Home Novel Thriller/Aksi 101 Ways to Kill My Lover
101 Ways to Kill My Lover
Angel_k20
26/2/2023 07:09:17
3,629
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Senarai Bab
Bab 1

AISYA memandang geram ke arah papanya yang memandangnya dengan senyuman manis tersungging di bibir. Sakit sungguh hatinya berasa. Sumpah dia rasa nak maki aje papanya sekarang.

"Keputusan papa muktamad. Aisya wajib kahwin dengan Tengku Hazziq." Raja Akbar mengulang kembali ayatnya kepada puteri tunggalnya.

"Tapi," bangkang Aisya.

"Tak ada tapi tapi. hanya Tengku Hazziq aje yang papa terima sebagai menantu. Titik." Raja Akbar tetap tegas dengan keputusannya.

"Aisya tak suka Hazziq dan takkan kahwin dengan dia. Aisya lebih rela mati daripada kahwin dengan dia tu!" jerit Aisya.

"Raja Aisya Sophea!" Jeritan dibalas jerkahan.

Terus Aisya senyap. Panahan mata sang papa begitu tajam hingga tembus ke jantung.

"Sekali lagi Aisya cakap tak nak kahwin dengan Hazziq, papa akan bekukan segala aset Aisya," tutur Raja Akbar dengan tegas.

"Papa!" Hampir meletup jiwa Aisya mendengarnya.

"Papa ingat ni drama Megah Holding TV3 pukul 7 petang ke?" Aisya mengetap bibir.

"Kenapa tidak? Semua harta yang Aisya ada tu milik papa. Aisya bukan pemilik syarikat kita. Yang kaya tu papa, bukan Aisya." Tengku Akbar menghadiahkan senyuman kemenangan buat sang puteri.

"Hish!" Aisya menghentak kaki.

Dia mendengus kasar. Semakin sakit hatinya apabila papa sesuka hati saja cuba menjodohkan dia dengan Tengku Hazziq Mikael. Padahal, bukan papa tak tahu yang lelaki itu suka mengongkong.

Hazziq akan sentiasa mengikut Aisya walau ke mana saja dia pergi. Walhal, Hazziq bukannya orang yang tiada kerja. Bahkan, dialah lelaki paling sibuk di alam semesta. Tapi, untuk hal Aisya, selalu pula tak sibuk.

Alasannya untuk menjaga keselamatan Aisya. Cumanya kalau dia betul-betul ada hal yang tidak dapat dielakkan ajelah anak buahnya yang lain akan mengambil alih tugas mengawal gerak-geri Aisya. Rimas, tahu tak?

Ya, dia tahulah dia perlukan bodyguard jika perlu ke mana-mana memandangkan statusnya sekarang. Tapi, tak boleh ke kalau dalam sehari itu, bukan Hazziq atau anak buahnya yang lain mengawalnya?

Sikit-sikit muka sama. Boring!

"Aisya hanya akan dapat harta papa bila kahwin dengan Hazziq sekurang-kurangnya lima tahun," putus Raja Akbar.

"What the hell is this?" Kali ini Aisya memang menjerit melalak. Kakinya dihentak-hentak pula ke lantai dengan penuh perasaan.

Raja Akbar hanya tersenyum melihat kelakuan puterinya. Sebiji sama dengan perangai arwah isterinya ketika mula-mula kenal dan kemudian, kahwin. Hanya selepas melahirkan Aisya barulah perangai tidak matang itu beransur hilang daripada dirinya.

"Papa tak nak dengar apa-apa alasan lagi. Ingat, Aisya tu artis ternama. Penyanyi popular. Idol. Selebriti. Jadi, memang patut pun Aisya ada suami. Setidaknya, dapatlah kawal Aisya daripada melekat dengan jantan entah apa-apa," kata Raja Akbar.

"Papa!" Aisya masih tidak berpuas hati.

Apa salahnya dia nak enjoy zaman kegemilangan sebagai artis tersohor dengan status single buat sementara waktu? Dia ramai peminat. Kalau dia kahwin sekarang, bukan ke peminat dia akan berkurang? Patah hatilah katakan.

"No money no talk. If you want to talk to me, you need to pay me." Tenang sungguh Raja Akbar melayan kerenah Aisya.

"Okey. Papa nak berapa? Aisya boleh bagilah." Demi kebebasan, Aisya tawarkan juga duit walaupun tahu duitnya hanya satu sen kurap jika nak dibandingkan dengan harta papa.

"Satu bilion. Aisya boleh bagi?" sengih Raja Akbar.

Wajah Aisya terus berubah apabila mendengar amaun yang diminta oleh sang papa. Oh Tuhan, sungguh besar ujian-Mu. Kenapa dia dilahirkan dalam keluarga Raja Akbar bin Raja Karim, keluarga terkaya di Asia? Dia tak minta pun dilahirkan di dunia ini!

Aisya menggeleng perlahan.

"Tahu pun. Jadi, kahwin ajelah dengan Hazziq. Bukannya susah pun. Kalau kahwin dengan Hazziq, papa akan beri duit satu bilion kepada Aisya. Jadi, Aisya akan ada duit," pancing Raja Akbar.

Seperti yang dijangka, Aisya pantas mengangkat kepala apabila mendengar tawaran tersebut. Mukanya yang tadi seperti monyet termakan lemon terus berubah seperti kucing minta didukung. Memang dasar mata duitan betul!

"Papa tak tipu?" Aisya menjongketkan kening.

"Buat apa papa nak tipu puteri kesayangan papa ni?" jawab Raja Akbar selamba.

"Okey, Aisya setuju kahwin dengan Hazziq tapi dengan syarat, lima tahun aje. Lepas lima tahun, Aisya nak Hazziq ceraikan Aisya," kata Aisya dengan tegas.

"It's up to you nak cerai ke tak. Yang penting Aisya kena ikut cakap Hazziq. Jangan sendirian," balas Raja Akbar.

"Aisya tahulah." Sepantas itu Aisya menjawab.

Matanya memandang tajam kepada papa. Papa juga memandang tajam kepadanya. Dua-dua mereka saling bertikam pandangan sebelum akhirnya, dua-duanya serentak kalah.

Nafas ditarik panjang dan dihembus perlahan. Sabar ....

"Papa sepatutnya tahu yang Aisya hanya cintakan Sir A. Kenapa papa ni kejam sangat?" Soalan yang sedari tadi dipendam, akhirnya diluahkan.

"Dah lima tahun Aisya cakap yang Aisya suka kepada Sir A. Lima tahun tu jugalah papa cakap papa tak suka dia. Papa ni dah kenapa sebenarnya?" tanya Aisya lagi. Isi hatinya diluahkan terus.

Hatinya sakit apabila kemahuannya yang satu itu dibantah habis-habisan oleh papa.

"Cikgu vokal Aisya tu? Tak payah! Papa tak izinkan dia jadi menantu papa." Raja Akbar mengilas tangan ke dada.

"Kenapa? Papa tahu kan jasa dia kepada Aisya? Sebab dialah Aisya dapat naik sampai ke tahap ni. Jadi artis terkenal." Kali ini, nada Aisya melengking lagi. Beroktaf nadanya menaik dek marahkan papa.

"Kalau dia betul-betul cintakan Aisya, kenapa dia tak pernah datang jumpa papa? Minta izin papa untuk lepaskan Aisya kepada dia untuk dijadikan isteri?" Raja Akbar memberi soalan balas kepada Aisya.

Aisya terus terdiam apabila soalan itu dilontarkan kepadanya. Dia tahu kenapa Sir A tidak datang jumpa papa. Hanya saja, ya, hanya saja ....

"Aisya tak dapat jawab, kan?" Raja Akbar menentang tajam anak mata Aisya.

"Lelaki yang tak berani jumpa papa depan-depan untuk minta kebenaran, papa takkan anggap dia sebagai lelaki gentleman. Jadi, dia tak layak untuk anak papa ni," kata Raja Akbar.

Aisya terdiam lagi. Dia tiada kata untuk membalas hujah papanya ketika ini. Memang Sir A tidak pernah pun jumpa papa dan dia juga tahu sebab kenapa lelaki itu bertindak sedemikian. Aisya memang kecewa tetapi jauh di sudut hati, dia masih berharap semoga akan ada keajaiban dalam hubungan cinta mereka.

"Jadi, papa yakin yang Aisya hanya akan bahagia kalau kahwin dengan Hazziq. Titik," putus Raja Akbar. Keputusannya muktamad.

PS: KLISE TAHAP X LEH BAWA BINCANG HAHAHAHA

Previous: Prolog

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.