ROZI membuka aplikasi Qiblat di telefon pintarnya bagi mencari arah kiblat di bilik itu. Walaupun rangkaian telefon di kawasan perkampungan itu agak lemah, namun dia masih boleh membuka aplikasi itu yang tidak memerlukan rangkaian internet berkelajuan tinggi.
Selepas mendapat arah yang betul, telefon pintar diletakkan di meja kecil di sisi katil. Kemudian, dia membentang sejadah yang turut dibawa dari rumah betul-betul menghadap ke arah kiblat. Di dalam bilik ini, arah kiblatnya betul-betul menghadap satu-satunya tingkap yang ada di dalam bilik itu.
Telekung pula dikeluarkan dari beg, lalu dipakai. Dia mahu menunaikan solat isyak yang tertangguh sejak dia sampai beberapa jam yang lalu.
Waktu sekarang sudah menunjukkan pukul 1.25 pagi. Selesai memakai telekung, Rozi berdiri tegak sebelum berniat. Selesai niat, dia mula mengangkat kedua-dua tangan takbiratul ihram dan solatnya dimulakan. Doa iftitah dibaca. Perlahan, tetapi boleh didengari oleh telinganya. Keadaan bilik itu yang sunyi membuatkan bacaannya lebih jelas.
Rakaat pertama dilepasi dengan khusyuk. Namun, masuk sahaja ke rakaat kedua, tiba-tiba ada yang muncul mengganggu.
Duk! Duk! Duk!
Bunyi seperti orang melompat sebelum ini kedengaran lagi. Walaupun pintu bilik itu tertutup rapat, telinganya tetap dapat mendengar bunyi itu dengan jelas dari luar bilik.
Hilang terus khusyuk Rozi saat bunyi itu kembali menyapa pendengarannya. Pantas kedua-dua kelopak matanya dipejam rapat daripada terus memandang tepat ke arah sulaman sejadah di lantai. Dia cuba untuk mengembalikan khusyuk dengan cara itu.
Duk! Duk! Duk!
Bunyi itu kedengaran lagi seraya membuatkan dahi Rozi berkerut. Rasa takut mula menyapa. Pelbagai andaian dan persoalan mula bermain dalam fikirannya ketika ini. Bacaan surah di bibirnya sengaja dikuatkan sedikit dengan harapan gangguan yang sedang dia alami ketika ini lenyap.
Klak!
Tubuh Rozi terenjat kecil disebabkan bunyi itu. Bunyi itu kedengaran jelas sekali dan dia yakin bunyi pintu bilik itu yang sedang dibuka. Tidak pasti siapa yang membukanya. Seketika kemudian, dia mulai rukuk. Selepas itu, iktidal dan terus sujud dua kali dengan tamakninah serta membaca tahiyat awal. Semuanya dilakukan dengan sempurna.
Kreek ....
Kedengaran pula bunyi engsel pintu menandakan daun pintu bilik itu dibuka dengan lebih luas.
Duk! Duk! Duk!
Bunyi seperti orang melompat itu kedengaran lagi! Kali ini, lebih jelas seolah-olah betul-betul berada di belakangnya.
Tubuh Rozi sudah menggeletar dan peluh mula merenek di dahi. Jantungnya mula berdegup laju disebabkan rasa cemas yang tiba-tiba menyapa. Yang lebih mencemaskan, telinganya mendengar seolah-olah entiti yang melompat sebentar tadi berada betul-betul di belakangnya.
Selesai membaca bacaan tahiyat awal termasuk selawat ke atas Nabi Muhammad SAW, Rozi meneruskan rakaat yang ketiga dan seterusnya. Sepanjang solat, dia merasakan seolah-olah ada 'sesuatu' di belakang. Dan sejak rakaat kedua tadi, matanya terus dipejam. Dia tidak mahu solatnya terbatal disebabkan dia melihat 'sesuatu' yang tidak sepatutnya.
Dan apa yang Rozi rasa ketika ini bukan mainan perasaannya semata-mata. 'Sesuatu' yang dia rasa itu benar-benar wujud di dalam bilik itu. Ada makhluk persis pocong di belakang sedang menghadapnya ketika ini.
Duk! Duk! Duk!
Pocong itu melompat lagi menghampiri Rozi dengan lebih dekat. Disebabkan hanya lampu meja di sisi katil yang menyala, membuatkan pencahayaan di dalam bilik itu agak malap. Keadaan itu membuatkan makhluk itu tidak dapat dilihat dengan jelas.
Rozi meneruskan solatnya untuk rakaat yang terakhir sambil menutup mata. Tubuhnya semakin laju menggeletar ketakutan. Walaupun dia menutup mata, dia tetap dapat merasakan 'sesuatu' sedang berdiri di sisi kirinya ketika ini.
Usai membaca surah al-Fatihah, Rozi terus rukuk. Saat ini, makhluk persis pocong itu turut rukuk sambil memandang ke arah Rozi di sebelahnya.
Keadaan itu benar-benar mengganggu khusyuk Rozi sepenuhnya. Namun, dia cuba untuk selesaikan solatnya tanpa terbatal.
Saat Rozi iktidal, makhluk persis pocong itu turut menegakkan tubuh dan masih memandang ke arahnya. Kemudian, dia terus sujud. Dan makhluk persis pocong itu terus meniru perbuatan Rozi sehinggalah dia selesai membaca tahiyat akhir. Dan saat dia memberi salam pun, dia masih menutup kedua-dua kelopak matanya. Selesai memberi salam, dia terus menekup muka dengan kedua-dua telapak tangan dan terus membaca ayat Kursi.
Saat ayat itu dibaca, makhluk persis pocong tadi tiba-tiba menggeletik seperti cacing kepanasan, lalu mengesot menjauhi Rozi dan mula keluar dari bilik itu.
Rozi masih menutup mata walaupun usai membaca ayat Kursi. Tetapi, sampai bila dia mahu terus duduk dalam keadaan tahiyat akhir begitu sambil menutup mata? Kakinya pun sudah mula terasa kebas.
Dengan keberanian yang masih bersisa, perlahanlahan dia membuka kelopak mata. Pandangannya menjadi kabur akibat mata yang ditutup agak lama. Dia menggosok kedua-dua matanya dengan sesiku telunjuk.
Terkebil-kebil dia buat seketika sambil memandang sejadah di lantai. Dia memandang ke arah kiri dan kanan. Sekadar memandang melalui hujung mata sahaja. Selepas memastikan tiada apa-apa, barulah dia berani menoleh ke persekitaran bilik.
Nafas lega dihela selepas dia yakin tiada apa-apa di sekelilingnya. Namun, dia masih belum pasti sama ada 'sesuatu' itu benar-benar wujud atau tidak di belakangnya sebentar tadi.
Hampir 30 saat mencari kekuatan, akhirnya dia memberanikan diri memandang ke belakang. Sekali lagi dia menghela nafas lega apabila tiada apa-apa yang kelihatan. Daun pintu biliknya juga kelihatan tertutup rapat seperti sebelum ini. Jadi, bunyi apa yang dia dengar tadi?
Belum pun 24 jam dia berada di vila ini, macam-macam gangguan sudah dia alami. Namun, sehingga kini dia masih belum mampu untuk membuktikan apa yang didengari, dilihat dan dirasai itu benar-benar terjadi atau sekadar mainan perasaannya sahaja kerana terlalu paranoid dengan keluarga abang iparnya selama ini.
Kadangkala, apabila manusia terlalu obses akan sesuatu, boleh terbawa-bawa dengan rasa yang sebenarnya tidak perlu ada. Kadangkala, apa yang tiada pun boleh jadi ada kerana terlalu memikirkannya sehingga membuatkan garis halusinasi dan realiti di minda mulai tidak sejajar, yang mana boleh merobohkan kepercayaan dalam diri.
Walaupun mindanya cuba menganggap apa yang baru dia alami sebentar tadi hanya sekadar mainan perasaan, Rozi tetap rasa gelisah. Di suatu sisi perasaannya yang lain, dia yakin dengan apa yang dia rasai sebentar tadi benar-benar berlaku. Sama ada ini semua petanda atau sebaliknya, dia tidak pasti.
Keluhan berat dihela. Buat masa ini, dia memilih untuk mengabaikan sahaja hal yang berlaku tadi.
Sejadah dilipat dan diletakkan di atas katil. Telekung ditanggalkan. Dia mahu bersiap untuk ke aras bawah, mengambil alih giliran membaca Yasin buat jenazah kakak dan abang iparnya yang masih di ruang tamu.
Selepas melipat telekung dan diletakkan di atas katil, dia melangkah ke tepi tingkap sambil mengikat rambutnya yang masih lembab. Dia memandang ke luar bilik. Sekadar ingin melihat persekitaran vila itu pada waktu malam. Tiada apa yang dapat dilihat selain pokok-pokok durian yang sudah meninggi. Namun, sesaat kemudian pandangannya terhenti pada satu kelibat tidak jauh di dalam kebun durian yang betul-betul menghadap bilik itu.
Di sebalik gelap malam dan cahaya malap bulan separuh, kelihatan kelibat putih sedang melompat menuju ke dalam kebun durian yang bersebelahan dengan vila. Berkerut dahi Rozi cuba melihat kelibat itu. Namun, sekadar muncul sekejap sahaja kerana kelibat putih itu semakin hilang di sebalik gelap malam. Hatinya mula yakin ada yang aneh di kampung ini atau mungkin di vila ini.
Selepas memastikan kelibat itu tidak kelihatan lagi, Rozi terus bersiap untuk ke aras bawah.
SELEPAS memakai selendang di kepala, Rozi sekali lagi melangkah ke tepi tingkap, melihat ke arah kebun durian itu sekali lagi. Sekadar ingin memastikan apa yang dia nampak tadi benar-benar wujud atau sekadar mainan perasaan.
Hampir seminit menanti, dia tidak nampak lagi kelibat aneh itu. Kebarangkalian apa yang dilihat tadi hanya kesilapan pandangan mata adalah tinggi. Langkah diatur menuju ke cermin solek yang memantulkan pandangan ke arah tingkap. Wajahnya dibelek di hadapan cermin sambil mengemaskan kedudukan selendang di kepala.
Saat dia memandang ke arah tingkap melalui cermin, dengan jelas dia melihat seperti sebatang tubuh berbungkus kain putih lusuh dan kotor persis pocong sedang terapung di luar tingkap menghadap ke arahnya.
Dengan pantas dia menoleh ke belakang. Jantungnya berdebar kencang.
Terkebil-kebil dia buat seketika. Tiada apa-apa di luar tingkap ketika ini. Nafas yang tenang kembali laju.
Seketika kemudian, perlahan-lahan dia kembali memandang ke cermin solek di hadapannya. Makhluk berbungkus kain putih lusuh dan kotor persis pocong tadi sudah tidak kelihatan lagi. Hatinya semakin tidak tenteram. Dia semakin yakin ada yang tidak kena di vila ini.
Selepas merapikan kedudukan selendang di kepala, dia mula meninggalkan bilik itu untuk ke aras bawah. Namun, langkahnya terhenti saat melintasi bilik yang berhadapan dengan biliknya. Pintu bilik itu terbuka luas. Jika menurut Sarah tadi, itu merupakan bilik tidur anak saudaranya, Dani.
Perlahan-lahan dia menghampiri muka pintu. Kelihatan Dani sedang nyenyak tidur sendirian di katil. Tiada sesiapa di dalam bilik itu. Dengan penuh berhati-hati, dia melangkah masuk. Saat matanya terpandang gambar-gambar yang tergantung di dinding, rasa sebak kembali menyapa sanubari.
Dinding yang bersebelah dengan pintu masuk bilik itu dipenuhi dengan gambar-gambar Dani sejak lahir sehinggalah yang terkini bersama kakak dan abang iparnya. Kelahiran yang membawa kegembiraan dan keceriaan di dalam keluarga kakaknya. Terpancar kegembiraan dan kebahagiaan pada wajah kakaknya dalam setiap gambar yang ada.
Tanpa sedar, air mata mula bergenang. Dalam sekejap sahaja air hangat itu terus menitis membasahi pipi. Rasa terharu dan pilu bercampur menjadi satu di sanubari. Dia hanya mampu menumpang rasa gembira dan bahagia itu saat melihat gambar-gambar yang ada.
Lamunannya terhenti saat mendengar keluhan Dani di katil. Dia menoleh ke arah anak saudaranya itu yang kelihatan sedang menggerakkan tubuhnya. Mungkin anak kecil itu sedang bermimpi sesuatu yang menyedihkan kerana jelas kelihatan kerutan di dahi si kecil itu.
Rozi menghampiri katil, lalu duduk melutut di atas lantai betul-betul di sisi katil Dani. Dia menatap wajah anak saudaranya itu dengan rasa sedih dan sayu. Berat dugaan anak kecil itu. Kala usia baru lima tahun, sudah kehilangan ibu dan ayahnya. Saat belum mampu menghadam erti kehidupan, sudah hilang tempat bergantung.
Perlahan-lahan Rozi menekan bahagian tengah dahi Dani dengan hujung telunjuknya dengan harapan kerutan itu akan hilang. Tindakannya itu berjaya menghilangkan kerutan di dahi Dani. Dia berharap mimpi buruk yang sedang dialami oleh si kecil itu turut berlalu pergi.
Dengan lembut, pipi Dani diusap. Wajah Dani ada iras wajah kakaknya. Hal itu membuatkan rasa rindu pada arwah kakaknya kembali menyaluti tangkai hati. Sungguh dia rindu dengan kakaknya ketika ini.
Dani mengeliat. Cepat-cepat Rozi menarik tangannya daripada terus mengusap lembut pipi si kecil itu. Mujur lena Dani tidak terganggu. Dengan perlahan, dia menarik selimut yang ada di pinggang Dani sehingga paras dada. Tenang hatinya melihat si kecil itu yang sedang lena. Wajah suci yang belum dicemari dosa itu sungguh mendamaikan.
Kreek ....
Kedengaran bunyi engsel pintu. Pantas Rozi menoleh, memandang ke arah pintu bilik yang berhadapan dengan bilik Dani sambil menyeka air mata. Tiada sesiapa yang kelihatan. Pintu biliknya kelihatan tidak bergerak dan sedia terbuka luas sejak tadi.
Jadi, bunyi engsel pintu tadi, dari pintu bilik mana?
Seketika kemudian, Rozi tersentak kecil. Satu persoalan muncul di fikirannya.
Adakah bunyi engsel pintu tadi datangnya dari bilik hujung itu?
Dengan rasa ingin tahu yang mula menebal, dia bangkit berdiri dan mula melangkah menuju ke muka pintu. Tanpa disedari, Dani di belakangnya perlahan-lahan mendudukkan diri di katil. Jelas kedua-dua mata si kecil itu bercahaya merah, memandang tajam ke arah Rozi untuk beberapa saat sebelum menyeringai.
Rozi menoleh ke belakang dengan pantas saat telinganya disapa dengan suara seperti menyeringai. Namun, tiada apa-apa yang aneh di belakangnya ketika ini selain Dani yang sedang nyenyak tidur di atas katil.
Si kecil itu sudah mengiringkan tubuhnya menghadap dinding seraya membelakangi Rozi. Seketika kemudian, Rozi kembali memandang ke depan.
Kreeek ....
Bunyi keriuk engsel itu kedengaran lagi. Kali ini lebih jelas dan datangnya dari arah bilik hujung itu! Bilik yang menurut Sarah tiada sesiapa pernah masuk dan sentiasa berkunci.
Perlahan-lahan dan dengan rasa debar di dada, Rozi mengintai ke arah bilik hujung itu dari sebalik pintu. Tebakannya mengena! Bunyi engsel memang datang dari bilik hujung itu! Kelihatan pintu bilik itu sudah terbuka separuh.
'Ada apa dalam bilik tu?' Terdetik di hati Rozi.
Rasa ingin tahu Rozi lebih tebal berbanding rasa takut ketika ini. Dengan keberanian yang semakin menebal, dia mula melangkah perlahan-lahan menuju ke bilik hujung itu. Namun, keadaan bilik itu yang gelap menyebabkan dia tidak dapat melihat apa yang ada di dalam.
Kreek ....
Langkah perlahannya terhenti mendadak apabila daun pintu bilik hujung itu tiba-tiba bergerak sendiri dan terbuka dengan lebih luas.
Rozi kembali menyambung langkah. Tinggal beberapa meter sahaja lagi untuk menghampiri bilik itu. Dengan tiba-tiba tercampak sesuatu dari dalam bilik itu menuju ke arahnya.
Sekali lagi, Rozi memberhentikan langkah sambil melihat apa yang baru sahaja tercampak di hadapannya itu. Seutas tali yang diperbuat daripada kain putih!
Berkerut dahinya melihat tali itu. Dengan penuh berhati-hati dia melutut dan cuba untuk mencapai tali kain itu.
Buat seketika Rozi meneliti tali kain itu. Tali itu kelihatan seperti ikatan kapan. Entah mengapa, rasa ingin tahu lebih menguasai diri ketika ini sehinggakan rasa takut yang agak mengganggu sebelum ini lenyap begitu sahaja. Dengan perlahan-lahan dia menarik tali kain yang tidak berpenghujung itu. Disebabkan bilik itu gelap, dia tidak pasti berapa panjang tali itu.
Belum sampai tiga meter tali kain itu ditarik, tiba-tiba tersekat. Seolah-olah tersangkut pada sesuatu yang ada di dalam bilik. Rozi kembali berdiri sambil menarik tali kain di tangannya yang masih tersekat. Belum sempat dia menarik dengan lebih kuat, tiba-tiba tali itu direntap kuat oleh sesuatu dari dalam bilik, lalu terlepas daripada tangannya.
"Kak Rozi buat apa kat situ?"
Mendengar pertanyaan itu, pantas Rozi berpaling. Kelihatan Sarah sedang memandangnya dengan wajah hairan sambil mengendong Dani yang terkulai layu di bahunya.
"Err ...." Rozi tergamam tidak tahu hendak menjawab apa.
Dia kembali memandang bilik hujung itu. Mengejutkan! Pintunya tertutup rapat! Sedangkan sebentar tadi pintu bilik itu terbuka luas. Siapa yang telah menutup daun pintu bilik itu? Sarah terus menanti jawapan daripada Rozi dengan wajah hairan.
"Err ... tadi, akak macam dengar bunyi sesuatu dalam bilik hujung ni," jawab Rozi teragak-agak.
Dia terpaksa menipu. Bimbang andai dia menceritakan situasi yang dia alami sebentar tadi bakal mengundang salah sangka.
"Oh, biasalah tu. Mungkin tikus. Kat vila ni selalu juga tikus liar tersesat masuk," ujar Sarah, lalu membawa Dani masuk ke dalam bilik.
Rozi memandang lagi bilik hujung di hadapannya untuk seketika. Pintunya masih tertutup rapat. Dengan rasa hairan yang masih tebal, dia kembali ke bilik Dani.
"Sarah bawa Dani ke mana tadi?" tanya Rozi saat melihat Sarah sedang membaringkan tubuh Dani di atas katil.
"Sarah dari bawah. Dani tertidur kat ruang tamu sejak tadi. Kesian pula Sarah tengok dia tidur sendiri kat sofa. Tu yang Sarah angkat bawa masuk bilik. Dani memang macam ni. Selalu terlelap depan TV. Kalau tak ibunya, mesti ayahnya akan angkat dia bawa masuk bilik," jawab Sarah sambil menyelimutkan tubuh Dani.
Rozi menelan liurnya, kesat. Jawapan Sarah itu sungguh mengejutkan.
"Maksud Sarah, dari tadi Dani tidur kat bawah?"
Sarah mengangguk sambil mengusap umbun-umbun Dani yang masih nyenyak tidur. Rozi terus terkedu.
'Jika Dani sejak tadi tidur di aras bawah, pipi siapa yang dia usap sebentar tadi?' Persoalan itu mula bermain fikiran Rozi.