USAI bersolat dan berdoa, Isaac terus mencari kelibat
Rus. Dia berasa lega isterinya masih berada di bilik. Dia mahu menyambung
semula perbualan sebentar tadi. Dia perlu ambil kesempatan ini untuk
mendekatinya.
“Boleh saya tahu, kenapa tadi Rus bersedih? tanya
Isaac yang kembali duduk di sebelahnya.
“Tak ada apalah. Menangis tu bukan definisi sedih. Ada
ketikanya kerana perkara lain.”
“Jadi, Rus menangis dalam kegembiraan?” Isaac mengukir
senyuman.
“Bolehlah kalau awak nak anggap macam tu.”
“Mulai hari ini, bila-bila pun saya tak kisah kalau
Rus nak kongsi cerita dengan saya,” beritahu Isaac.
Dia amat berharap semoga isterinya tidak membina
tembok dan menjarakkan diri. Dari cara Rus melayannya, dia sedar isterinya
masih ragu-ragu dengannya.
“Yalah…” Walaupuntetap berasa segan, keramahan Isaac mengurangkan rasa janggal
Rus terhadapnya.
“Sungguh, hari ini saya rasa sangat gembira. Bertambah
manis bila awak jadi isteri saya. Macam tak percaya pulak,” tutur Isaac dengan
girang.
“Betul awak ikhlas terima saya?” Rus sengaja menduga.
“Rus, saya memang nak awak jadi isteri saya dan ibu
kepada anak-anak saya nanti.”
“Jauhnya awak berangan…”
“Saya berkahwin dengan awak bukan sebab nak berangan.
Tapi sebab saya nak bina keluarga bahagia bersama awak,” tegas Isaac dalam
kelembutan.
“Awak tak kenal saya pun.” Mendatar saja suara Rus.
Begitu pun kata balas Isaac buat hatinya tersentuh juga.
“Kita ada banyak masa, malah seumur hidup untuk saling
mengenali,” seloroh Isaac.
“Awak! Saya serius, janganlah main-main.” Tiba-tiba
Rus berasa sedikit geram.
“Kita bukannya tak kenal langsung, kan? Selepas ini
kita boleh kenal lebih rapat. Bercinta selepas nikah, bukankah lebih manis?”
Isaac sengaja mengenyitkan mata.
“Manis? Mana awak tahu?” Rus cuba berlagak selamba.
Sedikit tidak selesa apabila Isaac asyik merenungnya.
“Rus macam tak suka aje kahwin dengan saya, don’t you?” Dari cara Rus membalas
setiap bicaranya, Isaac dapat rasakan sesuatu.
“Entahlah. Perkahwinan ini mengejutkan saya,” ujar
Rus. Sehingga saat ini dia masih tidak percaya sudah bergelar isteri kepada
lelaki itu.
“Mengejutkan? Rus memang akan berkahwin pun, kan? Cuma
pengantin lelakinya aje yang bertukar.”
“Persoalannya, kenapa awak yang jadi penggantinya?”
“Tak, saya bukan pengganti. Saya memang nak berkahwin
dengan Rus sejak pertama kali kita berjumpa,” jelas Isaac.
“Tak mungkin cinta pandang pertama.” Rus tetap dengan
curiganya walaupun Isaac memberikan jawapan yang boleh diterima akal.
“Cinta boleh wujud tak kira waktu, Rus…” balas Isaac
agar isterinya itu mengerti.
“Awak tak rasa ke yang alasan perkahwinan kita ini tak
kukuh?” Rus masih mahu menduga.
Isaac nampak sedikit kecewa dengan pertanyaan
isterinya. Satu keluhan panjang dilepaskan. “Kenapa Rus cakap macam tu?” soalnya.
“Asas sebuah perkahwinan itu kena betul niat dan
caranya,” tutur Rus.
“Betullah apa yang Rus cakap tu. Tapi semuanya bermula
dari saya jugak, kan?”
“Maksud awak?” Saat ini Rus menanti jawapan lelaki itu
dengan debaran.
“Ikatan perkahwinan ini tidak akan terjadi kalau saya
tak sanggup menggalas tanggungjawab terhadap awak. Saya nak awak yakin dengan
saya. Saya ikhlas, reda dan bahagia jadi suami awak dan bukan terpaksa,” jelas
Isaac bagi menyakinkan isterinya.
“Susah untuk saya terima semua ni,” luah Rus.
“Tengok mata saya,” suruh Isaac sambil memegang kedua
bahu Rus.
Kedudukan badan Rus terus berubah dan kini dia
terpaksa menatap sepasang mata Isaac. Lama juga mereka saling bertatapan dan
akhirnya Rus mengalah. Tidak sanggup dia berlawan dengan pandangan mata
suaminya yang terus menikam kalbu.
“Mata kita tidak pernah berbohong Rus…”
“Saya tak pandai menilai semua tu. Saya hanya berfikir
secara logik.” Rus beralasan.
“Sekali-sekala kita kena percaya dengan pandangan mata
dan kata hati. Jangan percaya sangat dengan logik akal. Akal pun kadang-kadang
berbohong dengan diri kita.”
Rus tersenyum mendengarnya. “Ya ke?”
“Dari hari pertama lagi saya sukakan senyuman Rus.
Manis dan susah hendak dilupakan,” puji Isaac buat Rus tersipu-sipu.
Rus yang berasa segan mahu bangun, tetapi Isaac pantas
memaut bahunya.
“Kalau awak selalu begini, tak payah makan pun tak
apa. Sepanjang hari saya akan kenyang dengan senyuman awak,” sambung Isaac.
“Sudahlah! Awak memang pandai berkata manis.” Rus
berpaling ke arah lain.
“Bukan pandai, ia adalah pujian ikhlas seorang suami
terhadap isterinya.”
“Terima kasih…” ucap Rus bagi menamatkan isu yang
sedang mereka perkatakan.
Isaac merapatkan mulutnya ke telinga Rus. “Sama-sama.
Ada hadiah tak untuk suami awak ni?” Isaac bertanya manja.
“Hadiah?” Rus bertanya, pelik.
“Saya percaya Rus selalu tengok cerita orang putih,
kan?” Tiba-tiba Isaac sengaja mahu mengusik isterinya pula.
Rus menjegilkan mata. “Awak nak apa sebenarnya?”
“Tanya pulak!” Isaac tersenyum-senyum.
“Saya tak pasti apa yang ada di kepala awak. Saya cuma
nak ingatkan yang saya wanita Melayu dan bukannya minah salih,” ujar Rus,
sedikit geram dengan gelagat Isaac.
Isaac tertawa. “Kalau awak tak nak beri, ni hadiah
daripada saya…”
Tubuh Rus diraih kemas. Sebuah kucupan hinggap di
dahinya. “Saya akan tetap sayangkan awak selamanya,” ucap Isaac dengan syahdu.
Rus terpempan dan terkedu. Tidak berani mahu
mengangkat wajah, apatah lagi memandang suaminya. ‘Suami?’ detiknya dengan
berbagai-bagai rasa.
“Berkahwin dengan orang yang tidak disangka, adalah
jodoh,” bisik Isaac kemudian meleraikan pelukan.
Rus masih membisu.
“Jatuh cinta itu fitrah. Ingin bercinta dan dicintai
juga adalah fitrah. Jika rasa cinta itu disalurkan pada jalan yang betul, ia
sangat mulia…” ungkap Isaac.
Tiba-tiba bagai kedengaran genta bergema di telinga
Rus. Suasana bilik dikunjungi haruman yang entah datang dari mana. Rus
tersentak lalu mencari wajah suaminya.
Rupanya lelaki itu telah tinggalkan dirinya sendirian.
Sesuatu telah menangkap pandangannya. Sejambak bunga ros merah terletak elok di
atas katil!