Home Novel Komedi/Romantik Komedi Aduhai, Bos Bertuah!
Aduhai, Bos Bertuah!
Zan Zarida
5/3/2013 15:30:39
204,137
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 14

SESEKALI Dian mengurut tengkuknya. Tadi dia ada perbincangan dengan pengurus projek bersama beberapa jurutera yang lain. Kemudian dia sambung mesyuarat dengan pihak konsultan di pejabat pengurus besar pula. Dia memang rasa penat semacam walaupun hanya duduk sahaja.

Sekilas dia mengerling telefon bimbitnya.Rupanya ada pesanan masuk daripada Zamil.Segera dia membukanya.

Tertera ‘I miss you…’ Seketika dia tersenyum meleret. Sudah lama dia tidak menerima SMS sebegitu. Kali terakhir pun daripada Danish. ‘Oh tidak! Jangan disebut dan diingat nama itu lagi.’ Dia mengingatkan dirinya.

Tiba-tiba telefon bimbitnya berdering pula. Dia segera menjawabnya tanpa melihat skrin terlebih dahulu. “Helo,” ucapnya perlahan.

“Kenapa tak balas SMS abang? Lama abang tunggu...”Ada rajuk pada suaranya.

“Oh! Abang ke? Dian tengah buat kerja, mana boleh curi tulang?” tuturnya lembut.

“Tapi Dian dah curi hati abang.” Kini suara Zamil bertukar manja pula.

Hendak tergelak juga Dian mendengarnya. “Sebenarnya Dian tak curi apa-apa pun,” balasnya kemudian tersenyum sendiri.

“Kalau Dian tak curi, masakan hati abang tiada di tempatnya?” soal Zamil. Kali ini serius sahaja dia menuturkannya.

“Memang betul dah hilang ke?” Sengaja dia hendak mengusik sambil menyimpan tawanya.

“Yalah! Sampai susah abang nak buat kerja. Asyik tercari-cari saja,” jawab Zamil kemudian ketawa di hujung kata-katanya.

“Sebenarnya Dian pinjam sekejap aje. Balik rumah nanti, Dian pulangkan semula. Okey?” janjinya.

“Lain kali jangan nak buat sesuka hati Dian. Kalau nak curi ke, nak pinjam ke, mesti kena minta izin dulu!” sakat Zamil pula.

Tergelak dia mendengarnya. “Ada-ada saja abang ni,” balasnya.

“Balik nanti, kembalikan semula ke tempatnya. Tak senang duduk abang dibuatnya,” pesan Zamil macam betul-betul sahaja.

“Salahkan Dian pulak? Yang abang kebas hati Dian, tak mengaku pulak?” balasnya. Kini dia juga tidak mahu ketinggalan. Asyik dia sahaja yang terkena.

“Hati Dian pun hilang jugak ke?” tanya Zamil. Kedengaran ceria sekali suaranya.

“Bukan setakat hilang hati, jantung pun dah kena ubat bius sekali. Nasib baik boleh berfungsi lagi.”

Zamil tertawa mendengarnya.

“Abang, maaf ya. Sebenarnya Dian ada banyak kerja. Tak elok pulak kalau bos nampak,” ujarnya perlahan.

“Biarlah dia nampak,” balas Zamil pula.

“Teruklah abang ni. Nanti tak pasal-pasal Dian kena denda. Silap hari bulan kena buang kerja pulak.” Sengaja dia tokok tambah.

“Tak apa. Dian boleh bekerja dengan abang. Abang akan bayar lebih, tapi kena buat macam-macamlah.”

“Dian…” Kedengaran rakan sekerja memanggilnya.

“Kan dah cakap!” keluhnya.

“Bos Dian ke?” tanya Zamil.

“Hmm… nanti kita sembang di rumah ajelah.”Dia tidak mahu memanjangkan perbualan ini. Nanti dia juga yang kena usik dengan rakan sepejabat.

“Okeylah, sayang.I loveyou, bye…” ucap Zamil.

“Yalah,” balasnya dan terus memutuskan talian. Kemudian pura-pura sibuk membuat kerja pula.

“Tak payahlah hendak berlakon Puan Dian. Baru berpisah sekejap, sudah rindu ke?” usik Ayu. Sebenarnya sejak tadi lagi dia perhatikan gelagatnya.

“Tak adalah. Ada apa Ayu panggil Dian?” tanyanya.

“Ayu tengok, sekarang ni Dian gembira semacam saja? Macam orang tengah mabuk bercinta pulak.”

“La… memanglah tengah bercinta. Lagi nak tanya,” balasnya kemudian tersenyum meleret. Geli hati dengan gelagat sendiri.

“Hari-hari sudah duduk sama, masih rindu jugak ke?” tanya Ayu sedikit pelik.

“Hisy… Ayu ni. Dahlah, tak payah usik Dian lagi.” Segan pula dia apabila diusik begitu.

“Macam mana pengantin baru?” tanya Ayu. Kini dia sudah duduk di kerusi hadapan meja Dian.

“Tak adanya pengantin baru. Tak lama lagi dah nak basi. Boleh campak dalam longkang!” Saja dia nak buat lawak.

“Ada saja alasan Dian hendak mengelak,” tingkah Ayu kemudian menggeleng.

“Boleh tak kita cerita pasal benda lain?” dalihnya.

“Strategy paperuntuk projek di Cyberjaya tu, Dian dah buat ke?” tanya Ayu. Itulah tujuan asal dia berjumpa dengannya. Dia perlu tahu bagi memudahkannya mengatur jadual pembentangan.

“Baru buat draf. Bukan ke banyak masa lagi?” soal Dian pula.

“Nak tengok drafnya,” pinta Ayu.

“Sorry… tak boleh nakprint,” jawab Dian. Sebetulnya tak siap apa pun, draf di kepala sahaja!

“Kenapa pulak? Mesin pencetak bukannya rosak,” tanya Ayu sedikit pelik.

“Draf tu ada di kepala, belum diterjemah ke dalam bentuk tulisan,” jawabnya kemudian tertawa.

“Hampeh betul! Semenjak berkahwin ni, Dian memang dah lainlah,” komen Ayu pula.

“Serius, selepas ini Dian akan cuba siapkan dan serahkan kepada Ayu,” janjinya.

“Sekarang dah hujung bulan, baik Dian siapkan. Awal bulan nanti ada pembentangan kertas kerja. Dian jugak yang kena buat semua tu,” ujar Ayu mengingatkan dirinya.

“Oh! Ya ke?” Segera dia membelek kalendar di atas mejanya. Rasa macam tak percaya pula masa begitu pantas berlalu.

“Cuti bulan madu Dian sudah berminggu berlalu. Sekarang sila beri tumpuan pada kerja pulak.” Berlagak bos pula si Ayu ini.

“Yalah cik akak. Jangan risau, semua tu kacang saja,” balasnya sambil tersenyum.

“Okeylah, Ayu nak mengingatkan Dian aje.Bila-bila masa saja, akan ada projek baru yang masuk. Nanti Dian jugak yang terduduk,” pesannya kemudian terus berlalu.

Dian mengeluh panjang di mejanya. Rasa macam hendak jadi suri rumah sepenuh masa pulak!

Previous: Bab 13
Next: Sinopsis

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.