Pagi-pagi lagi Durrah dah mendengar gosip terbaru.“Apa kes si Imas berkicau pada pagi nan
ceria?” tegur Durrah setelah meletakkan beg di dalam lacinya.
“You punya SE tu la.”
Ginny berbisik sambil menjeling-jeling
pada tempat Fadillah yang masih kosong. “Petang semalam I dengar dia gaduh
dengan Mr. Akshay. Dia nak tukar tempat sebab dia kata tempat dia sejuk.”
Hah?” Durrah terlongo.
“Dia nak tukar ke mana?”
“Cuba you teka.” Ginny
dah tersenyum sinis.
“Err... I tak boleh
nak teka.” Durrah tersengih. Dia malas nak main teka teki sebenarnya.
“Dia nak duduk tempat
lama youlah,” kata Ginny.
“Hah? Tempat I kat HR
tu?” Bulat mata Durrah memandang Imas.
Ginny mengangkat bahu.
“Entah. Imas tegur dia semalam, suruh dia jangan tunjuk besar kepala. Berlagak
tak kena tempat. Sikit-sikit mengadu pada Datuk. Dia ingat dia siapa?”
Durrah menggeleng.
Suka hati betul Fadillah nak tukar tempat macam syarikat tu dia yang punya.
“Mr. Akshay dan Sivaranan tengah gelabah tu.”
Ginny menunjuk ke arah kedua-dua lelaki yang tengah hangat berbincang.
“Nak gelabah kenapa
pula?” Durrah tak faham. Sepatutnya mereka tak perlu risau apa-apa sebab banyak
modul dah berjaya disiapkan. Jika Datuk nak tengok, bagilah dia tengok.
“Mereka takut Datuk
tak puas hati. Dengar kata Datuk ada bawa penilai dari luar.”
Modul-modul yang menjadi
kebanggaan Mr. Akshay dan Sivaranan ditolak satu per satu oleh Datuk Singah.
Keadaan yang aman damai dulu tiba-tiba bertukar menjadi kelam kabut apabila
setiap SE subjek diminta menilai semula modul yang dah siap. Semua pembetulan
harus disiapkan dalam waktu yang singkat.
Maka, berjoget dan
balik lewat malamlah setiap SE dan GD yang terlibat.
Tambah
mengharu-birukan keadaan apabila Fadillah tiba-tiba menuduh Imas memukulnya dan
menyebabkan dia berasa trauma dan takut datang ke pejabat.
Mr. Akshay menghantar
Durrah dan Ginny untuk berbicara dengan Fadillah.
“Ayah saya orang
bandar tau. Jangan ingat saya tak ada duit nak saman dia!” Suara Fadillah
memetir di unit HR.
Durrah dan Ginny terkedu.
Rasa mereka, mereka datang dengan aman. Cakap pun bahasa lembut. Nada tak
tinggi. Kenapa tiba-tiba mereka kena tengking percuma?
“Sabar, Dil. Akak
datang ni bukan nak cari gaduh. Akak cuma nak tanya apa yang berlaku semalam.
Itu aje.” Durrah cuba berdiplomasi.
Ginny dah berpeluk
tubuh bersandar pada dinding, tunjuk muka bosan campur tengah tahan marah.
Durrah tahu kalau Ginny buka mulut, nahas Fadillah kena maki dalam bahasa
Mandarin. Jadi sebelum Ginny bertukar jadi Genghis Khan, lebih baik dia menyegerakan
tugasnya.
“Semalam Kak Imas
tolak saya. Dia kata nak tampar muka saya. Takut saya dibuatnya!”adu Fadillah.
Durrah lihat bibir
Fadillah dah menggigil. Tahan perasaan ke apa budak ni? Siapa yang marah dia
ek?
“Okey... bertenang,
Dil. Bertenang. Apa kata Dil duduk dulu? Kita bincang baik-baik.” Durrah kalau
boleh tak mahu memanjangkan jerit pekik yang berjaya menarik perhatian beberapa
staf Kolej BSC yang keluar masuk ke situ.
“Saya pun tak faham
kenapa Kak Imas tak suka saya. Apa yang saya dah buat?” Suara Fadillah kendur
sedikit.
Mahu saja Durrah
jawab, ‘semua orang tak suka kaulah, Dil. Sebab kau tu mengada-ngada sangat.
Macam diva. Tak bagi pindah tempat, terus ugut nak adu pada Datuk. Suruh ubahstoryboard pun nak adu pada Datuk. Sikit-sikit Datuk.
Tapi kalaulah Durrah
cakap macam tu, mesti Durrah pula yang main tarik-tarik tudung dengan Fadillah.
Sudahnya, dia diam saja. Malas nak panjangkan kisah gaduh budak-budak.
“Tak apalah, Dil.
Tenang-tenang dulu ya. Perkara ni boleh selesai dengan cara baik.” Durrah ambil jalan tengah. Menyokong tak,
membantah pun tak.
“Akak tolong pesan kat
dia. Saya ni orang bandar. Mampu nak upah peguam saman dia. Satu lagi... pesan
pada Mr. Akshay, saya ni ada Master BM. Saya tahulah apa yang saya buat. Tak
payah bising-bising kata saya lembab!”
Durrah terkedu. Ginny
dah mencuit bahunya memberi isyarat supaya mereka beredar sebelum dia pula yang
hilang sabar. Segera Durrah mengekori Ginny.
Tiba di lobi, mereka
berdua menjerit melepaskan perasaan yang terbuku tadi.
“You masih boleh
sabar, kan? Kalau I, mau aje I tampar muka dia tadi. Tapi nanti jadi kes polis
pula.” Ginny dah mundar-mandir di hadapan lif.
“Kenapa dia asyik
sebut dia tu orang bandar ek? Hairanlah. I ni lahir kat KL. Tapi tak pun nak
mengaku orang bandar Taman Bercahaya.”
“I lahir kat PJ. Tak
pun nak mengaku I orang bandar satelit,”sambung Ginny pula
Durrah dan Ginny
saling berpandangan sebelum kedua-duanya tergelak memikirkan kata-kata Fadillah
tadi. Langsung tak masuk akal.
“Masalah you dah selesai.” Seminggu
lepas kejadian tu, Ginny membawa khabar berita gembira buat Durrah.
“Dia dah letak jawatan
ek?” Durrah meneka.
“Yalah.”
“Aman sikit. Tak ada
orang nak jerit-jerit tak tentu hala lagi. Hmm... hari ni ada empat orang SE BM
baru akan masuk.”
“Wah... baguslah.
Tapi... Datuk tengah tak puas hati dengan kumpulan you. Semua modul Dil, kena
tolak.”
“Tunggu ajelah budak
baru tu masuk. I serah pada mereka. Panjang umur. Tu pun mereka.” Durrah bangun
menyambut Encik Rahman bersama empat orang staf baru; tiga perempuan, satu
lelaki.
“Durrah, ini Laila,
Diba, Fazlah dan Alfian.” Encik Rahman memperkenalkan kesemua staf baru itu
kepada Durrah. “Kamu semua... ini Durrah, ketua subjekBM.”
“Ketua subjek?” Durrah
mengulang dengan terkejut. “Sejak bila pula I jadi ketua?” tanyanya keliru.
“Sejak sekarang.”
Encik Rahman tersengih. “Datuk tanya pendapat Mr. Akshay. Dia yang cadangkan
you jadi ketua kumpulan.”
“Heh?” Suara Durrah naik satu nada. Terkejut.
Bukan mudah nak jadi
ketua. Pangkat semua orang nak. Tapi tanggungjawab yang didatangkan khas
seiring dengan pangkat yang diberi, semua tolak ke tepi. Malangnya dia bukan
begitu. Pangkat bererti tanggungjawab. Lagipun dia hanya dapat nama. Gaji dan
keistimewaan lain, langsung tiada. Sama saja levelnya dengan SE lain. Yang beza
cuma, jika ada kesilapan, kepalanya kena tembak dulu dengan Datuk Singah.
Seronok, kan?