NUR
Irdina Insyirah berjalan menuju ke arah
motornya dengan senyuman yang meleret. Sempat dia berdoa dalam hati semoga kali
ini dia bekerja lebih lama di Zamir Kopitiam. Sudah seminggu dia menjadi
penganggur. Kenapa susah sangat dia hendak mendapatkan kerja yang sesuai dengan
pendidikannya? Dia graduan, tetapi susah benar hendak mendapat pekerjaan dengan
kelulusannya itu.
Suka atau tidak, dia terpaksa menipu
untuk mendapatkan kerja. Sah-sahlah dia tidak dapat kerja jika dia beritahu
yang dia ada ijazah dalam bidang Komunikasi dari Universiti Sains Malaysia.
Sebelum memakai topi keledar yang
berwarna merah jambu itu, Irdina menarik nafas panjang. Maya dan Anum sudah
memiliki kerja tetap. Mungkin Allah menutup pintu rezekinya kerana dia telah
berdosa kepada neneknya. Tapi dia terpaksa, dia mempunyai misi di Kuala Lumpur
ini. Misi untuk mencari ibunya, Athirah. Irdina mengeluh lagi, kali ini
keluhannya agak panjang.
“MACAM
mana dengan interview tadi?” tanya Maya kepada Irdina yang sedang merehatkan
diri di atas sofa empuk milik Anum.
“Alhamdulillah. Dapatlah jadi waiter kat situ. Gaji seribu dua ratus
ringgit. Cukuplah tu.”
“Emm... agak-agak berapa lama awak nak
bertahan?”
“Hisy, awak ni Maya. Ada ke cakap macam
tu?
“Iyalah. Awak tu cepat naik angin. Kerja
seminggu, sibuk nak berhenti.”
“Maya, saya bukan saja-saja nak
berhenti tau. Tapi kan, dah tempat kerja tu tak sesuai dengan saya. Nak buat
macam mana. Eh, mana pergi budak Mahanum ni? Dah pukul 8.00 malam, tak
balik-balik lagi ni.”
“Anum ada press conference kat PWTC. Senang-senang, awak jadi aje wartawan
macam Anum tu.”
“Gilo. Anum tu sesuailah jadi wartawan.
Tengoklah dia tu macam mana. Saya ni kalau jadi wartawan, alamatnya hari-hari
keluar berita pasal Jep.”
“Haip! Salah guna kuasa. Tak kuasa saya
nak beli surat khabar tu kalau hari-hari keluar berita pasal Jep. Tahulah awak
minat Jep. Huh, entah mana handsomenya
Jep tu pun saya tak tahu. Lainlah Amar Bahrin.”
“Memanglah tak handsome, tapi sweet. Sweet daripada Amar Bahrin okey. Saya
nak masak Maggi ni, awak nak tak, Maya? Kalau nak, saya nak masak dua bungkus ni.”
“Boleh jugak. Rajin kawan saya ni masak
Maggi. Buat sedap-sedap tau,” usik Maya. Irdina sempat membalingkan bantal ke
arah Maya.
Tidak sampai 15 minit, Irdina memanggil
Maya ke ruang makan. Maya segera berlari. Perutnya memang agak lapar. Dia
menarik bangku.
“Laju aje erk,” tegur Irdina.
“Kawe lapar ni,” jawab Maya dalam
dielek Kelantannya.
“Lapar. Jom makan Maggi ala Farah Quinn
gitu. Farah Quinnlah sangat kan.”
“Awak masak apa pun sedap Dina. Masak Maggi
pun dah rasa macam spagetthi carbonara.”
“Kemain lagi awak punya bodek ya Maya.”
“Eh, Dina. Saya nak tanya sikit. Sampai
bila awak nak sembunyikan hal sebenarnya daripada nenek awak?”
Irdina mengeluh perlahan. Seleranya
tiba-tiba mati bila mengenangkan neneknya sendirian di Kuantan.
“Saya bukan apa, Dina. Saya tahu niat
awak nak cari emak awak kat sini. Tapi cara awak tu salah. Sekurang-kurangnya
awak kena beritahu nenek awak.”
“Maya, awak tak faham. Awak ingat nenek
saya nak restu ke kalau saya cakap saya nak cari mak saya? Dia alergik tau
dengar nama mak saya?”
“Habis tu, sampai bila awak nak sembunyikan
hal ni?”
“Saya tunggu sebulan lagi. Kalau tak
jumpa juga, saya akan beritahu nenek. Saya cuma nak tahu hal yang sebenarnya.”
“Awak nak cari kat mana lagi Dina? KL
ni bukan kecik tau. Takkan awak nak pergi dari sekolah ke sekolah. Saya suruh
pergi ke Jabatan Pendidikan Negeri, awak tak nak. Mana tahu kot-kot ada orang
boleh tolong.”
“Saya pun tak tahu macam mana nak cari
dia,” keluh Irdina lagi.
“Bulan lepas kita pergi kat alamat
lama, siapa pun tak kenal dia. Maklumlah, dah hampir 24 tahun,” sambung Maya.
“Assalamualaikum.” Kedengaran suara
Anum memberi salam. Kemudian pintu rumah dibuka perlahan.
“Sedapnya bau Maggi,” kata Anum sambil
meletakkan beg galasnya di atas sofa. Segera dia menuju ke meja makan.
Maya mengambil sebiji lagi mangkuk lalu
diisikan dengan sebahagian daripada Maggi miliknya di dalam mangkuk. Begitu
juga dengan Irdina. Dia turut mengisi mangkuk Anum dengan Maggi miliknya.
Mereka bertiga kawan baik sejak dari
hari pertama bergelar pelajar di USM. Irdina dan Anum satu kursus, manakala
Maya pula dalam jurusan Pengurusan. Selepas sahaja konvokesyen, Irdina
mengambil keputusan untuk mencari kerja di Kuala Lumpur. Puas jugalah dia
memujuk neneknya. Mujurlah ada Anum dan Maya. Kalau tidak, jangan haraplah
neneknya akan izinkan. Semasa mendapat tawaran belajar di Pulau Pinang, abahnya
masih ada. Abahnyalah yang berjaya memujuk neneknya.
“Alahai, kau orang cukup ke tak ni?
Kebetulan pulak, saya ni memang tak makan lagi. Tapi kan, kenapa rasa macam
suram aje suasana malam ni? Eh, awak dapat kerja ke Dina?”
“Alhamdullillah, dapat Num,” jawab
Irdina dengan ringkas.
“Dah tu, kenapa muram aje ni?” tanya
Anum lagi bila merasakan suasana sikit suram di meja makan itu.
“Hal Dina dengan nenek dialah,” jawab
Maya bagi pihak Irdina.
“Emm… Nanti bila awak cuti, kita ke
JPN. Kita tanya kat situ pulak. Tapi kan Dina, saya rasa lebih baik awak balik
dan tanya dengan nenek awak,” ujar Anum memberikan cadangan.
Maya mengangukkan kepala tanda
menyetujui cadangan Anum.
“Masalahnya, arwah abah saya dah pesan.
Jangan sampai nenek tahu.”
“Jangan-jangan emak awak dah balik ke
Negeri Sembilan. Awak tahulah, cikgu ni kan, sudahnya suka balik berkhidmat di
kampung sendiri.”
Kata-kata daripada Maya membuatkan
Irdina memikirkan sesuatu.
“Kalau Negeri Sembilan, lagilah teruk
saya nak cari.”
“Insya-ALLAH Dina. Sudahlah, jom kita
makan dulu. Nanti-nanti kita fikirkan. Kiranya, Maggi ni sebab nak celebrate Dina yang dapat kerja barulah
ya. Ni yang ke berapa kali ni?”
“Kali yang ketujuh,” jawab Irdina
dengan senyuman di bibir.
Mujur Irdina ada kawan yang baik macam
Anum dan Maya. Sentiasa ada ketika dia susah dan senang.