Home Novel Thriller/Aksi INFERNO BODYGUARD
INFERNO BODYGUARD
Angel_k20
11/5/2020 15:51:47
228,958
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
BAB 3

RAYYAN mengiringi pemergian Nissan GT-R 2020 yang dipandu oleh Ren Hau sehingga kereta itu hilang dari pandangan. Setelah berpuas hati, dia mula bergerak ke parkir yang menempatkan kereta kesayangannya. 

Namun, langkah kakinya terbejat apabila deria pendengarannya menangkap bunyi objek berat terhempas ke lantai. Bunyi yang seakan-akan benda plastik tetapi berisi kaca yang pecah berkecai sangat menarik perhatiannya. 

Kerana itu, dia segera menoleh ke belakang dan matanya tertancap kepada figura seorang perempuan yang sedang mengutip sesuatu. Seketika, Rayyan melirikkan mata ke arah objek yang dicapai oleh perempuan itu. 

‘Kamera? Confirm wartawan,’ desis hatinya.

Malas mahu mempedulikan perempuan tersebut, dia mengambil keputusan untuk tidak mengendahkan hal itu. Tambahan pula, baginya wartawan adalah the most annoying creature in the world walaupun arwah ibu dan ayahnya sendiri pun bekerja sebagai wartawan sebelum mereka berdua meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.

Sudahnya, dia kembali meneruskan langkah ke tempat parkir. Namun dalam relaksnya dia berjalan, sekali lagi kakinya bagaikan dirantai dek kali ini telinganya terdengar pula suara seorang wanita membebel. Jika perlahan tidak apalah, ini beroktaf-oktaf nadanya melontarkan leteran.

“Hana Mikayla. Kau ni kenapa cuai sangat? Mata tu letak dekat kepala lutut ke minah oii. Mahal tahu tak kamera aku ni. Sebulan gaji kau pun belum tentu dapat ganti balik,” bebel suara tersebut.

Sekali lagi, Rayyan berpaling ke belakang. Oh, si wartawan tadi nampaknya sedang dileteri oleh seorang wanita gemuk gedempol. Namun, dia tertarik dengan bebelan itu sebab gayanya sangat mirip dengan cara neneknya selalu membebel. Dalam diam, dia tertawa kecil sebelum tidak semena-mena, dia ternampak dengan jelas wajah wartawan tersebut. Ketawanya terus mati.

‘Kenapa aku rasa macam kenal dia?’ Rayyan mengerutkan dahi sambil otaknya ligat mengerah memori.

‘Betullah, wajah tu familiar sangat,’ desis hatinya lagi.

Kini, otaknya semakin ligat berfikir di mana dia pernah melihat wajah itu. Dia rasa dia pernah lihat wajah itu tapi... di mana dan... bila? Entah, dia gagal menghadirkan ingatannya kepada gadis tersebut walaupun memorinya telah dikerah sehabis baik. 

Dup! Dap!

Rayyan menekan dadanya dengan kejap. Kenapa dadanya tiba-tiba berdebar?

Dup! Dap!

Aduh, kenapa detak jantungnya tiba-tiba berentak tidak sekata dan rasa nyeri mula menyerang? Apa pula masalah kali ini? 

Rayyan menarik nafas panjang lalu segera pergi dari situ. Laju dia berjalan ke arah keretanya. Buka saja pintu kereta, dia terus memboloskan diri ke tempat duduk pemandu. 

Namun, dia tidak terus menghidupkan enjin. Hanya tangannya sahaja memegang kejap stereng kereta dan matanya ditutup. Sebetulnya, fikirannya berkecamuk dan sesak dengan imej wartawan bertudung merah tadi. Persoalan demi persoalan menerjah jiwa.

Selang beberapa minit, dia mengangkat kepala. Tidak mahu terus-menerus berfikir mengenai perempuan yang dipanggil Hana Mikayla itu. Tapi itulah, bayangan wajah perempuan tersebut nampaknya berjaya terselit kemas dalam fikirannya. 

Dia kemudiannya menghidupkan enjin kereta lalu segera memandu keluar dari parkir. Biarlah dulu hal berkenaan dengan perempuan itu. Apa yang penting, dia mahu berehat dan mengambil semula tenaganya yang hilang.



HANA tenggelam dalam menungannya di tepi jendela pejabat akhbar Nadi Kota. Ralit benar dia menyaksikan rintik hujan yang semakin melebat menjirus bumi. Menggunung terbit rasa bersyukurnya kepada Allah SWT saat ini atas nikmat hujan setelah sekian lama ibu kota bermandikan cahaya terik mentari yang merekahkan tanah. Sudah dua minggu metropolitan Kuala Lumpur tidak disirami hujan dan panasnya bukan main.

“Hana,” panggil satu suara. 

Panggilan daripada suara itu membawanya kembali ke alam realiti. Dia tersedar daripada lamunannya. Lantas, dia berpaling kepada si empunya suara yang memanggil.

“Ya, bos,” jawab Hana dengan senyuman pendek dihadiahkan buat bosnya.

Encik Faruk, ketua editor akhbar Nadi Kota tercegat bagai pak pacak di belakangnya. Di tangannya, terdapat beberapa helaian kertas yang sangat dikenali oleh Hana iaitu laporan kemenangan Campbell Corporation hari ini. Hana menggigit bibir. Aduh, apa pula yang bosnya tak puas hati lagi?

“Hana, aku nak kau betulkan semula perenggan ni sebab macam tak kena je ayat kau tulis macam tu. Lagi satu, bahagian ni sepatutnya tulis begini...” kata Encik Faruk dengan panjang lebar. Tangannya galak terawang ke sana sini untuk menjelaskan kepada perempuan itu di mana silapnya hasil tulisan laporan yang bakal diterbitkan untuk siaran muka hadapan esok.

Hana hanya terangguk-angguk bagai burung belatuk mendengarkan nasihat berupa bebelan daripada bosnya. Encik Faruk apabila sudah bercakap, siap dengan bermacam-macam gaya dibuatnya semata-mata mahu anak buahnya memahami apa yang dia mahukan. Mahu tidak mahu, dia terpaksa mengiakan sahaja ulah ketuanya itu.

“Faham?” tanya Encik Faruk setelah penerangannya tamat.

“Okey, bos. Lepas siap edit, saya hantar terus ke bos,” janji Hana lalu segaris senyuman diberi lagi buat bosnya.

Encik Faruk mengangguk berpuas hati dengan jawapan Hana lalu dia terus berlalu dari situ. Hana melepaskan nafas kelegaan kerana paling tidak, Encik Faruk tidak membebel panjang seperti sebelumnya. Jika tidak, mahu juga kejang kakinya berdiri lama di situ. Alhamdulillah. Lafaz kesyukuran diucapkan berkali-kali dalam hatinya.

Setelah beberapa ketika membaiki hasil tulisannya dengan menggunakan pen dalam keadaan berdiri, dia kembali menyambung menungannya. Sejujurnya, dia berasa kesal sungguh akan kecuaiannya menjatuhkan kamera Cik Kiah. Sudahlah mak cik itu kepoh, nanti habis satu pejabat dicanangnya berita tersebut. 

‘Hurmmmm, benda dah nak jadi. Nak buat macam mana lagi?’ keluh Hana dalam hati. 

Memang haru dia nak gantikan kamera itu dengan kamera baharu. Tak pun, bagi duit kepada Cik Kiah untuk beli kamera baharu. Tapi barang itu bukannya murah. Tengok model pun dia boleh agak harga kamera itu.

Laju tangannya mencari harga sebenar model kamera DSLR Cik Kiah melalui telefon pintarnya. Memang hasilnya membuatkannya termenung panjang. 

‘Aduh, mati aku nak ganti kamera ni. Alamatnya, pokailah aku tiga empat bulan ni,’ keluh Hana. Hatinya sebal.

Kamera paling murah pun dah berharga lebih kurang RM 9,000 tak termasuk lensa zoom. Kalau sekali dengan lensa, memang kering-kontanglah duit dia. Nak dekat RM 10,000 juga kamera DSLR berjenama Sony yang dijatuhkannya tadi.

Murung setahun dirasakannya kini. Tidak mahu menyambung kesal dan senak otak, dia kembali duduk di mejanya lalu fail laporan bidaan projek Kerajaan Vietnam yang ditulisnya tadi dibelek semula. Melalui laporan itu, dia cuba mencari ayat terbaik bagi mengolah semula bahasa yang disampaikan agar lebih dekat dengan pembaca. 

Dalam berfikir, ingatannya tiba-tiba terarah kembali kepada lelaki yang setia berada di sisi Cik Eve tadi. Bukan biasa-biasa aura lelaki itu pada pandangannya. Muka sombong dan garang nak mampus.  Kemain lagi menjegil mata kepada para wartawan. Tapi, dia merasakan ada sesuatu yang misteri pada lelaki itu. Sesuatu yang....

“Hoi!” sergah satu suara dari belakang.

“Opocot kucing kau hitam!” Hana berdiri tegak.

Cik Kiah ketawa berdekah-dekah mendengar latahan Hana. Suka betul dia dapat menyergah gadis itu yang nampak termenung sejak tadi. Amboi, terjumpa buah hati ke apa si Hana ini? Fikiran itu yang bermain-main di benaknya apabila Hana langsung tidak menyedari kehadirannya sedangkan sudah lima minit dia jadi pak pacak di belakang gadis itu.

“Cik Kiah!” Hana memprotes.

“Nasib baik kucing aku memang hitam,” gelak Cik Kiah lalu mengambil fail dari meja Hana lalu membeleknya sekilas pandang. Sesekali, kepalanya terangguk-angguk. 

Hana hanya memerhatikan kelakuan Cik Kiah dengan penuh sabar. Cuak juga jika Cik Kiah pun berfikiran sama dengan Encik Faruk untuk draf artikel yang ditulisnya tadi.

“Hmm... okey dah ni. Cumanya, kalau kau dapat interview khas Cik Eve, lagi gempak. Kau baca kan berita pasal dia. Tabik spring gila dengan cara dia bida sesuatu projek. Hebat cenggini!” kata Cik Kiah sambil mengangkat ibu jari.

“Hana, sebenarnya esok aku kena ke Campbell Corporation untuk sidang media. Apa kata kau ambil alih tugas aku? Lagipun, nilah peluang kau nak interview Cik Eve,” katanya lagi sekali gus memberikan cadangan kepada Hana.

Mendengar tawaran Cik Kiah, mata Hana terus bersinar galak. Laju dia mengangguk setuju. Ini yang sayang lebih Cik Kiah. Itulah... Cik Kiah walaupun mulutnya laser, tapi hatinya baik sangat sebab dia selalu memberikan tunjuk ajar kepadanya 

“Thanks, Cik Kiah!” ucap Hana lalu memeluk tubuh gempal Cik Kiah.

“Okeylah, aku nak chow dulu. Kucing aku lapar dah ni tunggu mak dia tak balik-balik lagi. Kau pun Hana, silalah balik sebab jam pun dah pukul lima ni nak oii...” kata Cik Kiah sekali gus berpesan kepada Hana.

Pesanan ikhlas itu disambut oleh Hana dengan senyuman manis. Sempat dilambainya wanita itu sebelum dia sendiri bersiap-siap untuk pulang. Kalau lambat pulang, alamatnya makan jemlah dia di jalan raya. 

Previous: BAB 2
Next: BAB 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Angel_k20