Home Novel Komedi/Romantik Komedi Terjatuh Hatiku Padamu
Terjatuh Hatiku Padamu
Zan Zarida
25/11/2019 19:33:11
20,327
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Senarai Bab
Bab 2

SEJAK mengetahui siapa calon isteri abang iparnya, Kamar jadi tidak keruan. Kenapalah ketika hatinya mula terbuka untuk bercinta, seawal itu pula dia perlu menempuh dugaannya? Dia baru menghitung hari dan mahu segera menamatkan pengajiannya.

Selepas itu, dia mahu terus balik ke Malaysia dan menjejaki gadis itu. Saat ini dia amat berharap semoga abang iparnya benar-benar mengotakan janjinya. Perkahwinan Izhan dengan gadis itu tidak seharusnya terjadi. Namun, siapalah dia untuk melawan takdir andai gadis itu memang bukan untuknya. Apa yang mampu dia lakukan hanya berdoa dan terus berdoa.

“Adik akak okey ke?”Zulaikha memandang sayu wajah Kamar yang jelas kemurungan. Belum sempat memulakan langkah, adiknya telah menemui jalan buntu. Peluang hanya terbuka dan bergantung pada keputusan akhir suaminya.

“Retak seribu!”

“Tak apa, plaster banyak dan boleh tampal balik,” pujuk Zulaikha.

“Takkan dapat cantumkannya semula, kak,” keluh Kamar.

“Alahai… kesiannya adik akak. Nasib kita hampir serupa.” Ika mengosok-gosok bahu Kamar. Mengerti perasaan adiknya.

“Tapi kenapa mesti dia,kak?”

“Tak ada manusia yang tak diuji, kan? Kalau Mar lulus, ada yang lebih baik bakal menanti.”

“Akak pulak, macam mana boleh tenang aje?” soal Kamar pula. Kalau dia jadi kakaknya, serba serbi akan jadi tidak kena.

“Begitulah hidup ini. Cinta itu bukan bermakna harus memiliki sepenuhnya. Ada waktunya ia juga perlu dikongsi dengan orang lain.”

“Semudah itu?”

“Tak mudah sebenarnya, tapi nak buat macam mana lagi? Mengamuk takkan selesaikan masalah.”

Kamar mengeluh. Dalam hati amat berharap Izhan tetap dengan pendiriannya dan tidak akan menduakan kakaknya.

“Hidup ini pun, bukan lama mana. Esok lusa entah bernafas entah tidak,”sambung Zulaikha.

“Akak janganlah cakap macam tu, sedih Mar dengar,” ucap Kamar sambil memandang sayu satu-satunya kakak yang dia ada. Dialah penawar, dia jugalah tempat mengadu segala masalah.

Mereka berdua memang rapat sejak kecil. Tidak pernah berpisah dan sentiasa bersama. Apabila kakaknya menyambung pelajaran di Manchester, setahun kemudian dia pula menyusul dan belajar di universiti yang sama. Umur dia dan Zulaikha cuma berbeza setahun sahaja.

“Dah betul pun, buat apa kita nak tamak?”

“Betul akak izinkan kalau Abang Izhan betul-betul akan berkahwin dengan gadis tu?” soal Kamar inginkan kepastian.

“Ajal maut dan jodoh pertemuan, semuanya ALLAH dah tentukan. Siapa kita hendak menghalangnya? Lagipun akak sedar keadaan akak,” tutur Zulaikha.

“Akak tak boleh terlalu cepat berputus asa.”

“Mar sendiri dah dengar apa yang doktor cakap, kan?”

“Ya, tapi doktor bukan TUHAN yang boleh tentukan berapa lama jangka hayat seseorang itu. Kesembuhan itu kalau TUHAN nak bagi, tiada rawatan dan ubat pun boleh sihat jugak,” selar Kamar, tidak bersetuju dengan kakaknya.

“Betullah tu, tapi jangan menggantungkan harapan terlalu tinggi. Kita hanya berusaha, selebihnya bersabar dan reda saja.”

“Abang ada cerita pasal calon isteri dia tu pada akak?” Kamar mengubah topik pula. Kalau boleh dia tidak mahu sentuh lagi isu kesihatan kakaknya.

“Kenapa Mar nak tahu?”

“Sajalah...”

“Masih mengharap?” duga Zulaikha.

“Susah nak cakap. Abang macam mana sekarang?”

“Itu yang akak risau, dia semakin tertekan dan buntu pasal hal ni.”

“Sian dia...” Kamar juga turut bersimpati dengan abang iparnya.

“Bila terjadi hal ni, baru dia nak bukak cerita pasal anak angkat mak danayah dia tu,” cerita Zulaikha.

“Oh! Jadi gadis tu adik angkat dialah?” Terkejut Kamar dengan pengkhabaran itu.

“Sebenarnya mak dan ayah Abang Izhan dan bela dari kecik. Mak dan ayah dia meninggal sewaktu dalam kemalangan. Bukan anak orang lain, anak kawan rapat mereka juga.”

“Pelik, kan? Semenjak kita kenal Abang Izhan, tak pernah langsung dia nak bercakap pasal keluarga dia.”

“Dia pun bukan rapat sangat dengan adik angkat dia tu. Dulu Abang Izhan sekolah asrama, jumpa masa cuti sekolah dan raya sahajalah. Lepas tu sambung belajar kat luar negara pulak.”

“Dah terjumpa akak, langsung lupa macam-macam!” sambung Kamar kemudian tertawa pula.

“Mar ni perli akak atau Abang Izhan?”

“Dua-dua!” jawab Kamar kemudian sambung ketawa lagi.

“Apalah khabar mak sekarang ni?” Tidak semena-mena Zulaikha teringkatkan emaknya pula.

“Mar ada terfikir nak balik jenguk mak.”

Zulaikha menekup wajahnya. Tiba-tiba dia berasa sangat sebak.

“Kak, kenapa ni?” Kamar turut risau melihat kakaknya yang bersedih.

“Akak banyak berdosa dengan mak. Tipu mak, tak nak dengar cakap mak...”

“Akak janganlah bersedih sangat. Mak tak pernah ambil hati pun dengan sikap anak-anak.”

“Itu kata Mar, perasan mak yang sebenarnya tiada siapa yang tahu.”

Perkahwinannya dengan Izhan tanpa pengetahuan kedua-dua keluarga. Hanya Kamar seorang yang tahu hal ini kerana dia yang menjadi wali semasa pernikahan Zulaikha dan Izhan. Hampir setahun perkara ini menjadi rahsia. Andai emak mereka tahu perkara ini, tidak dapat Zulaikha bayangkan.

Emak mereka bukanlah seorang yang garang, tetapi sangat pentingkan pelajaran anak-anaknya. Dia tidak akan menyokong andai mahu berkahwin pada usia muda. Apatah lagi kalau hendak berkahwin sewaktu masih dalam pengajian.

Bukan tidak pernah emaknya berkunjung ke Manchester menjenguk dirinya dan Kamar. Kelam-kabut juga dia sembunyikan barang dan pakaian Izhan di bilik Kamar. Izhan pula terpaksa menumpang beberapa hari di rumah kawannya. Terasa lucu pula apabila terkenangkannya.

Ketika ini, penangguhan pengajian Zulaikha juga emaknya tidak tahu-menahu. Sebenarnya mereka bercadang mahu berterus terang selepas Zulaikha selamat bersalin. Kononnya apabila sudah ternampak cucu di hadapan mata, emak mereka pasti tidak akan marah.

“Kenapa akak tersenyum pulak? Tadi bukan main bersedih!”

Lamunan Zulaikha terhenti apabila Kamar menegurnya.

“Terkenang kisah lama...”

Dia dan Izhan kenal pun secara tidak sengaja. Tidak pernah tahu pun rupanya mereka satu universiti. Pertama kali berjumpa ketika di kafetaria. Kebetulan masing-masing memakai baju berwarna hijau. Order pula ice blended berperisa yang sama.

Ketika mula-mula Zulaikha bertemu Izhan, dengan mudah hatinya terus tertawan. Jejaka itu dahulukan dirinya walau dia yang terlebih dahulu membuat pesanan. Baik sungguh, jauh berbeza dengan dirinya.

Rupa-rupanya jejaka itu juga mempunyai perasaan yang sama dengannya. Ternyata jodohnya sudah ditakdirkan dengan lelaki itu. Genap setahun mereka bercinta, terus ambil keputusan untuk berkahwin.  Kisah cinta mereka tidaklah semanis kurma, begitu pun tetap meninggalkan kenangan yang indah untuk diingati sampai bila-bila.

 

 

Previous: Bab 1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.