TAHUN berganti tahun dan masa pun terus bergulir. Di
waktu senang mahupun sukar, Marina menghadapinya dengan tenang. Marina sudah
matang dalam melangkah batas-batas kehidupan di dunia. Peristiwa hitam yang
pernah terlakar di rona ingatan sudah semakin terhakis, pupus dari kamus
hidupnya.
Dia mahu melupakan segala
yang telah terjadi ketika dia bergelar pesakit mental. Selama lima tahun dia
menjalani rawatan sakit jiwa di Perak, dan selama itu jugalah dia cuba membuang
deria keenam yang dimilikinya dari terus menemani pandangan. Setelah dia
diyakini bebas dari belenggu gangguan mental, Marina kembali berpijak pada bumi
yang nyata. Dia tidak lagi diganggu dengan bayangan-bayangan halus. Namun
begitu dia terlalu sukar untuk melupakan peristiwa yang pernah terjadi pada
dirinya. Kisah kekecohan yang berlaku di rumah sakit jiwa itu, dan ada satu
nama yang kuat meniti di kotak memorinya. Jamaliah.
“Sayang...”
Marina menoleh memandang
suami yang tercintanya itu. Lambat-lambat dia mengukir senyuman manisnya pada
Aiman. Lelaki itulah yang sering memberi semangat dan dorongan kepada Marina.
Dia tetap setia pada Marina, walaupun Marina terus dibelenggu masalah mental
yang memberat. Sebenarnya Marina tidak gila, hanya kerana dia sering berbicara
sendirian di dalam kamarnya, dia dikatakan gila. Walhal Marina sedang berbicara
dengan ‘rakannya’ yang hanya dia sahaja yang mampu melihat akan keberadaannya.
“Kenapa abang?” aju
Marina pada Aiman.
“Nak berhenti mana-mana
kedai makan? Abang bimbang Marina dan Mylin lapar aje.”
Tenang dan bersahaja Aiman
bertanya. Matanya sekejap-sekejap memandang ke arah Marina dan pada jalan raya.
Kereta yang dipandunya meluncur laju tanpa sebarang masalah. Marina diam
sejenak. Dia memandang ke belakang. Melihat wajah ayu anak gadisnya, membuatkan
bibir mungil Marina mengukir senyuman bahagia.
“Mylin masih tidur,
lagipun saya tak lapar lagi. Ke abang dah lapar?” soal Marina pula kepada
suaminya.
“Oh, abang pun tak lapar
lagi. Abang bukannya apa. Bimbang takut-takut sayang lapar.”
“Tak lapar lagi, abang.
Tapi kalau abang penat dan ingin berehat, abang berhenti ajelah kat kedai-kedai
mana pun. Saya ikut aje.” Tutur Marina lembut.
“Kalau begitu baiklah,”
akur Aiman perlahan.
Tangan kanan Marina diraih lembut oleh Aiman. Marina
melirik manja ke wajah suaminya. Dia terasa dirinya betul-betul disayangi oleh
Aiman. Marina melalui hidup yang cukup mencabar. Dulu dia sering dicemuh dan
dipandang serong. Terutama sekali apabila dia disahkan menghadapi tekanan
mental, dan dituduh membunuh rakan sekuliahnya tanpa niat. Namun begitu, di
kala awan mendung sentiasa mengelilingi nasibnya, tuah badannya tetap ada.
Aiman, lelaki yang pernah
melakar cinta dengannya ketika di kolej dahulu, masih sudi menerima Marina
dengan seadanya. Bertahun-tahun Marina dirawat di hospital bahagia, dan selama
itulah Aiman terus dan terus bersabar menanti sehingga Marina sembuh. Seusai
Marina bebas dari ‘sakitnya’ mereka disatukan. Lima tahun mereka berdua melayar
bahtera perkahwinan. Kini Marina dan suaminya semakin bahagia, malah puncak
kebahagiaan mereka terpancar di saat cahaya mata mereka, Mylin dilahirkan. Anak
kecil yang baharu menjengah usia empat tahun itu telah membuatkan kehidupan
Marina bertambah bermakna.
Marina membuang jauh
pandangannya ke luar jendela kenderaannya. Membiarkan suami yang tercinta
memandu sendirian tanpa berteman bicara serta senda guraunya. Entah kenapa
Marina lebih teringatkan pada kenangan lama. Walaupun dia nekad untuk melupakan
segala-galanya, hatinya bagai terus ditarik-tarik untuk mengingatinya semula.
Kisah hidupnya dengan Jamaliah, rakan yang hanya wujud pada penglihatannya
sahaja.
“Jamaliah...” getus
Marina perlahan.
“Marina...”
Satu suara halus
bergemersik memanggil Marina yang sedang duduk termanggu di pinggir katil kamar
khas untuknya. Marina diam, dia tidak memberi sebarang tindak balas daripada
seruan yang memanggil namanya itu. Marina masih seperti tadi, tenang dan diam
sahaja sambil di tangannya tergenggam sebatang pensel yang sedang menari-nari
di atas sehelai kertas kosong. Marina asyik melakar apa sahaja yang melintas di
mindanya.
“Marina...”
Suara itu hadir lagi.
Umpama satu hembusan angin dingin datang menyapa lembut jasad Marina yang masih
seperti tadi, tidak beralih perhatiannya dari memandang kertas yang sedang
diconteng-contengnya. Dia seperti tidak mendengar suara yang memanggilnya.
Sesuatu yang aneh, suara yang menyeru nama Marina itu bagaikan bergema di ruang
kubikel kamar itu. Namun Marina tetap tidak mengendahkannya, atau memang betul
Marina tidak mendengar akan seruan tersebut. Persoalannya, siapakah yang
menyeru nama Marina pada ketika ini? Sedangkan ruang kamar itu hanyalah diisi
oleh Marina seorang sahaja.
“Marina, aku tahu kau
dengar suara aku...”
Suara milik seorang
perempuan itu kedengaran lagi. Kali ini suara itu membaitkan kata-kata terhadap
Marina. Namun begitu Marina tetap tidak berganjak dari terus menumpukan
perhatian membuat lakaran di atas kertas lukisan. Pensel yang sudah tumpul pada
matanya itu, terus digeserkan ke atas dan ke bawah, seperti sedang mewarna.
Angin malam yang dingin datang menyapa secara mengejut. Menyebabkan Marina
terberhenti dari terus memandang kertas lukisannya. Dia dengan mendadak
memandang ke atas kepala, melihat bilah-bilah kipas yang sedang berputar.
“Sejuk pula malam ini,”
rungut Marina sendirian.
“Aku datang, Marina.”
Suara perempuan itu
kedengaran jelas di belakang Marina. Di satu ruang yang tidak tersimbah dengan
cahaya. Ruang yang sedikit kelam. Marina tetap diam, dia tidak menoleh walau
sedikitpun ke arah datangnya suara misteri itu.
“Aku tahu kau marahkan
aku, tapi aku lakukan semuanya kerana aku sayangkan kau, Marina.”
Suara wanita yang
berkumandang itu berbicara lagi. Dari sudut yang kelam perlahan-lahan muncul
sosok wanita bertubuh sederhana, lengkap berpakaian seperti kebiasaan
gadis-gadis muda di luar sana. Namun Marina masih seperti tadi, tidak
mengendahkan sapaan gadis yang berwajah sayu itu. Marina seperti memekakkan
telinganya sahaja. Gadis itu bergerak perlahan mendekati Marina. Semakin dia
menghampiri Marina, semakin Marina bergerak seperti berpaling dari keberadaan
si penegur itu.
“Marina... tolonglah
jangan macam ni, aku kesunyian...”
Marina yang membelakangi
gadis itu berhenti dari melakukan kerja-kerjanya, dia mendongak ke atas di satu
sudut di siling kamarnya. Di situ dia melihat ada satu bola kaca berwarna
hitam. Dia tahu, di dalam bola kaca itu ada kamera litar yang mengawasi
gerak-gerinya di dalam kamar. Perlahan-lahan Marina berpusing dan merenung
dengan tajam rakan yang tidak henti-henti memanggilnya itu.
“Jamaliah, aku sudah tak
mahu berkawan dengan kamu lagi. Tolong jangan ganggu aku!” tekan Marina namun
suaranya direndahkan sedikit. Dia tidak mahu sesiapa mendengarnya, terutama
pengawal yang sering berulang-alik di luar kamarnya.
“Marina... aku tak
berniat jahat, aku hanya mahu kita berkawan seperti dulu.” Jamaliah tidak
berputus asa membujuk Marina.
“Kerana kau aku berada di
sini. Kerana kau orang fikir aku yang buat kekecohan. Sedangkan kau yang buat
semuanya.” Dalam lembut Marina meningkah bujukan Jamaliah.
“Tapi aku lakukannya
semata-mata kerana kau, Marina. Kau satu-satunya kawan aku.” Sayu sekali
Jamaliah melantunkan kata-katanya.
“Aku sudah nekad, aku
sudah tak mahu berkawan dengan makhluk seperti kau. Kau buat aku semakin
dipandang serong oleh orang. Kau bukan manusia, Jamaliah! Kau hantu! Kau buat
aku jadi seperti orang gila!” seranah Marina sambil mengepal kertas di dalam
tangannya.
“Tapi Marina...”
“Kita tak sepatutnya
berkawan. Aku tak sepatutnya bercakap dengan hantu seperti kau.” Marina terus
menghamburkan kata-kata kesat terhadap Jamaliah.
“Marina... tolonglah...”
Jamaliah terus merayu.
Marina terpandang gelang kaki yang dipakainya. Tanpa berfikir panjang Marina
terus menanggalkan rantai emas di kakinya. Jamaliah memandang sahaja tanpa
berkata apa. Betapa terhirisnya perasaan kala terlihat Marina menanggalkan
lambang persahabatan mereka berdua selama ini.
“Marina... kau nak buat
apa?”
“Kau ambil semula gelang
kau, mulai sekarang jangan ganggu aku lagi. Pergi! Pergi! Pergi...!” jerit
Marina, kali ini dengan sepenuh hati. Air matanya merembes membasahi pipi,
begitu juga Jamaliah. Roh gadis itu berwajah sayu, tiada pula riak kemarahan
terbit di romannya, walaupun Marina sudah terang-terangan mahu ‘membuang’
dirinya dari terus mendampingi gadis itu.
Marina menutup telinga
dan menghenyak tubuhnya di atas katil. Menyembamkan wajah ke bantal. Marina
menangis teresak-esak. Dia masih sayangkan Jamaliah, namun sampai bila dia
harus berkawan dengan roh orang yang mati bunuh diri? Sampai bila dia harus
membiarkan dirinya berkongsi dengan roh Jamaliah. Peristiwa yang berlaku ketika
di hostel masih kuat dalam ingatan. Beberapa bulan yang lepas, sekali lagi
peristiwa yang hampir serupa ketika di hostel lamanya berulang. Kekecohan yang
berlaku di wad sakit jiwa menyebabkan Marina nekad mahu melepaskan Jamaliah
pergi.
“Marina...” sayu Jamaliah
mengelur nama sahabatnya.
Marina tidak mengendahkan
panggilan Jamaliah, dia terus memekakkan telinganya. Dia tidak mahu memandang
Jamaliah lagi. Jamaliah begitu terhiris dengan keputusan Marina. Dia mengambil
gelang kaki yang pernah menjadi miliknya. Dia berasakan Marina memang nekad
untuk berpisah dengannya. Dengan berat hati, Jamaliah mengundurkan dirinya
menjauh dari Marina. Sayu pandangannya, sayu lagi perasaannya. Ketika dia
semakin di penghujung kamar, Jamaliah berhenti sejenak. Dia cuba mengukirkan
senyuman, walaupun dirasakan berat sekali bibir mungilnya untuk melakukannya.
“Marina...” kelur Jamaliah
perlahan.
“Andai berlaku kesusahan,
serulah nama ku. Kita akan tetap bersahabat, selama-lamanya.”
Ucap Jamaliah perlahan.
Namun Marina masih seperti tadi, terus menyembamkan wajahnya ke bantal, memekup
telinga dengan kedua belah tangan. Dia seboleh-bolehnya tidak mahu mendengar
apa-apa lagi dari Jamaliah.
“Marina...”
“Sayang...”
“Sayang, hei jauhnya
mengelamun.”
Lamunan Marina berkecai
dia kelihatan terpinga-pinga kala memandang wajah Aiman, suaminya. Aiman pula
masih menguntumkan senyuman ke arah Marina, walaupun dia merasakan ada sesuatu
yang mengganggu fikiran isterinya.
“Kenapa bang?” soal
Marina.
“Kita dah sampai.”
Pendek dari Aiman, lantas
dia mengalihkan pandangannya ke arah sebuah banglo dua tingkat tersergam indah
di hadapan mata. Di bahagian atas banglo itu kelihatan seperti ada loteng.
Bumbungnya yang tinggi menegak jelas sekali ianya bercirikan rekaan dari barat.
Marina ternganga memandang banglo yang dikatakan oleh suaminya itu. Walaupun
keadaan banglo putih itu kelihatan usang, namun bentuk seni binanya begitu
cantik sekali.
“Besarnya,” ucap Marina
tergamam.
“Kita bertiga akan
tinggal di sini.” Balas Aiman.
“Abang cakap dua tingkat
aje, tu macam ada satu lagi bilik kat atas itu.” Marina memuncungkan bibirnya
ke arah puncak mahligai baharunya itu.
“Rasanya yang kat atas
sekali itu loteng. Bukannya bilik.” Jelas Aiman.
“Oh...”
“Kenapa sayang?”
“Lotengnya kelihatan
seperti sebuah bilik. Abang...” panggil Marina manja.
“Ya?”
“Rumah ini cantik. Tapi
kenapa harganya murah?”
“Abang pun kurang periksa.
Mungkin disebabkan rumah ini dah lama, dan jaraknya dengan pusat bandar agak
jauh.” Ujar Aiman.
“Tapi kalau diikutkan
dengan keluasan kawasan rumah ini, rasa macam murah sangat pulak.” Balas
Marina.
“Abang pun pada asalnya
hairan jugak. Abang dengar ejen rumah itu cakap, rumah asalnya dijual dengan
harga tinggi, disebabkan harganya yang terlalu mahal tiada siapa yang
membelinya. Anggap ajelah ini rezeki kita anak beranak.” Cerita Aiman.
“Alhamdulillah.” Ucap
Marina perlahan.
Marina kembali
mengukirkan senyuman, dia berasa bagaikan bermimpi. Kehidupannya semakin
disulami rona-rona kebahagiaan. Rumahtangganya semakin berseri dihiasi
keindahan banglo putih yang cukup tersergam indah itu. Marina mungkin tidak
menyedari, dirinya sebenarnya sedang diperhatikan. Apa yang pasti, yang
menjegilkan pandangannya itu bukanlah manusia!