Home Novelet Cinta Amnesia
Amnesia
Que
5/11/2019 11:16:01
30,852
Kategori: Novelet
Genre: Cinta
Part 6

Nadiya yang lagi membaca buku ditegur Shazleen dari belakang. Dia tersenyum membalas senyuman kakak iparnya. “Kak Shaz tak tidur lagi?” Soal Nadiya. Buku di tangan ditutup selepas menanda halaman yang harus disambungnya dengan penanda buku. Buku itu kemudian diletakkan atas ribanya.


            Shazleen menggeleng. “Rindu dengan suasana dekat sini buatkan akak tak boleh nak lelap.” Beritahu wanita itu. Matanya galak memandang adik iparnya dari kepala ke kaki. Sungguh dia faham keperitan yang dilalui adik iparnya atas perbuatan adik kandungnya sendiri.


            Nadiya senyum dengan jawapan kakak iparnya. Mereka berjumpa tidak selalu. Setiap kali Shazleen pulang ke semenanjung, barulah mereka akan berjumpa. Tapi, selepas apa yang berlaku dalam hidupnya beberapa bulan kebelakangan ini, dia rasa janggal tiba-tiba mahu berbual dengan kakak iparnya ini.


            “Nad,” Panggil Shazleen lembut. Sempat dia memandang ke tangga, takut andaikata ada manusia yang mendengar perbualannya dengan wanita di hadapannya. Tapi bersyukur, tiada siapa yang mendengar. Mungkin kerana sudah lewat malam, dan masing-masing sudah terlena di bilik.


            Nadiya pandang Shazleen. Sungguh dia akui, kakak iparnya masih lagi cantik walaupun sudah mempunyai seorang anak. Tubuhnya yang kecil molek buatkan Shazleen seperti pelajar kolej.


            Shazleen basahkan bibirnya yang kering. “Boleh Nad percayakan akak satu benda tak?” Soal Shazleen serius. Matanya memandang anak mata Nadiya. Mahu menyampaikan mesej, yang dia benar-benar serius dengan apa yang diucapkannya ini.


            Nadiya kerdipkan matanya beberapa kali. Kenapa dia rasa yang Kak Shaz lain macam malam ni? “Apa dia?” Soalnya perlahan. Satu sisi, dia mahu mempercayai apa yang bakal diucapkan Kak Shaz, tapi di satu sisi yang lain, dia tak nak percaya.


            Shazleen capai tangan Nadiya dan digenggam tangan itu erat. “Percayakan akak, Fiq masih lagi cintakan Nad. Masa dia buat semua tu dulu, dia dalam keadaan yang tak sedarkan diri. Dia bukan diri dia masa dia curang dengan Nad.” Intonasi suaranya diubah menjadi sedikit perlahan sewaktu bersuara. Mahu Nadiya tahu yang dia benar-benar maksudkan apa yang diucapnya.


            Nadiya kaku. Lama dia pandang wajah Shazleen. “Akak cakap apa ni?” Dia tak faham. Apa maksud Kak Shaz? Syafiq bukan diri dia? Habistu dia jadi siapa?


            “Ni semua berpunca dari Tia sendiri. Dia yang guna-gunakan Fiq untuk pisahkan Nad dengan Fiq.” Sambung Shazleen lagi makin buatkan dahi Nadiya berkerut seribu.


            “Tia?”


            Shazleen angguk.



KAKI Nadiya mati dari teruskan langkahnya. Dia berdiri dibalik dinding yang memisahkan ruang dapur dengan ruang tamu. Sayup-sayup telinganya mendengar suara orang bertekak di ruang dapur.


            Jarum jam yang tergantung di dinding dipandang. 7.30 pagi. Apa yang dua manusia tu lakukan di dapur pagi-pagi macam ni? Oh lupa, Syafiq dengan Kak Shaz memang tak tidur lepas Subuh. Memang sudah diajar untuk tidak tidur selepas Subuh.


            Telinga Nadiya terus mendengar perbualan dua beradik itu apabila sesekali telinganya mendengar seperti namanya disebut-sebut.



            “Jangan bertindak bodoh, Fiq. Benda boleh dibawa berbincang kan?” Suara Shazleen meninggi. Geram dengan keputusan adiknya yang baginya sangat terburu-buru.


            “Nak bawa bincang apa lagi, along? Nad dah give up dengan Fiq. Dia dah give up dengan perkahwinan ni.” Syafiq bersuara. Selepas hampir satu malam dia berfikir dan mencari jalan penyelesaiannya, dia akhirnya bertindak dengan apa yang dirasakannya betul. Lantas kakaknya dicari untuk menyuarakan hasratnya.


            “Who’s say? Hah?” Dipandang adiknya. “Kau tak fikir ke macam mana kau struggle nak dapatkan Nad dulu, nak kahwin dengan dia. Lepastu sekarang, kau tak rasa sia-sia ke kau struggle bagai nak mati dan akhirnya kau orang berpisah macam ni?”


            Syafiq mengeluh. “Orang dah tak nak dekat Fiq, along.” Perlahan suaranya.

            Shazleen menggeleng. “Nad masih cintakan Fiq.” Suaranya kembali perlahan. Tak guna bercakap kasar dengan adiknya yang keras kepala ni. Nanti akhirnya, dia juga yang sebal.


            Syafiq menggeleng. “She’s not.”


            Shazleen gigit bibir. Geram dengan adiknya. “Kenapa kau tak beritahu je apa yang Tia tu dah buat dekat kau pada Nad?” Tajam dia memandang adiknya. “Kenapa tak beritahu?” Soalnya lagi.


            Syafiq angkat wajah. Pandang kakaknya. “Perlu ke?”


            Shazleen genggam tangannya. “Pehal yang kau ni bodoh sangat Fiq?”


            “Along!” Jerit Syafiq. Pantang orang cakap dia bodoh. Aku belajar tinggi-tinggi okay. Degree holder lagi.


            “Apa?” Dia jengilkan mata pada Syafiq. “Kau memang bodohlah, Fiq. Tak reti nak pertahankan rumah tangga kau.” Jeda. “Keadaan akan kembali jernih kalau kau beritahu dekat Nad yang Tia dah sihir kau untuk pisahkan kau orang berdua.”


            “Along!” Syafiq jengilkan matanya pada Shazleen. “Janganlah kuat sangat. Nanti orang dengarlah,” Dijeling kakaknya.


            “Biar. Biarlah orang dengar.” Shazleen dah bosan dengan adiknya. Andai adiknya jujur dengan Nadiya, pasti keadaan tidak seperti ini.



NADIYA bangkit setelah meletakkan telefon di atas meja. Dia bergerak ke bilik air. Sungguh, apa yang berlaku dua hari ini benar-benar mengganggu emosinya sepanjang hari. Apa yang telinganya dengar juga seperti susah untuknya hadamkan.


            Selesai, dia bergerak ke meja cermin. Wajahnya yang terbias di cermin itu dipandang lama. Betulkah apa telinganya dengar? Jadi semuanya berpunca dari Tiara? Tak. Bukan. Semuanya berpunca dari dirinya.


            Kalaulah dia tak pernah mengenali Tiara, pasti Tiara takkan dikenalkan dengan Syafiq. Dan menjadi puncanya yang mengenalkan mereka berdua.


            Tapi dia tak pernah menyangka yang perkara seperti ini akan berlaku.



            Ah! Dia buntu. Runsing. Apa yang harus dia lakukan saat ini?

            Pintu bilik yang ditolak dari luar buatkan matanya memandang pintu bilik yang dibias melalui cermin. Dapat dia lihat Syafiq masuk bersama laptop di tangannya. Laptop itu kemudian diletakkan di atas meja sebelah katil sebelum disambungkan wayar untuk dicas.


            Nadiya berpusing. Menghadap lelaki itu yang kini sudah duduk di hujung katil sambil membelek telefon di tangan. Lantas nama lelaki itu dipanggilnya lembut. “Danish.” Air liur di telan.


            Boleh dikira dengan jari berapa kali saja mereka bersuara ketika di rumah. Seolah, komunikasi sudah hilang antara mereka.


            Syafiq angkat wajah dari memandang skrin telefon. Matanya jatuh pada wajah isterinya yang memandangnya lembut. Pandangan seorang isteri yang sangat mendamaikan hatinya setiap kali dipandang. “Apa dia?”


            Nadiya senyum tipis. “Boleh tak I nak keluar dengan Kris sekejap lagi?” Keizinan dipinta.


            Syafiq senyum. Tiba-tiba rasa bahagia mengetuk perasaannya saat Nadiya meminta izin darinya seperti dulu. Rasa seperti mereka kembali menjadi pasangan bahagia. “Kenapa pula tak boleh?”


            Nadiya jungkit bahu. Dia tiada jawapan untuk itu. “I masih perlukan keizinan you, bukan?”


            Syafiq senyum lagi. “You pergilah. I pun nak keluar juga sekejap lagi.” Keizinan diberi.


            Nadiya senyum. “Thanks.” Ucapnya. Lega hatinya bila Syafiq mengizinkannya keluar bersama Kristine. Tapi, Syafiq nak keluar juga? Pergi mana?


            Lama dia pandang Syafiq yang membelek telefonnya. Hatinya kuat ingin tahu ke mana Syafiq mahu pergi. Tapi,


            “I nak keluar lepak dengan Fareez dan Am kejap. Mungkin pergi karaoke.”


            Nadiya jungkit sebelah keningnya. Huh? Blur.


            Syafiq senyum. “You mesti nak tahu I pergi mana, kan? Jadi I beritahulah.”



            Nadiya basahkan bibirnya. Nampak sangatkah yang dia nak tahu ke mana suaminya pergi?


Previous: Part 5
Next: Ending

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Que