BAB 5 - HILANGNYA SEORANG IBU
Aku sambil berundur sambil cuba
menyalakan bom petrol yang diperbuat daripada botol itu. Nasib baik makhluk itu
berjalan terhuyung-hayang dan terlalu banyak objek yang menghalang pergerakan
makhluk besar seperti Jin Galah itu.
“Nah, engkau!” Aku membalingkan
bom petrol itu ke arah Jin Galah. Bom petrol pecah dan badan Jin Galah mula
disambar api. Jin Galah meraung sekuat-kuat hati. Jin Galah mengamuk. Dia
mengejar aku dengan semakin pantas.
Ibu Azim membukakan pintu kereta
belakang.
“Azim!!! Naik cepat!!” Emak Isma
mengarahkan aku naik segera!
Aku sangat panik ketika itu.
Arahan daripada Emak Isma itu bagaikan satu kata-kata pemukau, aku terus
melompat ke tempat duduk belakang kereta itu. Kereta itu pun memecut laju
meninggalkan rumah Isma.
Aku termengah-mengah. Jantungku
berdegup bertalu-talu. Aku teringatkan sesuatu. Ibu. Ya, Ibu keseorangan di
rumah. Aku menepuk dahi. Kecewa dan bengang dengan diri aku sendiri.
“Isma... kita kena patah balik.”
“Kenapa? Isma memandang ke arah
cermin pandang belakang.”
“Ibu aku, Isma. Ibu aku masih ada
di rumah aku tu!”
“Sekarang tak selamat, Azim. Kita
akan patah balik, tapi tunggu lepas makhluk tu pergi.” Isma memberi jaminan.
Aku mendengus. Tidak begitu
setuju. Nyawa Ibu dalam bahaya. Aku cuma berharap Ibu akan berdiam diri di
dalam rumah. Tidak menarik perhatian Jin Galah. Aku cuba memujuk diri aku,
bahawa Ibu seorang yang bijak dan tahu menangani situasi ini.
“Ibu... maafkan aku!” Aku sangat
kesal kerana terpaksa meninggalkan Ibu. Ya, aku tidak berniat untuk jadi anak
derhaka. Tadi, aku tak boleh berfikir langsung! Keadaan terlalu mendesak. Aku
rasa seperti hendak menangis. Kesal. Barangkali, inilah perasaan Isma semasa
gagal menyelamatkan Putri.
=O=
Sudah tiga jam berlalu. Aku, Isma
dan emaknya sempat singgah mencari makanan di sebuah pasar raya terbiar. Kini
kami sudah kembali ke halaman rumah kami. Tidak ternampak kelibat Jin Galah.
Aku mencapai beg plastik berisi
makanan. Aku perlu cepat dapatkan Ibu.
“Bagaimana sekarang, kau masih
hendak duduk di rumah itu?” Aku berhenti seketika.
“Kami kena tengok keadaan rumah
kami dulu.”
Buat masa ini, Isma dan emaknya
akan tinggal di rumah itu. Menunggu kepulangan ayahnya. Mereka masih berharap
ayah akan pulang ke rumah.
“Baik.” Aku tidak bertanya
apa-apa lagi. Aku terus berlari ke arah rumah.
Hati aku berdebar-debar apabila
melihat pintu dapur terbuka luas. Terdapat kesan cakar di merata-rata tempat.
Perabot di dalam rumah bertaburan. Pinggan mangkuk pecah di atas lantai.
“Ibu!!!!!!!!!!!!” Aku menjerit
sekuat-kuat hati. Panik! Risau! Cemas! Menyesal sebab tinggalkan Ibu tadi. Aku
berlari ke seceruk rumah mencari Ibu. Ibu tidak ada.
Aku ternampak pintu depan rumah
terbuka. Perlahan-lahan, aku merapati pintu. Aku meninjau ke sekitar halaman
rumah. Tidak ternampak tanda-tanda yang mencurigakan. Ibu sudah lari
menyelamatkan diri, tetapi ke mana? Aku memaut dan menggosok-gosok kepala
dengan kedua-dua belah tangan dan lenganku. Berserabut sungguh fikiranku kali
ini! Aku mengetap gigiku. Geram! Marah! Bengang! Aku tak patut tinggalkan Ibu
tadi, tetapi kalau aku tidak selamatkan Isma dan emaknya? Ahhh!!!!! Aku cuma mampu
menjerit di dalam hati.
Isma dan emaknya muncul di pintu
depan rumah.
“Azim??” Muka Isma nampak risau.
Begitu juga emaknya.
“Ibu aku dah tak ada, Isma. Dia
dah lari! Aku tak tahu dia lari ke mana.” Aku bercakap dengan suara
tertahan-tahan. Sebak. Geram. Marah. Kecewa. Menyesal. Semua perasaan itu
menyerang jiwa aku serentak.
Terbayang wajah Ibu sedang
senyum. Terbayang wajah Ibu yang sugul ketika mendapat tahu kematian Putri.
Terbayang wajah Ibu tersenyum dan ketawa ketika bergurau dengan aku semasa aku
masih kecil. Kasih sayang dan kemesraan Ibu bangkit dalam bentuk memori,
menggenang dalam mata yang berkaca-kaca. Mengalir lesu bersama air mata.
Sekarang... sekelip mata Ibu dah hilang.
“Kita akan cari ibu kamu, Azim.”
Emak Isma memujukku. Dia turut dilanda rasa bersalah. Namun, tidak ada siapa
yang harus dipersalahkan dalam hal ini. Semua orang dalam keadaan bahaya.
Darurat.
=O=
Pagi sudah menjelang. Hari baru
bermula. Hari tanpa Ibu. Sudah lama kami tidak menonton televisyen. Kami tidak
tahu, ke mana perginya askar-askar atau pasukan polis. Apa sudah berlaku dengan
dunia ini? Kenapa tidak ada seorang pun datang menyelamatkan kami? Sudah lima
hari kami berkurung di dalam rumah, dan sekarang... kami sudah tidak tahu di
mana boleh kami mencari bantuan. Bandar juga lengang. Tidak ada sesiapa di
sini. Adakah, cuma tinggal kami bertiga di kampung ini?
Jin Galah boleh muncul bila-bila
masa sahaja. Kami mesti cepat pergi mencari Ibu. Isma menghidupkan enjin
keretanya. Baru berusia 13 tahun tetapi sudah pandai memandu kereta. Budak
kampung. Undang-undang jalan raya tidak begitu ketat di kampung.
“Azim... kita dah nak pergi.”
“Tunggu.” Aku teringatkan tin
penyembur cat di dalam stor. Aku menyembur di pintu depan rumah. Aku menulis.
“IBU, KAMI KELUAR SEKEJAP MENCARI
IBU. JIKA IBU PULANG. TUNGGU DAN SEMBUNYI DI DALAM RUMAH. KAMI PULANG SEBELUM
MALAM.”
Aku membaca semula apa yang aku
tulis. Aku puas hati. Aku harap, jika... tidak. Pasti. Ibu pasti akan pulang.
Ibu akan baca apa yang aku tulis. Pasti...
“Azim...” Isma dan emaknya
memandang aku dari dalam kereta. Ya, kami perlu pergi sekarang. Misi menjejaki
makanan, dan mencari Ibu.
“Azim, pinjam penyembur tu?”
“Kau...” Aku dapat mengagak apa
yang mahu dibuat oleh Isma.
Ya. Isma menulis benda yang sama
di di depan rumahnya. Isma menyampaikan mesej kepada ayahnya.
Kami perlu bertahan. Sehingga Ibu
aku, dan ayah Isma pulang. Kami harus kuat mempercayai bahawa mereka berdua
masih hidup. Di mana-mana. Kami cuma mampu berusaha. Kami berdoa. Kami juga
bersedia untuk... pasrah.