JAM 11.25 pagi, tren ETS telah sampai
ke destinasi yang dituju. Rus sengaja berlengah-lengah kerana tiada keperluan
untuk segera keluar dari koc. Biarlah penumpang lain yang mendahuluinya. Lagipun
dia malas hendak bersesak di eskalator. Mat salih yang duduk di sebelahnya juga
sudah beredar dan hilang dari pandangan.
Menyedari dirinya adalah penumpang
terakhir yang masih belum keluar dari koc, Rus segera bangun. Sekali lagi,
dengan susah payah dia menarik dan menurunkan beg pakaiannya dari rak bagasi.
Perlahan-lahan dia mengatur langkah menuju ke eskalator.
Tiba di tingkat atas, dari jauh dia
sudah nampak wajah ceria Amy yang menunggunya sambil tersenyum-senyum. Pasti
sahaja ada yang bermain di fikirannya.
“Mana mat salih yang duduk kat
sebelah kau tu?” tanya Amy sebaik Rus menghampirinya.
Beria-ia gadis itu hendak tahu.
Sejak tadi matanya melilau memerhati penumpang-penumpang yang baru tiba, namun
tidak nampak pula kelibat mat salih. Kalau tidak, dapat juga dia berkenalan
dengannya.
“Jangan jadi jakun, boleh tak?” usik Rus
sambil menahan ketawa.
“Pontianak punya kawan! Aku ni Pan
Asia tau, bukan pancake! Setakat
Sofia Jane atau Sophia Loren tu, aku lagi cun!” marah Amy.
“La… gurau sikit pun nak ambik hati?”
balas Rus sambil tersenyum melihat gelagat rakan serumahnya itu. Kalau sehari
tidak bertekak dengannya, memang tidak sah.
“Wei, ceritalah pasal dia,” rayu
Amy. Dia memang terkilan apabila pagi tadi Rus hanya bercerita separuh jalan
sahaja.
“Jomlah kita duduk kat KFC dulu. Aku
pun dah lapar ni. Dalam tren tadi tak lalu nak makan.”
“Amboi, tak lalu makan konon! Ni
mesti kenyang tengok mat salih handsome
tu,” perli Amy.
“Kau jangan nak mengarut, ya? Kat
celah mana pulak aku nak letak si Huzaif tu?” balas Rus pula. Pandai sahaja
sahabatnya itu reka cerita.
“Aik, sejak bila kau begitu setia
dengan tunang kau tu? Bukan ke kau tak cintakan dia?” Amy buat muka pelik.
Takkanlah selepas bercuti balik kampung, hati minah seorang ini berubah pula?
“Bakal suami aku tu…” ujar Rus.
Sejenak dia mengimbas kembali photo
yang pernah abahnya tunjukkan kepadanya. Huzaif kategori lelaki yang segak
juga, cuma dia berkulit hitam manis dan ketinggiannya tidaklah sampai enam
kaki.
“Sudahlah! Kau tak pernah pun
teringatkan dia, kan? Entah-entah tunang kau tu tengah berbahagia dengan awek
Rusia yang lebih cantik daripada gadis Eropah.” Amy mencebik. Bagi dirinya,
orang lelaki bukan boleh dipercayai seratus peratus.
“Tak baik buruk sangka dengan
orang,” ucap Rus sekadar berbahasa. Padahal, dia amat berharap perkara itulah
yang sebenarnya terjadi.
“Aku tak fahamlah dengan kau ni.
Kita ni berhak memilih yang terbaik untuk diri sendiri. Bukan ikut aje cakap
orang lain.” Amy memberikan hujahnya.
Wajah Rus dipandang sayu. Bukan dia
tidak tahu yang sahabatnya itu terpaksa bertunang tanpa kerelaan hatinya. Dia
memang bersimpati dengan gadis itu, namun hanya mampu mendengar keluhan dan
rasa tidak puas hatinya. Hendak membantu, sekadar memberi nasihat dan kata
perangsang sahajalah.
“Aku cuma tak nak jadi anak
derhaka.” Jawapan yang sering diberikan bagi mengubati hati sendiri.
Hakikatnya, cukup pahit untuk Rus telan.
“Yalah, bertunang aje dulu, kan?
Belum tentu berkahwin dengan dia.”
“Hmm…” Rus mengeyakan. Berat mata
memandang, berat lagi bahunya yang terpaksa memikul. Apabila melibatkan hati
dan perasaan, lagi terasa bebanannya.
“Aku berharap sangat semoga tunang
kau tu berjumpa gadis idaman dia kat sana. Lepas tu, bolehlah kau bebas memilih
siapa yang berkenan di hati.”
“Teruk kan, aku ni?” keluh Rus.
Matanya leka memerhati pengunjung yang berada
di situ. Berbilang bangsa dan berbagai peringkat usia. Pelancong asing turut kelihatan.
Tiba-tiba dia teringatkan mat salih yang satu koc dengannya. Lelaki itu
awal-awal lagi dia tidak tahu ke mana arahnya.
“Tak ada la teruk, cuma kau tu yang
kurang tegas,” komen Amy.
Dalam diam, Rus mengakui kata-kata sahabatnya.
Di hadapan orang tuanya, dia terpaksa mengikut kata dan bersetuju sahaja dengan
apa yang telah diaturkan buat dirinya. Hakikatnya dia sentiasa mengharapkan
orang di sebelah sana memutuskan pertunangan.
“Kau tunggu kejap, aku nak pesan
makanan,” pesan Amy seraya menuju ke kaunter KFC.
Rus sambung memerhati pengunjung
yang kian membanjiri KL Sentral. Bermacam gaya dan ragam warga kota. Ada yang
mengejar masa, ada pula yang menunggu masa. Dirinya juga yang asyik menanti dan
mengharapkan takdir menyebelahi dirinya.
Kerana menjaga hati, dia terpaksa
berdiam diri. Jangan harap hendak bersuara sikit, nanti tidak pasal-pasal dosa
bertambah. Sukarnya hendak menjadi anak yang patuh, bertambah parah pengorbanan
yang diberi belum tentu menjamin kebahagiaan.
“Kau ni… sekejap aje aku tinggalkan,
dah termenung!” tegur Amy sambil meletakkan hidangan di atas meja. Dua snack
plate untuk mereka berdua.
“Nak buat apa lagi kalau bukan
berangan?” ujar Rus kemudian mengukir senyuman sekadar memaniskan wajah yang
kian serabut.
“Ni, sambung balik cerita mat salih
yang kau jumpa tu,” pinta Amy.
“Tak ada benda nak cerita pun.” Rus
beralasan. Makanan yang terhidang lebih menyelerakan dari cerita tentang lelaki
yang entah siapa-siapa. Namanya pun Rus tidak sempat hendak bertanya.
“Mustahil tak ada benda? Lebih dua
jam kau duduk sebelah dia, takkan tak ada apa yang berlaku?” Amy tidak percaya
dengan alasan yang Rus berikan.
“Maaf ya, kita orang buat hal
masing-masing. Tak kuasa aku nak menyibuk pasal mat salih tu,” jawab Rus.
“Jangan tipulah!”
“Suka hati kaulah sama ada nak
percaya atau tak.”
“Ni mesti ada apa-apa, kan?” duga
Amy lagi.
“Dah, tak payah nak buat spekulasi.
Aku lapar dan nak makan!”
“Janganlah nak berahsia dengan aku,
nanti terseksa jiwa dan raga. Siapa yang susah? Kau jugak…”
“Kau ni, ada-ada aje!” Geram betul
Rus dengan sahabatnya itu. Selagi tidak puas hati, selagi itu dia akan
mendesak.
“Kita berhak untuk bahagia Rus,”
ucap Amy sambil menjamah hidangan yang bisa sahaja mengenyangkan perut. Pada
masa yang sama turut menambah berat badan dan kolesterol!
“Bahagia itu subjektif. Ada yang
rasa bahagia apabila dapat membuat orang lain gembira,” tutur Rus. Benarkah apa
yang diucapkan? Padahal, diri sendiri terseksa jiwa semata-mata mahu gembirakan
hati orang lain.
“Betullah, tapi diri sendiri yang
kena terlebih dahulu rasa bahagia tu!” tungkas Amy.
“Itu pendapat kau. Lain orang, lain
pulak pandangannya,” balas Rus pula.
“Tak kisahlah. Bagi aku, nak jugak
tengok kau bahagia di samping insan yang benar-benar kau cinta. Paling penting,
dia jugak sayangkan kau seperti kau sayangkan dia,” tutur Amy.
“Kalau kau nak, aku lagilah
teringin. Tapi nak buat macam mana, kan? Aku sudah terikat dan dah tak boleh
memilih,” keluh Rus. Hendak menyesal pun sudah tidak berguna. Terpaksalah dia
teruskan sahaja.
“Kau aje yang tak nak memilih dan
buat keputusan sendiri. Patutnya awal-awal lagi kau menolak!” ujar Amy.
“Kau cakap, senanglah. Cuba kalau
kau berada di tempat aku, pasti sama aje keputusan yang bakal kau ambil.”
“Takkan sama sebab aku dah tak ada
mak bapak. Aku sendiri yang akan tentukan haluan hidup aku,” jawab Amy,
kemudian menghirup air minumannya.
“Kau memang beruntung…” ujar Rus
perlahan.
“Ada untung dan ada ruginya jugak.
Terpulang bagaimana kita hendak menghadapinya.”
“Tiba-tiba aku rasa malas nak window shopping. Kita terus balik rumah
ajelah,” usul Rus yang sudah kepenatan.
“Boleh aje. Sampai rumah nanti, kau
kena cerita pasal mat salih tu kat aku!” Amy mengingatkan.
“Yalah, yalah! Nanti aku cerita dari
A sampai Z.” Akhirnya Rus beralah. Dia akan cerita apa yang patut sahaja. Mana
yang perlu disembunyikan, terpaksa dirahsiakan juga. Tak nyonyalah kalau cerita
semuanya sampai tak ada rahsia langsung.
“Hmm… cantik pulak sweater yang kau
pakai. Tapi tulah, nampak besar sikit.”
Kata pujian Amy buat darah Rus
berderau. ‘Astaghfirullahalazim… macam mana boleh terlupa?’
“Kau ni dah kenapa? Apasal wajah kau
pucat semacam?” tanya Amy sedikit cemas.
“Tak ada apa-apalah.” Rus segera
berlagak tenang.
“Betul ni?”
“Ya, jangan risau. Lainlah kalau aku
jatuh pengsan.” Rus ketawa kecil bagi menutup resah di kalbu.
“Ke… kau dah jatuh cinta?” tembak
Amy. Mana tahu, kali ini memang mengena sasaran.
“Jangan mengarut boleh tak?” Rus
sudah gabra apabila asyik kena asak.
“Macam siapalah agaknya putera
kayangan tu, ya?” usik Amy lagi.
“Jomlah kita balik!” Rus sudah
bangun. Kalau masih melayan kerenah sahabatnya, semakin sesak dan serabut
fikirannya.
“Titah dijunjung Tuan Puteri Rus
Ashiya Rosman…”
Rus tersenyum juga dengan usikan
itu.
“Manis…” puji Amy sejujurnya.
Rus terpempan buat seketika.
Perkataan yang sama, namun diucap oleh dua insan yang berlainan. Kebetulan yang
amat mencuit hatinya!