DALAM perjalanan balik, Rus singgah makan
tengah hari di restoran kesukaannya sebelum masuk semula ke pejabat. Walaupun
seleranya sudah lama hilang, dia terpaksa juga mengisi perut bagi membekalkan
tenaga untuk terus berfikir dan bekerja.
Pada masa yang sama, dia masih
teringatkan insiden di Micasa Hotel. Berbagai perasaan masih berbekas di kalbunya.
Terkejut dan malu sudah semestinya. Walaupun dia ada keinginan untuk berjumpa
dengan mat salih lagi, tetapi bukan dengan cara begitu. Entah apa lelaki itu
sangka fasal dirinya.
Sudahlah sebelum ini dirinya dicop sebagai
seorang yang skeptikal, kali ini pasti sahaja istilah cemerkap dan kalut menjadi
miliknya! Paling mengganggu fikirannya adalah tentang khazanah milik lelaki
itu. Bagaimana dia hendak pulangkan?
Nama putera kayangan Rus sudah
maklum. Malangnya dia berasa segan
hendak meminta nombor telefonnya gara-gara insiden air tertumpah. Sebagai gadis
Melayu, dia tetap mahu menjaga tatasusila dan tidak mahu berlebih. Nanti lelaki
itu ingat lain pula.
DARI jauh Kak Ina sudah menyedari kehadiran Rus yang hendak
berjumpa dengannya. Dia sudah lama menanti kepulangan gadis itu ke pejabat. Di
samping mahukan dokumen yang Isaac berikan, dia turut ada perkara lain yang hendak
disampaikan.
“Hai Rus, baru balik?” tegur Kak Ina
ketika Rus menghampiri mejanya.
“Yup, saya baru aje sampai. Ni
dokumen yang klien tu kasi.” Rus menghulurkan dokumen yang agak tebal kepada
Kak Ina.
“Terima kasih. Hmm… macam mana
orangnya?” Kak Ina sengaja mahu menduga.
“Macam mana apa?” Pelik pula rasa
hati Rus dengan pertanyaan setiausaha bosnya.
“Siapa lagi?”
“Ooo… klien tu, ya?” Rus pura-pura
bertanya.
“Apa pendapat Rus tentang dia?”
“Okey la, tapi kenapa Kak Ina nak
tahu sangat?” Sesuatu sudah terdetik di hati Rus.
“Saja la. Bos kata dia seorang
pemuda yang baik dan masih belum berpunya,” beritahu Kak Ina sambil
tersenyum-senyum.
“Apa yang bos beritahu lagi?” Sudah
alang-alang Kak Ina mahu bercerita, Rus mengambil kesempatan itu untuk bertanya
lanjut.
“Mr. Isaac Newton tu sedang mencari
permaisuri hatinya. Menurut bos kita, sudah agak lama jugaklah dia mencari.
Dari Negeri Indera Kayangan sampai Negeri Di Bawah Bayu, tapi tak ketemu
jugak,” beritahu Kak Ina kemudian tertawa geli hati dengan bicara sendiri.
“Kelakarlah Kak Ina ni!” balas Rus.
Dalam hati tersenyum sendiri. Indera
Kayangan dan putera kayangan, bukankah seperti ada kena-mengena? Tetapi, kenapa
dia berasa seperti Kak Ina mahu memberitahunya sesuatu?
“Jodoh ni kita tak tahu, Rus. Datangnya
dia, memang tak berjemput. Tiba-tiba aje dah ada kat sebelah kita,” tutur Kak
Ina. Memulakan mukadimah perkara yang hendak dia sampaikan.
Tersenyum Rus mendengarnya. “Dulu
Kak Ina macam mana, ya? Kahwin dengan pilihan hati atau keluarga yang aturkan?”
“Mestilah cari sendiri! Tak mainlah
suruh mak bapak tolong.”
“Tulah, beruntung Kak Ina. Dapat
pulak suami yang baik dan dikurniakan anak yang comel-comel,” puji Rus dengan
ikhlas.
Dia masih ingat lagi ketika pertama
kali mengunjungi wanita itu di rumahnya. Ketika itu, Kak Ina masih di dapur dan
suaminya yang menyambut kedatangan Rus. Abang Halim memang seorang yang peramah
dan pandai melayan anak-anaknya.
“Alhamdulillah. Sebenarnya apa
sahaja yang kita nak, kena mintak dengan ALLAH. Setiap hari berdoa sungguh-sungguh,
tapi jangan lupa berusaha untuk mencapainya,” nasihat Kak Ina.
“Insya-ALLAH…” ucap Rus.
“Satu lagi, jodoh tu bukanlah
tentang siapa dia, tapi bagaimana kita…” beritahu Kak Ina lagi. Ayat yang
dituturkan semakin cantik dan bermakna.
“Ulang balik kak, saya tak berapa
faham.” Rus terkebil-kebil.
“Nak tahu jodoh kita tu bagaimana, kena
tengok diri sendiri. Kalau kita baik, insya-ALLAH kita akan dapat yang baik
jugak,” terang Kak Ina.
“Ooo… macam tu.”
“Tadi, Isaac sampai lambat ke?” Kak
Ina ingin tahu fasal pertemuan Isaac dengan Rus pula.
“Haah. Dah la lambat, bukannya dia
nak telefon saya. Kesian kat saya, tercongok sorang-sorang kat Micasa Hotel
tu,” adu Rus, tidak berpuas hati. Mujur dia menunggu di tempat yang agak
selesa.
“Nak buat macam mana, kan? Dah dia
tak kasi Kak Ina bagi nombor telefon dia kat Rus,” beritahu Kak Ina. Dia pun
berasa pelik juga. Entah kenapa pemuda itu tidak mahu Rus tahu nombor
telefonnya.
“Tak nak saya marahlah tu. Klien kan
selalu aje betul!” omel Rus, seolah-olah berasa geram sangat.
“Ha… ha… ha. Dia bukan klien
kitalah!” beritahu Kak Ina sambil ketawa.
“Habis tu, dia siapa kak? Kak Ina
jangan buat saya saspens pulak.” Rus terkejut dengan apa yang baru wanita itu
beritahu.
“Isaac tu ada sangkut-paut jugak
dengan bos kita,” jelas Kak Ina.
“Tapi, kenapa dia bahasakan bos kita
sebagai tuan?” tanya Rus. Dia masih ingat lagi perbualan Isaac dengan seseorang
di telefon. Cuma dia tidak menyangka orang itu adalah Tuan Malik.
“Ketika waktu pejabat, kenalah
profesional. Lebih-lebih lagi depan gadis macam Rus ni.”
Dalam hati, Rus sudah berasa lain. “Kak
Ina macam dah biasa aje dengan Isaac ni. Dah lama kenal ke?” Rus bertanya lagi.
“Adalah tiga empat kali bercakap kat
telefon, tapi tak pernah pulak dia datang ke pejabat ni. Tu yang tak tahu Isaac
ni macam mana orangnya. Kalau berdasarkan nama, memang kategori handsomelah, kan?”
“Boleh tahanlah,” ucap Rus.
“Boleh tahan aje? Ke… tak boleh
tahan kalau lain kali berjumpa lagi?” usik Kak Ina.
“Kak Ina ni… ke situ pulak!” Rus
tersipu. Wanita ini seperti dapat membaca fikirannya.
“Takkan nak in situ aje?
Sekali-sekala kita perlu berfikiran jauh sikit. Jangan asyik nak bekerja. Hati
dan perasaan ni kena bagi pendedahan jugak dengan dunia luar.” Panjang lebar
Kak Ina memberi nasihat.
“Apa yang Kak Ina melalut ni? In situ?
Tak faham saya!” Rus semakin tertanya-tanya.
“Kak Ina nak ingatkan aje.
Kerja-kerja jugak, ada masanya perlu fikir masa depan dan impian berkeluarga.
Takkan selamanya Rus nak hidup sendiri, kan?”
“Sebenarnya saya dah bertunang kak.
Hujung tahun ni, berubahlah status saya.” Rus berterus terang sahaja apabila
Kak Ina telah memberi gambaran tujuannya.
“Ya ke, Rus? Macam mana Kak Ina
boleh tak tahu?” Kedengaran suaranya sedikit hampa.
“Saya dah bertunang sebelum masuk
kerja kat sini kak,” jelas Rus.
“Kisahnya. Alahai, ingatkan nak padankan
Rus dengan orang tu.”
“Eh Kak Ina ni, nak padankan saya
dengan siapa pulak?” tanya Rus. Dadanya berdebar-debar menanti jawapan daripada
Kak Ina.
“Tak apalah. Rus pun dah bertunang,
tak baik potong jalan orang!” Kak Ina berdalih.
“Okeylah kak, saya nak sambung buat
kerja,” ujar Rus yang mahu segera menyambung tugas.
“Okey,” balas Kak Ina. Matanya
memerhati langkah Rus hingga hilang dari pandangan. Nampaknya hajat seseorang
bakal tidak kesampaian.
Sampai di kubikelnya, Rus melepaskan
keluhan berat sebaik terlihat dokumen yang bertimbun di atas meja. Ketika
mengeluarkan telefonnya dari beg tangan, terpandang pula sapu tangan milik mat
salih.
Sekali lagi dia mengeluh. Hendak membasuh
dan menjemurnya pasti perlu sembunyi-sembunyi. Andai Nurul atau Amy ternampak,
masak dia terpaksa terangkan mana datangnya sapu tangan milik orang lelaki itu.
Aduhai…