Home Novel Thriller/Aksi BLAZE BODYGUARD
BLAZE BODYGUARD
Angel_k20
25/10/2025 16:33:54
553
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
BAB 3

HANA sedang bersiap-siap untuk keluar ketika DSP Haireen masuk ke pejabatnya. Tanpa salam, tanpa ketukan. Elok-elok saja figura wanita tegas tersebut terpacak kukuh di lantai. Terkejut Hana dibuatnya, namun terkejut lagi dia apabila melihat Fahmi turut bersama dengan wanita tersebut.

"Puan," tegur Hana.

"Kau nak pergi ke mana?" tanya DSP Haireen.

"Turun ke lokasi. Tadi ada jumpa mayat terapung lagi. Tapi kali ni di dalam kolam renang pula," jelas Hana seraya mencapai pistol lalu menyisipkannya di pinggang.

"Eloklah kau turun lapangan. Dah lama kau tak exercise," ujar DSP Haireen.

Lamalah sangat. Padahal, dia tahu saja Hana sejenis tidak lekat di pejabat. Selalu tidak berada di pejabat atas urusan kerja yang sangat menuntut perhatian. Tapi, saja dia mahu mengusik bagi mengelakkan Hana terkejut dengan berita yang bakal diberitahunya selepas ini. Lantas, dia terdiam buat seketika sebelum kembali membuka mulut.

"Fahmi akan ikut kau," katanya pula.

Eh? Mendengar kata-kata DSP Haireen, Hana terkaget sendiri. Fahmi pun kena ikut sekali? Alah, lecehlah. Sudahlah Fahmi sejenis lelaki yang suka mengusik. Tak naklah! Fahmi sangat annoying. Boleh kerat kuku jari yang Fahmi takkan berbuat sesuatu yang "gila" selepas ini.

"Perlu ke, puan?" Hana mengerling kepada Fahmi yang sedang membuat muka toya. Rasa nak bagi pelangkung saja!

Sudah tiga bulan lamanya Fahmi bertukar partner dengannya. Lelaki itu diarahkan untuk berada dalam team lain untuk memberi bantuan pementoran kepada team tersebut. Sekarang, sudah kenapa Fahmi kembali menjadi rakan sepasukannya? Sungguh Hana tidak mahu.

Sejujurnya, dia masih awkward dengan Fahmi setelah mengetahui isi hati lelaki itu kepadanya. Janggal untuk sepasukan dengan lelaki itu sementelah statusnya sendiri sebagai tunangan Rayyan. Dia tidak mahu disebabkan perangai Fahmi yang suka mengusiknya tidak kira masa, Rayyan akan salah faham dan cemburu.

"Perlu. Mulai hari ni, sekali lagi dia jadi partner kau, Hana," jelas DSP Haireen seraya menarik kerusi. Lantas, dengan relaksnya dia duduk sambil menyilangkan kaki.

"Nama apa entah partner kau tu... aa... Jan Janggut? Ah, aku lupalah. Dia tu dah dipindahkan ke unit lain," beritahunya pula.

"Jadi, eloklah kalau kau partner dengan Fahmi. Sebelum ni pun kau berdua memang partner kan," tuturnya lagi.

Sekali lagi, figura DSP Haireen dipandang dengan geram oleh Hana. Ini mesti kerja Fahmi yang masih tidak berputus asa untuk melihat sendiri wajah pembunuh ayahnya setelah tahu yang The Great Father mula melancarkan perang kepada pihak polis.

Tapi, dia faham perasaan lelaki itu. Ayahnya dan ayah Fahmi sama-sama dibunuh oleh The Great Father. Jadi, Fahmi juga berhak untuk terlibat secara langsung dalam siasatan kes ini dan menangkap sendiri pelaku pembunuhan tersebut.

"Dah, tak payah buat muka macam tu. Tak cantik. Ni kalau Rayyan tengok, tak jadi buat bini," ugut DSP Haireen seraya menarik senyuman sinis.

Rayyan. Rayyan. Rayyan.

Alah, asyik-asyik nama Rayyan saja yang disebut oleh DSP Haireen kalau dia tidak bersetuju dengan cadangannya. Mentang-mentanglah Rayyan Razien itu lelaki kesayangannya, memang mengambil kesempatanlah jawabnya wanita itu.

"Fahmi, ingat baik-baik tau. Kerja elok-elok dengan Hana. Kalau tak, aku sekeh kepala kau sampai benjol," pesan DSP Haireen kepada Fahmi pula.

"Okeylah, aku keluar dulu. Kau berdua buatlah apa yang patut. Esok, pastikan laporan ada di meja aku tepat jam 8.00 pagi. Clear? Good." Tanpa pamitan, selamba badak DSP Haireen bangun dari kerusi lalu menonong laju keluar dari pejabat Hana.

Melihat itu, Hana mencebik geram. Dunianya sudah tidak aman lagi. Fahmi sudah datang untuk mengganggunya. Ya Tuhan, bala apakah ini? Lantas, dengan muka berkerut seperti tadi, Hana mengangkat muka lalu menentang tajam wajah Fahmi.

"Kalau kau buat onar dengan aku, siap," ugut Hana.

Seperti biasa, Fahmi hanya mengangkat bahu dan membuat muka mengejek. Sengaja menyakat Hana yang sudah sekian lama tidak disakatnya. Rindu mahu menyakat Hana seperti dulu, itu saja sebabnya.

Walaupun kini Hana bukan miliknya, tapi setidak-tidaknya dia ada untuk membantu perempuan itu. Cintanya kepada Hana begitu tulus. Tapi, dia juga tahu jodoh pertemuan aturan Tuhan. Jika ada jodoh, adalah. Kalau tak ada, move on.

Bunga bukan sekuntum.

Sekarang, dia sedang berada dalam fasa move on. Tidak lama lagi Hana akan berkahwin dengan Rayyan. Jadi, sementara Hana masih lagi bukan isteri orang, dia akan cuba menjaga Hana sebaiknya sebagai kawan, tidak lebih dan tidak kurang.


*****


"BANYAKNYA kau minum, Eve," tegur Rayyan.

Tidak senang hatinya melihat Eve meneguk rakus jus oren yang dibawa oleh pelayan. Setelah segelas, segelas air berwarna oren itu memasuki anak tekak. Lagak Eve ketika ini seolah-olah orang yang baru bertemu air minuman setelah sebulan lamanya tidak meminum air!

"Dahagalah, Boss. Lagipun jus ni sedap," jawab Eve dengan selamba sambil meneguk lagi jus tersebut.

"Sakit perut nanti," pangkah Rayyan.

Eve Campbell Abdullah ini memang keras kepala ke apa? Perutnya itu bukan boleh tahan sangat dengan benda masam walaupun tekak bersungguh-sungguh meminta. Jika dilayankan sangat nafsu sukanya, memang tak lamalah terus mendapat hasil.

"Alah Boss, sikit aje," rayu Eve.

"Sakit nanti, aku tak tanggung." Rayyan memberikan peringatan.

"Baik, Boss!" Eve kembali meneguk jus orennya.

Melihat itu, Rayyan menggeleng. Entah bilalah si Eve ini hendak matang dan boleh menjaga diri sendiri. Sudahnya, dia membiarkan saja Eve menghabiskan sisa minuman. Kang ditegah, merajuk pula. Dasar budak manja!

Dua minit berlalu sebelum tiba-tiba, dewan dibuka dari dalam. Sebaik sahaja dewan tersebut dibuka sepenuhnya, orang ramai berpusu-pusu masuk ke dalam lalu mengambil tempat masing-masing. Bisik-bisik dan cakap-cakap berdegung memenuhi ruang bagaikan lalat menghurung.

Rayyan dan Eve mengambil tempat di kerusi khas yang disediakan oleh pihak penganjur. Wakil daripada syarikat pesaing lain termasuklah HR Holding turut mengambil tempat di kerusi yang disediakan.

"Boss, sakit perut." Tiba-tiba, Eve mengadu. Mukanya berkerut menahan sakit.

"Kan aku dah pesan tadi." Rayyan mengetap bibir. Geram dan marah bercampur menjadi satu.

"Bukan sakit perut yang tu." Eve bukan merujuk kepada sakit perut memulas seperti tanda cirit-birit, tapi perutnya teramat pedih.

"Gastrik?" teka Rayyan.

"Aku mana pernah kena gastrik." Muka Eve berkeringat.

Sepanjang hidup, dia tak pernah kena gastrik. Jika terlebih minum atau makan benda masam pun, dia hanya akan cirit-birit. Tapi, jus oren tadi tidak terlalu masam. Tambah pula, sakit perutnya bukanlah rasa macam nak "membuang".

"Kau okey tak?" soal Rayyan. Runsing pula dia melihat gaya Eve yang kini mengerekot sakit.

"Tak okey," geleng Eve perlahan.

Melihat itu, Rayyan menarik nafas panjang. Nak marah pun tak guna. Benda dah jadi. Sekarang, dia perlu memikirkan solusi terbaik untuk menyelesaikan masalah Eve sekali gus menyelamatkan projek syarikat daripada jatuh ke tangan musuh. Namun, belum pun dia sempat berfikir panjang, perkhabaran Syafiq membuatkan hatinya mendidih.

"Boss, minuman Cik Eve dimasukkan sesuatu. Cik Eve keracunan," lapor Syafiq di talian melalui earbud di telinga Rayyan.

"I see." Rayyan mengerling kepada Eve. Nampak teruk gadis itu sampaikan menggigil seluruh tubuh.

"May dah sampai?" soal Rayyan.

"Belum. Orang HR tengah kejar kereta mereka," jawab Syafiq. Suaranya gundah.

Mendengar itu, Rayyan mengepal penumbuk. Pantas pandangan matanya dituju kepada Sir Alfred di kerusi sebelah. Orang tua berambut putih itu sedang bergelak ketawa dengan beberapa orang rakan bisnesnya. Entah apa yang lucu, dia pun tak tahu.

Masa terus berdetik laju. Jika dilihatkan keadaan Eve, gadis itu takkan mampu membida projek sebesar Hibiscus Tower dengan baik. Dato' Campbell pula masih belum sampai dek diburu oleh HR Holding. Jadi, apa dia perlu buat sebelum juruacara program memulakan majlis?

"Boss," tegur satu suara.

Suara tersebut serta-merta membuatkan Rayyan berpaling ke arah sang pemiliknya. Reaksi pertama yang tumpah ke figura gadis tinggi lampai di hadapannya adalah kerutan seribu di muka. Apa yang Hana Mikayla buat di sini? Dengan berpakaian wartawan pula tu?

"Darling. Eh, Hana." Rayyan tergagap-gagap.

"Sorry kalau aku hancurkan pelan kau. Tapi, aku tengok pelan kau dah hancur pun masa Eve sakit perut." Hana melontarkan sengihannya kepada Rayyan.

Hailah Rayyan. Siapa cakap Rayyan Razien kesayangannya ini seorang yang perfect? Tidak ada manusia yang perfect pun atas dunia ini. Dalam berhati-hatinya dia merangka strategi, mungkin saja akan ada cubaan untuk menggagalkan rancangan tersebut.

"Apa kau buat dekat sini?" tanya Rayyan.

Terkejutnya belum habis dengan kemunculan Hana. Bukan ke tadi Hana cakap yang dia ada hal yang perlu diuruskan dengan Fahmi? Siap WhatsApp lagi katanya nak pergi ke bilik mayat hospital yang menempatkan mayat terapung tempoh hari.

"Apa lagi? Semestinya nak tolong my hottest hero Rayyan Razien," jawab Hana dengan selamba.

"Oh." Rayyan melemparkan senyuman senget.

"Jadi, my gorgeous heroine Hana Mikayla cuba nak bagi semangat ke apa ni?" sakatnya pula.

"Well." Hana berdehem perlahan.

"Cik Eve ni, biar aku uruskan. Okey?" Usai menuturkan ayat, pantas Hana membangunkan Eve lalu memapahnya.

"Good luck, my darling abang bodyguard," tuturnya perlahan seraya menghadiahkan Rayyan kenyitan mata.

Ulah nakal gadis itu serta-merta membuatkan Rayyan ketawa perlahan. Aduhai, ada-ada sajalah Hana Mikayla! Sudahnya, sekali lagi dia menarik nafas panjang lalu menghembusnya perlahan. Figura dua orang gadis tersebut dipandang sampailah bayang mereka menghilang di sebalik pintu.

"Falcon, macam mana situasi di sana?" tanya Rayyan.

"Kak Yong the best," balas Syafiq di talian.

Jawapan selamba Syafiq membuatkan Rayyan tersenyum dalam hati. Kembang setaman hatinya apabila kekasih hati dipuji. Padahal, Syafiq tidak menjawab soalannya pun!

"Aku tanya situasi, Falcon." Cepat-cepat Rayyan mengingatkan Syafiq.

"Kenapa kau perlu risaukan mereka, Boss? Kau kena risaukan raksasa di depan tu dulu." Syafiq tidak menjawab soalan Rayyan tetapi mengingatkan semula bosnya terhadap situasi menegangkan ketika ini.

"Mestilah aku kena risau. Dato' pun bawah tanggungjawab aku," bidas Rayyan.

Sambil mulutnya berbual dengan Syafiq dengan gaya bercakap di telefon, mulutnya turut memberikan senyuman manis kepada Sir Alfred yang turut memandang ke arahnya dengan pandangan yang sukar dimengertikan.

Pandangan mereka bersabung.

Pada Rayyan, orang tua itu menyimpan seribu satu muslihat. Silapnya juga kerana gagal melindungi Eve daripada terminum racun. Dia bukannya tahu serba serbi. Kesilapannya hari ini perlu direfleksi semula sebagai pengajaran pada masa akan datang.

"Jadi, macam mana Boss? Cik Eve tak ada, Dato' pun belum sampai." Syafiq meluahkan kegusaran.

Soalan daripada Syafiq disambut dengan keluhan perlahan daripada Rayyan. Keadaan amat genting sekarang. Ini kerana, Campbell Corporation perlu membentangkan terlebih dahulu cadangan perniagaan mereka.

"Aku tak ada pilihan." Akhirnya, Rayyan bersuara.

"Kau nak buat apa, Boss?" Suara Syafiq kedengaran gugup.

"Apa lagi? Jadi herolah," jawab Rayyan dengan selamba. Lantas, dia menarik nafas berkali-kali bagi menenangkan diri sebelum bangun dari kerusi.

Suara juruacara majlis mempersilakan wakil daripada Campbell Corporation untuk membentangkan kertas cadangan perniagaan di hadapan audiens disambut dengan tepukan gemuruh. Suasana menjadi bingit sebentar sebelum terhenti apabila figura seorang jejaka tinggi lampai berkot biru tua melangkah naik ke atas pentas.

"Doakan aku, Falcon," bisik Rayyan lalu dengan riak wajah penuh yakin, dia menentang panahan mata para audiens.

"Salam sejahtera. Saya Rayyan Razien, Pengarah Jabatan Sumber Manusia Campbell Corporation. Proposal hari ini akan dibentangkan oleh saya selaku ketua projek." Rayyan menghadiahkan senyuman senget penuh makna kepada Sir Alfred, iaitu senyuman seorang pemain yang baru sahaja mematahkan langkah lawannya di papan catur.

Senarai nama ahli kumpulan projek Hibiscus Tower pantas terbentang di slaid pembentangan. Dapat dia lihat riak wajah Sir Alfred dan beberapa orang balacinya ketika ini. Terkejut beruk mereka semua dengan perubahan drastik pada kertas cadangan perniagaan tersebut!

Projek Hibiscus Tower tidak lagi dipegang oleh Dato' Campbell ataupun Eve. Tetapi, dua orang itu hanya akan bertindak sebagai penasihat projek. Dia, Rayyan Razien bin Zainan Azhar yang akan mengetuai projek bertaraf mega ini.

'Nak lawan aku? Salah orang beb!' ejeknya pula. Terkejut ke, orang tua? Nampak macam cacing kepanasan saja lagaknya.

Dia berterima kasih kepada Amra Khayra, si bodyguard baharu bersama Aariz Iktizar yang sempat menukarkan segala data perniagaan dalam masa yang singkat. Seperti yang dijangka daripada Princess Devil, si ejen perisikan yang sentiasa menyamar sebagai pegawai pemasaran dan sudah terbiasa meneliti dokumen perniagaan.

"Baiklah, seperti yang diketahui projek ini..." Rayyan meneruskan pembentangannya dengan sangat baik, penuh gaya, berkarisma dan penuh yakin.

"Sekian daripada saya. Terima kasih." Dia mengakhiri 10 minit pembentangan dengan sedikit tundukkan hormat kepada audiens sebelum turun dari pentas.

"Boss, Cik Eve nanti macam mana? Dato' Campbell?" Syafiq terus menyerang Rayyan dengan soalan sebaik sahaja bosnya berjalan turun dari pentas. Rayyan membuat keputusan sendiri tanpa mendapat kebenaran pengerusi dan CEO Campbell Corporation!

"Aku tak tahu. Hahaha," gelak Rayyan perlahan. Pedih.

Nak jadi hero sangat, kan? Mendapatlah dia. Sekarang, sudah pasti orang HR Holding akan mentargetkan pula nyawanya. Tapi, tak apalah. Mungkin jalan ini yang terbaik untuk menumpaskan The Great Father yang dipercayai memayungi syarikat gergasi itu.

Previous: BAB 2
Next: BAB 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.