Home Novel Thriller/Aksi Si Gadis Pembunuh
Si Gadis Pembunuh
Rainy Rose
11/11/2022 09:44:42
7,333
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 5.2

“Engkau kelihatan cantik hari ini. Tapi, engkau palsukan cinta kau, bersembunyi di sebalik topeng dan tangisan palsu. Engkau yang aku mahu tetapi, engkau menyakitiku. Aku cuba untuk keluar daripada cinta yang kotor ini tetapi, aku tak mampu untuk keluar walau sudah bersusah payah,” Michael Angle menyanyi kembali lagu ciptaannya itu.

Beberapa kali mengundur rakaman itu untuk memastikan tidak tersalah dengar. Terkumat-kamit mulutnya menyanyi sambil menganalisis bait-bait lirik yang ditulis kembali di dalam buku catatannya.

“Lagu ini… adakah kisah cinta aku?” Andaian awalnya dan sedaya upaya menggali fikirannya. Seperti selalu, hampa kerana tiada langsung memori mengenai percintaan yang pernah dilalui.

“Cis, bila masa aku bercinta? Liriknya… adakah seseorang yang aku cintai itu begitu menakutkan? Jika begitu, siapa dia?” Simpulnya berdasarkan lirik lagu, kehairanan bagaimana begitu spontan lirik itu terkeluar dari mulutnya pada hari itu. 

“Rita?” Terpancul nama pesaingnya dalam industri perekaan barangan kemas, dia mengetuk jari telunjuk ke kepala memikirkan kemungkinan. “Tak mungkin!” Hampir tergelak dibuatnya.

Bukan dirinya sahaja, malahan lelaki lain pun tidak mahukan perempuan angkuh itu.

Rita, sebaris nama yang cantik namun itu bukanlah nama sebenarnya, cuma seorang pereka yang mahu dikenali dengan nama sebegitu. Orangnya cantik tetapi tidak pada perangainya. Sikap angkuhnya mendominasi dan gemar bermain taktik kotor untuk menumbangkan pesaing dalam dunia perekaan barangan kemas walaupun terpaksa mencuri idea pihak lawan lalu melancarkan produknya terlebih dahulu.

Tiada istilah rasa bersalah dalam kamus hidupnya. Selalu berbaik-baik dengan pihak lawan untuk mengorek rahsia kadangkala Michael Angle tidak tahu wanita itu manusia atau apa kerana seringkali menyerang hendap lawan tanpa sebarang petunjuk ibarat harimau kelaparan.

Disebabkan mereka berada dalam bidang yang sama, secara tidak langsung wanita itu menjadi rapat dengannya. Rita sentiasa mencari jalan untuk rapat dengannya manakala dia sering menghindar kerana menganggap wanita itu gunting dalam lipatan kain. Walhal, selain daripada menewaskannya, Rita mempunyai agenda lain iaitu memikatnya. Semakin jauh dia berlari, semakin galak wanita itu merapatkan jurang sehingga rimas dibuatnya. Nampaknya, Rita memang benar-benar sukakan cabaran dalam merebut hatinya.

“Secara peribadi, aku tidak mengenalinya selain daripada menjadi pesaing dalam bidang ini,” keluhnya sambil menulis ‘siapa Rita’ di dalam bukunya.

Secara tidak sengaja, dia terpandang rakaman suara diberi nama Rita. Walaupun berasa hairan, Michael Angle memainkan juga rakaman suara itu.

“Rita… apa yang awak ingin dengar daripada saya?” Michael Angle terpana, suaranya sendiri dalam rakaman itu penuh dengan nada pujukan. 

Mengikuti suaranya, kedengaran Rita teresak menangis. Secara automatik, dia memberhentikan rakaman, melihat butiran tarikh. Dua hari lepas!

Sejujurnya, dia tidak ingat tentang peristiwa itu. Bertubi-tubi perasaan bingung menguasainya sehingga kepalanya berasa sakit malah menerbitkan keringat dingin di dahi. 

Rakaman itu dimainkan kembali. Semasa mendengarnya, Michael Angle merangka suasana situasi ketika itu menerusi imaginasinya yang dianggap benar berlaku. Pen di tangan menari-nari di atas kertas menukilankan cerita selari dengan tindakan tadi.


Previous: Bab 5.1
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.