Home Novelet Cinta DILAMAR PUTERA BUNIAN
DILAMAR PUTERA BUNIAN
NAWAR WAHID
28/11/2020 11:34:13
42,036
Kategori: Novelet
Genre: Cinta
Bab 2

1.

“Setiap manusia, pasti akan melakukan kesalahan. Yang berdosa cuba kembali kepada pencipta. Namun, tanpa hidayah dia pergi memalingkan diri daripada Tuhan apabila diusik syaitan. Pergi dan balik kepangkuan Ilahi. Namun tak pernah sesekali Tuhan itu menutup pintu kemaafan. Berdoa dan menangisilah setiap kali kau pulang kepadanya. Hidup kita cuma sekali sahaja wahai rakan-rakan dan anak-anakku. Jangan biarkan syaitan membaluti hati kita yang sudah kehitaman… Wallahualam.”

 

Tazkirah tadi ditutupi dengan tasbih kifarah. Selepas itu mereka bangkit bersalam-salaman. Qalea yang tidak pernah didedahkan dengan solat atau pun agama Islam hanya duduk bersimpuh di ruang tamu rumah Tok Wan. Menunggu kehadiran ayahnya yang sedang leka bersalaman dan berpelukan dengan saudaranya di sini yang sudah berpuluh tahun tidak berjumpa. 

 

Ucapan Tok Wan sebentar tadi betul-betul membuatkan dirinya diketuk dengan beribu persoalan. Manusia itu tidak pernah sempurna. Selalu berbuat salah. Selalu menganiayai orang tersayang. Selalu melumurkan diri dengan kejahilan dan dosa. Selalu berbohong. Dan selalu melihat perkara yang tidak baik. Namun, tidak pula Tuhan memetir badan dengan kilat. Tidak pula dia merejam hambanya saat itu jua.Sungguh benar, Tuhan sangat sayang akan hamba-hambanya.

 

Islam dan Qalea seperti orang asing. Ayahnya terlampau sibuk lalu mereka hidup seperti orang barat. Bergaul, bermain dan berkehidupan seperti orang bukan Islam. Sayang sekali Qalea hilang 19 tahun untuk mengenali agama Islam. 

 

“Assalamualaikum, ni anak Shah ya? Qalea Batrisya? Betul ke? Cantiknya kamu ni seperti yang ayah kamu ceritakan. Subhanallah!” seorang perempuan yang sudah sedikit berumur merapati Qalea lalu mereka berpelukan. Qalea hanya menyengih pada ayahnya saat mata bertemu. Ni siapa ayah, Qalea mengomel perlahan. Dijengketkan bahu saat ayahnya mula merapati mereka berdua. Cepatlah tolong Qalea ni!

 

“Assalamualaikum Toknek, apa khabar?!” Sapa ayahnya lalu ayahnya menyalam ibu saudaranya itu. Kakak kepada ibunya. 

 

Tok Nek menyingsing sedikit telekung putih yang dipakainya lalu menarik tangan Qalea. 

 

“Qalea, tok nek harap sangat kamu dapat bersabar dengan perangai orang kampung di sini. Dengar kata ayah kamu mahu duduk di sini sedikit lama daripada dirancang.”

 

Gadis itu tersenyum menampakkan barisan gigi tersusun kemas. Qalea berbicara perlahan. “Tok maksudkan macam rambut Qalea ni?” dijelingnya sedikit pada helaian rambutnya itu. Tidak terasa janggal apabila ada orang cuba menyatakan sesuatu yang sudah pasti. Sudahlah rambutnya tidak seperti orang lain. Pulak itu bewarna biru. Siapa tidak akan bercakap dan mengata diri? 

 

“ibumu juga rambutnya berlainan daripada orang lain. Cantik macam kamu. Warna biru laut seperti ini!”

 

Wah, ada sesuatu yang telah menarik minat aku! Ayah tidak pernah beritahu bahawa rambut ibu juga sama sepertiku. Kenapa ayah hanya mendiamkan diri apabila aku bertanya tentang ibu? Qalea merenung ayahnya yang sudah seperti cacing kepanasan. Takutla tu jika ada cerita lain yang mahu Tok Nek ceritakan. Aku tahu banyak rahsia yang ayah sembunyikan daripada aku.tapi kenapa?

 

“oh, sebelum Tok lupa! Daripada jauh kamu datang, tok tak pelawa pula kamu makan. Mari, mari! Shah cepat bawa anak kamu pergi ke khemah tu. Ada macam-macam makanan dan kuih Tok sediakan.”

 

Qalea memandang makanan di dalam mangkuk besi itu. Baunya harum. Tetapi tekaknya tidak terasa mahu makan dan dia tidak lapar. Walaupun kuih bewarna hijau itu nampak kemas disusun dan air sirap sejuk itu menjadi pembuka selera, dia masih tidak selesa. Orang baru, tempat baru, makanan baru dan suasana baru. Semuanya terasa janggal. Dia tidak kenal sesiapa pun di sini. Penduduk di sini semuanya melontarkan pandangan yang tidak senang. Siapa gadis itu? Warna rambutnya unik. Ada pula yang mengatakan benda tidak senonoh dan tidak benar. 

 

Bukan aku yang menginginkan rupa ini. Aku dilahirkan sebegini! Salah aku ke? 

 

“kau tak payah dengar apa dorang cakap. Semuanya perasan diri Tuhan. Buat kerja Tuhan untuk tentukan siapa salah dan siapa tak.”

 

Qalea yang sedang menyilang tangan terus menjatuhkan tangannya ke bawah. Memandang gadis yang sedang meneguk air sirap di dalam cawan. Masih lagi berdiri di sebelahnya. Mereka juga sama tinggi. Sama cara pemikiran dan personaliti. Berbaju kasual t shirt dan seluar panjang. 

 

“Hi, saya Qalea.” 

 

Slurrpp. Air sirap yang hampir habis itu diteguk semua. “Yer, aku tahu. Dan aku boleh nampak kau daripada jauh lagi.” Sengih Wani lalu menarik Qalea keluar daripada khemah. 

 

“Aku Wani! Sharwani. Aku tak berapa gemar dengan orang kampung dekat sini. Memang ada yang baik, ada yang selalu tolong aku, tapi aku, aku tak rasa aku perlu balas budi dorang.” Mereka berjalan seiringan ke sebuah para berada jauh di luar khemah. 

 

Wani meneruskan lagi, “hmm, susah aku nak cakap. Kalau kau baik, dorang terus cakap kau ahli syurga. Tapi apabila kau silap sikit, terus dikatanya kita ahli neraka.”

 

“wani, maaf. Aku dah lama tak mengamalkan apa Islam buat. Aku dan ayah dah lama jauh tinggal semua benda tu.”

 

Wani mengerut. “Kau tak bunuh orangkan? Kau tak rogol orangkan? Kau hanya manusia Qalea. Kau pun tahu macam mana luasnya pintu pengampunan tu. Aku pun bukanla sempurna sangat. Tudung yang aku pakai pun tak selabuh dorang tu.” Mulut Wani menjuih jauh.

 

Qalea membisu. Hatinya tidak terusik. Mungkin hatinya sudah mati barangkali. 

 

“oklah! Cukup dengan semua kemurungan ni. Aku tak suka tengok kau masam muka daripada tadi. Aku, Sharwani, nak jemput kau esok ke Majlis Keramaian Puteri Dewa esok. Tak boleh bawak ayah kau. Tak boleh ajak orang tua. Yelah, ni kan pesta!”

 

Senyuman pada bibir Qalea mula terukir. “aku, aku tak ada baju!”

 

“hahaha! Sebab tu kau ada aku, Qalea!”

 

2. 

Qalea memakai baju blouse dan seluar panjang bewarna putih. Nama pun pesta puteri, kenalah pakai seperti seorang puteri! Walaupun wani masih tidak menceritakan pesta apakah ini, Qalea hanya menuruti. 

 

Jam hampir pukul 5 petang. Para remaja yang lain sudah bersedia di sebuah kawasan lapang di tengah-tengah hutan. Cuaca hari ni mendung dan tidak pula hujan. Suasana sedikit sejuk apabila dia mula tiba di lokasi. Dia melihat adalah seramai tiga puluh orang budak sedang berkerumun di sana. Semuanya memakai baju bewarna putih. Lelaki dan perempuan bergaul seperti biasa. Menunggu saat yang dinanti-nantikan. Lagak mereka bersahaja. Berbual seperti tiada apa yang akan berlaku. 

 

Remaja di sini rata-rata sama umur dengannya. Dalam belasan tahun hingga 20an. Wani menyuruh Qalea untuk mencari tempat duduk di mana-mana. Duduk sahaja di atas tanah seperti yang lain. Ada juga yang mengalas daun lebar untuk dijadikan tempat alas duduk. Namun, Qalea hanya terus duduk bersimpuh, tidak kisah jika debu tanah mengotori baju. 

 

Qalea melihat wajah Wani daripada jauh. Dia leka berbincang dengan seseorang. Wani nampak sangat cantik apabila dikenakan baju sepertinya. Menampakkan lagi anak matanya yang bulat dan kehitaman. Hidungnya juga mancung dan lesung pipi itu akan sentiasa mendalam setiap kali dia senyum. 

 

Tiba-tiba, Buk! Qalea terasa kepalanya sangat sakit. Dia mendongak ke atas. Seorang jejaka yang tidak dikenalinya menghampiri Qalea lalu memukul kepalanya dengan penumbuk tangan. 

 

“Aman!” wani menjerit saat dia berlari ke arah Qalea. “kau apa hal?!” ditolak badan Aman jatuh ke tanah. 

 

“kenapa kau ajak perempuan ni?!” masing-masing sudah menaikkan suara. 

 

“apa masalah kau ha? Kau ada masalah, kau cakap! Tak payah nak pukul orang!” Wani menengking sambil mencekak pinggang. Selepas itu, kepalanya yang sedang berdenyut terus diurut kasar. 

 

“aku ada masalah bila kau panggil orang luar! Kalau kita tak dijemput ke sana, aku salahkan perempuan ni!” Aman mendengus lalu menghampiri abangnya, Hakeem. Hakeem menepuk bahu Aman tanda syabas. 

 

“Wani, aku rasa aku patut pergi. Apa Aman cakap semua betul. Aku tak patut datang!” Qalea cuba bangun daripada tempat duduk. 

 

Kaki wani menendang debu dan batu-batu kecil pada tanah, cuba melempias marahnya sambil menjeling ke arah segerombolan lelaki. Dilihat daripada jauh, Aman antara yang paling pendek dan paling muda. Hakeem pula, tinggi dan sasa orangnya. Baju yang dipakai sedikit ketat untuk bahunya. Kulitnya berkuning langsat dan terdapat satu luka panjang di lengan. 

 

“ugh! Kalau kau pergi Qalea, aku akan lagi marah. Kau tak patut dengar apa dorang cakap. Aman dan Hakeem tu memang nak kena. Lagi-lagi, kalau Aman kena hasut dengan abang sendiri! Hakeem tu… ish, aku cekik kang!” Wani berpura-pura menunjukkan dia sedang mencekik seseorang. 

 

Qalea mendekati Wani yang sudah sedikit tenang. “apa maksud Aman, Wani? Kita nak pergi mana? Siapa yang akan jemput kita?” terasa banyak lagi soalan yang mahu ditujukan. Dia mengeluh lembut. Runsing dengan perancangan Wani yang dia tidak pasti itu. 

 

“maaf Qalea, aku tak sempat nak bercerita. Sebenarnya, kau ada dekat sini sebab nak saksikan sesuatu yang sangat menarik. Kau tahu Bunian tu apa?”

 

“aku, err aku pernah dengar.” Qalea cuba mengagak adakah betul apa yang didengarinya. 

 

“kita…. kita akan pergi ke alam sana!”

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.