Home Novel Komedi/Romantik Komedi 'Dia' My Love
'Dia' My Love
Zan Zarida
13/8/2016 23:49:49
308,477
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
Bab 12

SELEPAS menunaikan solat maghrib, Rus dan teman serumahnya mahu makan malam di restoran berhampiran pejabat. Seperti biasa, Rus pasti akan memesan sup tulang kegemarannya. Tiada tambahan menu lain, tetapi perlu ada sambal belacan dan timun. Air pula, dia lebih suka minum air suam sahaja ketika makan nasi.

Nurul pula mahu mengubah selera. Kali ini dia teringin sangat makan nasi goreng Pattaya. Amy masih setia dengan mi goreng mamak, kononnya makanan kegemaran jejaka pujaan hatinya.

“Kau boleh kenyang ke dengan makan mi aje?” Sengaja Nurul mahu memerli Amy.

“Kenyang tak kenyang, belakang kira. Janji aku menyukai apa yang bakal jodoh aku suka. Dah kahwin nanti bolehlah masak untuk dia.”

“Pandai sangatlah kau masak stail mamak!” kutuk Nurul.

Setahunya gadis itu bukannya reti memasak. Setakat goreng ikan dan telur dadar sahajalah. Kalau suruh dia masak rendang atau ayam masak kurma, memang gagal.

“Dah hampir setiap hari aku merasa mi goreng ni, mestilah aku dah boleh agak ramuannya.”

“Mesti rasanya tak sama!” sakat Nurul.

“Kau jangan nak pandang rendah kat aku. Memanglah aku jarang memasak, tapi boleh aje belajar demi orang yang tersayang,” balas Amy yang tidak mahu kalah.

“Tahu, tapi mi yang kau makan saban hari tu adalah air tangan mamak. Kalau kau yang masak, itu air tangan aci!” Galak sekali Nurul mengusik.

“Kau ni Nurul, agak-agaklah nak bergurau tu,” tegur Rus pula. Tadi dia hanya mendengar sahaja celoteh dua sahabatnya.

“Entah, si Nurul ni! Patutnya bagilah semangat kat aku.”

“Kali ini, apa pulak cerita jejaka idaman kau tu?” tanya Rus pula.

“Nanti-nantilah aku cerita. Perut kena kasi kenyang dulu,” jawab Amy.

Selepas beberapa kali Amy bercerita fasal jejaka misteri yang dia minati, hati Rus terusik juga. Dia pun tidak pasti sejak bila perasaan ingin tahu terdetik dalam hati. Keinginan mendengar cerita lelaki itu bagai dinanti-nanti. Entah bagaimana dia boleh tersuka dengannya, padahal sekalipun tidak pernah bersua.

Rus amat berharap yang Amy tidak pernah tahu rahsia yang tersimpan jauh di sudut hatinya. Kalau gadis itu tahu, masak dia! Di hadapan Amy, bukan main berlagak biasa, tapi dalam hati sudah pasang angan-angan mahu berjumpa dengan jejaka pujaan Amy itu.

Sebaik pesanan sampai, tanpa membuang masa mereka makan dengan berseleranya. Sesekali berbual fasal kerja dan masalah yang selalu dihadapi di pejabat. Ada ketikanya bercerita tentang hati dan perasaan pula. Ada isu yang serius, namun ada juga cerita yang mencuit hati masing-masing.

“Kali ni aku nak belanja korang.” Rus menawarkan diri. Hari ini dia bermurah hati pula. Selalunya mereka bayar ikut giliran.

“Hari tu, kan giliran kau bayar? Hari ni biarlah aku pulak.” Amy menolak.

“Tak apalah, lain kali kau belanja pulak.”’

“Alhamdulillah… semoga murah rezeki kau, Rus,” ucap Nurul.

“Aamiin…” balas Rus lalu bangun menuju ke kaunter.

“Mamak, saya nak bayar,” beritahu Rus.

“Semuanya RM10 aje.”

“Eh, kenapa murah pulak?” Terkejut Rus mendengarnya.

“Sup tulang you sudah ada orang tolong bayar,” jelas mamak pula.

“Siapa?” tanya Rus sambil matanya melilau memandang pelanggan yang ada di restoran.

“Orang tu dah balik, awak tak payah carilah.”

“Siapa sebenarnya yang belanja saya?” tanya Rus lagi. Dia memang tidak puas hati selagi tidak tahu.

“Ada la…” Mamak asyik tersenyum-senyum pula.

“Mamak ni, janganlah buat saya risau!” Naik cuak Rus dibuatnya selagi tidak tahu gerangannya.

“Orang dah belanja, buat apa nak risau?”

“Mestilah risau sebab tak tahu dan tak kenal siapa dia,” terang Rus.

“Kumbang tu sangat handsome. Sama padan dengan awak, bunga yang cantik…” puji mamak.

“Yalah, tapi siapa?” Kali ini sedikit meninggi suara Rus. Geram pula rasa hatinya dengan usikan mamak. Namun terasa pelik juga apabila mamak pandai berkias pasal kumbang dan bunga. Biar betul?

“Saya tak tahu nama dia, tapi muka dia macam anak raja jugak la…” jelas mamak dengan senyum simpul.

“Tak nak beritahu, sudah!” ujar Rus, geram. Dia terus berlalu selepas menyerahkan wang RM10 kepada mamak. Panas juga hatinya walau ada yang sudi belanja dirinya.

“Apasal lambat sangat? Mamak tu tak ada duit tukar ke?” tanya Amy.

“Tak ada apalah. Jom kita balik,” ajak Rus yang mahu segera pulang ke rumah.

“Nah kunci. Korang tunggu dalam kereta. Aku nak ke bilik air sekejap.” Nurul terus menyerahkan kunci kereta kepada Amy.

Tanpa berlengah, Rus segera menuju ke kereta Nurul. Menyedari Amy telah menekan kunci dari jauh, dia pantas membuka pintu kereta. Sebaik duduk, dia terus pakai tali pinggang keledar.

Seketika dia memejamkan mata. Tatkala tercium bau minyak wangi, dia segera membuka mata. ‘Eh, apasal dashboard kereta ni macam lain aje?’detiknya.

Tiba-tiba kedengaran seseorang berdeham.

Rus segera menoleh ke sebelah. Mahu gugur jantung dia saat menyedari gerangan yang berdeham tadi. Entah bagaimana dia rasa bagai kehilangan suara hendak berkata-kata.

“Awak nak ikut saya balik rumah ke?” tegur pemilik kereta sambil mengenyitkan mata.

Tanpa menghiraukan pertanyaan lelaki itu, Rus pantas mahu membuka tali pinggang keledar. Namun, ketika ini pula ia bagai tidak berfungsi.

“Maaf, saya tersilap masuk kereta. Macam mana nak buka ni?” Rus sudah tidak tentu arah. Kegopohannya mahu segera masuk ke dalam kereta mengundang insiden yang tidak diingini.

“Lain kali buat pelan-pelan. Senang aje, tekan dan tarik,” suruh lelaki itu.

Apabila Rus lakukan dengan perlahan, boleh pula. “Maaf sekali lagi,” ucap Rus lalu membuka pintu kereta.

“Lain kali hati-hati. Balik nanti jangan sampai tersilap rumah pulak!” usik lelaki itu lagi.

Rus buat tidak dengar sahaja. Malu gila dia kali ini. ‘Kenapalah nasib malang asyik bertimpa-timpa? Kenapalah dia ini ada aje ketika aku kelam-kabut?’ Dia mengomel dalam hati.

Sebaik pintu kereta ditutup, Rus mencari Amy dan Nurul. Ternyata mereka berdiri di tepi kereta sebelah dan sedang ketawakan dirinya.

“Apasal kau tak panggil dan halang aku masuk kereta tu?” tanya Rus dengan perasaan geram.

“Dah kau menonong aje, tak sempat aku nak panggil,” jawab Amy.

Handsome tak pemilik kereta tu? Nak intai tadi, tapi tak jelas pulak sebab dah malam. Yalah, cermin pun tinted,” tanya Nurul pula.

“Korang teruk betul! Malu aku tau!” Rus sambung membebel dalam kereta.

“Eh, kau yang tersilap, salahkan kita orang pulak!” balas Amy.

“Kau kenal tak orang tu?” tanya Nurul lagi.

Rus segera menggeleng.

“Nasiblah kena dengan orang yang kau tak kenal. Kalau tak, malu satu taman,” usik Nurul.

“Dah, cepatlah jalan. Aku nak cepat sampai rumah,” suruh Rus yang tiba-tiba sahaja jadi tidak keruan. Pada waktu malam, dia nampak bentuk kereta macam sama sahaja. Hanya kerana kereta Nurul dan lelaki itu sama warna, dia boleh tersilap pula.


RUS semakin resah sejak balik dari restoran. Walaupun kedua sahabatnya mengajaknya melepak sambil menonton televisyen, dia terpaksa menolak.

Dia asyik memikirkan lelaki yang telah belanja dirinya. Dia tertanya-tanya kenapa hanya dia seorang sahaja yang dibelanja. Padahal, mereka bertiga selalu makan di situ. Apa pula tujuan orang itu?

Semakin dia fikir, semakin risau hatinya. Pada mulanya dia mahu cerita sahaja perkara itu kepada Amy dan Nurul. Namun, apabila difikirkan balik, lebih baik dia diamkan sahaja.

Insiden tersalah masuk kereta orang lain, lagi satu hal. Rus menyalahkan dirinya yang asyik kelam-kabut dan hendak cepat sahaja. Setakat hari ini, entah berapa kali dia malu dan kantoi dengan jejaka yang sama. Peliknya, bagaimana lelaki itu ada di kawasan ini? Masakan dia duduk dekat-dekat kawasan ini juga?

Previous: Bab 11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.