5
“Penatnya!” adu Elfira kepada Firuz Eidil. Dia mengurut
perlahan buku lalinya yang lenguh akibat berdiri terlalu lama.
“Kesian isteri
abang ni. Penat ya. Meh abang urutkan.” Firuz Eidil mengambil minyak urut lalu
disapu ke kaki isterinya lalu diurut perlahan.
“Terima kasih
abang,” ucap Elfira lembut.
Seusai Firuz Eidil
mengurut Elfira, dia menuju ke almari. Dia mengambil paper bag lalu diserahkan
kepada Elfira.
“Ini untuk sayang,”
ujarnya sambil menghulurkan paper bag tersebut kepada Elfira.
“Untuk L? Tapi
untuk apa?”
“Sempena berita
gembira dan kehadiran ramadan pertama kita.”
“Terima kasih
abang.”
Elfira melihat isi
di dalam paper beg tersebut lalu dikeluarkannya.
“Tudung?”
Firuz Eidil
mengangguk.
“Abang tak paksa
tapi berharap untuk L pakai tudung. Isteri abang pasti lebih cantik bila pakai
tudung.”
“Err... L sekarang
ni tak cantik ke?”
“Cantik, tapi lebih
cantik kalau L berhijab.”
“Terima kasih
abang. Insya-Allah L pasti akan pakai.”
“Tak nak cuba dulu
ke?” tanya Firuz Eidil.
“Esok boleh? L
mengantuk sangat ni.”
“Boleh sayang.”
Elfira mengiring
menghadap Firuz Eidil. Perlahan-lahan matanya terpejam rapat. Firuz Eidil
sekadar tersenyum melihat tingkah Elfira. Perlahan matanya turut terpejam sama.
Elfira terjaga dalam keadaan mengejut. Dia melihat jam di
sisinya. Baru jam 3 pagi. Elfira terpandangkan paper bag yang diberikan Firuz
Eidil. Elfira turun dari katil lalu mendapatkan papaer bag tersebut. Tudung
yang dihadiahkan kepadanya dicuba.
Elfira mengambil
topi kegemarannya, lalu disarungkan tudung yang diberikan oleh Firuz Eidil
kepadanya. Puas dia menelek penampilannya di cermin. Elfira mengukir senyuman
nakal. Dia mendapatkan Firuz Eidil yang sedang nyenyak tidur.
“Abang, bangun!
Bangunlah!” Elfira menggoncang tubuh Firuz Eidil.
“Kenapa ni L?”
tanya Firuz Eidil yang masih mamai.
“Tengoklah ni.
Bukalah mata tu. Abang...” rengek Elfira lagi.
“Iya sayang.” Firuz
Eidil membuka matanya. Dia terpisat-pisat memandang ke arah Elfira.
“Cantik tak?” tanya
Elfira.
Bulat mata Firuz
Eidil melihat Elfira. Hilang terus kantuknya. Entah mengapa, tiba-tiba rasa
marah menyelinap di hatinya.
“L kejutkan abang,
semata-mata untuk ini ke?” Dia cuba mengawal intonasinya. Namun riak tidak puas
hatinya jelas ketara.
Elfira menyengih,
kemudian mengangguk.
“L... tak kelakar
tahu tak? Abang penat sangat ni. Lagi satu, gila ke apa? Mana ada orang pakai
topi lepas tu sarung tudung? Fesyen kartun ke apa?” jerkah Firuz Eidil.
Wajah ceria Elfira
bertukar mendung. Pandangannya dikalihkan daripada bertentang dengan Firuz
Eidil. Hatinya terguris. Manakala Firuz Eidil sedikit pun tidak mempedulikan
perubahan riak Elfira. Dia terus merebahkan kembali tubuhnya. Matanya terus
terpejam rapat. Elfira hanya memerhati tingkah suaminya. Kemudian dia menuju ke
depan cermin.
“Tanya pun nak
marah. Entah apa-apa. Comel apa macam ni. Ada ke patut cakap fesyen kartun.
Selfie pun okey jugak ni.”
Elfira terus
mengambil telefon bimbitnya lalu ditangkap gambarnya sendiri.Setelah itu, dia
menghantar gambar tersebut ke whatsapp Firuz Eidil. Kemudian dia mengambil
telefon bimbit Firuz Eidil lalu menjadikan gambarnya itu sebagai wallpaper.
“Abang bangun! Kita tak sahur lagi ni?” Elfira
menggoncangkan tubuh suaminya.
Kenapa aku rasa
macam pernah lalui aje situasi ni? Kat mana iya?
“Abang bangunlah!” kali ini Elfira meninggikan
sedikit suaranya.
Firuz Eidil membuka
matanya.
“Hah! Kan dah kata
macam pernah lalui peristiwa ni!”
“Apa yang abang
merepek ni? L kejutkan abang untuk sahurlah.”
“Yelah tu, bukan
sebab nak tunjuk apa yang melekat kat kepala tu?”
Elfira meraba
kepalanya. Baru dia tersedar yang dia masih memakai topi dan tudung. Perkara
terakhir yang dia ingat adalah dia menjadikan
gambarnya sebagai wallpaper di telefon bimbit Firuz Eidil, lepas tu dia terus
tidur. Elfira menyengih.
“Apa sengih-sengih.
Rimaslah abang dengan L ni! Cubalah matang sikit.”
“Abang ni kenapa?
Dari malam tadi asyik nak marah L aje.”
“Macam mana abang
tak marah, L buat perangai budak-budak.”
“Malas L nak layan.
Bangun sahurlah. Kita dah lambat ni!”
“Ala, abang tak
laratlah L. Kepala abang ni berat sangat. L bawalah naik makanan.”
“Ha? Nak bawa naik
makanan pulak! Macam mana ni?” soal Elfira. Mukanya digaru.
“Nak bawa naik
makanan pun tak tahu? Pergi dapur, ambil makanan bawa ke sini,” ajar Firuz
Eidil.
“Hisy, L tahulah! Okeylah
L bawa naik,” putusnya. Geram dia dengan tingkah Firuz Eidil.
Kelam kabut Elfira
turun dari katil lalu berlari menuju ke dapur. Tangannya lincah membuat teh o
suam. Kemudian dicapainya kurma dan air masak. Kakinya diatur pantas menuju ke
bilik. Sebaik tiba di bilik, dia melihat Firuz Eidil masih lagi berselimut.
“Abang bangunlah.
Nanti kita tak sempat sahur.”
Firuz Eidil
mencelikkan matanya. Wajahnya kelat. Elfira memberikan tiga biji kurma dan air
teh o suam kepada Firuz Eidil.
“Ini aje?”
“Ha’ah ini aje.
Tengoklah jam tu dah pukul berapa. Lagi seminit dua nak azan dah. Makan ajelah
apa yang ada. Eh, Rasulullah pun bersahur dengan kurma aje tau. Tak demand pun,” laju Elfira menutur bicara.
Geramnya masih bersisa.
Firuz Eidil tidak menjawab
sebaliknya dia meneruskan kunyahannya. Sebaik dia selesai membaca doa, azan
berkumandang.
“Fuh, nasib baik
sempat bersahur. Kalau tidak tentu kita rugi jika terlepas sahur. Al Bukhari
dan muslim ada meriwayatkan, Sabda nabi s.aw: Bersahurlah, sesungguhnya pada
sahur (makanan) itu ada keberkatan,” ujar Elfira dengan rasa penuh syukur.
Namun nadanya seakan memerli Firuz Eidil. Tapi apa motifnya memerli suaminya
itu. Dia sendiri tidak pasti mengapa dia jadi begitu.
Firuz Eidil yang
mendengarnya mengukir senyum. Tidak semena-mena dia berlari menuju ke bilik
air. Elfira terkejut beruk dengan tindakan suaminya itu.
“Okey, morning
sickness,” ujar Elfira bersahaja lalu mendapatkan Firuz Eidil. Dia mengurut
lembut belakang tubuh Firuz Eidil.
Firuz Eidil memandang
ke arah Elfira. Dia merasakan tubuhnya tidak bermaya. Elfira menunjukkan rasa
simpatinya. Dia segera membantu suaminya itu menuju ke katil.
“Abang rehat dulu.
L pergi buatkan bubur. L tengok abang dah tak bermaya ni.”
Firuz Eidil terus
memejamkan matanya. Dalam diam, Firuz Eidil berasa bersalah dengan Elfira.
“L,” panggil Firuz
Eidil sambil memegang erat pergelangan tangan Elfira.
Elfira menoleh ke
arah Firuz Eidil.
“Abang minta maaf.
Abang tahu abang tak patut cakap yang bukan-bukan pada L.”
“Okey.” Hanya
sepatah yang dijawab oleh Elfira. Dia kemudian berlalu meninggalkan Firuz
Eidil. Sampai ditingkat bawah, dia membuka tudung dan topinya.
“He! He! He! Minta
maaf pun. Lalalalala...” dia bernyanyi kecil.