EVE CAMPBELL, CEO (Chief Executive Officer) syarikat Campbell Corporation memandang ketiga-tiga orang bodyguard itu silih berganti. Pandangannya tajam meneliti raut wajah mereka yang kesemuanya berdiri tegak menanti arahan. Hari ini merupakan hari yang sangat penting bagi syarikatnya. Jadi, tidak dapat tidak, khidmat semua bodyguard miliknya mesti digunakan semaksimum mungkin.
“Ingat, projek ni bernilai RM 500 juta. Jadi, I pasti akan ada komplot untuk gagalkan urusan kita untuk dapatkan projek ni. I nak you guys buatlah apa-apa pun asalkan I dapat sampai ke sana dengan selamat,” kata Eve dengan penuh bersemangat.
“Baik.”
Rayyan Razien, Pengarah Bahagian Sumber Manusia Campbell Corporation menjawab dengan tenang. Hari ini, menjadi tanggungjawab utamanya untuk mengiringi CEO syarikat itu ke tempat pembidaan memandangkan dia juga adalah ketua bagi semua bodyguard di syarikat terkemuka tersebut. Gelarannya “Boss” kerana dia memegang dua portfolio tugas.
Eve mengangguk dengan jawapan yang diberikan oleh Rayyan. Pantas, dia bangun dari kerusi lalu mengambil beg fail dan tas tangan. Sebelum tangannya menyentuh tombol pintu, dia menoleh ke belakang lalu senyuman lebar dilontarkan kepada semua bodyguard.
“Jom! I dah tak sabar ni nak enjoy,” ajak Eve sambil tersengih.
Disebabkan projek yang bakal dibida pada hari ini bernilai jutaan ringgit, langkah berjaga-jaga terpaksa diambil oleh mereka. Jadi, dengan strategi padu yang dirangka oleh Rayyan, mereka berempat akan membuat perubahan rancangan yang akan memberikan impak besar dalam perjalanan pembidaan hari ini.
Sesampainya mereka di parkir bawah tanah, Rayyan membukakan pintu kereta lalu Eve mengambil tempat di sebelah pemandu. Cermin kereta yang dilapisi dengan tinta gelap tidak memungkinkan orang luar untuk melihat orang yang berada di dalam kereta tersebut. Rayyan terus menghidupkan enjin kereta lalu memecut laju keluar dari kawasan parkir.
Eve menyanyi-nyanyi kecil di dalam kereta. Adakalanya dia menyanyi mengikut lagu yang diputarkan di radio. Terasa bersemangat pula hari ini apabila terkenangkan persiapan yang telah dibuat untuk mendapatkan projek tersebut. Projek ini penting baginya kerana jika dia berjaya mendapatkan projek tersebut, maka reputasinya sebagai pewaris syarikat tidak akan dipersoalkan lagi oleh ahli lembaga pengarah yang lain.
Perjalanan ke tempat pembidaan berjalan lancar dalam 10 minit pertama. Namun sesampainya di simpang lampu isyarat kira-kira tiga kilometer lagi sebelum sampai ke Wisma Ajmain, tiba-tiba dia perasan ada sesuatu yang abnormal pada dua buah kereta jenis Ford Mondeo hitam yang berada selang tiga buah kereta di belakang.
“Dah mula dah…” kata Eve seraya tersengih. Lantas posisinya dibetulkan. Bersiap sedia untuk sebarang kemungkinan.
Rayyan memandang Eve di sebelah. Pandangannya turut dibalas oleh Eve. Terus dia membalas pandangan itu dengan anggukan perlahan disulami dengan sengihan.
“Kau pegang kuat-kuat Eve. Jom kita play!" ketawa Rayyan lalu dia memecut laju keretanya melintasi beberapa buah kereta di hadapan.
Bunyi bingit ngauman kereta di jalan raya bercampur dengan bunyi hon di sana sini benar-benar mengundang situasi yang mencemaskan. Dua buah kereta Ford Mondeo hitam tersebut masih lagi gagah mengekori dan mengejar dari belakang. Masing-masing menderum laju mengejar hala kereta Nissan GT-R 2020 berwarna hitam metalik yang dipandu oleh Rayyan.
Biar berputih tulang, jangan berputih mata. Walau apa pun yang berlaku, mereka berdua mesti sampai di lokasi pembidaan dengan selamat.
“Nak main sangat kan. Nah ambil ni!” Rayyan tersenyum mengejek seraya memecut lagi keretanya sambil lincah membelok memasuki simpang dan jalan berliku. Sengaja dia berbuat begitu supaya kereta tersebut terbabas ataupun tersalah arah. Helahnya menjadi apabila dua buah kereta yang mengekorinya tadi telah selamat masuk ke lorong lain.
“Padan muka. Itulah buat hal lagi dengan aku,” gelak Rayyan. Sudah lama rasanya dia tidak beraksi di atas jalan raya. Seronok!
“Hahaha oh yeahhh.” Eve turut tergelak sama.
Bukan sekali dua perkara sebegini berlaku. Setiap kali Campbell Corporation menerima tawaran bidaan projek berjuta-juta ringgit, pasti ada-ada saja yang dengki. Dengki dalam bisnes itu biasa dan percubaan untuk merampas tender pun luar biasa agresifnya!
Disebabkan itulah, Dato' Campbell Kevin melantik Rayyan Razien, Ren Hau, Grace Bai, dan Syafiq Azzim sebagai pengiring peribadi untuk menjaga keselamatan anaknya Eve Campbell. Keempat-empat bodyguard yang dipilih olehnya bukanlah calang-calang orang dan masing-masing mempunyai kepakaran yang tersendiri.
“Boss, belok ke lorong kanan Bangunan Ban Chu Motor.”
Melalui earbud yang terletak elok di telinga kirinya, Rayyan dapat mendengar suara Syafiq si hacker yang sedang menyaksikan perlumbaan tidak rasmi tersebut. Syafiq yang melihat secara live melalui monitor komputer berterusan memberikan arahan agar Rayyan menghalakan kereta ke arah bertentangan dengan hala kereta yang masih mengekori.
“Dalam 50 meter, pusing ke kiri dan ambil laluan ke bangunan Rauf City,” kata Syafiq lagi sambil laju tangan dan jari jemarinya menekan papan kekunci komputer serta mengetik tetikus.
Dia adalah seorang bodyguard yang ditugaskan melindungi Eve Campbell dengan kemahiran hacking. Untuk misi kali ini, dia sepenuhnya bertanggungjawab dalam menyelesaikan masalah dengan kemahiran informasi teknologi (IT) yang dimilikinya.
“Okey,” jawab Rayyan lalu laju tangannya memusing stereng ke arah bangunan Rauf City.
Walau bagaimanapun, melalui cermin sisi dan cermin pandang belakang, dia dapat melihat dua kereta Ford Mondeo masih berjaya mengesan keretanya dan setia mengekori tanpa ada tanda mahu berhenti. Jadi, macam mana?
“Falcon, tak lepaslah. Dah basi kot trick kau ni. Cuba cari trick yang bernas sikit,” beritahu Rayyan.
“Tak apa Boss. Dari Rauf City, terus hala ke lampu isyarat dan belok kanan. Lepas tu, berhenti di Bangunan CardiPhoto. Exit path kita kat sana,” jawab Syafiq dengan tenang.
Mendengar suara Syafiq yang tenang dan nampak confident, Rayyan terus memecut laju keretanya. Pecutan itu menghasilkan efek deruman yang kuat seperti bunyi kereta sedang berlumba di dalam litar lumba akibat tindakannya memotong tidak tentu hala.
Dalam hatinya, hanya satu sahaja dia mohon iaitu janganlah berlaku apa-apa kemalangan jalan raya. Kalau tidak, jenuhlah dia perlu mencari semua pemandu yang terlibat untuk membayar pampasan. Kalau setakat kerosakan harta benda, okeylah lagi. Tetapi jika ada kemalangan jiwa, nauzubillah. Cepat-cepat dia berdoa dalam hati agar semuanya baik-baik saja.
“Okey, sekarang Boss!” jerit Syafiq lalu menekan papan kekunci bertanda Enter.
Vrooomm!
Nissan GT-R 2020 yang dipandu oleh Rayyan berjaya melintasi lampu isyarat yang tiba-tiba bertukar menjadi merah.
‘Sorry!’ Mahu saja Rayyan meminta maaf kepada para pengguna jalan raya lain yang terpaksa membrek mengejut disebabkan tidak sampai beberapa saat lampu isyarat bertukar hijau, tiba-tiba pula bertukar menjadi warna merah.
“You're awesome, Boss. Wuhuu!” Eve menjerit puas hati. Matanya melilau mencari kereta yang mengejar mereka tadi.
“Eh, jangan suka lagi. Tak menyempat sungguh kau ni. Sabar dulu. Exit path kita kat sana tu.” Rayyan memberikan peringatan dengan senyuman sinis tersungging di bibir. Sempat dia bersiul kepada Syafiq sebagai tanda thumbs up.
Eve menutup mulut namun senyuman lebar masih tersungging di bibir merah menyalanya. Setelah lima minit memandu, Rayyan kemudiannya memberhentikan keretanya di belakang bangunan CardiPhoto, iaitu kedai foto yang sudah agak tua dimakan usia tetapi masih gagah berdiri.
Pintu kereta dibuka oleh Rayyan lalu dengan selamba dia melemparkan kunci kereta kepada seorang lelaki tegap yang berdiri di sisi sebuah kereta BMW i8 berwarna hitam metalik.
“Safe drive, Ace. You too, May!” pesan Rayyan kepada lelaki itu dan juga seorang wanita yang kelihatan elegan berada di sampingnya.
Ren Hau atau dikenali sebagai Ace nampak formal dengan sut hitam dan Grace atau kod namanya May pula elegan dengan baju dress ungu labuh sama seperti baju yang dipakai oleh Eve. Mereka berdua masing-masing mengangguk patuh. Apa yang pasti, habislah Ford Mondeo itu bakal dikerjakan oleh mereka berdua selepas ini.
“Eve, jom masuk.” Rayyan tersenyum senget.
Eve tersenyum lalu tanpa disuruh, dia segera masuk ke dalam kereta yang diparkir bersebelahan dengan Nissan GT-R 2020. Seminit kemudian, BMW i8 hitam metalik itu dipandu keluar oleh Rayyan dari parkir CardiPhoto lalu terus menghala laju ke Wisma Ajmain, iaitu tempat bidaan projek akan dijalankan.