Sujud terakhir dilamakan. Doa dialunkan seperti berkalam
dengan-Nya. Tiadalah yang dipinta melainkan jiwanya meraih ketenangan dan
dilorongkan petunjuk-Nya dalam apa jua tindakan. Selesai bersolat, Faris
berkira-kira nak balik ke rumah tumpangannya.
“Faris, kamu
baliklah dulu. Ustaz ada hal sikit dengan orang masjid. Orang masjid terima
aduan. Ada budak-budak muda yang mendiami rumah tumpangan di sekitar Pantai
Cenang ni buat perkara tak senonoh. Mungkin ada serbuan malam ni. Kamu dah
letih tu. Bawa-bawalah berehat ya,” ujar ustaz Firdaus sambil menampar lembut
bahu Faris.
Faris mengangguk.
“Oh ya, hati-hati balik nanti. Sini kawasan kampung, tapi banyak
kes samun. Jangan kamu pula yang kena cekup nanti,” pesan ustaz Firdaus lagi.
Faris tersenyum mendengar kata-kata ustaz Firdaus itu.
“Kena cekup sebab kena samun tak apa lagi ustaz. Jangan kena cekup
sebab kena tangkap basah aje. Itu yang bahaya tu ustaz,” ujar Faris berseloroh.
Ustaz Firdaus ketawa. Dia menyua salam.
“Keropok lekor tu kamu jangan lupa habiskan. Assalamualaikum,” ucap
ustaz Firdaus lagi.
“Waalaikumussalam. Insya-ALLAH ustaz. Terima kasih banyak ya,” ucap
Faris lagi.
Faris pulang ke rumah tumpangannya. Memang dia letih. Seketika dia
terlihat kelibat seorang lelaki tua sedang terhendap-hendap di sekitar rumah tumpangannya.
Dia hairan.
“Ada apa pak cik?” soal Faris.
“Oh, pak cik hilang barang waktu lalu kat sini petang tadi. Entah
kat mana jatuhnya. Tak apalah, pak cik cari kat hujung sana pula,” ujar Haron
tergesa-gesa pergi.
Faris pelik. Belum sempat dia bertanya lagi, pak cik itu dah
tergesa-gesa pergi. Sambil menggelengkan kepala, Faris mengeluarkan kunci rumah.
Namun dia menyimpan semula kunci itu bila teringat yang dia tidak mengunci
rumah itu sewaktu keluar petang tadi. Namun dia pelik kerana pintu rumah itu
berkunci pula.
‘Mungkin aku kunci tadi. Tak perasan kot.’
Tanpa curiga
apa-apa, Faris terus membuka kunci rumah. Tak lupa juga dia terus mengunci
pintu dari dalam. Ketika dia memetik suis lampu, anak matanya menangkap sesusuk
tubuh yang sedang lena dalam keadaan bersandar di dinding. Lebih menggetarkan
jiwanya, sesusuk tubuh itu seorang gadis kerana bertudung. Belum sempat dia
memetik suis lampu, perempuan itu terjaga. Cepat-cepat dia membetulkan
tudungnya di kepala. Dia menunduk dan memeluk lututnya.
“Encik, saya minta
maaf terpaksa bersembunyi di rumah ini. Encik, tolong saya encik. Pak cik saya
mahu rogol saya. Kebetulan rumah tumpangan ini tak berkunci. Jadi saya menyorok
di sini,” ujar perempuan itu.
Dada Faris bergetar kuat. Dia pernah mendengar suara itu.
‘Mawar Irdina?’
Dia cukup kenal dengan suara itu. Belum sempat Faris berkata-kata,
tiba-tiba pintu biliknya diketuk. Tanpa berkata apa-apa, Faris terus membuka
pintu. Tiga orang masjid berkopiah putih berdiri di hadapan rumah itu.
“Encik, kami terima aduan, ada orang nampak seorang perempuan masuk
ke dalam rumah ini. Izinkan kami masuk untuk memastikan aduan itu benar atau
salah,” ucap salah seorang dari mereka.
Berderau darahnya bila mereka bertiga menyerbu masuk ke dalam
rumah. Faris terkedu tatkala apa yang diguraukan pada ustaz Firdaus tadi
betul-betul menimpanya pula.
‘Aduhh… Memang aku dalam bahaya ni. Apa aku nak jawab dengan mama
dan papa nanti?’
“Astaghfirullah, memang ada perempuan di sini,” ucap seorang ustaz.
Irdina yang terkejut dengan serbuan itu bingkas bangun.
“Encik, kami tak buat apa-apa. Saya hanya menumpang di sini. Saya…,”
Irdina tak mampu meneruskan kata-katanya. Dalam keadaan mereka
tertangkap begitu, dia harus ada bukti untuk meyakinkan orang masjid, yang dia
hanya bersembunyi di rumah itu kerana melarikan diri dari pak ciknya yang ingin
merogolnya.
“Apa pun alasan, kamu berdua memang kami tangkap dalam keadaan
sedang berdua-duaan dalam satu rumah tanpa mahram. Sila ikut kami ke masjid,”
ujar seorang ustaz lagi.
“Tapii…kami tak bersalah ustaz. Saya tak kenal pun lelaki yang
duduk di rumah ni. Saya masuk sini tadi sebab pintunya tak berkunci. Err…encik,
cakaplah sesuatu. Awak dan saya tak buat apa-apa yang salah,” rayu Irdina.
Faris terpempan seketika. Akhirnya dia nekad bertanggungjawab walau
apa pun yang berlaku. Dia menoleh mendepani Irdina.
“Mawar, awak jangan risau. Walau apa pun yang berlaku, saya akan
bertanggungjawab,” ujar Faris.
‘Mawar?’
Irdina terbungkam tatkala anak matanya bertatapan dengan lelaki
itu.
‘Indra Faris?’
“Errr…awak? Faris?” ujar Irdina terketar-ketar.
“Pandai berlakon betul kamu dua orang ni. Cepatlah, jom kita
selesai di masjid,” ujar ustaz berkopiah putih itu pula.
Irdina mengucap istighfar beberapa kali setelah bersolat taubat.
Setelah beberapa kali disuruh mengaku, akhirnya Irdina mengalah jua apabila
berulangkali Faris meyakinkan yang dia akan bertanggungjawab sepenuhnya atas
apa yang telah berlaku. Bagi Irdina, dia lebih rela menjadi bini orang daripada
disuruh kembali ke rumah batu dua tingkat itu. Jika ini yang ditakdirkan ALLAH
buat dirinya, dia pasrah. Lebih-lebih lagi kerana dia sendiri memang sebatang
kara. Akhirnya mereka dinikahkan bermaharkan wang RM100 kerana Faris tidak
mempunyai apa-apa yang segera waktu itu.
Ustaz Firdaus yang turut serta ketika akad nikah dijalankan tadi,
hanya tersenyum merenung wajah Faris. Sungguh dia melihat riak ketenangan yang
menghiasi wajah anak muda itu kini sungguhpun apa yang berlaku sebenarnya boleh
dikatakan mengaibkan mereka berdua. Namun, baginya segala apa yang berlaku itu
punyai hikmah yang terbesar.
Sebaliknya Irdina pula kelihatan kalut sungguh tatkala segala yang
cuba diterangkan seperti tidak masuk ke akal logik orang-orang masjid itu
kerana keterangan Faris yang bertentangan dengan keterangannya. Dia segera
mendepani ustaz Firdaus. Dah cukup kalau ustaz Firdaus seorang yang
percayakannya.
“Ustaz percayakan saya kan?” ujar Irdina berkali-kali.
Ustaz Firdaus mengangguk.
“Alhamdulillah, walaupun apa yang berlaku tanpa dirancang, moga
inilah yang terbaik di sisi-Nya, insya-ALLAH,” ujar ustaz Firdaus lagi.
Irdina berasa malu sungguh dengan Faris yang kini sudah bergelar
suaminya. Sekelip mata, dengan sekali lafaz saja, dia kini sudah menjadi isteri
Faris. Sungguh dia tak sangka. Lelaki yang pernah aibkan maruahnya dulu kini
yang menjadi suaminya pula. Dia sendiri tidak pasti harus memarahi Faris juga
kali ini ataupun perlu meminta maaf, atau mungkinkah dia perlu mengucapkan
terima kasih kepada lelaki itu, kerana menyelamatkan dirinya dari bapa
angkatnya. Sekurang-kurangnya Faris sudah memerdekakan dirinya dari terus
menjadi orang gaji keluarga Rosmah dan Haron.
“Awak nak sangat kita nikah kan. Sekarang awak nak buat apa pulak?”
soal Irdina.
Dia tak faham apa tujuan Faris mahu menikah dengannya, sedangkan
mereka boleh mengaku tidak bersalah. Apa yang berlaku ternyata hanya kebetulan.
Namun urusan jodoh bukan kebetulan tetapi memang telah ditakdirkan sejak di Luh
Mahfuz lagi.
“Awak akan ikut saya pulang ke rumah saya, tapi bukan sebagai
isteri,” ujar Faris serius.
“Apa maksud awak?” soal Irdina tak faham.
“Awak akan ikut saya pulang ke rumah saya sebagai orang gaji,”
tuntas Faris.
Anak mata Faris yang tajam seperti menikam jantung Irdina. Dadanya
berdebar saat anak matanya menatap anak mata coklat milik Faris itu. Itu
pertama kali dia menatap wajah Faris. Baru dia sedar, wajah lelaki itu sudah
jauh lebih tampan berbanding zaman sekolah menengah dulu. Kini Indra Faris di
hadapannya ini sudah lebih matang.
Irdina terdiam. Hatinya menurut saja. Faris kini suaminya. Ke mana
lagi perlu kakinya melangkah jika bukan mengikut suami? Namun dalam diam dia
bersyukur kerana merasa lebih tenang kini. Lebih baik jadi orang gaji di rumah
Faris, suaminya daripada menjadi orang gaji di rumah batu dua tingkat itu.
“Awak, apa tujuan awak bila awak cakap nak bertanggungjawab ke atas
saya?” soal Irdina lagi.
Wajah Faris tenang. Tiada riak senyuman yang terukir sejak tadi.
“Kan awak yang minta tolong saya selamatkan awak dari bapa angkat
awak? Jadi tanggungjawab saya kat situ, saya perlu selamatkan awak. Tak ada
sebab lain.” Tegas pula nada suara Faris.
“Jadi awak percayakan saya?” soal Irdina lagi.
“Entahlah. Tapi saya tak pernah lupa, awak pernah lukakan hati saya
dulu.” ujar Faris tanpa menjawab soalan Irdina.
Kata-kata Faris itu buat Irdina terkedu. Wajahnya ditundukkan.
“Awak dah siap?” soal Faris sambil memandang Irdina atas dan bawah.
Irdina yang kurang selesa dipandang begitu hanya mengangguk. Namun
dia hairan bila Faris berjalan mengelilinginya. Penampilan Irdina yang hanya
memakai kain batik lusuh lembab, t-shirt lengan panjang yang sudah pudar
warnanya dan tudung tiga segi yang sudah terbertas jahitan tepinya itu memang
kurang disenanginya. Betul-betul macam minah kampung aje.
“Saya lari dari rumah sehelai sepinggang aje. Yang sempat saya bawa
hanya al-Quran dan tudung yang saya pakai ni,” ujar Irdina jujur.
“Kalau macam tu, awak ikut saya ke pasar malam kejap lagi,” ujar
Faris lagi.
“Nak buat apa ikut awak pergi pasar malam?” soal Irdina tak faham-faham.
“Takkanlah saya nak bawa awak balik rumah saya dengan awak pakai
macam ni? Nanti mama dan papa saya fikir saya larikan anak dara orang pulak.
Kita tengoklah baju apa yang sesuai untuk awak nanti ya,” ujar Faris lagi.
Irdina mengangguk. Barulah dia faham.
‘Mama dan papa? Elleh, awak menikah dengan saya tu bukan macam larikan
anak dara orang ke? Hmm…saya dah jadi bini awak. Saya ikut aje apa yang awak
nak.’
“Tapi..
“Tapi apa lagi
Mawar?” soal Faris lagi.
“Errr…saya lari
dari rumah tadi kaki ayam aje,” ujar Irdina sambil menggigit bibir.
Serentak itu Faris
memandang kaki Irdina yang tidak berkasut.
“La awak nii…
Kenapa tak cakap dari tadi? Eh, maknanya tadi awak berkaki ayam juga ke
masjid?” soal Faris lagi.
Irdina mengangguk dengan wajahnya ditundukkan.
“Hmm…awak pakai kasut saya ni aje ya,” ujar Faris lagi.
“Eh, habis tu awak tak pakai kasut ke?” soal Irdina lagi.
“Sebelum pasar malam habis, baik awak pakai kasut tu. Jangan banyak
soal. Jom cepat! Saya dah pinjam motor ustaz Firdaus. Awak tunggu di tepi jalan
sana. Sekejap lagi saya datang ambik,” ujar Faris lagi.
Kasut itu bertukar kaki. Dengan hanya berkaki ayam, Faris akhirnya
menghilang di sebalik pokok-pokok rhu. Irdina merenung sepasang kasut milik
Faris yang tersarung ke kakinya itu. Kasut itu dua kali besar berbanding
kakinya yang kecil molek. Tersungging senyuman di bibirnya. Kalau dulu Faris
pernah buat dia menangis, hari itu, lelaki itu buat dia tersenyum pula.
‘Indra Faris! Terima kasih!