Home Novel Komedi/Romantik Komedi DIA MENANTU RAHSIA
DIA MENANTU RAHSIA
Indah Hairani Latif
3/5/2015 22:57:11
219,528
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 8
BAB 8
ZAMER tidak sabar menunggu panggilannya dijawab. Beberapa emel yang dihantarnya masih tidak dijawab. Dadanya sudah seperti meletup merindukan insan yang bernama Melissa. Sudah beberapa bulan gadis itu meninggalkan kampung gara-gara berita emak Zamer, Mak Cik Odah ingin menyatukan Zamer dengan Doktor Suraya.
Malah Zamer sendiri tidak percaya, ibu bapa Suraya menerima lamaran emaknya sedangkan dia hanya juruteknik di pejabat swasta di pekan Pasir Puteh. Kata emaknya, keluarga Doktor Suraya daripada keturunan baik-baik. Doktor Suraya lemah lembut dan cantik. Habis? Melissa itu bukan daripada keluarga yang baik-baik? Melissa tidak cukup cantik untuk dia yang tidak berapa segak ini?
“Ya, mak tahu, Lisa tu baik dan ibu Lisa jugak baik. Tapi...”
Kata-kata emaknya masih terngiang-ngiang di telinga Zamer ketika Mak Cik Odah menyuarakan hasrat untuk menyatukan dia dengan Doktor Suraya.
72
“Tapi apa mak? Apa yang tak kena dengan Lisa tu?” soal Zamer segera.
“Bukan tak kena, tapi kan Lisa tu dah baik sangat dengan keluarga kita. Kalau kamu tak kahwin dengan Lisa pun, mereka dah tetap macam keluarga kita,” jelas Mak Cik Odah.
Zamer mengerutkan dahi. Kenapalah emaknya tidak pernah faham hatinya.
“Mer faham tak?”
Suara Mak Cik Odah terngiang-ngiang lagi di pendengaran Zamer.
“Tu alasan mak aje kerana nak bermenantukan seorang doktor, kan?” balas Zamer dengan wajah kelat.
“Hisy, ke situ pulak kamu ni. Kamu tak berkenan ke? Budak tu cantik, manis dan lembut,” ujar Mak Cik Odah sambil tersenyum lebar.
“Mak, Lisa tu tak cukup cantik ke lagi? Tak cukup lembut ke? Mak tahu kan anak mak ni bukan Aaron Aziz. Mak tengok lama muka anak kesayangan mak ni. Apa ada pada anak mak ni?”
Mak Cik Odah menekup mulut mendengar kata-kata Zamer. Barangkali Mak Cik Odah merasa lucu mendengar kata-kata Zamer.
“Anak mak ni lebih kacak daripada Aaron Aziz,” balas Mak Cik Odah lalu tertawa kecil.
Zamer hanya memuncungkan bibir tanda protes dengan keputusan emaknya.
“Kalau Mer tolak?” duga Zamer.
“Kamu tak sayang mak? Kamu nak jadi anak derhaka?” soal Mak Cik Odah sambil merenung tajam anaknya itu.
“Mak, hanya kerana tu, mak nak cakap Mer anak derhaka?”
“Kamu sayang mak atau tak?” soal Mak Cik Odah.
Zamer hanya menunduk. Soalan itu menutup peluang untuk dia berkata-kata lagi. Akhirnya Zamer terdiam.
73
“Diam tanda setuju,” ujar Mak Cik Odah.
Zamer tetap mendiamkan diri. Zaman telah berubah. Dulu orang perempuan mahukan lelaki yang berkerjaya lebih besar atau sama dengan mereka. Hari ini perempuan sudah tidak memilih seperti dulu. Tengoklah apa yang berlaku pada Zamer sendiri. Zamer hanya seorang kuli biasa, sedangkan Suraya seorang doktor. Zamer menggeleng-geleng. Tidak mungkin dia terima cadangan emaknya itu.
Sudah enam bulan tempoh yang diberikan Mak Cik Odah untuk dia memberi keputusan akan permintaan emaknya itu. Hari ini Zamer tekad untuk memberitahu keputusannya kepada Melissa. Dia akan memilih Melissa untuk menjadi isterinya, bukan Doktor Suraya.
Tut! Nada panggilan tidak berjawab kedengaran daripada telefon bimbitnya. Zamer tersentak. dia merenung telefon bimbitnya dengan rasa kecewa. Kenapa Melissa tidak menjawab panggilannya? Marah benarkah Melissa pada dirinya? Zamer menekan sekali lagi keypad telefon bimbitnya kemudian ditekapnya ke telinga. Dalam hatinya jenuh berdoa. Sempat dia merungut.
Sekali lagi nada yang sama mencecah pendengarannya. Zamer seperti ingin menjerit. Kecewa, marah dan geram bercampur baur dalam hati. Kalau ikutkan hati mahu saja Zamer membaling telefon bimbitnya ke batang tembesu di depannya. Biar telefon itu pecah. Biar telefon itu tahu, hati tuannya ini sakit. Kalaulah telefonnya itu boleh bercakap, entah apa yang dikatakan telefon bimbitnya itu pada Zamer.
Zamer termenung seketika. Kemudian kedengaran dia melepaskan keluhan. Susahnya apabila cinta dihalang. Tiba-tiba Zamer menekan-nekan sekali lagi butang keypad telefon bimbitnya. Kali ini, bukan panggilan pada Melissa mahu dibuatnya, tetapi pada Doktor Suraya. Dia tidak pernah menghubungi perempuan itu sejak diperkenalkan
74
emaknya. Tidak ada maknanya untuk cuba rapat dengan prempuan itu kalau hatinya tidak suka.
Zamer menunggu dengan sabar. Apa pun yang terjadi, dia sudah tidak kisah. Dia sudah reda. Mencintai seseorang lebih sakit daripada merindu. Zamer yakin, Doktor Suraya belum pun lagi mencintai dirinya. Dia harap Doktor Suraya juga memahami kehendak dirinya. Kehendaknya adalah membatalkan apa saja persetujuan yang telah dibincangkan antara emaknya dengan gadis itu.
“Helo.”
Tiba-tiba kedengaran suara lembut Doktor Suraya. Dada Zamer tiba-tiba berdebar.
“Helo! Ni Doktor Suraya?” soal Zamer terus.
“Ya saya. Siapa yang bercakap?”
“Saya. Doktor tak kenal saya? Saya pernah berjumpa doktor untuk rawatan,” ujar Zamer.
“Maafkan saya encik. Manalah saya ingat encik, pesakit saya ramai,” jawab Doktor Suraya dengan berhemah.
Zamer tersenyum. Lembut suara Doktor Suraya kedengaran di pendengarannya. Namun, tidak sedikit pun menjejaskan perasaan Zamer pada Doktor Suraya.
“Boleh encik beritahu nama encik, kami boleh semak,” pinta Doktor Suraya.
“Tak apa doktor. Saya akan ke klinik jumpa doktor,” ujar Zamer.
“Boleh saya tahu apa masalah encik?”
“Jantung, hati, dada saya.”
“Hmm... macam ni encik, saya doktor gigi. Saya nasihatkan encik, kalau melibatkan jantung, hati dan dada, encik perlu ke hospital...”
“Tak! Tak! Saya nak jumpa doktor jugak. Hanya doktor yang dapat mengubati penyakit saya,” pintas Zamer.
“Encik... encik..,” ujar Doktor Suraya, namun tidak menghabiskan kata-katanya.
75
Tiba-tiba panggilan diputuskan. Zamer tersenyum. Kau akan tahu Doktor Suraya, pesakit tenat ni akan datang sekejap lagi, desis Zamer dalam hati.
Zamer memasukkan kembali telefon bimbitnya ke dalam poket, kemudian melangkah ke kereta di kawasan parkir. Kereta yang diparkirnya di bawah pohon rhu kelihatan semakin jelas dari pandangan matanya. Zamer mengeluh. Apabila tiba di kereta, dia menguak daun pintu dan tanpa menunggu lama dia terus memandu memasuki pekan Pasir Puteh. Tidak sampai dua puluh minit, Klinik Gigi Muzail tempat Doktor Suraya bertugas pada setiap hari Sabtu kelihatan di depan matanya.
Zamer mencari parkir yang paling dekat dengan bangunan itu. Sebuah kereta kelihatan keluar dari sebuah parkir di depan klinik itu. Zamer terus memberi signal ke kiri lantas terus memasuki ruang parkir. Sebaik sahaja menempatkan kereta di ruang parkir, Zamer keluar dari kenderaannya dan selang dua buah kereta dari keretanya kelihatan kereta Mazda 3 milik Doktor Suraya.
Zamer menarik nafas dalam-dalam dan dilepasnya perlahan. Zamer, kau berhak tentukan kebahagian kau sendiri, bisik hati Zamer. Ya! Aku kena buat sesuatu. Zamer terus melangkah ke arah pintu masuk klinik dan menolak pintu kaca. Dua orang gadis yang berada di kaunter tersenyum ke arah Zamer. Namun, Zamer memandang mereka dengan riak wajah serius.
“Encik, boleh saya tolong?” tanya salah seorang daripada gadis itu.
Zamer menjeling pada tag nama yang terlekat di dada gadis yang menyoalnya. Nur Ain.
“Saya nak jumpa Doktor Suraya,” ujar Zamer pantas.
Gadis yang bernama Nur Ain memandang sekilas pada rakannya.
“Encik dah pernah datang ke? Kalau tak pernah, boleh bagi IC,” pinta Nur Ain.
76
“Nak jumpa doktor pun kena bagi IC ke?” soal Zamer, geram.
“Ya encik, kami nak daftar dan bagi nombor giliran,” jawab Nur Ain.
Terukir riak wajah tidak senang rakan gadis itu dengan cara Zamer berdepan dengan sahabatnya.
“Oh, kalau saya tak nak bagi IC, tak nak bagi nombor giliran? Cik nak buat apa kat saya?” soal Zamer sambil merenung tajam ke wajah Nur Ain.
Rakan gadis itu tiba-tiba berdiri untuk beredar. Zamer menduga, gadis itu ingin beredar masuk. Keadaan sedikit kecoh apabila kedengaran beberapa orang pelanggan bercakap sesama sendiri. Tanpa menunggu lama, Zamer meluru masuk ke bilik Doktor Suraya apabila terlihat seorang pesakit keluar dari bilik rawatan. Doktor Suraya tersentak melihat Zamer berdiri di depannya.
“Zamer?” soal Doktor Suraya, terkejut.
“Ya! Saya, doktor,” ujar Zamer pantas.
Tanpa dipelawa Zamer terus melabuhkan punggung di kerusi di hadapan Doktor Suraya. Doktor Suraya nampak semakin tersekejut.
“Kenapa ni? Zamer ke yang telefon saya tadi?” soal Doktor Suraya lembut.
“Oh, awak tahu tu saya?” soal Zamer pantas dengan riak wajah serius.
Wajah manis Doktor Suraya tidak sedikit pun menarik minatnya.
“Maafkan saya, saya tak perasan suara awak tadi,” balas Doktor Suraya perlahan dan sopan.
“Tak apa, saya tak kecil hati. Saya pun datang jumpa doktor ni kerana ada hal penting nak cakap.”
Doktor Suraya mengerut dahi.
“Macam ni, saya sedang bertugas sekarang. Boleh kita jumpa selepas waktu bertugas?” balas Suraya sambil
77
memandang sekilas ke arah gadis kaunter yang telah pun berdiri di sebelahnya dengan wajah cemas.
“Ma...maafkan saya doktor, saya dah cuba tahan tapi encik ni..,” ujar Nur Ain, membela diri.
“Tak apa Ain, awak boleh keluar,” pintas Doktor Suraya.
Zamer memandang ke arah gadis itu. Dia mengharapkan gadis itu cepat-cepat berlalu. Gadis itu kelihatan serba salah lalu terus melangkah keluar dari bilik Doktor Suraya.
“Tak apa, saya tahu awak selalu sibuk. Cuma saya nak tanya awak, kenapa awak terima pinangan mak saya? Awak ingat saya ni pengarah hospital? Saya ni bukan siapa-siapalah! Saya ni hanya juruteknik, tak layak langsung untuk awak,” ujar Zamer terus.
Mata Suraya terbuntang memandang wajah Zamer.
“Apa yang awak cakap ni? Saya ni ada ibu dan ayah. Lagipun saya tak mintak pun mak saya pinang awak,” balas Doktor Suraya.
Terbuntang mata Zamer mendengar kata-kata yang keluar dari bibir Doktor Suraya.
“Tapi mak kita yang berkenan kita disatukan. Kalau ikutkan saya, saya tak kahwin pun tak apa kalau lelaki macam awak nak disatukan dengan saya,” tokok Suraya.
Kata-kata tajam gadis itu menikam kalbu Zamer. Dadanya sakit. Itu satu penghinaan daripada gadis yang diagung-agungkan emaknya. Zamer mengerutkan dahi.
“Awak hina saya?” balas Zamer sambil merenung gadis di depannya itu.
“Saya tak hina awak, tapi saya bercakap benar. Lelaki macam awak ni memang tak layak untuk jadi suami saya. Tak tahu menghormati orang. Awak tahu tak? Awak menceroboh tempat kerja saya hanya kerana perkara remeh ni,” ujar Suraya dengan nada tegas.
78
Kelembutan sebelumnya seakan-akan terhapus dengan kata-kata itu.
“Boleh awak keluar dari sini? Masih ramai pesakit yang menunggu giliran,” pinta Doktor Suraya dalam nada keras.
“Awak halau saya?” soal Zamer dengan dahi berkerut.
“Ya Encik Zamer, sila keluar dari bilik saya ni, sebelum saya telefon polis,” tegas Doktor Suraya.
Zamer merenung tajam wajah gadis itu. Tangannya yang menggigil dikepal-kepalnya. Kalaulah Doktor Suraya itu lelaki, sudah tentu penumbuk akan hinggap di muka itu.
“Hei! Ni ke perempuan yang mak saya puja-puja selama ni?” sindir Zamer.
“Dan awak ni ke lelaki yang mak awak selalu promote dan puji di depan ibu dan ayah saya sehingga mereka termakan dengan kata-kata mak awak!” balas Doktor Suraya dengan suara meninggi.
“Awak jangan hina mak saya, Suraya!” marah Zamer.
Gadis itu nampak kerdil dalam pandangan mata Zamer. Wajah Doktor Suraya berubah. Pipinya mula merah seakan-akan menahan tangis.
“Pendek cerita, kita batalkan semuanya. Saya akan beritahu mak saya supaya putuskan pertunangan sia-sia ni!” putus Zamer.
“Ya! Saya sendiri akan beritahu mak awak. Cukuplah! Awak boleh keluar. Saya harap, saya tak jumpa lagi lelaki macam awak di dunia ni,” balas Doktor Suraya dalam nada suara yang cuba dikawalnya.
Tanpa menunggu lama, Zamer terus bangkit dan melangkah pergi. Tanganya menarik daun pintu dan menghempaskannya dengan kasar. Dentuman daun pintu menyebabkan semua mata mengarah ke arah Zamer. Tanpa menghiraukan mata-mata yang memandang, Zamer memanjangkan langkah menuju ke arah kenderaannya.
Beberapa minit kemudian kereta Zamer bergerak keluar dari ruang parkir. Zamer memandu laju. Dia
79
mengetap bibir. Kenapa kasar sangat gadis tu? Gumam Zamer dalam hati. Kenapa mak harus meminggirkan Melissa hanya kerana gadis seperti Doktor Suraya itu?
Zamer memandu menuju ke Pantai Cahaya Bulan. Dia memberhentikan keretanya di bawah pohon rhu. Zamer mengeluh. Rasa kesal menerjah hatinya. Kau teruk Zamer! Kau ni lelaki apa? Tak pro langsung! Benaknya menghinanya. Kenapa perangai kau macam tu? Gadis tu pulak yang kau marah. Dia tak bersalah. Sepatutnya kau berbincang dengan mak kau. Bukan kau menyerang dia kat tempat kerja dia. Kau ni apa? Jerit suara-suara kekesalan dalam benaknya.
Zamer meraup muka beberapa kali. Badannya mula berpeluh. Malu pada manusia lain dia dapat lari, tetapi kalau malu pada diri sendiri, ke mana dia harus lari? Dia memandang jari-jemarinya yang menggigil. Zamer keluar dari kereta dan melangkah ke pantai. Kemudian kedua-dua tangannya diletak ke mulutnya, Zamer menjerit sekuat hati.
Zamer kemudian terduduk. Siapa aku untuk menghina Doktor Suraya? Getus Zamer dalam hati penuh kesal. Ketika matahari tergelincir, Zamer bergerak meninggalkan Pantai Cahaya Bulan menuju ke Pasir Puteh dan menyusur masuk ke kampungnya. Dari jauh dia ternampak rumah Melissa yang mula bernyala lampunya. Wajah Melissa muncul di ingatannya.
Tadi dia sudah buat keputusan untuk dirinya dan Melissa. Dia akan mencari Melissa. Zamer akan meluahkan perasaan cintanya yang tidak pernah luntur pada Melissa. Biarpun dia harus berdepan dengan sepupu Melissa, Zulaikha dan Arman. Ya! Dia bertekad tidak akan mengalah.
Bayangan wajah Melissa muncul di benak Zamer. Ya ALLAH, aku cintakan dia, bisik Zamer dalam hati sepanjang memandu pulang ke rumah.
80
Setiba di halaman rumah, kelihatan Mak Cik Odah berdiri dengan seberkas penyapu di tangannya. Sebaik sahaja Zamer keluar dari keretanya, Mak Cik Odah mendekatinya, namun Zamer hanya menyentuh bahu Mak Cik Odah dengan wajah sugul. Kebiasaannya Zamer akan menyapa emaknya dulu sebelum melangkah naik ke dalam rumah. Namun, kali ini dia terus melangkah naik ke dalam rumah.
Tidak lama kemudian, kedengaran berdentum bunyi daun pintu kereta ditutup. Dia baru ingat, dia tidak sempat menutup pintu kereta sewaktu dia melangkah keluar dari keretanya. Zamer menjeling melalui tingkap. Kelihatan Mak Cik Odah menggeleng-geleng sambil merenung keretanya.
Maafkan Mer, mak, desis hati Zamer sambil menghempas badan ke atas katil.
Previous: BAB 7
Next: BAB 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Indah Hairani Latif