Home Novel Umum Stigma (SELESAI)
Stigma (SELESAI)
ae0907
12/10/2021 21:15:47
94,473
Kategori: Novel
Genre: Umum
BAB 12

Nurhan melangkah masuk ke ruangan bilik guru. Kebetulan pula hari itu jadual guru lama agak padat, membuatkan suasana bilik guru itu sedikit lengang. Setelah meletakkan bungkusan yang dibelinya tadi, dia melabuhkan punggungnya di atas kerusi.

Pandangannya dihalakan ke sekeliling ruangan itu. Sebentar tadi, dia baru sahaja mahu berjumpa dengan Faiz, namun Faiz perlu menghadiri mesyuarat yang diadakan secara mengejut.

Faiz pula, tidak habis-habis meminta maaf namun Nurhan tidak mempersalahkan hal itu.

Bungkusan yang diletakkan di sebelah mejanya itu ditenung. Mahu dibuka, dia berasa berat pula memandangkan bungkusan yang dibungkus oleh penjual itu begitu kemas.

"Haih, dah lama tak jumpa Jaja." Nurhan tersenyum sendiri. Dia kemudian mengambil dan membuka buku laporan pelajar untuk ditanda.

~~~

"Yow, Wajdi" Azhar memeluk leher dengan tangan kanannya pada Wajdi yang sedang menyandarkan badannya pada kerusi.

Pagi itu guru tidak hadir dan mereka dimaklumkan supaya membuat hak sendiri tanpa melakukan hal-hal yang menganggu pembelajaran kelas lain. Ada pelajar yang tidur, ada yang main bola kertas di atas meja. Dan da yang ambil masa untuk menghafal dan membaca Al-Quran.

Di mana pula Fahmi? Remaja itu pergi ke tandas bersama seorang rakan yang lain.

"What?" soal Wajdi malas. Kopiah putih di atas meja dia pusingkan dengan tangan. Sungguh dia berasa sangat bosan. Mahu ponteng, tidur di musolla dia sendiri berasa malas mahu menapak ke sana. Maklumlah kes tersebut masih terngiang pada mindanya. Sebolehnya dia tidak mahu membuatkan masalah lagi. Lagipula, Johan sentiasa menasihatinya dan entah kenapa Wajdi merasakan nasihat rakannya itu tampak menyenangkan, bukan menyindir.

Dan, ianya membuatkan Wajdi senang menerimanya.

Wajdi tidak kisah orang lain memandang serong kepadanya. Sejak dari tingkatan dua lagi dia menerima permandangan sebegitu.

"Macam mana? Kau dah ada rancangan nak tanya kat Amirul?" bisik Azhar sambil memandang ke hadapan kelas. Fahmi sudah memaklumkan hal itu kepadanya dan tentu sahaja Azhar akan mempercayai apa yang dikatakan oleh rakannya itu.

"Entahlah, aku pun bingung sebenarnya." ucap Wajdi.

"Lagipun aku dengan Amirul tu dah lama tak gaduh. Last kes awal tahun tu je, lepastu senyap and then dia buat hal pulak. Tak ke pelik?"

Azhar mendengar sahaja bicara Wajdi yang sedikit perlahan itu. Dia sendiri pun tidak mengerti tujuan Amirul membuat begitu.

Amirul itu pelajar tahun lepas. Mereka tidak cukup rapat dan entah mengapa remaja itu seolah-olah tahu tentang Wajdi.

Apa sebabnya? Apakah mereka berdua pernah bertemu sebelum masuk ke sekolah ini?

"Kalau nak kata aku ni anak haram, dia tak pula hebohkan kat semua orang. Nak bagitahu aku je. Em, aku tak faham la! Lagipun mamat tu Qudwah kan, dia tak ke rasa cam orang bodoh kalau buat camtu? Tak rasa bersalah ke. Ei... Tak takut ke calar reputasi sendiri?"

Wajdi menolak lidahnya ke sisi dalam pipinya. Keluhan kasar dilepaskan. Kalau dia laporkan, ada yang akan percayakah dengan budak masalah sepertinya? Bahkan yang lebih teruk, akan ada gosip tentang status dirinya dan itu akan membuatkan dia akan menjadi lebih baran.

"Baguslah dia tak heboh. Tak la orang gosip sana sini. Nanti kita jugak yang susah. Kau pun akan marah je," kata Azhar. Tangannya yang memeluk leher Wajdi tadi diletakkan di belakang kerusi rakannya itu.

"Tu aku syukurlah, tapi aku pelik asal dia kata aku anak haram ah? Dia ni kenal sangat ke aku ni siapa? Aku tak kenal pun dia. Dia buat macam kenal aku dari kecik. Main-main tuduh macam tu. Ei, muka je alim tapi hati kotor."

Terciduk Azhar mendengarkan bicara Wajdi. Pedas!

"Haduih Wajdi, aku yang dengar pulak yang sentap." Azhar tertawa kecil.

"Aku rasa bersalah lagi dengan si Johan tu. Yalah, aku pukul dia boleh tahan teruk kut tapi dia still maafkan aku siap tak nak bagi kes tu naik kat pihak atasan. Serius aku bersalah gila dengan dia..." Wajdi mengeluh lemah sambil merenung ke bawah.

Azhar menepuk belakang Wajdi perlahan. Dia kenal bagaimana sikap Johan. Meskipun mereka tidak begitu rapat tapi Azhar merupakan seorang yang agak friendly dengan orang lain. Cuma disebabkan pengaruh Wajdi dia kurang berinteraksi dengan orang sekelilingnya.

Wajdi teringat akan kata-kata yang dilemparkan Johan semalam, setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya.

Mana nak jumpa insan sebaik Johan zaman sekarang? Bagi Wajdi, ianya akan ada satu daripada sejuta.

"Kau nak jumpa ke Si Amirul tu? Atau kenapa tak laporkan je kat ustaz Faiz tu?" soal Azhar. Takut juga dia jika ada perkara buruk berlaku kepada Wajdi lagi. Cukuplah mereka tidak berinteraksi hampir tiga hari dan itu membuatkan Azhar dan Fahmi berasa sunyi.

Wajdi terdiam. Tiba-tiba dia terlintas pesanan Johan semalam sewaktu dia dan Fahmi memberitahu Johan pelaku sebenar itu.

"Abaikan sahajalah Wajdi. Tak payah nak balas balik. Biarkan. Kalau kita balas, kita sama je dengan dia.

Rasulullah dahulu pernah dilempar batu dan najis oleh jirannya yang beragama Yahudi namun baginda tak pernah balas balik. Setiap hari penuh badan baginda dengan lemparan najis itu.

Sampaikan satu hari, baginda hairan jirannya itu tak lempar lagi najis kepada baginda. Sehinggalah baginda tahu jirannya itu sakit.

Tahu tak baginda buat apa? Baginda masak makanan dan pergi ke rumah jirannya itu dan melawat.

Sehinggakan jirannya itu terharu sampai lafaz syahadah depan nabi!

Hebatkan nabi kita? Walaupun ujian ni berat kat kita, jangan putus asa dan doa selalu ya?

Abaikan Amirul, jangan balas segala perbuatan dia. Doakan dia supaya berubah!"

Entah mengapa Wajdi merasakan wajahnya membahang mengingati pesanan daripada Johan semalam. Sungguh, dia terpegun dengan sikap Johan itu. Dia meraup wajahnya sejenak dan menyedari bahawa dia sudah pun terlepas meluap-luapkan amarahnya sebentar tadi.

Azhar memandang raut wajah Wajdi yang seolah-olah memikirkan kes itu.

Wajdi baginya bukannya seorang yang bermasalah sangat. Cuma panas baran sahaja orangnya. Dari tingkatan dua sampai sekarang, kes nya hanyalah ponteng dan melawan guru yang dia rasakan melebih-lebih menilainya.

Contohnya, kalau dia memang terlupa membawa kerja sekolahnya, dia akan meminta maaf tapi kalau didenda, itu yang dia tidak menerimanya. Dia akan memprotes dan keluar dari kelas sampai lah habis kelasnya itu.

Pernah juga dia bergaduh dengan beberapa senior semasa tingkatan dua kerana menganiayai seekor kucing. Namun kerana dia masih junior, dia dituduh habis-habisan oleh senior itu.

Dan sekarang ramai yang masih menganggap Wajdi sebagai murid yang bermasalah kerana khabar angin itu. Dan khabar angin itu berterusan kepada junior-junior hinggalah sekarang.

Wajdi seorang yang baik, jika didekati dan difahami situasinya. Namun, sayang sekali, kerana sikap Wajdi yang agak dingin itu sendiri membuatkan semua orang menjauh darinya.

"Oi!" tamparan kasar di bahu membuatkan Azhar tersedar dari lamunannya. Fahmi yang baru pulang dari tandas tersengih memandangnya.

"Ish, apahal kau ni!" Azhar menonyoh kepala Fahmi menyebabkan kopiah yang dipakai Fahmi senget. Fahmi mendecit sebelum menarik kerusi dan duduk di hadapan Azhar dan Wajdi.

"Wei, aku intai pelajar muslimat tolong makcik Han bersih longkang tadi." Fahmi tersengih.

"Ha, elok sangat tu. Nak kena tendang sekolah buat la lagi, sampai Ustaz Khairul nampak kau lepastu public canning. Boleh la aku pinjam telefon Pak Man untuk rakam kau lepastu post dekat Tiktok. Conferm trending." ujar Azhar.

"Ish kau ni, jauh betul agak." Fahmi mencebik. Melebih pula si Azhar ni.

Muslimat? Tiba-tiba Wajdi teringatkan dua muslimat yang ditegurnya pagi tadi.

Salah seorang daripada dua muslimat itu. Dia masih ingat senyuman yang diberikan oleh salah seorang daripada kedua itu.

Dan, tanpa Wajdi sedar, bibirnya mengukirkan senyuman kecil.

~~~

Belasan helaian kertas itu Faiz susun dengan rapi. Sebaik sahaja mesyuarat selesai, dia mendail nombor Nurhan dan memintanya berjumpa di bilik warden.

Selesai berbicara, dia melangkah menuju ke arah asrama. Namun lain pula arah langkahnya apabila melihat kelibat Nurhan yang melambai mengajaknya duduk di bangku berhampiran musolla.

"Ada apa call aku tadi?" soal Nurhan bingung. Menanti jawapan Faiz setelah jejaka itu mendudukkan dirinya di salah sebuah bangku berhadapan dengannya.

"Yang first call tu nanti dulu. Sekarang aku nak minta tolong aku buat jadual kelas mengaji malam untuk budak-budak."

Nurhan tergelak. "Boleh pulak camtu erh."

"Ustaz Fattah terpaksa pindah sebab dapat tawaran kerja kat Sabah. So, masa mesyuarat tadi mudir letak nama kau untuk gantikan. Kau boleh je kan? Mudir minta aku tanyakan kat kau ni sebab aku suggestkan." soal Faiz.

"Aku okay je, rezeki jangan ditolak." Nurhan tergelak kecil.

Tambahan pula, dia juga berasa bosan duduk di rumah malam-malam. Mahu keluar makan pun bukan ada orang yang mahu teman.

Faiz tersenyum kecil. Lantas dia mengeluarkan kertas senarai nama halaqah Quran dan menyerahkannya kepada Nurhan.

Nurhan menilik satu persatu nama yang tertera pada kertas itu.

"Wajdi Hariz?" Nurhan tersenyum senget sebelum melemparkan pandangannya pada Faiz.

Faiz mengangkat kening sebelum tersenyum sinis.

"Jadi yang ni la kau nak kata masa call pagi tadi?"

Faiz mengenyitkan matanya.

Pandai!

~~~

"Terima kasih ustazah." ucap Mikayla sebaik sahaja pintu bilik guru muslimat ditutup. Dia kemudian mencapai kasutnya dan duduk di tepi koridor.

Cepat-cepat Mikayla menyarungkan kasutnya. Maklumlah sekarang waktu Zohor dan semua pelajar muslimat sudahpun dipantau bergerak menuju ke arah musolla. Dia berada di situ pun, kerana Dia diminta tolong oleh seorang guru. Mahu mengajak Mardiyah, Mardiyah pula sedang bertugas di dewan makan dan terpaksalah dia pergi seorang diri.

Sebaik sahaja dia mahu melangkah, terlihat figura seseorang yang sangat dia kenali berdiri tidak jauh darinya.

"Hai, Mikayka."

Mikayla sedikit terkejut namun dia menganggukkan sahaja tanda membalas sapaan Amirul. Fikirnya, Amirul pasti ada sesuatu untuk diberitahu.

"Ada apa?" soal Mikayla dan hanya mendapat senyuman yang agak menjengkelkan dari Amirul.

"Tak ada apa. Awak buat apa kat sini? Cari saya erh?" soal Amirul sembari tersengih.

"Saya nak pergi." ucap Mikayla. Mana tidak cuak, semua orang boleh salah faham dengan keadaan mereka sekarang. Hanya dia dan Amirul sahaja berada di lorong koridor ini. Bilik guru dan beberapa bilik lain yang ada di situ tertutup rapi.

"Saya bertugas hari ni. Ronda bangunan, tak sangka jumpa jodoh dekat sini."

Sungguh Mikayla berasa sangat meluat mendengar kata-kata Amirul.
Namun, belum sempat Mikayla bersuara, setidkaknya menegur tiba-tiba ada sahutan bunyi dari tangga muslimin membuatkan Mikayla dan Amirul tersentak. Dengan cepat Mikayla meninggalkan Amirul.

Amirul hanya menghantar pemergian Mikayla dengan senyuman namun sebaik sahaja bayangan Mikayla hilang, senyumannya pudar.

'Jahanam mana pulak yang ganggu kebahagiaan aku ni?!'

Amirul meraup mukanya kasar. Dia lantas menuju ke arah tangga yang sememangnya khusus untuk pelajar muslimin. Semakin meledak hatinya melihat tangga itu kosong seolah-olah tiada orang. Dan yang pasti ada yang melihat keadaannya dan Mikayla.

Sememangnya tangga muslimat dan muslimin diasingkan bagi mengelakkan segala pertembungan antara mereka berlaku.

Amirul mengetap bibir. Hatinya sudahpun bersumpah seranah terhadap pelajar itu kerana merosakkan momennya bersama Mikayla.


Previous: BAB 11
Next: BAB 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.