Home Novel Seram/Misteri Rahsia bukan rahsia
Rahsia bukan rahsia
Maryani Zailani
14/2/2024 00:27:17
20,535
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 9
Imbas kembali…

10 tahun lalu…

Najwa menjenguk keluar melalui tingkap ruang tamu. Patung teddy bear dipeluk bersama. Ketika itu dia tinggal di bahagian paling bawah blok 4 kolej kediaman. Ibunya bekerja sebagai jururawat di unit kesihatan kolej. Ayahnya pula pekerja pejabat di bahagian pendaftaran pelajar. 

 Najwa sunyi. Dia tiada adik beradik lain. Mahu keluar bermain, tiada rakan sebaya. Kebanyakan anak staff sudah menginjak remaja. Bertambah sunyi blok kediamannya apabila sekarang ini cuti semestar. 

 Najwa membelek-belek komik penyiasatan. Bosan. Isinya sudah dihafal benar. Kadangkala terasa dialah watak utama komik itu. Menyiasat sesuatu kes dan berjaya diselesaikan. Tersengih-sengih Najwa dengan angannya. Nanti dia mahu meminta ibunya komik baru. Dia beralih kepada komputer pula. Mahu bermain permainan dalam talian. 

 Sedang menunggu rakan dalam talian menyertai permainannya, dia terpandangkan seorang pelajar perempuan iaitu Raudhah bersama seorang lagi pelajar lelaki, siapa lagi jika bukan Arif Kamal menuju ke arah bloknya. Najwa tahu Raudhah antara penghuni blok itu. Beberapa kali terserempak kalau dia keluar rumah. 

 Anak tangga didaki deras oleh Raudhah. Berlaga-laga tumit kasut dengan permukaan keras. Seseolah perempuan itu sedang berlari-lari mahu mendapatkan sesuatu mustahak yang tertinggal di dalam rumah.

Najwa terganggu dengan bunyinya. Dia membuka pintu utama rumah. Memerhati. Tiba-tiba dia mendapat idea alang-alang bosan sendirian di rumah. Telefon bimbit jenis berkamera pemberian ibu ayah disauk sekali. Mungkin ini hari untuk dia beraksi dan mempraktik skill dipelajari melalui pembacaan komik penyiasatan, siapa tahu, kan?

Satu persatu aras diperhatikan. Dia mencari ke mana Raudhah pergi. Akhirnya, tiba di tingkat paling atas. Satu pintu rumah terbuka sedikit. Akibat rasa ingin tahu menebal, Najwa mengatur langkah perlahan-lahan ke situ agar tidak ketahuan. Dia mencuri dengar dan mengintai dari situ. 

Najwa hairan melihat Maisarah seperti sedang mengerang kesakitan sambil memegang dada. Maisarah seakan merayu kepada Raudhah. Kakinya dipegang seseolah mahu meminta pertolongan. Malangnya, Raudhah hanya bercekak pinggang sambil tersenyum sinis. Ketika itu mereka berdua di dalam bilik yang terbuka luas pintunya.

Najwa cepat-cepat mengeluarkan telefon bimbit. Dia membuka aplikasi telefon. Dia membidik beberapa gambar. Malangnya bidikan itu kurang jelas. Najwa berhati-hati melangkah masuk ke dalam rumah. 

“Tolong… tolong aku! Aku tak boleh bernafas.” 

Raudhah menarik kakinya.

“Kenapa? Nebulizer kau dekat mana?” Raudhah bukan bertanya, akan tetapi menyindir. Dia tertawa sambil menepuk dahi. “Dah habis? Atau ada orang buang?”

Maisarah terbeliak biji mata, “Buang? Kau buang?”

“Kau rasa?” Raudhah ketawa lagi kuat.

“Kejam! Kau nak apa sebenarnya? Kau dah dapat Arif Kamal. Korang dah berjaya memperdayakan aku dari awal.”

Raudhah menjeling surat-surat yang ditemui Maisarah. Dia mengutip satu persatu dengan perasaan puas hati. 

“Kau dah tahu semua… baguslah!” Surat itu ditampar ke muka Maisarah. “Tak perlulah aku jelaskan semua. Aku memang sengaja nak kau tahu! Penat aku berpura-pura baik. Aku benci kau dari awal lagi!” 

“Kenapa?” Maisarah semakin perit dadanya.

“Sebab kau cantik. Baik. Bijak! Semua pensyarah puji kau. Pelajar lain macam tak wujud di mata mereka!”

Maisarah kesal dengan kenyataan itu. Mereka sudah dewasa namun ada sesetengah perkara tidak mampu difikirkan secara matang. 

“Jadi, maafkan aku sebab aku terpaksa pergi. Aku datang ni sebab nak pulangkan duit tiket kau. Sorry. Aku memang sengaja sakitkan hati kau.”

Wang dalam sampul biru diletak atas meja belajar Maisarah. 

Maisarah sudah tidak mampu membalas apa-apa. Terasa nyawanya memang benar-benar di hujung kerongkong. 

“Senyum sikit. Benarkan aku keluar dari rumah ini dengan hati yang gembira.” Raudhah tergelak-gelak. “Kau tak mungkin nak mati, kan?” Tiba-tiba dia bimbang.

Maisarah terus terkulai. Putus sudah nafasnya. Matanya terbeliak. 

“Hei!” Raudhah menyepak kaki Maisarah. Dia diserbu ketakutan. Terketar-ketar jari-jemari semasa cuba mengesan hembusan nafas di bawah hidung Maisarah. Kebimbangan itu menjadi kenyataan.

Raudhah lekas mengutip surat-surat tadi. Mencari-cari apalagi barangan penting yang mungkin menjadi bukti kejadian.  

Najwa sedari tadi menyaksikan kejadian itu, terus kalut. Dia kurang mengerti. Namun tetap juga berlari keluar dari rumah itu. Dia terlanggar rak kasut lalu menghasilkan bunyi kuat. Raudhah di dalam bilik, terkejut besar! 

Sebaik sahaja Najwa beredar, giliran Raudhah pula. Dia sempat menekan kunci tombol pintu utama semasa melangkah keluar. Dia mahu membuatkan kejadian itu berlaku secara semula jadi. 

Previous: Iklan
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.