Home Novel Umum Stigma (SELESAI)
Stigma (SELESAI)
ae0907
12/10/2021 21:15:47
94,485
Kategori: Novel
Genre: Umum
BAB 15

Faiz menyeka keringat yang mengalir dari atas kepalanya dengan kasar. Kebelakangan ini, entah mengapa dia sering bermimpi perkara yang sama.

Atau lebih tepat, ia adalah secebis memori masa lalunya.

Pelipisnya dipicit perlahan. Kepalanya terasa amat pening.

Tiba-tiba pintunya diketuk. Salam dari luar dijawabnya sedikit kuat.

Kenal benar dia dengan suara pemberi salam itu. Siapa lagi kalau tidak lain tidak bukan Nurhan.

"Uish, abang warden stress. Boleh kacau tak?" soal Nurhan sambil memulas tombol pintu dan masuk ke dalam. Ditutup pintu itu perlahan dan melangkah menuju ke arah Faiz yang kelihatan cemberut itu.

Faiz tersenyum saja sebelum menjabat tangan Nurhan mesra.

"Kau okey?" soal Nurhan. Jarang dia melihat wajah Faiz begitu. Seolah-olah memikirkan hal yang berat.

"Aku mimpi lagi pasal tu, Nurhan...." Faiz meraup rambutnya yang agak berserabut.

"Mimpi? Mimpi apa?" pelik Nurhan dibuatnya. Kenapa tiba-tiba topik mimpi ni?

"Hmm... Aku kerap mimpi pasal kejadian tu sejak dua menjak ni." Faiz menenggelamkan mukanya di permukaan meja.

Belakang Faiz ditepuk perlahan. Nurhan mengerti, mimpi apa yang dimaksudkan oleh sahabatnya itu. Dia hanya mendiamkan dirinya. Membiarkan Faiz menenangkan diri.

~~~

Keluhan berat dilepaskan.

Kipas ditutup. Memandangkan langit kelihatan agak mendung itu, akan hadirnya hujan yang mencurah nanti.

Nurhan telah pun meminta diri pulang sebelum awan kelihatan mendung. Berasa bersalah pula kerana membiarkan Faiz seorang diri. Memujuk dan memberi kata inspirasi supaya melupakan peristiwa itu.

Beberapa helai baju di ampaian bersebelahan bilik warden dicapai dan diletakkan di dalam bakul.

"Ustaz?"

Faiz menoleh. "Ya, Ghufran. Ada apa?"

Ghufran adalah pelajar tingkatan dua.

"Ustaz Nurhan bagi ni." Ghufran menghulurkan bungkusan plastik yang mengandungi polisterin makanan dan sebekas air.

Makanan itu masih panas dan air itu masih sejuk. Seolah-olah masih baru dibeli.

"Terima kasih," ucap Faiz tersenyum.

"Sama-sama ustaz," balas Ghufran lalu meminta izin melangkah pergi.

Faiz memandang bungkusan plastik yang dipegang. Tahu-tahu sahaja Nurhan bahawa dia tidak makan dari pagi.

"Terima kasih, Nurhan. Moga Allah permudahkan segala urusan kau sahabat."

~~~

Wajdi tidak menyangka. Permainan mafia yang dimainkan semalam sangat seronok. Dan hanya kumpulan Wajdi sahaja yang masih lagi belum selesai kerana pencarian mafia yang agak mengelirukan.

Wajdi la mafia itu, dengan penuh semangat dan jaya lakonannya menjadi menyebabkan dia memenangi permainan itu.

Semua pelajar kagum. Meskipun agak kekok di awal permainan, namun lama-lama menjadi seronok kerana Wajdi mula menjadi ramah dan penghibur kumpulan itu.

Meskipun ada beberapa yang terpaksa beramah dengannya.

"Amboi, bukan main senyum lebar erh. Tahu lah menang semalam." usik Johan sebaik sahaja merebahkan tubuhnya di sebelah Wajdi.

Wajdi tersengih.

Beginikah rasanya bila dikelilingi seseorang? Terasa nikmatnya. Benar jangkaannya. Tak semua orang menyenangi sikapnya semalam.

Sudah diduga apa yang difikirnya malam itu ternyata benar.

Namun Wajdi tidak kisah, dia harus bersabar dahulu. Belajar bersabar. Malam itu selesai sahaja sesi permainan, terdengar jelas bisikan para junior dan rakan seform yang hairan dengan perubahan mendadaknya.

"Baru dapat hidayah ke senior Wajdi tu?"

"Tiba-tiba je Wajdi tu, buang tabiat ke apa?"

"Biasalah, dah ingat jalan lurus dah kut..."

Secara tidak sedar. Senyumannya kian mengendur. Dia mengenggam penumbuknya perlahan-lahan. Wajahnya tiba-tiba membengis.

Kenapa dia berasa sakit? Sakit dengan cacian sebahagian orang yang tidak dapat menerima serba serbi perubahannya itu.

Menyakitkan.

Johan memerhatikan gerak geri Wajdi itu. Jujur dia mengatakan, dari pagi tadi dia terdengar umpatan pelajar dorm lain memperbahaskan perubahan mendadak Wajdi Hariz.

Ada yang menerima. Ada yang menghukum.

Manusia? Semua pernah salah. Salah dalam menghadapi rintangan hidup. Salah dalam nafsu godaan dan pelbagai lagi ujian rintangan.

"Wajdi." bahu Wajdi ditepuk perlahan. Wajdi diam sahaja. Bibirnya cuba diketap rapat. Tidak mahu melemparkan segala amarah. Dia cuba. Cuba untuk bersabar.

"Hijrah yang kau lakukan ni tak semanis yang kau bayangkan."

Hijrah? Apakah itu?

"Hijrah ni ada dua maksud. Tapi aku just nak bagi maksud yang sesuai untuk diri kau dulu."

Johan berdehem seketika sebelum melanjutkan bicaranya.

"Apa yang kau buat sekarang adalah merubah diri kau kepada yang lebih baik, bukan? Itu adalah hijrah. Hijrah dari jahil kepada lebih baik. Bukan nak kata kau jahil, tapi aku dengar moto untuk konsep Hijrah ni kat satu buku. Tak ingat apa nama. Tapi moto dia 'From Jahiliah To Jannah'."

Wajdi tertarik dengan moto yang baru disebutkan oleh Johan. Sedikit sebanyak dia berasa kerdil di hadapan Johan yang mendalami banyak ilmu berbandingnya.

IQ hampir 180 tapi bab agama loser. Memang sangat rugi.

"Dah hijrah ni, jangan disangkakan perjalanan dia macam dibentangkan karpet merah. Hijrah jalan dia beronak duri, pedih. Sakit. Hingga akan membuatkan diri kita terluka.

Namun satu cara je yang boleh membantu untuk menerobos jalan tu."

"Apa dia?"

"Taqwa."

~~~

Keluhan lega dilepaskan. Dua hari cuti yang tersisa dipenuhi dengan pelbagai aktiviti. Faiz berasa sangat senang. Mana tidak, Wajdi cuba untuk menghadiri segala permainan yang dianjurkannya.

Kini, para pelajar mula memenuhi ruang asrama dan padang bola. Masih kedengaran juga esakan segelintir pelajar tingkatan satu yang masih lagi tidak mahu berpisah dengan ibubapa mereka.

Faiz lah juga yang akan datang memujuk dan berbincang dengan ibubapa pelajar itu.

"Biasalah tu ustaz, budak-budak. Lagipun Si Akif ni memang manja sikit. Anak bongsu katakan..." ujar bapa pelajar sambil menggosok belakang anaknya bernama Akif yang sedang memeluk erat isterinya dengan keadaan yang tersedu sedan.

Faiz tergelak kecil. "Lama-lama ok lah tu. Baru nak merasai kehidupan asrama."

Dia kemudian memandang ke arah Akif.

"Akif kan berani? Tengok kat padang. Kawan-kawan seronok main bola. Akif taknak join ke dieorang?"

Akif memandang sekilas ke arah beberapa pelajar sebayanya yang bergelak sakan bermain bola bersama beberapa senior lain.

Cuma sekejap kemudian dia kembali memeluk ibunya.

"Kenapa ni?" Faiz cuba memujuk.

"Hurm... Saya tak tahu la ustaz. Balik je rumah dia kata nak pindah sekolah. Katanya takut dengan seorang senior ni." beritahu ibu pelajar itu.

"Tapi bila kami tanya dia tak jawab pula. Kena buli ke? Tapi takde apa-apa kesan kena pukul..." kepala Akif dibelai lembut.

"Senior? Siapa? Ada abang-abang ni buli kamu kah?" soal Faiz berkerut. Sebagai warden sudah menjadi tanggungjawabnya untuk mengetahui segala hal buruk yang menimpa anak murid jagaannya

"Siapa Akif? Jangan takut. Ustaz akan hukum abang tu."

Sekali lagi Faiz menyakinkan. Ibu bapa pelajar itu sekadar memerhati. Dalam hati, mereka berasa senang dengan pujukan Faiz yang tidak terlalu memaksa itu.

Perlahan-lahan Akif menoleh.

"Abang Wajdi, Akif takut..."

Faiz menjadi kaku, namun perlahan-lahan senyuman terukir di bibirnya.

~~~

"Mikayla!"

Bakul kosong yang dipegang diletakkan di tepi loker. Langkahnya laju menuju ke arah Mikayla yang baru sahaja melangkah masuk ke dalam dorm itu.

Dia memeluk Mikayla erat.

"Amboi, baru dua hari takde dah rindu?" soal Mikayla tersengih.

"Eii... Hari-hari rindu tau..." Mardiyah memuncungkan bibirnya.

"Eleh...sweetnya..." Mikayla tergelak kecil. "Nah, hadiah awak..."

Satu kotak kecil berbungkus kertas warna itu dihulur.

"Wah apa ni." huluran itu disambut mesra oleh Mardiyah.

"Entahlah saya jumpa tepi longkang." Mikayla buat loyar buruk.

"Eiii..." Mardiyah tersengih. Tangannya memegang erat hadiah yang diberi.

Bukan pertama kali dia menerima hadiah itu. Sudah acap kali.

"Hari ni umi saya bawa spaggeti carbonara. Lepas saya kemas barang, kita makan. Awak makan petang tak tadi?"

Mardiyah menggeleng. "Saya basuh dan jemur baju tadi. Tak sempat la pulak."

"Nanti kita makan."

Kedua-duanya tersenyum lalu bersama-sama menuju ke dorm.


Previous: BAB 14
Next: BAB 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.