Home Novel Thriller/Aksi INFERNO BODYGUARD
INFERNO BODYGUARD
Angel_k20
11/5/2020 15:51:47
240,209
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
BAB 7

MENURUT Puan Gayah, pada malam itu dia dan suaminya terpaksa berhenti di tengah jalan sunyi kerana enjin kereta mereka menjadi terlalu panas. Risau pula kalau rosak. Jadi sementara menanti enjin menjadi sejuk, suaminya keluar dari kereta untuk membuang air kecil di tepi semak.

Sementara menanti suaminya selesai melepaskan hajat kecil, dia duduk senyap-senyap di dalam kereta.  Waktu itu, hujan mulai turun rintik-rintik. Kawasan itu gelap, ditambah pula dengan lampu kereta juga dimatikan bagi menjimatkan bateri kereta. Jika dilihat dari luar, sepertinya kereta mereka tiada di jalan itu dek kereta mereka berwarna hitam dan dilitupi pula dengan kegelapan malam. 

Ketika menunggu kedatangan suaminya itulah tiba-tiba dia ternampak ada dua buah kereta hitam berhenti di tepi gaung itu. Dia nampak ada dua orang lelaki sedang bercakap-cakap sesama mereka. Namun, dia tidak dapat mendengarnya dengan jelas. 

Dari dalam kereta, dia dapat melihat dua orang lelaki itu menolak sebuah kereta ke dalam gaung. Dia kaget. Terlihat jelas di matanya seorang lelaki berdarah ada di bahagian pemandu kereta yang ditolak jatuh. Selesai mengerjakan pekerjaannya, kedua-dua orang lelaki itu terus pergi dari situ.

Apabila melihat keadaan selamat, dia keluar dari kereta. Menggigil lututnya melihat insiden pembunuhan yang dilakukan seolah-olah kemalangan jatuh gaung itu. Nasib baiklah suaminya sempat menahan dirinya daripada terlorot jatuh.

Mereka berdua menelefon pihak polis bagi memaklumkan kejadian itu. Namun, suaminya mengatakan kepadanya bahawa dia akan menjadi saksi kes tersebut. Dia tidak mahu isterinya terlibat. Lagipun, dia sendiri adalah peguam. Senang sikit untuk dia berbicara mengenai insiden itu.

Keesokan harinya, suaminya memberikannya tiket ke Kanada. Sempat berpesan lagi supaya jangan balik ke Malaysia selagi kes ini tidak selesai. Duduk saja di situ dengan adiknya yang sedang belajar di situ. Kata suaminya lagi, kes ini bukan kes biasa. 

Dua minggu kemudian, dia mendapat panggilan daripada suaminya. Suaminya itu memohon maaf atas semua yang berlaku, kemudian memutuskan panggilan. Sampailah ke hari ini, dia masih tidak berjaya menjejaki suaminya.

Kata polis, mereka menjumpai kereta suaminya di tebing laut. Pihak polis menutup kes kehilangan suaminya dengan mengklasifikasikannya sebagai bunuh diri berdasarkan kesan tapak kasut dan cincin perkahwinan mereka berdua yang dijumpai terletak di atas jeti di tepi laut.

“Begitulah kisahnya cik.” Puan Gayah tunduk lagi.

Telinga mendengar, tangan ligat menulis semua informasi itu ke buku nota. Walaupun dia juga merakam perkataan yang diberikan oleh Puan Gayah setelah diberi izin, dia tetap juga mencatat maklumat tersebut di buku nota. Senang dia baca nanti.

 Maklumat berharga kejadian pembunuhan ayahnya, Inspektor Khalid harus dicatat dengan tepat. Kes yang sehingga kini masih belum selesai. Terlalu banyak kekeliruan maklumat dan percanggahan bukti dalam kes ini. Suspek pula ada tetapi mati mengejut dalam satu kemalangan ngeri yang dirancang. Sebab itulah kes ini diklasifikasikan berprofil tinggi. Sampai sekarang tiada sesiapa pun yang tahu identiti penjenayah yang sebenar dan mungkin mereka masih hidup bebas bergerak ke mana-mana.

“Saya harap maklumat yang saya bagi ni dapat bantu cik. Saya doakan semoga cik berjaya,” ujar wanita itu lagi. 

“Cik, tolong bantu saya untuk siasat kes suami saya ya? Dia seorang suami dan ayah yang bertanggungjawab. Mustahil dia bunuh diri. Dia tahu hukum agama.” Puan Gayah merenung mata Hana. Mengharapkan perempuan muda di hadapannya ini dapat membantunya menegak keadilan untuk sang suami.

Walaupun tempat duduknya agak tersorok dari pandangan pelanggan lain, hatinya tetap gelisah sekiranya perbualan mereka didengari oleh orang lain. Namun sedikit sebanyak hatinya lega apabila berjaya meluahkan apa yang tersimpan 15 tahun yang lepas.

“Insya-Allah puan. Terima kasih banyak atas info yang puan kongsikan kepada saya,” balas Hana sambil memandang wanita itu dengan senyuman mesra. 

Tidak menunggu lama, wanita itu segera keluar dari kafe. Hana juga berbuat demikian setelah mengemas buku nota dan membayar harga minuman. Tanpa disedarinya, terdapat sepasang mata yang mencuri dengar perbualan mereka. Degusan perlahan keluar mengiringi langkah kecil Hana yang semakin menghilang dari pandangannya.



SIR JIM betul-betul gelisah. Mahu duduk dirasa tak kena, mahu terus berdiri pula dirasakan aura berbahang yang ditalakan kepadanya menerkam garang. Sekejap-sekejap, pandangannya dihalakan kepada satu figura yang sedang gah bersemayam di atas kerusi king

“Maafkan aku Lord Matthew. Aku gagal lagi,” kata Sir Jim lalu terus melutut. Tindakan itu saja yang dirasakannya paling patut dek aura si ketua yang memang mengecutkan perasaannya. Dia benar-benar kecut!

“Kau ni memang jahanam. Tidak boleh diharap. Muka hodoh otak pun bodoh. Bodoh nak mampus!” marah Lord Matthew. Degusan kasar jelas kedengaran di cuping telinga. Matanya galak menikam tajam Sir Jim. Kecil besar sahaja orang bawahannya ini pada pandangan matanya.

Sir Jim terdiam apabila disembur oleh Lord Matthew. Kecut perutnya dimarahi sebegitu rupa oleh pembunuh senyap lagi profesional itu. 

“Kau ni kan, apa-apa kerja berkaitan Campbell, semua kau gagal. Kau memang dah puas hidup ke hah?” bentak Lord Matthew lagi sambil melepaskan asap curutnya ke muka Sir Jim.

“Lord. Aku janji kali ni aku buat betul-betul,” jawab Sir Jim dalam nada menggeletar.

Dalam diam, Sir Jim teringat kembali siapa sebenarnya manusia kejam bernama Lord Matthew ini. Semua orang yang terlibat dalam kumpulan Mafia Death kenal siapa lelaki itu. Dadah, arak dan wanita, semua dia miliki. Asetnya banyak dengan kebanyakan kasino di kebanyakan negara, dia yang punya. Metodenya dalam menghabiskan riwayat “tikus” dalam organisasinya sangat mudah iaitu selamat mereput di alam baqa'.

“Huh!” Lord Matthew mendengus kasar.

“Jim, kau dah guna dua nyawa kau. Tinggal satu je lagi. Kau ingat, kali ni aku nak kau tumbangkan Campbell. Apa cara sekalipun kau guna, aku tak kisah. Kalau kau tak berjaya, kau nampak tu?” ugut Lord Matthew sambil menunjuk ke dinding.

Sir Jim menalakan pandangannya ke arah yang dimaksudkan. Air liurnya ditelan kesat. Terasa kelat lekat di kerongkong. Bukan biasa-biasa alat penyeksaan yang diminati oleh bos gilanya itu. 

“Pergi sekarang!” halau Lord Matthew.

“Ba... baik Lord.” Sir Jim bingkas bangun lalu keluar dari bilik gelap itu. Dahinya berpeluh-peluh dan kakinya menggeletar hebat. Hampir saja dia tersadung bendul pintu.

Lord Matthew hanya memandang saja kelibat Sir Jim yang beransur hilang daripada pandangan matanya. Pistol yang berada di tangannya itu ditiup-tiup muncungnya untuk membuang debu dan habuk, kemudian digilap lagi sehingga berkilat. 

“Campbell... nasib kaulah dapat kembar macam aku. Kalau aku tak dapat apa aku nak, kau pun takkan dapat apa kau nak. Siapa pun yang cuba halang aku, aku hantar ke lubang neraka,” gumamnya sambil mengacah pistol ke dinding yang penuh dengan alat penyeksaan zaman dahulu. Breaking wheel, head crusher, saw torture dan pelbagai jenis lagi merupakan alat penyeksaan terkejam pada Zaman Pertengahan. 

Dalam diam, dia membelek buku resipi karya terbaharu tukang masak terkenal dunia. Pada masa itulah, dia juga merangka menu terbaru memandangkan dia juga adalah chef terkenal di hotel lima bintang.

Previous: BAB 6
Next: BAB 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Angel_k20