Home Novel Thriller/Aksi PENJARA MATI
PENJARA MATI
Riduan Judin
12/1/2014 13:52:37
66,462
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
BAB 2
BAB 2

Kota Damansara

KESUNYIAN MALAM dipecahkan oleh satu keriuhan di satu kawasan yang berdekatan dengan stesen TV3 yang terletak berhadapan dengan Oneworld Hotel yang bertaraf lima bintang itu. Orang ramai yang berada di kawasan itu bertempiaran lari menyelamatkan diri. Dalam beberapa minit saja, sebuah ambulans dan kereta peronda Polis sudah sampai di tempat kejadian. Di tepi jalan, kelihatan seorang gadis terbaring kaku tidak bernyawa.

“Kes tembak lari, Tuan. Penembak tepat.” Manan memeriksa mayat gadis itu sambil mengenakan sarung tangan hitam.

“Butiran pengenalan diri mangsa?” Inspektor Rozman tenang dalam diam. Sifatnya sememangnya begitu. Kurangkan bercakap dan banyakkan tindakan. Manan segera memeriksa beg tangan mangsa dan menemui pengenalan diri dan sejumlah wang tunai, serta barangan kemas.

“Warganegara Thailand. Dalam beg tangannya ada sejumlah wang tunai Ringgit Malaysia dan barang kemas.” Manan melaporkan berdasarkan penemuannya.

“Motif pembunuhan bukan rompakan. Mungkin bermotifkan dendam atau pun cemburu.” Inspektor Rozman membuat andaian awal berdasarkan bukti kerana wang dan barang kemas tidak diusik.

“Kes ini hampir sama dengan kes bunuh di Hotel Hilton, Tuan.” Manan sekadar memberikan pendapat. Inspektor Rozman mengangguk lemah.

“Kumpulkan bahan bukti jika ada, dan bawa mayat mangsa ke hospital untuk proses bedah siasat.” Inspektor memandang mayat itu lama-lama sebelum diusung ke dalam van ambulans. Otaknya menjadi berat dan terbejat.

DANI memerhatikan sahaja ambulans dan beberapa unit kereta Polis yang sudah pun meninggalkan tempat kejadian. Sebentar tadi dia tidak jadi melepaskan tembakan. Justeru, dia tertanya-tanya mengenai pembunuh sebenar yang berselindung di sebalik celah-celah bangunan yang tinggi.

Akhirnya dia merengus sendiri. Rupa-rupanya, dia tidak bersendirian di situ. Malah dia tertanya-tanya, siapa sebenarnya pembunuh yang memintas niatnya tadi dengan menembak dulu mangsa yang menjadi sasaran utamanya malam ini.

Imbas kembali...

DANI mengacu pistol FN 57 yang tergenggam kejap di tangan kanannya. Senjata ini sebenarnya untuk golongan elit dan pihak berkuasa sahaja yang dikeluarkan oleh negara Belgia. Tetapi pasaran gelap yang menawarkan pelbagai jenis barangan seperti senjata api ini membuatkan ianya perlu dimiliki berlandaskan situasi yang semakin hari semakin banyak rencam dan bahaya. Penamaan pistol FN 57 atas dasar pelurunya yang berkaliber tinggi dan mudah dikendalikan.

Matanya difokuskan di hujung laras. Dia menarik nafas berulang kali. Nalurinya ditajamkan agar peluru tidak dibazirkan. Nafasnya ditahan di dalam dada. Jari telunjuknya bergerak perlahan menekan picu. Namun, belum sempat dia melepaskan tembakan, mangsa itu tiba-tiba rebah dan berlumuran darah.

Dani pantas menyembunyikan diri di sebalik dinding bangunan. Dia meliarkan mata di sekeliling. Di hujung salah satu bangunan yang berada di seberang jalan raya, dia melihat kelibat seorang lelaki yang berbalam-balam. Dia yakin bahawa dialah pembunuh itu. Namun, tidak pula diketahui siapa. Malah dia yang juga seorang penembak tepat, pasti mati jika menjadi sasarannya tadi.

Sebenarnya, Dani kalah dari faktor kedudukan. Dan kesilapannya itu hampir mengundang bahaya jika dia diserang. Tapi siapa pembunuh itu? Kenapa dia membunuh gadis warganegara Thailand itu? Setakat ini, itulah persoalan yang membentak-bentak di fikirannya? Siapa lelaki di sebalik bumbung bangunan itu?

Ibu Pejabat Polis, Bukit Aman

KEDUA-DUA kes bunuh itu diklasifikasikan sebagai jenayah berprofil tinggi. Ini kerana, tiada sebarang tanda dan bahan bukti yang ditinggalkan oleh pembunuh melainkan barang-barang mangsa. Faktor itulah yang melumpuhkan usaha pihak Polis dalam mencari siapakah pembunuh sebenar, sekali gus didakwa di mahkamah mengikut seksyen 302 kanun keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

“Ini kes yang hampir serupa, Tuan.” Manan membuka topik bicara apabila melihat Inspektor Rozman mengelamun. Inspektor Rozman membalas pandangannya. Wajahnya kosong.

“Pembunuhan berepisod!” Inspektor Rozman segera berdiri dan mengambil rakaman CCTV yang diberikan oleh pihak Hotel Hilton lalu ditayangkan di layar putih.

“Ada kemungkinan dia dibunuh oleh seorang wanita berdasarkan subang emas yang kita temui, Inspektor.” Manan memberikan pendapat dan teorinya.

“Mungkin, tapi yang jelas, ini episod mati!” Inspektor Rozman ligat berfikir.

“Apa yang harus kita lakukan sekarang, Tuan?” Manan menunggu arahan seterusnya daripada orang atasannya itu.

“Pasang pita rakaman ini, mungkin jawapannya ada di dalamnya.” Ujar Inspektor Rozman. Manan segera mencapai pita rakaman itu dan memainkannya. Rakaman itu dilajukan sedikit apabila tiada tanda-tanda ia membantu siasatan mereka.

“Berhenti!” Secara tiba-tiba Inspektor Rozman mengarahkan agar rakaman video itu dijeda.

“Lelaki itu kelihatan agak pelik, Tuan.” Manan mencela.

“Ulangi beberapa saat ke belakang. Mungkin dia membantu dalam siasatan kita.” Arahan dituruti. Putaran video pun dibelakangkan beberapa saat ke belakang. Maka, terpamerlah wajah seorang lelaki yang berkulit sawo matang.

“Ambil screen shoot kemudian besarkan resolusi dan cetak.” Arah Inspektor Rozman. Arahan dilaksanakan tanpa banyak soal dan bantahan.

“Mainkan video itu. Fokus dengan semua tanda yang boleh dijadikan bahan bukti.” Inspektor Rozman memberikan arahan. Mukanya kelihatan berkerut.

“Dia menuju ke bilik Datuk Haris.” Manan berbicara atas apa yang dilihatnya. Lelaki itu seperti mengacu pistol berdasarkan lengannya yang diarahkan ke depan. Namun, tidak pula kelihatan sepenuhnya kerana terlindung di sebalik pintu. Selang beberapa minit, lelaki itu keluar. Ini menandakan, misinya sudah selesai.

Dialah pembunuh itu.” Kedengaran beberapa orang anggota bawahan Inspektor Rozman berbisik sesama sendiri.

Tidak lama kemudian, seorang wanita kelihatan keluar daripada bilik itu dalam keadaan tergesa-gesa.

“Wanita itu?” Inspektor merenung wanita itu lama-lama.

“Wanita itu yang dibunuh di Damansara semalam, Tuan.” Manan begitu yakin mengutarakan fakta.

“Maksudnya, pemilik subang emas itu bukan pembunuh. Lelaki itulah yang membunuh Datuk Haris, sekaligus wanita warga Thailand itu. Pembunuhan berepisod! Tetapi, kenapa dia tidak menyembunyikan wajahnya?” Inspektor Rozman yakin dengan hujahnya. Namun, persoalan juga menghambat jiwa. Kali ini, dia akan memberkas pembunuh itu. Dia tidak boleh tersenyum atas kelukaan orang lain. Ya, pembunuh itu mesti mati!

“Saya akan tubuhkan satu pasukan khas untuk menyiasat kes ini. Saya sendiri akan mengetuainya. Manan akan menjadi pembantu saya dan kalian, mestilah sentiasa berada di belakang saya. Faham kalian?” Kali ini, wajah Inspektor Rozman agak serius. Dia tidak mahu kecundang dalam tugasnya.

“Faham Tuan!” Seruan disambut. Suara mereka menggegarkan segenap bilik itu. Itu suara yang penuh semangat seorang wira!

Previous: BAB 1
Next: BAB 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.