KISAH 1: SATU DAH BANGUN
Aku memulakan kehidupan ku sebagai penghuni asrama pada usia16 tahun.Dengan keputusan kesemua A dalam PMR aku diterima masuk ke salah sebuah sekolah asrama penuh di daerah Muar. Kalau nak tahu Muar ni bukan sahaja terkenal dengan mee bandung Muar je tau tapi juga cerita-cerita mistik. Kubur lama bole h nampak bersepah tak kira tengah bandar ataupun tepi dapur rumah orang.
Sekolah aku juga sama. Menurut cerita orang, sekolah kami merupakan tapak perkuburan lama, namun kubur-kubur itu dipindahkan semasa kerajaan memutuskan untuk membina sekolah di situ. Namapun kubur lama, jadi ada kubur yang sudah hilang tanda tidak dipindahkan kerana gagal dikesan. Namun yang uniknya ada sedikit kawasan dengan perkuburan baru dikekalkan, maka hasilnya terdapat satu kawasan poket di tengah padang sekolah yang dikekalkan sebagai tanah perkuburan.
Pada awalnya naik ngeri juga. Pada minggu orientasi kami berlari dikeliling padang di mana kami akan melalui kawasan perkuburan, kadang kala ketika jenazah sedang di kebumikan. Biasanya kalau ada jenazah baru yang dikebumikan kami akan berhenti dan turut sama menghadiahkan surah Al-Fatihah untuk jiran baru kami itu. Menurut pelajar lelaki kawasan perkuburan itu merupakan laluan paling selamat untuk “fly” malam. Kesahihan cerita itu tak pula dapat aku pastikan, biasalah pelajar perempuan mana “fly” malam, paling extreme pun buat burung hantu iaitu merayap lepas light off. Namapun budak asrama, kalau tak langgar peraturan sikit-sikit tu masuk kategori skema dah.
Memang awal minggu orientasi lagi kami dah dimomokan dengan macam cerita hantu oleh senior, hantu jepun la, pontianak la, bola api dan macam-macam lagi.Aku bukan la jenis penakut sangat, bukan tak percaya cuma dalam bab-bab hal misteri ni aku blur sikit. Kalau ada benda-benda pelik biasanya aku lambat perasan dan tak fikir banyak. Abaikan je, sampai la satu peristiwa ni.
“Wok semalam pergi tandas sorang-sorang ke?,” Kak She yang juga kakak katilku bertanya ketika kami mengemas katil di suatu pagi. Kakak katil bermaksud kakak senior yang tidur di katil tingkat bawah. Sudah menjadi tradisi senior akan tidur di tingkat bawah manakala junior akan tidur ditingkat atas. Kakak katil bertanggungjawab menjaga kebajikan adik katil dan juga memberikan nama timangan kepada adik katil, dan aku digelar Wok yang bermaksud sayang dalam bahasa Jawa.
“Aah Kak She. Kenapa?,”aku menjawab. Pelik juga takkan pergi tandas lepas lampu tutup pun melanggar peraturan.
“Kan Akak dah pesan jangan pergi sorang-sorang kalau lebih pukul 12.00 malam. Awak ni tak tau takut betul. Kejut la Flyyn tak pun kejut je Akak,”Flynn tidur di katil sebelahku tapi masalahnya budak sorang tu jenis tidur mati, nak bangun pagi pun puas aku gegar katil.
“OK je kak lagi pun bukan lewat sangat pon, dalam pukul 1.30 macam tu. Kalau lewat sangat saya ajak teman,”segan sebenarnya nak kejut kakak senior malam-malam buta, lagi pula aku tak selesa kalau ada orang menunggu diluar pintu tandas ketika melepas hajat, apatah lagi kalau yang nombor dua.
Nak dijadikan cerita, malam itu aku lupa nak mengambil wuduk sebelum tidur.Memang menjadi rutin warga asrama perlu mengaji pada pukul 11.30malam sebelum lampu dimatikan, jadi memang semua tidur dalam wuduk. Tapi nak dijadikan cerita selepas mengaji aku tidak terus tidur, aku menyambung menyiapkan kerja sekolah yang tidak sempat disiapkan semasa prep malam tadi bersama Peah dorm mate merangkap classmateku. Tepat pukul 1 kami terus panjat katil. Wuduk dah terbatal dari tadi,almaklum kalau ada wuduk memang angin degki nak keluar.
Malam itu tepat jam 3.30 pagi aku terjaga. Aku sememangnya jenis “lights leeper”, senang terjaga walau ada sedikit bunyi dan senang tertidur semula,tak sampai seminit sudah berlayar ke alam mimpi. Tapi malam itu berbeza, entah kenapa sukar untuk aku lelapkan mata. Aku toleh ke kanan, amboi nyenyak sungguh Flyyn tidur sampai ternganga mulut. Dalam mata terkebil-kebil cuba tidur,tiba-tiba mata terpandang ke arah almari di hujung kaki, hanya dengan samar-samar cahaya dari lampu koridor ku lihat ada bayang kanak-kanak sedang mengcangkung di atas almari. Cepat-cepat mata kututup, meyakinkan diri segalanya hanya ilusi.
“Hehehehe...,”suara kanak-kanak ketawa.
“Satu dah bangun...,”ah sudah,dia mula menyanyi.
“Tapi dia pura-pura tidur...,”alamok kantoi.
“Jangan tipu...,”tak semena katilku seperti bergoyang.Terasa sesuatu benda berat menghempap badanku. Kaki, tangan kaku bagaikan diikat pada katil. Mata tertutup rapat bagaikan di gam. Masa tu aku tak dapat ingat langsung ayat-ayat Quran.
“Hehehe...,”gelak lagi.
“Dua dah bangun...,”ada orang lain dah bangun.
“Tapi dia buat-buat tidur,”.
“Jangan ganggu akuuu...,”serentak dengan itu badanku mula ringan.Cepat-cepat aku membaca surah-surah yang mula aku ingati. Saat ayat terakhir kubaca, badan menjadi ringan dan serentak tu aku bingkas bangun. Hanya Allah sahaja tahu perasaanku, aku bernafas tercungap-cungap dengan peluh merecik seperti baru habis marathon.
“Uhhh...ughhhh...ughhh...,”eh takkan dia datang balik. Aku berpusing-pusing mencari arah suara itu. Kelihatan Peah bergerak-gerak seperti mengigau. Sah Peah budak nombor dua.Terus aku lompat katil dan berlari ke arah katil Peah yang terletak bersebelahan pintu masuk.
“Peah..Peah...bangun...bangun...,”aku mengejut Peah, dalam masa sama aku terus membaca ayat Kursi berulang kali dalam hati.
“Allahhhh...,” Peah terjaga dalam keadaan sama dengan aku seperti tadi.
“Jom tidur bawah,”aku mengajak Peah.
“OK..,”Peah bersetuju, baik aku atau Peah masing-masing tak bercerita. Malam itu kami berdua tidur di atas carpet di ruang tengah dorm.
Keesokakan hari aku dan Peah menceritakan kejadian tersebut kepada Kak Nab iaitu ketua dorm kami.
“Hantu Almari. Kan Kak Belle ketua blok kita pernah cerita.Biasa memang dia akan kacau tepat pukul 3.30 pagi. Dorm sebelah pernah diakejut semua orang,bayangkan dia nyanyi sampai budak nombor 16. Lepas ni tidur ambik wuduk, dah pesan kan,”Kak Nab berpesan.
Itulah pengalaman misteri pertamaku di tinggal di asrama.Semenjak hari tu aku mula kurang blur dalam hal-hal ni, kalau ada perkara yang aneh cepat-cepataku membaca ayat-ayat pendinding.