Home Novel Umum Senyuman Nadia
Senyuman Nadia
Izatul Husna
23/9/2020 15:56:49
55,536
Kategori: Novel
Genre: Umum
Bab 10

"Han, jam 3,"

Nazafi memberi lokasi kepada Azhan yang sedang menyusup masuk ke sebuah rumah usang terletak di pinggir bandar. Azhan membetulkan lampu suluh di kepalanya. Luas pengamatan cahaya diselaraskan. Rumah usang itu tiada bekalan elektrik dan cahaya matahari tidak menebus.

Nazafi yang berada di luar rumah usang itu memerhatikan paparan skrin GPS yang berkelip-kelip. Lokasi Azhan semakin menghampiri ke pusat yang bertanda X.

"Fi, jalan disekat. Ada halangan. Mohon alternatif," ujar Azhan menerusi radio tanpa wayar.

"Sekejap. Aku tengah mengenangkan nasib kena ikut kau buat latihan tambahan. Sepatutnya aku makan KFC dengan Nabil sekarang ni," keluh Nazafi.

"Sabarlah. Habis latihan ni, aku belanja kau KFC," pujuk Azhan.

"Belanja KFC? Kau kena belanja masa sekali sebagai ganti rugi. 4 jam dekat sini boleh pergi banyak tempat tahu tak. Boleh cari jodoh sekali," omel Nazafi.

Azhan tersengih mendengar omelan Nazafi. Bukan dirinya meminta untuk melakukan latihan tambahan. Namun, pihak SO sedang menganalisis kebolehan Azhan untu ditempatkan ke unit lain. Nazafi dan Azhan akan berpisah barangkali.

Latihan tambahan sebelum menduduki ujian eksklusif. Lagi beberapa hari sahaja ujian itu akan berlangsung. Azhan memohon latihan tambahan kerana dia sendiri tidak tahu bentuk ujian yang akan dihadapinya.

"Dah lah aku duduk dekat luar sorang-sorang. Aku bosan sangat ni," omel Nazafi lagi.

Mata Azhan ralit menerokai seluruh ruangan yang tidak pasti sama ada ruang tamu atau sebuah bilik. Beberapa susunan buku dan dokumen berselerak dari meja kerja hinggalah ke atas lantai. Azhan terpijak sesuatu. Azhan mencangkung mengutip sehelai kertas.

"Han, kau abaikan aku ke?" tegur Nazafi yang tidak mendengar sebarang respond daripada Azhan.

"Sekejap. Aku terjumpa sesuatu ni," kata Azhan sambil menyuluh lampu ke arah kertas itu.

Tanpa Azhan sedar, dirinya diperhatikan dari jauh. Seorang lelaki mengintai dari sudut tertentu hanya tersenyum. Sebilah pisau dikeluarkan.

"Rekod jualan eksport? RM32 juta? Jual apa kaya macam ni?" kata Azhan sendirian. Matanya tidak percaya dengan apa yang dilihatnya.

Lelaki itu perlahan-lahan berjalan menghampiri Azhan dari belakang. Pisau ditangannya segera diacukan pada belakang leher Azhan.

"Angkat tangan! Serahkan semua harta kau atau mati,"

Azhan mengangkat tangan menuruti arahan lelaki itu. Lelaki itu terus membawa Azhan ke suatu tempat menuju ke sebuah pintu. Azhan tidak dapat melihat rupa lelaki itu.

"Han, apasal senyap? Jawablah. Kau jumpa harta karun ke?"

Suara Nazafi menerusi radio tanpa wayar menarik perhatian lelaki itu. Radio diambil dan dipecahkan. Azhan mengambil peluang untuk menyerang lelaki itu. Kaki kanannya menendang kepala lelaki itu.

Namun apa kan daya, lelaki itu lebih licik. Kaki Azhan ditusuk dengan pisau itu. Azhan mengerang kesakitan. Paha kanannya dipegang. Lelaki itu berundur dan melarikan diri.

Bush!

Lelaki itu terjatuh akibat ditumbuk dengan sarung tangan kebal milik Nazafi. Nazafi segera merentap kolar baju lelaki itu. Mata lelaki itu tidak melepaskan pandangannya di balik tubuh Nazafi. Nazafi semakin hairan dengan lelaki itu.

"Fi, belakang kau!"

Seorang lelaki bertopeng warna emas muncul entah dari mana. Nazafi tersentak melihat topeng itu, Azhan turut begitu. Tanpa membuang masa, Nazafi menumbuk lelaki bertopeng itu pada bahagian kiri topeng.

Topeng itu retak pada kawasan mata kiri. Lelaki itu menahan serpihan topeng itu dengan tangan. Lelaki yang berada dalam cenggakam Nazafi berjaya melarikan diri.

"Woi!"

Azhan segera menghampiri Nazafi dengan keadaan kakinya yang tidak mengizinkan. Lelaki bertopeng warna emas itu memberikan senyuman kepada Nazafi dan Azhan. Bom asap diletupkan.

"Lelaki bertopeng emas!" kata Nazafi dan Azhan serentak.

***

"Jadi awak akan duduk bersama abang Nazafi?" tanya Farah sambil menyedut air tin minumannya. Nabil menganggukkan kepalanya.

"Begitulah. Saya tahu mesti awak akan rindukan saya bukan?" usik Nabil. Mata Farah membuntang.

Aiman menghampiri mereka berdua setelah gilirannya selesai berdiskusi dengan Cik Syiqin. Raut wajah cerianya menarik perhatian Nabil dan Farah. Air kotak dicapai. Nabil juga begitu.

"Farah mesti rindu saya dua kali ganda," usik Aiman pula. Nabil tersengih mendengar.

"Kenapa saya kena rindu kamu berdua? Tolonglah," ujar Farah sambil mengetuk kepalanya.

"Baiklah kamu bertiga. Selepas perbincangan individu, jadual Fly akan jadi sangat sibuk. Aktiviti solo kalian, saya akan bantu sehingga berjaya mengikut jadual pengurusan. Aiman akan masuk ke kelas seni mempertahankan diri, Nabil akan berlatih secara peribadi oleh Nazafi, dan Farah pula akan mula masuk kelas lakonan,"

Tersembur Aiman dan Nabil apabila mendengar permintaan Farah. Farah tersenyum malu-malu. Nabil memandang Farah tidak lepas. Aiman mengelap sisa air minuman disekitar bibirnya.

"Nak jadi artis sepenuh masa nampak," usik Aiman.

"Tak boleh jadi ni," ucap Nabil lantas berdiri.

Cik Syiqin membetulkan kaca matanya melihat reaksi Nabil. Aiman mengerutkan dahi. Farah memandang Nabil. Mata mereka bertembung.

"Nanti Farah semakin terkenal. Saya banyak pesaing. Nanti Farah dah tak sayang saya. Macam mana ni Cik Syiqin?" omel Nabil. Terhambur ketawa Aiman dan Cik Syiqin.

Pap!

Muka Nabil menerima balingan daripada tin minuman Farah. Terdongak kepala Nabil dibuatnya. Nabil segera mengusap kesan balingan di dahinya.

"Cik Syiqin, masukkan kelas seni mempertahankan diri dalam jadual saya. Dapat saya sepak Nabil sekuat hati," kata Farah.

"Saya pun Cik Syiqin. Nanti Aiman lagi handal, Farah tak nak dekat saya pula. Nanti dia nak dekat Aiman pula," sampuk Nabil.

Mata Farah memandang Nabil kecil besar kecil besar. Nabil memberikan senyuman kepada Farah seikhlas hati. Aiman hanya menggeleng-gelengkan kepala.

"Baiklah, nanti saya uruskan. Setakat ni ada apa-apa soalan atau cadangan?" tanya Cik Syiqin kepada mereka bertiga.

Aiman dan Farah menggelengkan kepala. Tidak bagi Nabil. Nabil seperti memikirkan sesuatu. Cik Syiqin yang melihat gelagat segera menegur Nabil.

"Nabil ada apa yang boleh saya bantu?" tanya Cik Syiqin.

"Boleh tak saya nak tukar nama panggilan?"

"Nama panggilan? Nak tukar kepada?"

"Nabil ke Helmi,"

"Helmi?"

Aiman, Farah dan Cik Syiqin memandang Nabil tidak lepas. Berkerut-kerut dahi mereka. Sebab dan mengapa?

"Mesti kamu semua nak tahu bukan? Nama Nabil banyak sangat kenangan. Arwah ayah dan adik selalu panggil saya dengan panggilan Abang Nabil. Saya rasa tersentuh apabila seseorang panggil saya dengan panggilan Abang Nabil. Tak percaya? Farah cuba sebut Abang Nabil,"

"Abang Nabil?"

"Ya Cik Farah," jawab Nabil dengan senyuman yang menawan dan mengenyit mata sebelah.

Kaki Nabil dipijak. Aiman memijak kaki kanan dan Farah memijak kaki kiri Nabil. Cik Syiqin menutup mulut menahan ketawa.

"Sakit!"

Nabil segera duduk di atas kerusi sambil memegang kedua-dua kakinya yang dipijak serentak.


Previous: Bab 9
Next: Epilog

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Izatul Husna