Home Novel Komedi/Romantik Komedi 'Dia' My Love
'Dia' My Love
Zan Zarida
13/8/2016 23:49:49
308,514
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
Bab 9

PAGI Jumaat, selepas mengemas mejanya, Rus menuju ke pantri kerana tekaknya terasa kering. Lagipun ketika ini adalah waktu rehat jam sepuluh pagi. Kakitangan yang lain pun ada yang bersantai buat seketika setelah tekun menyelesaikan tugasan sejak pagi.

Sewaktu tiba di pantri, rupanya sahabat baik dia terlebih dahulu menghilangkan dahaga dan berselera sekali menjamah makanan.

“Makan, Rus,” pelawa Amy yang perasan kehadiran gadis itu.

“Makanlah, aku nak buat air Nescafe.” Rus segera menolak. Pagi tadi dia sudah bersarapan sebelum memulakan tugas.

“Meh la rasa. Sedap mi goreng mamak ni.” Amy siap tunjuk ibu jari.

Rus segera memandang mi goreng yang sedang Amy jamah. Tiba-tiba dia berasa pelik. “Eh, sejak bila kau suka mi goreng mamak?”

“Hmm… sejak terjumpa jejaka misteri kat restoran,” beritahu Amy dengan ceria.

“Jejaka misteri?” ulang Rus.

“Haah!” Amy mengangguk, kemudian sambung makan lagi.

“Jejaka mana pulak ni? Tak pernah pun kau cerita kat aku.” Rus cuba mengingat kembali cerita-cerita yang selalu Amy kongsikan dengannya. Rasanya tiada satu pun fasal lelaki.

“Alah, baru hari ni aje pun aku terjumpa dia. Selama ni boleh tak perasan pulak.” Amy tersengih kemudian mengelap bibirnya dengan tisu.

So, apa kena mengena dengan mi goreng mamak? Setahu aku, tak pernah pun kau sentuh!” Rus semakin tertanya-tanya dengan perubahan selera sahabatnya. Selalunya selera Amy lebih kepada makanan barat.

“Kalau dah nak memikat si jejaka, kenalah tahu apa makanan kegemarannya,” beritahu Amy sambil angkat kening berulang kali.

“Bukan pikat bakal mak mentua dulu ke?” gurau Rus yang mahu mengusik.

“Kau ni, satu-satulah!”

“Ooo… nanti kalau berdating, kononnya kau pun mempunyai makanan kegemaran yang sama dengan dia, ya?” sindir Rus pula.

“Bijak pun! Tapi mi goreng ni memang sedap. Best in the world!” puji Amy lagi.

“Kau makanlah, aku cuma nak minum aje. By the way, siapa gerangan jejaka tu?”

“Buat apa nak tahu? Kau pulak, sampai ke hari ni tak pernah nak cerita pasal mat salih yang satu koc dengan kau tu.” Amy mengungkit kisah dua minggu lepas pula.

“Kau masih ingat cerita basi tu?” Sengaja Rus bertanya, terkejutlah kononnya!

Padahal, dia sendiri masih terbayang-bayang wajah mat salih. Sweater lelaki itu pun jadi santapan matanya setiap kali buka almari pakaian. Tempoh hari, dia dapat pandang sipi-sipi sahaja. Tapi, masakan dia boleh lupa senyumannya yang menawan?

Sekarang pula, sudah bertambah satu lagi khazanah milik putera kayangan. Kalau sweater biru muda itu dia hadiahkan kepadanya, bagaimana dengan sapu tangan? Hai, ada sahaja barangan yang jadi kenangan setiap kali bertemu!

“Itu bukan cerita basi tau,” balas Amy dengan nada geram. Andai dia bertanyakan fasal mat salih, pandai sahaja Rus mengelak.

“Aku sendiri dah tak berapa ingat wajah mat salih tu.” Sengaja Rus beritahu begitu, supaya Amy tidak asyik bertanya tentangnya.

“Apa la kau ni… patutnya semat dalam minda. Siapa tahu lain kali kau akan terjumpa dia lagi?”

Rus terus terbatuk sebaik mendengar celoteh sahabatnya.

“Kuala Lumpur ni besar. Berlambak mat salih yang rupa mereka hampir sama.” Ada sahaja alasan Rus. Kalaulah Amy tahu cerita sebenarnya, habislah dia!

Mindanya mengimbau kembali detik pertemuan di Micasa Hotel. Memang dia tidak menyangka boleh berjumpa kembali dalam jarak waktu yang singkat. Namun, ketika berbicara dengan Amy, mestilah berlapik sikit. Dirinya adalah tunangan orang, perlulah menjaga air muka sendiri. Nanti dituduh tidak setia pula.

“Rupa memang hampir sama, tapi bukan karakter dia,” tekan Amy.

“Sempat tak berkenalan dengan jejaka tu?” Tiba-tiba Rus mahu tahu pula. Dari mengingatkan mat salih, baik dia berkenalan dengan jejaka pujaan Amy.

“Dah jejaka misteri, mestilah tak sempat. Kau ni pun satu!” Amy merengus, geram.

“Ingatkan dah siap tahu nama dan alamat rumah sekali,” perli Rus dan terus ketawa. Sesekali dapat bergurau dengan sahabatnya, rasa seronok juga. Tidaklah asyik dia sahaja yang jadi mangsa usikannya.

“Kau tak tahu betapa segaknya jejaka ni. Kalau kau jumpa dia, memang kau akan pandang dia berkali-kali.” Bersungguh Amy bercerita fasal lelaki idaman hatinya.

“Wow! Teruja pulak aku mendengarnya.”

Rus turut teringin berkongsi rasa dengan Amy. Dia juga hendak merasai dunia percintaan. Tetapi apakan daya, dia perlu menunggu selepas bernikah dengan Huzaif baru dapat mengecapinya. Itu pun kalau ada jodoh dan umur masih panjang.

“Macam mana susah sekalipun, aku akan selidik siapa lelaki tu,” ujar Amy. Nampak begitu berkobar-kobar semangatnya.

“Peliknya, kenapa sebelum ni kau tak pernah berjumpa dengan dia, ya? Bukan ke selalu jugak kau minum kat restoran mamak tu?” tanya Rus.

“Itu jugak yang buat aku musykil. Entah kenapa, pada hari Jumaat yang berbahagia ni pulak baru aku berpeluang jumpa dia.”

“Maknanya tak lama lagi la tu. Kalau berjodoh, boleh kita sama-sama naik pelamin…” ujar Rus. Dia juga sudah terbayang betapa meriahnya majlis perkahwinan mereka nanti.

“Kalau berjodoh dengan dia, memang bertuah badan. Akulah yang paling gembira dan bahagia.” Girang sekali hati Amy ketika menuturkannya.

“Seronok, seronok jugak tapi jangan berangan lebih-lebih.” Rus mengingatkan.

“Kenalah berangan dulu, baru boleh jadi kenyataan,” balas Amy pula.

“Okeylah, aku nak sambung buat kerja,” beritahu Rus sambil membawa air Nescafenya.

Sampai di tempatnya, perlahan-lahan dia menyisip air minuman kegemarannya. Tiba-tiba dia teringatkan mat salih lagi. Dia dapat rasakan yang lelaki itu sudah lama menetap di Malaysia. Sebab itu juga dia boleh berhahasa Melayu dengan fasih sekali.

Buat masa ini, dia hanya boleh berharap dapat terserempak lagi dengannya di mana-mana. Dia memang tidak senang hati juga menyimpan barangan yang bukan miliknya. Bertambah risau andai dirinya menyimpan perasaan tanpa sengaja!

Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.