PERCINTAAN DEWI DENGAN IBLIS
Penulis: Amiene Rev
Blog: http://dukeamienerev.blogspot.com
Kira-kira dua dekad lepas, Sarimah menuntut di Universiti
Dalhousie di Nova Scotia, Halifax, Kanada. Nova Scotia terkenal sejak 200 tahun
dahulu sebagai sebuah daerah yang menawarkan banyak peluang pendidikan di
peringkat tinggi. Selain keindahan suasana empat musim setahun dan dekat dengan
pantai yang indah, Nova Scotia juga popular dengan seni dan budaya.
Apabila ada
kelapangan pada hujung minggu, Sarimah suka berjalan-jalan di Taman Victoria
sambil mendengar bunyi aliran air sungai merentasi batu-batu kelikir yang
besar-besar. Cukup menenangkan hati. Taman Victoria, adalah kawasan hutan yang
cukup indah. Warna tumbuh-tumbuhannya hijau keemasan. Dikatakan, sesiapa yang
pergi ke Truro, tidak akan lengkap perjalanannya jika tidak singgah ke taman
ini. Apabila kepenatan, Sarimah akan duduk di kerusi kayu menghadap air terjun
sambil membaca novel romantik Inggeris.
Suatu hari,
ketika Sarimah ingin duduk di kerusi yang biasa didudukinya, dia ternampak seorang
pemuda sedang tunduk termenung.
“Hai, maafkan saya. Boleh saya
duduk di sini?” Begitu sopan bahasanya.
Pemuda itu mengangkat
kepalanya. Rambutnya disikat ke belakang. Rupanya kelihatan seperti orang Melayu
atau Indonesia. Dia memandang ke arah gadis berbadan ramping, berpakaian serba
kelabu itu. Pemuda itu mengangguk sebelum berdiri untuk beredar.
“Tidak mengapa,
awak boleh duduk di sini. Saya cuma ingin membaca novel. Kebetulan ini tempat
kesukaan saya.” Sarimah teragak-agak untuk duduk apabila dia merasakan dirinya
telah menyusahkan lelaki tersebut.
Pemuda itu
tersenyum. Rupanya kelihatan manis. Matanya redup. Seketika itu juga jantung
Sarimah berdebar-debar. Lelaki memberi tunduk hormat kepada Sarimah, lalu
beredar pergi selepas melambai-lambai kepada Sarimah.
Hati Sarimah
menjadi kurang selesa. Dia telah menyusahkan lelaki itu barangkali. Kebiasaan
telah menyebabkan Sarimah ingin duduk di kerusi tersebut. Seolah-olah dia telah
menjajah kawasan di situ. Sarimah mengeluh seketika sambil memandang air
terjun, menenangkan semula dirinya.
-o-
Suatu hari ketika
di perpustakaan awam, ketika Sarimah sedang mencari buku yang dikehendakinya,
dia ternampak pemuda itu lagi. Lantas, tanpa berfikir panjang, terus Sarimah
mendekati lelaki tersebut.
“Hai, kita
berjumpa lagi. Saya...” tiba-tiba Sarimah hilang bicara apabila lelaki itu
berpaling ke arahnya.
Wajah pemuda itu cukup
manis dan mampu memikat hati mana-mana wanita yang memandangnya. Degupan
jantung Sarimah meningkat lagi.
“Saya ingin minta
maaf sebab mengganggu awak tempoh hari. Maksud saya ketika awak sedang duduk-duduk
di Victoria Park.” Sarimah agak serba-salah. Pandangan mata redup lelaki itu
membuat jiwanya kacau. Ada rasa gembira, ada rasa segan, ada perasaan yang
bercampur baur.
“Tidak mengapa.
Itu cuma hal yang kecil saja.” Suara lelaki itu agak dalam tetapi lembut.
“Saya tidak
sangka, kita belajar di universiti yang sama.”
“Oh, saya
sebenarnya belajar di Amerika, tetapi saya sedang menjalankan projek tahun
akhir saya di sini.” Lelaki itu menepuk lembut buku yang ada di tangannya.
“Wow. Awak ambil
kursus apa?” Sarimah nampaknya semakin berminat untuk mengenali lelaki itu.
“Mungkin awak
kurang minat dengan kursus yang saya ambil.” Lelaki itu menuturkan kata-katanya
secara perlahan-lahan.
“Saya rasa, tidak
ada kursus yang saya tidak minat di sini atau di mana-mana universiti. Semua
kursus adalah menarik bagi saya.”
“Awak pernah
dengar tentang demonologi?” Mata lelaki itu bertentangan dengan mata Sarimah.
“Itu... itu
kursus tentang aktiviti paranormal, bukan? Itu kursus yang unik!” Mata Sarimah
terbeliak. “Jadi awak datang ke Nova Scotia untuk ini?”
“Ya. Ada beberapa
kes di Nova Scotia yang saya yakin ada kaitan dengan paranormal. Brooklyn, Eel
Brook, dan kebanyakan kes di Truro.” Lelaki itu memandang tepat ke arah
Sarimah. “Awak tidak takut dengan bidang seperti ini?”
“Oh, tentu tidak.
Saya tidak percaya. Lagi pun saya dibesarkan di Kanada sejak kecil. Walau pun
keluarga kami sebenarnya dari Malaysia.” Entah kenapa, tiba-tiba Sarimah
bercerita tentang dirinya.
“Awak juga dari
Malaysia?” Lelaki itu membeliakkan matanya. Wajahnya semakin ceria.
“Ya. Ya, saya pun
lahir di Malaysia juga. Cuma, kemudian keluarga kami berpindah ke mari dan kami
sudah berbelas tahun tinggal di sini. Awak orang Malaysia?” Sarimah
tergagap-gagap. Hatinya terasa ringan. Emosinya seolah-olah terangkat sedikit.
Ada rasa lapang dan senang hati.
“Ya. Saya mungkin
akan kembali ke Malaysia selepas tamat pengajian.” Lelaki itu dengan mudah
berterus-terang. “Awak ingin kembali ke Malaysia? Saya boleh bawakan.”
Sarimah terdiam. Soalan
yang ditanya oleh lelaki itu adalah soalan yang kerap kali terdetik di hatinya.
Kembali ke Malaysia adalah impian Sarimah. Tidak kira betapa cantik pun Kanada,
Sarimah tetap ingat tanah kelahirannya. Sarimah mengangguk.
“Nama saya
Akalil.”
“Maaf, tadi saya
terlupa memperkenalkan diri. Saya Sarimah.”
Sejak itu,
hubungan Akalil dan Sarimah semakin rapat. Biarpun bidang pengajian mereka
berbeza, mereka tetap cuba untuk meluangkan masa bersama-sama. Ada juga
sesekali Sarimah berhajat untuk mengikuti Akalil menjalankan penyelidikannya
tetapi lelaki itu keberatan untuk membenarkannya.
-o-
Setahun berlalu,
lelaki tersebut ingin kembali semula ke Amerika. Sarimah keberatan untuk
melepaskan Akalil.
“Apa kata kita
berkahwin sahaja?” Kata-kata itu kedengaran mudah, tetapi entah bagaimana
hubungan Sarimah dan Akalil tidak direstui oleh ibu bapa Sarimah. Bidang yang
diambil oleh Akalil menimbulkan rasa takut kepada mereka.
“Kenapa pilih
lelaki seperti itu? Ada banyak bidang yang lebih menjamin masa depan lagi.
Jurutera, arkitek, akauntan, ahli matematik dan lain-lain bidang.” Marah benar
ibu bapa Sarimah apabila mengetahui hasrat anaknya itu. “Sarimah satu-satunya
anak Mama dan Papa. Mama dan Papa mahukan yang terbaik.”
Sarimah merajuk.
Sejak hari itu, Sarimah langsung tidak pulang menemui ibu bapanya. Dia begitu
benci dengan ibu bapanya kerana menolak lelaki pilihannya. Sesekali ibu bapanya
menelefonnya, mengutus surat, tetapi langsung tidak dibalasnya. Kemarahan
Sarimah cukup kuat, dendamnya cukup dalam, panas membara dan tidak ada
tanda-tanda akan padam.
Konflik antara Sarimah dengan
ibu bapanya berakhir apabila kedua-dua mereka terlibat dalam satu kemalangan
jalan raya. Sarimah yang merupakan anak tunggal dalam keluarganya kini menjadi
sebatang kara. Akhirnya Sarimah bernikah dengan Akalil.
Sejak kehilangan
ibu bapanya, Sarimah semakin kerap pergi ke rumah orang-orang tua. Dia lebih
banyak menghabiskan masanya melayan orang-orang tua. Dia lebih banyak melakukan
kerja-kerja kebajikan. Dia rasa begitu berdosa kerana dan menyesal kerana
bersikap derhaka terhadap ibu bapanya. Hubungan
Sarimah dengan Akalil tiba-tiba menjadi suram, tetapi Akalil begitu pandai
bermain kata-kata dan memujuk Sarimah.
Kegembiraan
kembali datang bercahaya apabila Sarimah mengandung. Bayi yang bakal dilahirkan
adalah bayi perempuan. Hubungan Sarimah dan Akalil kembali rapat. Akalil
menjaga Sarimah dengan penuh kasih sayang. Bayi sulung itu diberi nama Qistina.
Qistina Balqis.
Dua tahun
kemudian, Sarimah mengandung lagi. Kali ini anak lelaki. Bayi itu adalah Zaqwan
Haiqal. Dengan adanya anak perempuan dan anak lelaki dalam hidup mereka,
keluarga Sarimah kembali bahagia.
Kebahagiaan itu bertahan
selama beberapa tahun. Suatu hari Qistina Balqis diserang demam yang teruk. Sarimah
membawanya bertemu dengan doktor tetapi doktor tidak dapat mengesan apa-apa
perkara yang pelik. Akalil mengatakan bahawa anak mereka itu diganggu oleh
syaitan. Cuma rawatan dengan menggunakan teknik yang dipelajari oleh Akalil
menerusi bidang demonologi atau ilmu paranormal sahaja dapat merawatnya.
Ternyata Akalil betul.
Sehinggalah satu
hari, Qistina diserang penyakit misteri yang paling teruk. Akalil cuba merawat
Qistina tetapi gagal. Qistina menghembuskan nafasnya yang terakhir. Ketika
itulah Akalil terdengar bisikan syaitan. Syaitan yang menggelarkan dirinya
sebagai Azazil, jin petala langit dan bumi, raja sekalian syaitan. Makhluk terkutuk
itu menawarkan satu peluang kepada Akalil untuk menghidupkan semula Qistina
tetapi Akalil mesti menjadi pengikutnya. Kesedihan telah menyesatkan Akalil,
lalu dia pun menerima tawaran tersebut. Qistina hidup kembali tetapi sikapnya
telah berubah seratus peratus. Sejak hari itu, Akalil memakai sebentuk cincin.
Bilangan cincinnya bertambah dari tahun ke tahun. Sarimah juga sering dilanda
perasaan seram namun kata-kata manis Akalil dengan mudah dapat mententeramkan
semula Sarimah.
Sarimah tidak
mampu bertahan lagi. Rumah mereka bagaikan pusat pemujaan syaitan. Akalil turut
mendapat sokongan daripada ramai pemuja syaitan termasuk golongan hartawan dan
ahli politik. Suatu ketika, Sarimah mengambil keputusan untuk meninggalkan
suaminya. Entah bagaimana, Akalil merestuinya.
“Jauhkan diri
daripada Abang. Biarlah Abang dan Qistina kekal di sini sebagai mematuhi
perjanjian Azazil. Sarimah dan Haiqal pergilah ke Malaysia dan tinggallah di
alamat ini.”
“Abang... maafkan
Sarimah.” Sarimah menangis tersedu-sedan.
“Abang yang patut
minta maaf dengan Sarimah. Abang pernah berjanji mahu bawa Sarimah kembali ke
Malaysia dulu tetapi sampai sekarang Abang belum tunaikan janji itu.” Begitu
hiba nada suara Akalil.
Dengan duit
simpanan yang masih banyak tidak terusik, Sarimah dan Haiqal pun berangkat ke
Malaysia. Haiqal begitu sedih kerana terpaksa berpisah dengan kakak dan
ayahnya.
“Ingat Sarimah.
Mulai hari ini, Abang ceraikan Sarimah. Abang tidak lagi wujud di hati
Sarimah...” begitulah kata-kata akhir suaminya. “Anggap sahaja Abang sudah
mati.”
Maka bermulalah
kehidupan baru Sarimah dan anaknya Haiqal di Malaysia.
-o-
Suatu hari,
Azazil datang mengunjungi Akalil. Suasana di rumah agam itu menjadi begitu
gelap. Angin berderu-deru tetapi hujan langsung tidak turun. Akalil dan Qistina
segera sujud menyembah kepala syaitan itu.
“Haiqal dan
Sarimah akan kembali menjadi pengikutku. Kau cuma perlu laksanakan apa yang aku
suruh selepas ini.”
Ternyata,
pemergian Sarimah dan Haiqal adalah selaras dengan rancangan jahat kepala
syaitan itu. Perancangan yang memakan masa bertahun-tahun daripada makhluk yang
sentiasa mengirim pengikut-pengikutnya yang terlaknat untuk mencuri
rahsia-rahsia langit.
LAIN-LAIN KARYA AMIENE REV(sehingga
karya ini ditulis):
05 JUN 2015:Cerpen
Jin Galah
06 JUN 2015:Cerpen
Jin Galah 0.1: SPESIES
18 JUN 2015:Cerpen
Jin Galah 0.2: SUAMI
20 JUN 2015:Cerpen
Jin Galah 0.3: RINDU
21 JUN 2015:Cerpen
Jin Galah 0.4: SRIKANDI
23 JUN 2015:Cerpen
Jin Galah 0.5: MUTASI
28 JUN 2015:Cerpen
Anak Kecil Di Tengah Malam
3 JULAI 2015:Cerpen
Jin Galah 0.6: REKRUT
15 OGOS 2015:Novel
IBRIM & TOWA - Cinta Gadis Ular