Home Novel Komedi/Romantik Komedi Biar Mereka Cemburu
Biar Mereka Cemburu
A. Darwisy
9/10/2013 21:04:09
133,841
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 11

Aminah, Aini dan Nadia merebahkan batang tubuh masing-masing di atas sofa. Ya Tuhan, letihnya mereka pada hari ini. Manakan tidak, dari siang sampailah ke malam mereka keluar merayap pusing-pusing satu Putrajaya. Boleh pula kebetulan jadual cuti mereka sama, hendak dijadikan ceritalah sangat. Sementelahan Rostam menawarkan diri untuk memandu kereta, bertambah-tambahlah mereka suka. Hendak mengharapkan Aminah, Aini mahupun Nadia memandu, alamatnya sampai bila-bilalah mereka tidak sampai. Mahu ke pasar basah berdekatan rumah sewa mereka sajalah yang mereka tahu jalan.

“Penatnya weh! Kan best kalau ada orang tolong urut-urutkan kaki. Kepala lutut aku ni rasa macam nak tercabut dah,” Aminah mengurut-urut peha dan betisnya sendiri. Kakinya dibiar melunjur ke depan untuk keselesaan.

“Betul tu, Kak Min. Lepas urut kaki, kita pergi spa yang kita boleh rendam kaki dalam air kasi ikan-ikan bilis tu makan. Mesti boleh berdengkur kita tertidur punya,” Aini yang sudah tidak serupa orang rupanya, dengan muka sememeh dan tudungnya senget ke tepi dan terkeluar anak-anak rambut, tetap sibuk hendak mencelah. Aminah mencapai bantal kecil di sisinya lalu dibaling ke arah Aini, tepat mengena ke muka. Nadia tergelak melihat gelagat teman-teman serumahnya itu.

“Kau ni Aini, kalau didengar orang tadi, buat malu satu kilang tempat kerja kau ajelah! Mana pulak datangnya ikan bilis tu, cik Aini oi? Ikan yang gigit kulit mati kat kaki tu bukan namanya ikan bilis. Mana kau belajar ni ha? Nama ikan tu Garra Rufa. Pengetahuan am zero betullah kau ni!” Aminah selamba mengutuk. Aini berkerut-kerut keningnya serupa orang sedang berfikir tentang masalah negara.

“Lah, ye ke? Mati-mati selama ni aku ingat yang ikan-ikan kecik tu ikan bilis. Dah lebih kurang serupa aje saiznya. He...he...he...” Aini buat muka tidak bersalah sambil tersengih-sengih. Aminah menepuk dahi. Sengal betul.

“Eh, korang nak air tak? Aku buatkan kejap,” tanya Nadia apabila kakinya hendak bergerak masuk ke dapur. Aminah dan Aini mengangguk laju. Mereka masih tersandar kepenatan. Beberapa ketika kemudian, Nadia menatang tiga gelas panjang berisi air sirap sejuk untuk kawan-kawan dan dirinya sendiri. Dalam sekelip mata, cepat saja gelas masing-masing licin. Ah, barulah lega tekak mereka semua.

“Nad... tengok gambar-gambar kita orang yang kau tangkap tadi,” Aini cukup teruja. Tadi, dia punyalah beraksi sakan di hadapan kamera. Macam-macam gaya dibuatnya. Serupa orang gila pun ada. Yalah, menari-nari di tengah-tengah jalan raya. Nasiblah Putrajaya bukan seperti di Kuala Lumpur. Kalau di Kuala Lumpur, mesti berkali-kali bunyi hon berkumandang di udara. Putrajaya, jalan-jalannya lengang. Tidak banyak kenderaan yang keluar masuk lebih-lebih lagi pada waktu malam. Serupa pentas balerina Aini jadikan jalan raya itu sudahnya.

Nadia mencari-cari kabel sambungan wayar bagi menghubungkan kamera dengan laptop hidup segan mati tak mahunya itu. Asal boleh guna, sudah. Nadia penuh berhati-hati mengendalikan kamera barunya itu. Biarpun kamera itu kamera lama dan tiada pula paparan digital pada skrin untuk melihat bidikan-bidikan yang sudah diambil tadi, Nadia tetap menghargainya. Apatah lagi, kamera itu pemberian orang. Rostam yang menghadiahkannya petang tadi. Mahu hendak menangis rasanya Nadia ketika itu. Yalah, Rostam terlalu baik dengannya. Sepanjang dia mengenali lelaki itu, banyak sudah jasa dan budi baik Rostam terhadapnya. Malah satu pun tidak diminta balas.

Kursor digerakkan menuju ke sebuah tetingkap yang mengandungi fail imej. Fail itu dipindahkan ke antaramuka laptop dan terus dikliknya. Aminah dan Aini sudah mengendeng di kiri dan kanan. Teruja mereka hendak melihat gambar sendiri. Sekali-sekala berangan model, apa salahnya. Sebaik saja gambar pertama terpapar, Aini menjerit kuat.

“Kus semangat! Kau sawan lagi ke, Aini?” Aminah mengurut dada. Nadia pula terangkat bahunya. Mana tidak terkejut, menjerit betul-betul di telinganya. Boleh berhenti sekejap degup jantung mereka dibuatnya. Hisy, macam-macam hal sungguh perangai si Aini ini!

“Ya ampun, cantiknya aku!!!”

Baik Nadia mahupun Aminah, menepuk dahi serentak. Aini kalau bab perasan, nombor satu. Sabar sajalah!

“Kau memang berbakatlah, Nad. Tengok gambar aku ni, padahal aku pakai biasa-biasa aje pun tapi dah serupa model aje kan? Memang terbaiklah shot yang kau tangkap! Ha, tengok satu lagi ni! Sukanya aku, Nad! Aku rasa aku ni memang dilahirkan untuk jadi modellah. Silap haribulan, kalau aku hantar gambar ni kat majalah Hijabista, mahunya dorang ambil aku jadi cover girl! Betul tak Nad?” Aini tidak habis-habis masuk bakul angkat sendiri. Matanya tidak berkelip-kelip membelek gambarnya puas-puas di skrin laptop. Macamlah gambar dia seorang saja yang diambil Nadia tadi

“Amboi, kau fikir laptop ni kau yang punya ke sampai nak conquer sorang-sorang?” protes Aminah yang geram betul melihat Aini siap mengangkat laptop kepunyaan Nadia itu dan diletakkan ke ribanya sendiri.

“Kejaplah kak Min. Tak puas lagi ni...” Aini masih dalam dunianya. Tidak ambil endah pun dengan apa yang dikatakan Aminah tadi. Sekejap-sekejap, perempuan itu terkulum senyuman. Tak makan saman sungguh. “Tak syak lagi, aku ni memang fotogenik!” Aini gembira sekali melihat gambar-gambarnya yang cantik dibidik Nadia di sekitar Putrajaya beberapa jam tadi.

“Kau tu bukan fotogenik tapi fotogedik!” pangkah Aminah selamba.

“Kak Min tak baik tau cemburu-cemburu dengan Aini. Don’t hate me because I’m beautiful. Ha, jangan main-main! Hebat tak I speaking London? He...he...he...”

“Oh please...!”

Nadia tergelak besar. Laptop diletakkan kembali di atas meja. Gambar dibuka dalam mod tayangan slaid. Ketiga-tiga mereka terpaku melihat cantiknya gambar masing-masing yang dibidik Nadia, seolah-olah bidikan seorang profesional. Nadia berpuas hati kerana melihat raut muka kawan-kawannya yang tersenyum lebar.

“Aku rasa kau dah boleh buka bisnes fotografi, Nad. Kau dah ada potensi tau!” rangsang Aminah disertai anggukan berkali-kali Aini yang masih memaku pandangan ke arah skrin laptop. Tersengih-sengih perempuan itu serupa kerang busuk. Tidak habis lagi berangan-angan.

Dalam banyak-banyak gambar yang dibidik Nadia tadi, terselit beberapa sekuen gambar Rostam yang sedang tersenyum manis. Rambut lelaki itu biarpun kusut ditiup angin yang bertiup, tetap memperlihatkan ketampanan lelaki itu seadanya. Aini berdeham-deham, keningnya dijongketkan sambil dalam kepalanya mulalah nakal berfikir yang bukan-bukan.

Handsome jugak abang Rostam ni kan Nad? Lama-lama pandang, macam Remy Ishak pun ada. Aku suka tau lelaki yang coklat-coklat gelap Cadbury ni, barulah nampak macho.” Aini tidak berkelip matanya melihat gambar Rostam yang turut menemani mereka bertiga tadi ke Putrajaya. Nadia terlepas tawa. Kelakar pula dia mendengar Aini menyamakan Rostam dengan coklat Cadbury. Tak sesuai betul.

“Ha...ha...ha... ada-ada ajelah kau ni, Aini!”

“Aku rasa kan, abang Rostam tu suka dekat kaulah Nad!”

Nadia tersedak jadinya. Rasa seperti tercekik tulang ikan parang!

“Ha, tengok! Kan aku dah cakap! Orang tua-tua cakap, kalau tersedak tiba-tiba ni ada orang tengah merindu. Mesti abang Rostam tengah rindukan kau!” Aini main sedap mulut dia saja mereka-reka cerita.

“Merepeklah kau, Aini! Bulu mata jatuhlah baru ada orang rindu kat kita. Kau jangan nak buat lawak sangatlah malam-malam ni!” Nadia membalas selamba. Perempuan itu ketawa-ketawa dan menggelengkan kepala.

“Kau pun jangan nak mengelak sangatlah, Nad. Kau perempuan, aku pun perempuan. Kita orang perempuan mesti tahu kalau lelaki tu suka kat kita. Tengok ajelah abang Rostam take care kau macam mana. Dia sayangkan kau tu! Kalau tak, kenapalah dia susah-susah nak hadiahkan kau kamera mahal macam ni. Kau tak terfikir ke semua tu?” Aini sengaja membangkitkan perkara yang sebelum ini berulang-ulang kali cuba dielak oleh Nadia untuk menjawabnya. Aini cuma mahu Nadia sedar dan buka mata. Sayang kalau terlepas lelaki baik seperti Rostam.

“Dah mula dah... Hisy, abang Rostam tu aku anggap serupa abang aku sendirilah. Dia pun anggap aku macam adik dia sendiri. Kau je yang over.” Nadia malas hendak membicarakan hal yang menyentuh hati dan perasaan. Tak kuasa dia hendak memeningkan kepala memikirkan semua itu.

“Itu kata kau, Nad. Cuba kau flashback balik apa yang abang Rostam sanggup buat untuk kau selama ni. Birthday kau, dialah orang pertama yang wish... siap celebrate untuk kau. Kau nak balik kampung, dialah orang pertama yang tawarkan diri untuk hantar kau balik dengan selamat. Kau sakit walaupun tak teruk mana, dialah orang pertama yang angkut kau pergi klinik ambil ubat. Kau fikir apa semua tu?” perinci Aini terhadap segala kebaikan Rostam terhadap Nadia

“Itulah namanya kasih sayang seorang abang kepada adiknya,” jawab Nadia membuatkan Aini menepuk dahinya sendiri.

“Itu bukan kasih sayanglah, Nad oi! Itu namanya cinta. Dia cintakan kau! Lelaki kalau cintakan seorang perempuan, dia sanggup berkorban apa saja demi orang yang dia sayang. Eee... geramnya aku kalau bercakap dengan kau!” Aini menayang muka geram. Aminah yang dari tadi mendengar asakan soalan demi soalan Aini kepada Nadia, sekadar menjadi pemerhati. Dia pun sebenarnya sependapat dengan Aini sejak dulu lagi. Tinggal lagi dia tidak mahu memaksa Nadia. Biarlah Nadia menyedarinya suatu hari nanti.

Nadia tidak ambil pusing sedikitpun dengan teori Aini. Dia percaya Rostam menganggapnya tidak lebih dari seorang adik saja. Rostam pernah bercerita kepadanya tidak lama dulu, satu cerita sedih tentang lelaki itu. Hanya Nadia saja yang tahu akan rahsia itu. Sebuah rahsia yang barangkali hanya kepadanya, Rostam meluahkan. Bingkis-bingkis kenangan mulai bermain-main di dalam fikiran.

“Abang dah lama tak jumpa adik perempuan, abang...”

“Oh, abang ada adik eh? Kenapa dah lama tak jumpa pulak?”

Rostam tidak terus menjawab. Lelaki itu berdiam diri untuk beberapa ketika. Entah kenapa, rindunya datang membuak-buak tiba-tiba. Rindukan pada si adik yang sudah lama tidak bersua muka. Tetapi dia yakin, adiknya itu tentu sedang berbahagia sekarang.

“Dah jodoh dia, habis aje sekolah ada orang masuk meminang. Adik ipar abang tu dari keluarga berada...” sedikit demi sedikit Rostam membuka cerita. Nadia cuba menjadi pendengar yang terbaik. Selalunya, Rostamlah yang menjadi tempat untuk dia bercerita dan mengadu segala perkara. Apa salahnya, sekali-sekala dia pula yang memainkan peranan itu. Barulah tidak mementingkan diri sendiri namanya.

“Abang ni drebar bas aje... mungkin sebab tu kut...” luah Rostam merendah diti. Nadia yang tidak memahami akan keseluruhan cerita, berkerut-kerut keningnya. Rostam menyambung luahannya lagi. “Agaknya Rosnah pun malu nak mengaku abang ni abang dia... Tapi tak apalah, janji adik abang tu bahagia.” Rostam memujuk diri sendiri. Ada nada rajuk pada ungkapan itu.

“Malu sebab apa pulak? Memandu bas pun kerja juga apa?” persoal Nadia hairan. Dia masih tidak dapat menangkap akan cerita Rostam sepenuhnya.

“Kerja drebar ni apalah sangat, Nad... tak ada orang pandang pun...”

Nadia tidak suka mendengar Rostam bercakap seperti orang mengalah begitu. Dia yang tadi masih samar-samar dengan apa yang diluahkan lelaki itu, sedikit sebanyak mulai memahami.

“Dah berapa lama abang tak jumpa Rosnah, adik abang tu?”

“Sejak tahun lepas, itupun waktu hari raya. Dekat kubur arwah emak dengan abah...”

Barulah Nadia faham. Biarpun Rostam agak berat hendak menceritakan secara terperinci tetapi setelah dicerakinkan dalam kepala, membuatkan dirinya bersimpati dengan lelaki itu. Kasihan Rostam, merindui adiknya sendiri.

“Adik abang tinggal dekat mana, sekarang? Kalau abang rindu, pergilah jumpa dengan dia...”

“Abang tak mahu Rosnah malu. Rahim pun macam tak suka dengan abang...”

Tidak sampai hati pula Nadia mendengar lirih suara Rostam. Dia tercari-cari idea hendak menceriakan semula lelaki itu. Yalah, dia dengan Rostam rapat. Serupa adik-beradik. Cubit peha kiri, peha kanan terasa juga sakitnya.

“Tak apa... Nad kan ada! Nad kan adik abang jugak. Nad sayanggg abang!!!” sengaja Nadia meleretkan perkataan sayang itu panjang-panjang. Serta-merta roman muka Rostam berubah. Bercahaya-cahaya, tidak lagi mendung dan keruh seperti sebelum ini.

“Abang pun sayanggg dekat Nad!”

Nadia tersenyum-senyum. Tidak sedar yang sebenarnya dia mengelamun. Petikan jari Aini betul-betul di depan mukanya, membuatkan dia kembali tersedar.

“Ha, berangan teringatkan abang Rostamlah tu!” giat Aini memang niat hendak mengusik. Nadia tidak kisah dengan usikan itu. Memang dia sedang teringatkan lelaki itu pun. Rostam memang abang yang baik. Banyak sudah lelaki itu berkorban untuknya. Baginya, Rostam menumpahkan kasih sayang tidak berbelah bahagi kepada dirinya kerana mahu melepaskan rindu terhadap Rosnah. Rosnah yang malu hendak mengaku Rostam sebagai abang sendiri hanya semata-mata lelaki itu bekerja sebagai drebar bas. Tak kenang budi langsung! Dalam diam, Nadia mengutuk geram.

Nadia membawa kamera baru yang dihadiahkan Rostam dan laptopnya masuk ke dalam bilik. Dia mahu bersendirian dan giliran dirinya pula untuk melihat hasil bidikannya tadi. Di atas katil dalam posisi meniarap dan kedua-dua belah kaki tergoyang-goyang ke kiri dan ke kanan, Nadia membuka semula laptopnya. Gambar-gambar yang diambilnya dibuka pada mod slaid sambil fail MP3 instrumental dimainkannya. Satu demi satu pemandangan indah di Putrajaya tertayang di skrin hadapan mata. Gambar yang paling menjadi kegemarannya adalah gambar Jambatan Seri Wawasan Putrajaya yang tersergam indah pada waktu malam.

Nadia tidak menyangka yang dirinya berpeluang membidik gambar jambatan cantik itu. Kalau bukan kerana Rostam yang menghadiahkannya kamera, barangkali keindahan yang dilihatnya itu hanya mampu dibingkai di dalam kepalanya saja. Rasa sayang Nadia kepada lelaki itu semakin hari semakin mendalam dalam tidak sedar.

“Jambatan paling indah adalah jambatan Khalik kepada makhlukNya...”

Nadia mengucap lembut sebelum kelopak matanya lama-kelamaan semakin terkatup layu. Dan skrin laptopnya berhenti pada gambar Rostam yang sedang tersenyum lebar. Nadia larut ke dasar mimpi yang paling dalam.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.