Home Novel Umum Melankolik
Melankolik
Hana Mizari
26/2/2018 10:21:39
46,118
Kategori: Novel
Genre: Umum
BAB 5

Akhirnya Amnina nekad. Dia ingin cuba memahami ilmu perubatan Islam dan alam mistik dengan lebih mendalam lagi. Dia mula menghabiskan duit membeli buku-buku yang berkaitan alam ghaib. Semasa waktu rehat dia sanggup berlapar semata-mata untuk mengumpul wang yang diberikan ibunya untuk perbelanjaan di kantin. Dia juga banyak menghabiskan masa di cyber cafe melayari internet untuk mencari maklumat mengenai perubatan Islam dan alam mistik. Dia mula banyak menghabiskan masa menonton rancangan televisyen bertemakan alam mistik, cerita-cerita hantu dan cerita genre supernatural. Jikalau dia mahu menonton ceramah agama sekalipun, dia hanya berminat jika ceramah itu berkaitan perubatan Islam. Minatnya terhadap alam mistik semakin menjadi-jadi.

Amnina yang tidak pernah kisah membaca novel itu mula membeli novel berkaitan magis pula. Semenjak daripada itu, dia mula meminati magis dan berangan-angan ingin terbang menaiki penyapu seperti yang selalu dilihat dalam cerita dongeng orang putih. Dia mula berasa kagum dengan magis yang ditonjolkan dalam filem magis daripada barat. Dia mula memasang angan-angan untuk menjadi seperti watak dalam filem itu. Bermula daripada saat itu, dia mula mencari maklumat mengenai ritual-ritual magis melalui apa sahaja sumber yang boleh dicapai seperti buku, novel, internet, rancangan televisyen dan filem. Dia tidak peduli. Dia mula tidak boleh membezakan antara realiti dan fantasi.

Sementara itu pula, di sekolah dia sudah tidak berminat lagi untuk menelaah matapelajaran. Segala yang diajar oleh gurunya hanya melantun-lantun sahaja bak kata pepatah, masuk telinga kiri keluar telinga kanan, masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Keputusan akademiknya pula semakin merosot. Pada mulanya dia agak terkejut dengan keputusannya itu. Dia cuba mencari mana silapnya. Dia cuba untuk meningkatkan semula pencapaian akademiknya tetapi segala usahanya gagal. Tidak seperti selalu, dia berasa amat sukar untuk memahami butir-butir bicara yang dilontarkan gurunya semasa berada di dalam kelas. Fatin Nadya pula berasa puas hati dapat mengalahkan Amnina. Dia teringat suatu hari semasa dia menerima hakikat yang pahit itu Fatin melemparkan kata-kata nista yang pedih bak menghiris-hiris hatinya.

"Amnina Batrisya, aku dah menang. Know your place, you filthy bitch!" kata Fatin sambil menjuihkan bibirnya.

Dia amat sukar menerima hakikat itu. Satu-satunya anugerah yang dimiliki telah dirampas dengan begitu kejam sekali. Sejak daripada hari itu, dia berasa amat sukar untuk memahami apa yang dipelajari di kelas terutama sekali subjek sains yang paling diminatinya itu. Dia yang selalu mendapat A dalam matapelajaran itu sudah tidak dapat lagi mengekalkan keputusan cemerlang. Semakin dia cuba memahami, semakin celaru pemikirannya. Kepalanya berasa sakit berdenyut-denyut. Akibat berasa malu dengan keputusan akademiknya itu, dia mula berani ponteng kelas. Jarang sekali untuk melihat dia berada di kelas.

Pada Amnina, apa yang diajarkan oleh gurunya semua salah. Semuanya amat bertentangan dengan apa yang dipercayainya pada saat ini. Dia mempunyai world view-nya tersendiri. Dia percaya semua guru-gurunya sedang berkonspirasi menyampaikan ilmu yang salah kepada mereka.

"Baru aku tahu, selama ini cikgu menyampaikan ilmu yang salah kepada kita semua. Ilmu yang dipelajari di sekolah telah dicemari dengan realiti yang salah. Buku-buku pula ditulis oleh ejen-ejen yang berkerja di bawah The Overseers. Sebab itu fakta yang sebenar dapat disorokkan. Aku tak bersalah pun selama ini, mereka semua yang bersalah. Result aku teruk pun selama ini bukan sebab aku bodoh, tetapi sebab aku sudah mula nampak kebenarannya."

Suatu ketika pada waktu rehat Amnina sedang menjelajah ke dunia fantasi sambil memerhatikan awan-awan putih bak kapas bergerak perlahan di langit yang membiru. Namun, kali ini dia bukan lagi mengagumi keindahan ciptaan Allah sambil memikirkan tentang penciptaan alam seperti selalu, sebaliknya dia berada di dalam dunia fantasi magis khayalan hasil imaginasinya sendiri. Dalam pemikirannya tidak lagi dipenuhi pemikiran saintifik. Apa yang memenuhi pemikirannya sekarang adalah unsur-unsur magis, mitos dan mistik yang tidak masuk akal.

"Oi, Nina! Bila kau nak pergi berambus daripada kelas ni? Buat menyemak je kau di sekolah ni," jerkah Fatin secara tiba-tiba sambil menunjal kepala Amnina.

"Kau tahu tak perangai buruk kau yang suka memonteng tu dah menjejaskan prestasi kelas kita tau!" sambung Fatin lagi sambil menarik tudung Amnina.

Amnina bertindak melepaskan diri daripada cengkaman Fatin lalu berdiri dalam posisi pelik. Dia mula berdiri sambil mengangkat kedua-dua tangannya ke atas. Dia memejamkan mata sambil terkumat-kamit membaca sesuatu.

O... spirit of fire

Come towards me, come from the deep abyss

Fulfill thy contract

Bent the reality breaks the law of nature

I command thou

Summon your hidden power from alternate dimension

Strike this world with your hammer of justice

Explosion!

Tiba-tiba dia membuka mata dan meghulurkan tangannya ke hadapan sambil menjerit, "Explosion!"

Kelakuan Amnina yang ganjil itu benar-benar mengejutkan Fatin dan orang lain yang turut berada di situ. Dia berundur sedikit ke belakang kerana terkejut.

Amnina tiba-tiba sahaja tersenyum sinis seraya berkata, "Hmmh, kamu bernasib baik sebab sekolah ini telah dipenuhi aura anti-magis yang membatalkan magis Explosion saya. Kalau tidak kamu sudah tentu telah menjadi debu yang berterbangan pada saat ini."

Dia terus beredar dari situ beberapa langkah sebelum berpaling, "Semoga kita berjumpa lagi ya, my arch nemesis, magistra Fatin Nadya Bte Ahmad Rafiq." Amnina pun ketawa terbahak-bahak sebelum meninggalkan Fatin dalam keadaan terpinga-pinga.

"Dah kenapa dengan dia tu Fatin?" Tiba-tiba sahaja rakan Fatin mencelah.

"Entah, Nina dah gila agaknya sebab hanya orang gila je yang akan buat macam tu."

Bermula daripada saat ini, adalah titik tolak perubahan kepada cara Amnina melihat dan menilai dunia di sekelilingnya.

************************

Amnina berlari-lari riang hingga ke hutan kecil di belakang sekolah. Tindakannya itu menjadi perhatian buat pelajar-pelajar lain di sekolah itu. Kelakuan anehnya sebentar tadi telah pun tersebar dengan begitu pantas sekali. Amnina telah pun menjadi topik perbualan hangat di sekolahnya. Sungguhpun begitu, Amnina langsung tidak mempedulikan kata-kata orang.

Dia terus masuk ke hutan kecil itu, meredah semak belukar hingga ke satu kawasan lapang. Tempat itu telah ditukarkan menjadi markas rahsia Amnina. Dia mengambil ranting kayu patah lalu dia mula melukis di atas permukaan tanah. Dia melukis sebuah bulatan besar yang mempunyai bintang segi lima di dalamnya. Dia duduk di tengah bulatan itu seperti orang sedang bertapa. Dia pun mula bermonolog;

"Titik pertemuan antara dunia realiti dan dunia magis menjadi penghubung antara dunia ini dan dunia magis, tempat asal-usul mana. Titik ini akan menjadi tempat mana disalurkan. Hanya orang-orang yang terpilih sahaja yang dapat melihat dan bertindak balas terhadap aliran mana. Orang-orang ini digelar sebagai magister dan magistra. Pada suatu masa dahulu, manusia sangat bergantung kepada golongan magister dan magistra dalam kegiatan harian, malah status mereka tinggi dalam masyarakat. Arus kemodenan telah menyebabkan manusia lupa akan peranan mereka lalu meracuni dunia ini dengan anti-magis. Mungkin hamba perlu berlatih lagi untuk menyesuaikan diri dengan aliran mana atau cipta satu kaedah untuk menangkis anti-magis. It's ok my body is not fully awakened yet, after thousand years in the deep slumber I will wait until the time comes for me to be fully awakened."

Bermula daripada saat itu, keadaan Amnina menjadi semakin serius. Pernah sekali kelas mereka dikejutkan dengan tulisan Greek kuno di papan hitam yang ditulis Amnina sebelum bermula P&P yang pertama. Amnina sanggup datang setengah jam awal untuk menulis mantera itu di papan hitam.

Dia juga pernah mengedarkan kertas yang dilukis dengan simbol magis. Dia menggantikan kertas-kertas iklan dan pengumuman lain dengan kertas itu di papan kenyataan sekolah. Seluruh lantai dan dinding juga penuh ditampal dengan kertas itu. Kelas Amnina didenda untuk membersihkan keadaan sekolah yang huru-hara.

Pada waktu yang lain pula seluruh kerusi dan meja di kelasnya disusun di perhimpunan sekolah dalam bentuk bulatan magis.

Padang sekolah mereka turut menjadi mangsa daripada tangan Amnina apabila pada suatu hari Amnina menggunakan cat untuk melukis bulatan magis di atas padang itu.

Guru-guru turut pening dengan kelakuan Amnina. Sering sahaja Amnina akan bangun secara tiba-tiba ketika P&P sedang berjalan dan melakukan aksi-aksi pelik. Dia mengambil kapur lalu melukis bulatan magis, dia melakukan tarian aneh, dia berpusing-pusing di atas meja yang diletakkan betul-betul di bawah kipas dan pelbagai gelagat aneh lagi.

Puan Suriya salah seorang guru yang mengajar Amnina memerhatikan gelagat Amnina daripada jauh. Dia berasa simpati dengan keadaan yang menimpa diri Amnina. Bagi dia, keadaan Amnina perlu dirawat. Pernah sekali dia cuba memujuk Amnina untuk berjumpa kaunselor tetapi ditolak mentah-mentah oleh Amnina. Katanya, dia tidak mempunyai apa-apa masalah untuk dikongsikan dengan kaunselor, malah dia bangga dengan dirinya sekarang.

Suatu hari Puan Suriya nekad untuk berjumpa dengan ibu dan bapa Amnina untuk membincangkan masalah Amnina.

"Assalamualaikum." Puan Suriya memberi salam di halaman rumah Kamaludin.

"Waalaikumsalam, jemputlah naik Puan." Selepas beberapa ketika Badariah terjongol di muka pintu dan menyahut salamnya.

Pada masa itu, Kamaludin sedang beristirehat di rumah tamu. "Silakan duduk Puan," pelawa Badariah sebelum menuju ke dapur untuk membuat air.

"Ada apa hajat datang ke mari, Puan?" Kamaludin cuba berbasa-basi.

"Begini, saya Puan Suriya guru yang mengajar Amnina dan saya datang ke sini untuk berbincang tentang masalah anak encik," terang Puan Suriya dengan berhati-hati.

Air muka Kamaludin terus serta-merta berubah, "Nina buat masalah lagi ke?"

"Tak, saya bukan maksudkan macam tu, sebenarnya," nafi Puan Suriya.

"Sebenarnya apa?" Puan Suriya belum sempat menghabiskan ayatnya telah dipotong oleh Kamaludin.

"Saya rasa fasal masalah Amnina tu eloklah dia dibawa berjumpa Pakar Psikiatri, sebab keadaan dia nampak serius." Puan Suriya menerangkan dengan bersungguh-sungguh. Kamaludin yang sedang bersandar dengan selesa di atas kerusinya terus menegakkan postur tubuhnya dek terkejut mendengar penerangan daripada Puan Suriya.

"Apa awak kata? Pakar psikikteri? Eh, anak aku bukannya gilalah, aku yakin yang dia tu terkena buatan orang!" Kamaludin mula meninggikan suara. Dia tidak tahu menyebut perkataan psikiatri dengan betul.

"Tapi En Kamaludin...." Puan Suriya cuba memujuk.

"Dia tu anak aku, tahulah aku nak jaga dia macam mana, cikgu jangan nak memandai-mandai." Keras sahaja suaranya ketika melantunkan ayat ini.

"Encik dengar dulu penjelasan saya." Puan Suriya masih lagi tidak mahu berputus asa.

"Sudah, cikgu jangan cuba nak hasut saya. Saya tak percaya dengan perubatan yahudi semua tu."

"Sudah cikgu pergilah balik, jangan nak buang masa saya." Kamaludin bertindak menghalau Puan Suriya. Badariah yang baru sampai dari dapur menatang dulang berasa terpinga-pinga dengan tindakan drastik suaminya itu.

Begitulah persepsi Kamaludin yang skeptikal terhadap perubatan moden. Kedegilan Kamaludin menyebabkan Amnina menjadi mangsa. Puan Suriya berasa amat kecewa dengan Kamaludin, bapa Amnina.

Masyarakat mudah sangat melabelkan mereka yang dirujuk pakar psikiatri sebagai gila. Suatu salah faham dalam kalangan masyarakat adalah mereka yang mempunyai masalah psikologi ialah orang yang tidak boleh menguruskan dirinya sendiri, berkelakuan aneh dan terpaksa tinggal di hospital.

Realitinya tidak begitu, lebih ramai orang yang mengalami masalah psikologi boleh berfungsi dengan baik dalam kehidupan dan hidup bersama masyarakat. Keadaan ini menyebabkan ramai yang tidak sanggup menampilkan dirinya untuk dirawat. Stigma masyarakat terhadap pesakit mental juga turut menyumbang kepada faktor ini. Bapa Amnina antara salah seorang daripada kalangan masyarakat yang mempunyai tanggapan seperti ini.

Previous: BAB 4
Next: BAB 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.