari ubat di tingkat atas, perlahan-lahan Afrina bersandar di belakang kerusi seraya meneguk air suam yang dihulurkan oleh ibunya. Sekali lagi, tawa Hud dan Encik Talib sayup-sayup kedengaran di luar rumah. Entah apalah yang dibicarakan sehingga perbualan mereka tak henti-henti dengan gelak tawa. Aneh! Baru sahaja semalam pemuda itu berhadapan dalam situasi bahaya dan kini pemuda itu bisa bergelak tawa dan bergurau senda.

Namun, situasi ini tiba-tiba membuatkan memori Afrina mengimbas ketika arwah tunangannya masih ada di sisi mereka. Begitulah rutin harian Encik Talib dan Umar ketika Umar bercuti. Bermain badminton bersama-sama dan Umar akan mengikut Encik Talib pulang ke rumah untuk minum pagi sambil berdiskusi di luar rumah. Teringat akan hal itu menghadirkan rasa sebu dalam jiwa Afrina. Ada rindu yang bertamu di dinding hati gadis itu.

"Abang dah nak balik ke?" suara Arisha mematikan lamunan panjang Afrina. Pipinya yang terasa basah disentuh. Tak menyedari rasa rindu itu membuatkan setitis air matanya mengalir ke pipi. Lantas, nafas panjang ditarik lalu dihembuskan perlahan-lahan. Tenang. Afrina cuba menenangkan dirinya dari melayan rasa sebu itu.

"Haah! Ada kerja lain pula nak dibuat. Pak cik nanti kalau pak cik nak ajak saya main badminton lagi pak cik roger saya. Kalau saya free saya on je," kata Hud.

"Bagus juga tu. Sekali sekala bersukan dengan orang muda lagi bertenaga dibuatnya. Lagi pun pak cik suka strategi kamu bermain," ujar Encik Talib. Nada suaranya kedengaran teruja kerana suka dengan pelawaan Hud. Lima tahun Umar meninggal dunia dan lima tahu jugalah dia hanya bermain badminton bersama rakannya. Umar sahajalah anak muda yang sering bermain badminton dengannya. Mahu mengajak dua anak gadisnya, hanya penolakan sahaja yang diterima.

Hud terangguk-angguk dengan segaris senyuman. Senang hatinya apabila salam perkenalannya diterima dengan baik. Pandangannya tertancap pula ke laman wajah Afrina yang sedang menelan ubat dan meneguk segelas air suam di ruang makan. Bibirnya yang mengulum senyum semakin melebar melihat wajah gadis itu. Nampaknya, Afrina masih mampu berdiri dan tidak hanya berkurung di dalam bilik. Hud tahu bahawa kejadian semalam itu kejadian yang sememangnya sukar untuk dilupakan.

"Abang! Eleh abang Hud mengelamun pandang Kak Afrina lama-lama kenapa? Ni ada adik dia yang cantik dan bergaya kat depan abang tak nak tengok ke?" terjah Arisha sambil melambaikan tangannya di hadapan Hud. Geram pula Arisha dibuatnya apabila majikan kakaknya itu tidak mahu memandangnya yang sudah berdiri bertentangan dengan pemuda itu.

Tak semena-mena, Hud ketawa dengan usikan Arisha. Pelipis yang tak gatal digaru. Keluarga Encik Talib ini sememangnya bisa menghiburkan hari seorang Hud Aidan lebih-lebih lagi gadis bernama Naurah Afrina itu. Keluarga ini sememangnya sebuah keluarga yang ceria bagi Hud apabila Encik Talib sebagai ketua keluarga seorang yang suka berjenaka.

"Isha! Masuk. Kakak nak bincang sikit dengan crush Isha ni."

Tiba-tiba, ketegasan Afrina mula mengubah mood menjadi dingin serta merta. Arisha mencebik geram seraya melangkah masuk ke dalam rumah. Baru sahaja dia mahu melakukan aktiviti 'mengayat' seorang Hud Aidan. Namun, kakaknya sudah menganggu aktiviti yang ingin dilakukan. Jadinya, daripada dia terus dimalukan di hadapan Hud baik dia masuk sahaja ke dalam rumah bersama abahnya.

"TERIMA kasih sebab tolong baiki kereta saya," kata Afrina sambil berpeluk tubuh. Wajah Hud yang sedang bersandar di belakang kereta ditatap dengan pandangan yang penuh dengan kemarahan. Manakan tidak, Hud itu kisah silam yang pernah menghancurkan seorang Afrina. Maka, Afrina tidak mahu Hud mempunyai kaitan dengan keluarganya. Masih belum ada kemaafan yang diberikan kepada pemuda berbaju sukan berwarna hitam itu.

"Sama-sama. Aku nak minta maaf sekali lagi pasal semalam..."

"Saya nak tanya Encik Hud satu dua soalan. Soalan ni soalan serius dan saya harap encik jawab soalan ni dalam keadaan yang serius!" pintas Afrina.

"Silakan."

"Apa tujuan Encik Hud terima pelawaan abah saya untuk datang rumah? Siap main badminton sampai tak ingat yang bahu tu dah cedera. Ke Encik Hud ni jenis tak kesah dengan apa yang dah berlaku pada encik semalam?"

Soalan bertalu-talu daripada Afrina menerbitkan senyuman nipis di bibir Hud. Wajah pucat Afrina dipandang dengan pandangan yang begitu dalam. Seakan-akan cuba menganalisis wajah gadis yang kemerahan melepaskan amarah itu. Entah mengapa dia suka melihat wajah Afrina walaupun gadis itu sering melayannya dengan kasar. Hud Aidan tiada jawapan untuk itu melainkan semakin dia berhadapan dengan Afrina dia semakin rasa senang. Konflik hidupnya seakan-akan hilang tanpa jejak. Barangkali kerana sikap Afrina yang tulus menjaga ibu dan anak buahnya Hud.

"Ala, bahu kiri yang cedera bukan bahu kanan. Pasal semalam? Benda tu kan dah lepas jadi buat apa aku nak ingat lagi, kan? Dah buat laporan polis dah pun. Pasal kenapa aku datang rumah kau sebab atas jemputan. Lagi pun aku senang berkawan dengan abah kau sebab dia peramah. Yelah aku nak berkawan dengan kau, kau asyik reject aku saja. Sampai sengaja bagi nombor abah kau pula tu," jawab Hud. Senyumannya melebar sehingga menampakkan gusinya yang tersusun cantik.

Jawapan Hud benar-benar membuatkan Afrina rasa bengang. Tangannya digenggam erat cuba menahan diri dari menumbuk wajah pemuda itu. Sememangnya, bila-bila masa sahaja Afrina bisa memberikan penumbuk kepada Hud Aidan sebagai amaran bahawa bila dia berkata dalam situasi yang serius maka jawab saja dalam keadaan serius. Tapi, Afrina masih berfikiran waras dan dapat mengawal kesabarannya.

"Cik misi jangan marah. Cuba senyum sikit. Tak elok pagi-pagi ni bermuram durja. Aku tahu cik misi tak sihat. Tapi dengan senyuman tu sedikit sebanyak boleh bagi tenaga positif untuk kita supaya ceria selalu. Ke cik misi nak aku hantarkan ke klinik? Mana tahu doktor boleh bagi ubat yang boleh buat cik misi tersenyum," usik Hud sambil ketawa kecil. Namun, melihat wajah Afrina semakin mencuka membuatkan tawanya mati. Bibir kembali mengoles sebuah senyuman kecil.

Oh Tuhan! Afrina rasa sebentar sahaja lagi penumbuk akan dilayangkan ke wajah Hud Aidan. Namun, pergerakan Afrina terbejat apabila rongga hidungnya terasa gatal lantas dia terbersin berkali-kali di hadapan Hud. Sapu tangan yang berada dalam kocek hoodie dikeluarkan bagi menutup hidungnya yang berair.

"Dah, masuk dalam. Kau tak sihat lagi ni. Nanti kalau kau dah sihat aku usik kau lagi. Maaflah cik misi sebab kau dah jadi objek kegemaran aku untuk diusik," kata Hud sambil tersengih.

Kata-kata Hud seolah-olah masuk telinga kanan keluar telinga kiri sahaja. Tak betah lagi seorang Naurah Afrina terus berlawan bicara dengan Hud yang beperangai tak semenggah itu. Lantas, dia nekad untuk memberikan amaran pertama dan diharapkan amaran terakhir kepada majikannya itu. "Encik Hud dengar sini baik-baik. Saya tak nak Encik Hud libatkan diri dalam keluarga saya lepas apa yang dah berlaku. Hubungan kita hanya setakat pekerja dan majikan sahaja dan kalau Encik Hud cuba nak dekat-dekat dengan keluarga saya, saya tak akan bekerja dengan keluarga encik lagi demi keselamatan keluarga saya!" tegas Afrina seraya melangkah masuk ke dalam rumah.

Hud hanya tersenyum dengan ketegasan Afrina. Langkah Afrina hanya dihantar dengan pandangan sebelum telefon di dalam poket seluar sukan dikeluarkan. Lantas, nombor yang baru sahaja disimpan di dalam telefon disentuh. Telefon dilekapkan ke telinganya. "Hi cik misi. Okay, aku hormatkan permintaan kau tapi aku tak janji sebab aku rasa bila aku berdepan dengan kau seolah-olah ada magnet yang buat aku rasa kau dah bercantum dengan aku," ujar Hud tanpa memikirkan impak terhadap kata-kata yang diujarkan kepada jururawat peribadi ibunya. Apa yang Hud tahu, dia hanya meluahkan apa yang dirasakan ketika berhadapan dengan Afrina.

"Oh ya? Beginilah Encik Hud. Saya rasa Encik Hud kena jumpa pakar psikiatri memandangkan Encik Hud ni dalam keadaan serius pun nak main-main. Semacam ada kecelaruan identiti barangkali? Tapi apa yang saya cakap tu perkara yang serius. Hubungan kita cuma pekerja dan majikan dan encik tak payah libatkan diri dengan keluarga saya. Cukuplah cuma saya seorang saja yang nyaris terlibat dalam bahaya disebabkan masalah encik tu!" tegas Afrina seraya menyentuh punat merah. Pasti ayahnha yang memberikan nombor telefon kepada Hud Aidan. Tapi sungguh, kata-kata Hud itu benar-benar mencabar diri seorang Afrina. Semudah itukah lelaki itu melupakan kejadian 14 tahun yang lalu?

Bagi Hud, berhadapan dengan sikap dingin Afrina membuatkan Hud hanya mampu menggelengkan kepalanya. Memang, Hud tak dapat nafikan bahawa seorang Naurah Afrina merupakan gadis yang tegas orangnya. Tapi, Hud sendiri tak mampu berjanji memandangkan dia suka bergaul dengan keluarganya Afrina. Ugutan atau amaran Afrina itu langsung tak menggentarkan seorang Hud Aidan.

FOTO seorang gadis bertudung bawal berwarna maroon dilekatkan dengan pin pada papan kenyataan yang memaparkan foto ahli keluarga arwah Datuk Idris. Pisau lipat yang berada di dalam genggamannya diputar-putar sebelum dibaling pada foto gadis itu. Lantas, profil yang diberikan oleh orang kanannya diteliti satu per satu. Tersungging senyuman sinis di bibir lelaki itu sebelum foto Hud Aidan dipandang dengan pandangan yang penuh dengan kebencian.

"Kau dah lupa ke siapa Naurah Afrina? Semudah itu ke kau lepas lepas kau dah hancurkan hidup perempuan tu dulu? Sekarang, sebab kau juga dia dah masuk dalam game kita. Bukan salah aku kalau perempuan tu akan makin bencikan kau kalau dia tahu nyawa dia dah masuk dalam pertaruhan hidup dan mati ini," desis lelaki itu sebelum tawa sinisnya meletus. Seakan-akan permainan nyawa yang baru sahaja mempertaruhkan seorang Naurah Afrina itu menyeronokkan baginya.

Apa yang dia tahu sejak dia mengikuti perkembangan Hud, gadis bernama Afrina itu seolah-olah sebuah kepentingan dalam hidupnya Hud Aidan. Kalau tidak, masakan pemuda itu sanggup mempertaruhkan nyawa dengan menyelamatkan Afrina beberapa hari yang lalu? Bisa saja pemuda itu melarikan diri dan membiarkan Afrina dalam ancaman sebagai amaran kepada seorang Hud Aidan!

"Benci sangat kau dengan Inspektor Hud Aidan tu. Oh silap, dia bukan rakan sejawat aku lagi melainkan seorang bekas pegawai polis yang kredibilitinya dah dihancurkan serta merta. Hah, kau panggil aku untuk apa pula kali ni?"

Suara yang datang dari belakang lantas menambahkan lagi keseronokan lelaki berkemeja hitam dengan tali leher yang sudah dileraikan itu. Dia kalih memandang seorang pemuda gagah yang masih mengenakan seragam berpangkat polis. Dunia. Duit. Ya, dunia ini sememangya tak lekang dari yang namanya duit maka kerana duit sesetengah manusia sanggup berbuat apa sahaja termasuk menghancurkan hidup seseorang!

P:S// Terima kasih sudi memilih karya ini sebagai bahan bacaan kalian ^_^ nak baca bab lebih lanjut ada dalam wattpad saya. Dalam wattpad lagi laju saya update dari portal ilham.  https://www.wattpad.com/user/Syaf_Asriqa

Previous: Bab 12
Next: BAB 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Syaf_Asriqa