Home Novel Thriller/Aksi Si Gadis Pembunuh
Si Gadis Pembunuh
Rainy Rose
11/11/2022 09:44:42
7,332
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 9

Tengahari menjelma, para pekerja di bandar besar mulai berbondong-bondong keluar dari pejabat sama ada membeli hidangan secara berbungkus ataupun singgah sebentar menjamu selera di kedai-kedai berhampiran pejabat mereka. Pelukis-pelukis plein-air pun juga begitu, mengemaskan peralatan masing-masing sebelum berehat kerana dikhuatiri barangan mereka hilang tanpa diduga.

Keadaan cuaca juga memainkan peranan, mana tahu secara tiba-tiba hujan pula turun, habis rosak peralatan mereka nanti. Sudahlah peralatan mereka itu mahal dan sukar pula dijumpai di sembarangan kedai

Dalam kira-kira jam 3:00 petang nanti mereka akan menyambung semula pekerjaan setelah selesai urusan menjamu selera dan solat.

“Kali pertama saya melukis di kawasan sini, seronok juga dapat menyaksikan suasana kota pada waktu tengahari ni,” luah seorang pelukis plein-air semasa mengemaskan peralatan miliknya. 

Zaqwan yang duduk berhampiran mengangguk dan bersetuju walaupun itu bukan pertama kali dia melukis di jalanan bandar besar. Dia tidak berniat untuk berhenti lagi mengikut jejak rakannya yang lain kerana mahu menyiapkan lukisannya yang sudah hampir siap. Urat-urat hijau timbul kelihatan pada tangan kanan yang sedang memegang berus lukisan.

Untuk aktivitinya di situ, dia menggunakan medium warna air dalam menggambar suasana orang ramai yang bersesakan di dalam sebuah kedai makan bertentangan dengannya.

“Zaqwan, tak nak makan ke?” Tegur pula seorang pelukis lain kepada lelaki itu.

Zaqwan hanya menggeleng seraya tersenyum, menolak pelawaan dengan sopan. 

“Tidak mengapa. Kau orang pergilah dulu,” kata Zaqwan dengan nada lembut.

Beberapa pelukis lain ketawa. Salah seorang daripada mereka menyampuk, “Sekejap lagi orang rumah sampailah tu bawakan bekal.”

Zaqwan senyum sahaja mendengarnya. Ternyata, memang benar kata-kata rakannya itu. Isterinya berjanji untuk membawakannya bekal makanan sama ada dimasak sendiri mahupun dibeli di mana-mana kedai jikalau dia melukis di luar studio. Walaupun sering ditegah, isterinya apa peduli akan kata-kata suaminya. Senang sekali isterinya menggunakan alasan rindu kerana tidak dapat bertentang mata walaupun dia bukannya berpergian jauh atau pun berhari-hari.

“Bertuahnya badan!” Sampuk pula yang lain, cemburu mendengarnya kerana mereka terpaksa mencari tempat makan sendiri.

Perbualan mereka mati di situ. Zaqwan melihat mereka sudah habis berkemas dan bersiap untuk menuju ke kedai berhampiran. 

“Pergi dulu, ya,” kata seorang pelukis lain. 

Zaqwan mengangguk, melambai tangan dan kemudian meneruskan kerjanya. Dia meletakkan berus di atas para easel kerana mahu meneguk air botol yang dibawa dari rumah sebentar. Mentari tengahari terik memancar-mancar membuatkannya cepat dahaga. Berpeluh-peluh walaupun di tempat teduh. Sesekali dia mengelap peluh yang menitis tidak putus-putus. Panas tetapi pasti nanti dia akan berasa berbaloi dengan hasil plein-air hari ini.

“Bertuah… bertuahnya badan? Aku… aku bertuah?” Zaqwan mengulang kembali ayat rakannya tadi. 

Terasa ingin ketawa terbahak-bahak kepada dirinya sendiri. Kalaulah mereka tahu akan kisahnya, pasti dia akan dihina dan dikutuk secukupnya.

“Aku hampir membunuhnya dan sampai kini… aku keliru dengan perasaan sendiri. Lagi-lagi, aku melihat cinta dalam matanya,” rintihnya dengan penuh penyesalan sambil meraup wajah menggunakan telapak tangan.


Previous: Bab 8
Next: Bab 9.1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.