Home Novel Thriller/Aksi BLAZE BODYGUARD
BLAZE BODYGUARD
Angel_k20
25/10/2025 16:33:54
553
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
BAB 14

BANGSAL buruk yang menjadi pelitup pemandangan orang ramai terhadap keberadaan makmal di bawah tanah dijejak lagi buat kali kedua. Cumanya beza kali ini, Ren Hau keseorangan tanpa Rayyan.

"Apek, kau bawa tak benda tu?" laung seorang lelaki berbadan kekar dari dalam bangsal.

"Bawa." Ren Hau turut membalas laungan itu dengan laungan.

Kakinya kemudian diorak mendekati lelaki itu. Benda yang dipinta turut dibawa bersama. Sampai di situ, terus benda itu dicampak di depan lelaki tadi.

"Boleh tak kalau kau letak elok-elok benda ni?" Terkejut mungkin dengan tindakan Ren Hau, terus lelaki itu bersuara garang.

"Tugas aku bawa ke sini aje, bukannya letak elok-elok kat depan kau," balas Ren Hau.

"Hoi, apek!" Lelaki itu bangun seraya menuding jari telunjuk ke muka Ren Hau.

"Apa, macai?" Ren Hau membalas tindakan lelaki itu dengan menaikkan suara.

Mata kedua-duanya bertentang. Bagaikan ada arus elektrik keluar dari mata mereka berdua. Masing-masing tak nak kalah dalam pertelingkahan tersebut. Memang sejak awal lagi mereka tidak sebulu!

"Dah apa gaduh-gaduh ni? Ah Cheng, Bojeng." Seorang lelaki bertubuh tegap pantas meleraikan bau-bau pergaduhan itu.

"Dia inilah. Geram aku!" Lelaki bernama Bojeng itu menurunkan jari telunjuknya. Dengus nafas kasarnya boleh didengar sampai ke luar bangsal.

Ren Hau menyambut kelakuan Bojeng dengan matanya menikam tepat pada wajah Bojeng. Seiring dengan itu, senyuman sinis berserta gerakan bibir turut diberi kepada lelaki itu. Sengaja cari pasal.

"Jahanam!" Bojeng yang memahami gerakan bibir tersebut segera menyerang Ren Hau. Mahunya dia tidak naik angin apabila Ren Hau mengatakan bahawa dia seorang yang sial.

"Bojeng!" Lelaki bertubuh kekar pantas menghalang tindakan Bojeng.

"Kaulah sial! Lancau! Lepaskan aku, Be Mat! Ah Cheng ni memang melampau!" Kemarahan Bojeng menggila. Lagi kuat dia meronta dek pegangan Be Mat semakin kejap.

"Dahlah tu Bojeng! Jangan cari pasal. Kau jangan lupa dia tu siapa. Kau nak kepala kita kena penggal juga ke?" jerkah Be Mat.

Terus rontaan terhenti. Hanya desah nafasnya menderu laju seperti lembu laga sedang naik minyak. Dia terpaksa akur dengan cakap Be Mat kerana Ah Cheng di depannya ini bukanlah lawannya.

"Macam tulah." Dengan senyuman sinis tidak lekang dari bibir, Ren Hau bersuara. Nadanya penuh dengan ejekan kepada Bojeng.

Wajah Bojeng dan Be Mat dipandang lagi buat kesekian kali. Kemudian, kedua-dua belah tangannya dimasukkan ke dalam kocek seluar jeans koyak-koyak yang dipakai olehnya.

"Aku bawa benda tu ke sini sebab Tuan Long suruh. Kira baiklah tu aku campak depan kau, Bojeng," kata Ren Hau.

"Huh!" Bojeng mencebik, tak puas hati.

Memang dia sakit hati apabila kuasanya di sini sebagai ketua diambil alih oleh Ah Cheng, iaitu orang suruhan baharu Tuan Long. Bos mereka itu nampaknya lebih percaya kepada bangsanya sendiri untuk menguruskan hal terlarang di situ.

Dulu sebelum Ah Cheng ada, Bojenglah yang boleh memberi arahan kepada anak-anak buahnya yang lain. Sebut saja nak apa, semua anak-anak buahnya akan mengikut arahan. Kalau dia tak puas hati, boleh sepak terajang saja mereka semua.

Kini, semua sudah tidak boleh. Dia kehilangan kuasa untuk memerintah. Entah ada apalah dalam otak Tuan Long sampai mengambil keputusan untuk menggantikannya dengan lelaki Cina kurang ajar yang berdiri di depannya sekarang.

"Ingat, sekarang ni aku ketua. Jangan sesekali buat hal kalau tak nak aku bunuh kau semua." Ren memberikan amaran buat semua yang ada di situ, yang dari tadi menyaksikan pergaduhan antara bekas ketua dan ketua baharu mereka.

Akur semuanya.

"Mereka semua tu ada kat mana dah Be Mat? Kata sampai sini pukul 10 malam," tanya Ren Hau kepada Be Mat.

Be Mat merupakan orang yang bertanggungjawab untuk menjadi penghubung antara geng bangsal dengan geng penjerat kerja. Semua mangsa akan dibawa ke sini oleh penjerat kerja sebaik sahaja mangsa terlena setelah diberi ubat tidur dalam makanan.

Proses pemindahan mangsa dari pulau ke tempat ini mengambil masa lebih kurang 10 jam. Jadi, jika diikutkan waktu Rayyan dan Light diberi ubat tidur tadi, sepatutnya mereka semua sudah hampir sampai ke sini.

"Kejap lagi mereka sampai. Sama seperti sebelum ni, rajin sungguh polis buat roadblock. Terpaksalah guna jalan lain," jawab Be Mat.

Ren Hau mengangguk faham. Memang wajar pihak polis banyak melakukan sekatan jalan raya sekarang. Kes orang hilang semakin bertambah dari hari ke hari. Malah, kes penculikan juga semakin berleluasa.

Penjenayah bagaikan sudah tidak takut kepada undang-undang sampaikan mereka berani melakukan perbuatan terkutuk itu di depan orang ramai. Bagai nak kata yang pihak polis tidak kompeten dan diri mereka pula ampuh daripada sebarang hukuman.

"Aku nak pejam mata kejap. Jangan siapa-siapa kacau. Mereka sampai nanti baru kejutkan aku," pesan Ren Hau.

Ren Hau berjalan menuju ke sebuah kerusi panjang yang terletak di bucu bangsal. Badannya direbahkan di atas kerusi lalu dengan tangannya disilang ke dada, dia segera menutup mata. Tak nak siapa-siapa mengganggu dirinya berehat.

Dia perlu "caj" tenaga mental dan fizikal sementara menanti Rayyan dan Light sampai. Mentalnya perlu dipersiapkan sebaiknya kerana sebentar lagi, dia akan bertindak ganas. Mungkin sampai akan mencederakan bosnya sendiri.

'Maafkan aku, Boss.' Hati Ren Hau berlagu walang.

BADANNYA berasa melambung-lambung. Sesekali kepalanya terhentak pada sesuatu. Cermin mungkin. Tubuhnya turut terasa teroleng-oleng, tersentuh dan terjatuh pada sesuatu yang lembut.

Rayyan membuka mata. Kepalanya berdenyut-denyut dan pandangannya kabur. Ditambah dengan gelap, semuanya nampak berbalam-balam. Dalam pada masa yang sama, perutnya turun beralun. Mual bertandang.

"Boss." Terdengar satu suara perlahan memanggilnya.

Rayyan berpaling ke kiri. Dia nampak Light di situ. Sama sepertinya, tubuh Light juga sesekali terhentak-hentak dan bergerak ke kiri dan kanan mengikut rentak roda kenderaan yang melalui jalan tidak sekata.

"Boss okey ke?" tanya Light, hampir tidak berbunyi suaranya.

Rayyan menjawab pertanyaan Light dengan anggukan walaupun kondisinya masih tidak berapa okey. Sengaja tak nak Light bimbang. Lagipun, dia pasti yang dirinya akan beransur okey sekejap lagi setelah efek ubat tidur hilang sepenuhnya.

Setelah beberapa ketika, kenderaan yang dinaiki berhenti di suatu tempat. Mungkin sudah sampai di destinasi. Bunyi brek tangan ditarik berserta pintu kenderaan yang dibuka kasar membuktikan telahannya.

"Keluar! Keluar!" Kedengaran suara beberapa orang lelaki mengarah supaya semua orang berada di dalam kenderaan itu keluar.

Ketika ini, barulah suara mangsa keluar dari tekak masing-masing. Ada yang masih mamai, terkejut, dan tidak kurang juga yang terpinga-pinga. Baru bangun tidur katakan.

Yang mana sudah sedar dan perasan diri diikat dengan tali pula mulalah meraung, menjerit dan merayu minta dilepaskan. Nak lari pun tak boleh sebab belum sempat kaki menjejak tanah, terus tubuh diangkut keluar oleh beberapa orang lelaki gagah dan bermuka bengis.

"Apa ni? Apa semua ni? Lepas!" Itulah tempikan beberapa orang mangsa yang sedar sepenuhnya bahawa mereka sebenarnya telah diculik!

"Kau jangan nak memekak kat sini!" jerkah seorang lelaki bertubuh tinggi lampai dan tegap berambut spike berwarna perang. Di mukanya ada parut besar seperti goresan tembakan. Lengannya pula dipenuhi tatu harimau.

Itu Ren Hau. Rayyan kenal susuk tubuh itu walaupun dalam rupa sebegitu.

Terus senyap semuanya. Yang tinggal hanyalah bunyi suara menangis perlahan-lahan dan tersedu-sedu. Aura lelaki berbangsa Cina itu sungguh menakutkan sampaikan beberapa orang mangsa terundur ke belakang. Takut jika diapa-apakan olehnya.

"Semua cukup?" tanya Ren Hau.

"Cukup, Ah Cheng," jawab seorang lelaki yang Rayyan kenal sebagai pemandu van yang membawa mereka ke sini. Lelaki itu jugalah yang membawa mereka ke pulau pagi tadi.

"Bojeng, Be Mat, bawa sini mayat-mayat tu." Ren menoleh ke arah anak buahnya seraya mengarahkan mereka membawa beberapa buah bagasi bersaiz XL ke depan.

"Lempar semua mayat tu ke laut," katanya pula kepada pemandu van.

"Okey." Pemandu van itu akur lalu dia segera mengerahkan anak-anak buahnya yang mengikutinya tadi supaya mengisi van dengan bagasi-bagasi berisi mayat. Ada lima buah bagasi semuanya.

Mangsa yang menyaksikan transaksi menakutkan itu sekali lagi berteriak takut. Pelbagai andaian dan bayangan menerpa minda. Adakah itu yang bakal terjadi kepada mereka kelak? Tidak mereka sangka bahawa kegembiraan mendapat kerja bertukar menjadi tragedi dalam sekelip mata.

"Diam!" Lelaki yang dikenali sebagai Bojeng dan Be Mat menampar dan menyepak-nyepak mana-mana mangsa yang menjerit-jerit minta dilepaskan.

"Kau bangsat!" Tiba-tiba Rayyan bersuara. Beg sandangnya dipeluk erat. Terketar-ketar mulutnya membuahkan bicara carutan.

"Oh..." Ren Hau berpaling ke arah Rayyan.

Rayyan nampak Ren Hau mendekatinya sambil menggenggam buku lima. Kemas dan kejap genggamannya sehingga menampakkan aura konsekuensi yang bakal berlaku jika tumbukan itu dilepaskan ke mukanya. Pasti "best" punya.

"Hoi, nerd! Tak padan dengan budak kau ni kan." Ren Hau mencengkam kemas dagu Rayyan dengan tangan kirinya.

Mata mereka bertentang.

"Bang... bangsat!" kata Rayyan.

"Aku memang bangsat pun." Lelaki itu melepaskan cengkamannya pada rahang Rayyan. Seketika dia ketawa kecil sebelum tiba-tiba, buku limanya dibenamkan ke wajah itu.

Padu bhai! Pecah bibir Rayyan dikerjakannya. Terus Rayyan meraung kesakitan. Sudah lama dia tidak merasa efek tumbukan Ren Hau. Nasib baik giginya tidak tertanggal. Sakit gila!

"Ini balasan paling ringan untuk kau semua yang berani buat hal," kata Ren Hau seraya mengusap-ngusap buku limanya. Kemudian, dia berpaling semula ke arah Rayyan. Dia nampak Rayyan menggerakkan jari jemarinya di lantai bangsal.

Gulp!

Ren Hau menelan air yang terasa melekat di kerongkong. Terlajak kuat ke dia tumbuk tadi sampaikan Rayyan cakap nak potong gaji nanti? Alamak...


Previous: BAB 13
Next: BAB 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.