Home Novel Komedi/Romantik Komedi Sayangku Cik Tiramisu
Sayangku Cik Tiramisu
27/8/2014 03:32:25
79,168
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 10

INTAN kalut mengawal stereng keretanya selepas keretanya tiba-tiba sahaja semput di tengah jalan. Dia segera memberikan isyarat untuk ke tepi. Sebaik berhenti, Intan terus menyalakan lampu kecemasan. Intan melihat bahagian hadapan keretanya yang sudah mengeluarkan asap. Apa pula masalah keretanya hari ini. Mata Intan terus tertancap ke meter suhu. Mak aii, tingginya!

Rasanya tadi pagi sebelum ke sekolah, dia sudah memeriksa tangki air keretanya. Malah dia sudah menambahkan air. Kenapa tiba-tiba suhu boleh naik pula? Intan garu kepala sebelum melangkah keluar dari kereta.

Penutup but hadapan kereta Kelisanya dibuka. Terus sahaja berkepul-kepul asap keluar menerjah ke udara. Intan terbatuk-batuk kecil akibat terhidu asap yang berkepul-kepul itu. Tangannya tergawang-gawang ke kiri dan kanan untuk menghalau asap tersebut dari terus menyerbu mukanya.

“Alah, Cik Kodok ni pun. Kenapalah tengah-tengah jalan, tengah-tengah panas terik ni kau nak buat hal dengan aku? Sudahlah baru dua hari lepas aku tukar dua biji tayar baru untuk kau. Sekarang kau nak cekik aku lagi.” Intan membebel-bebel kepada kereta Kelisa kuningnya yang dipanggil Cik Kodok. Dahinya dipicit-picit. Sakit kepala kerana cuaca panas dan memikirkan duitnya bakal melayang lagi.

Intan berdiri di tepi jalan. Matanya meninjau-ninjau kalau-kalau ada teksi yang lalu. Dia perlu mencari bengkel untuk membaiki keretanya. Intan meraba-raba mencari tisu di dalam beg tangannya. Dahi yang sudah memercik peluh dilapnya. Susah pula hendak dapat teksi di waktu ini. Sudah habis meleleh peluh ke hujung kaki, sebuah teksi pun tidak lalu di situ.

Intan mengambil telefon bimbitnya, lalu cuba menghubungi Yati untuk meminta bantuan. Harap-harap Yati tidak ada aktivi di sekolah. Seketika kemudian, Intan mengeluh hampa. Panggilannya langsung sahaja masuk ke peti simpanan suara. Agaknya, teman serumahnya itu ada mesyuarat di sekolah sebab itu telefon dimatikan. Intan sudah maklum dengan perangai Yati yang satu itu.

Dalam menanti teksi lalu, sebuah kereta tiba-tiba memberi isyarat lalu berhenti di belakang kereta Intan. Dia berasa lega dan bersyukur kerana ada juga insan yang sudi membantu walaupun ada juga terselit sedikit rasa cuak di hati. Bimbang juga kalau yang hendak menolong itu ada niat yang lain. Maklum sahaja, zaman sekarang ini segalanya sukar dijangka.

Kelihatan seorang lelaki turun dari kereta tersebut dan berjalan ke arahnya. “Ada masalah ke cik?” tanya lelaki itu sambil menanggalkan cermin mata hitam yang dipakainya.

Intan yang memandang sudah menelan liur. Sedap pula rasa air liur di waktu tengah panas terik begini. “Aduh, kenapa harus dia?” Intan mengeluh perlahan.

“Laaa…awak rupanya Cik Singa Comel,” ujar Faiz yang baru sedar siapa gadis yang ditegurnya. Dia sudah tersenyum lebar. Setiap kali bertemu dengan gadis itu, hati Faiz terasa ada bahagia di mana-mana.

Intan juling mata ke atas. Suka sangat lelaki itu memanggilnya singa. “Iya, saya ni Encik Nyamuk Tiruk,” sahut Intan sambil mengetap gigi menaham geram.

Faiz terus ke bahagian hadapan kereta Intan. “Kereta awak rosak ke?” soalnya sambil meninjau-ninjau enjin kereta Kelisa itu.

Intan tahan geram dalam hati. Baginya, lelaki itu suka sangat bertanyakan soalan yang tidak menjana minda kepadanya. “Taklah. Saya suka-suka saja berdiri kat tepi jalan ni. Saja nak gelapkan kulit,” jawab Intan dengan perasaan penuh jengkel.

Faiz cuma tersenyum dengan jawapan balas dari Intan. “Iya ke? Kalau macam tu lebih baik berdiri kat tengah jalan tu. Lebih cepat sikit gelapnya,” balasnya sengaja menambahkan darjah kepanasan hati Intan.

Intan mendengus geram. Tubuhnya dipeluk kejap. Sudahlah sakit hati kereta rosak di tengah-tengah panas terik, datang pula si nyamuk tiruk ini membuat bising entah apa-apa. Menyemak betullah!

‘Yang teksi ni pun. Berakar aku tunggu kat sini, sebiji pun tak lalu. Hari mogok pemandu teksi seMalaysia kah?’ omel Intan di dalam hati.

Faiz memerhati sahaja gelagat Intan. Dia tahu, gadis itu sedang bermonolog sendiri di dalam hati. Melihat ekspresi muka Intan yang sekejap begitu dan sekejap begini sudah cukup untuk Faiz meneka. Dalam hatinya terlintas juga, agaknya singa comel itu sedang menghamun dirinya.

Faiz menyeluk kedua-dua tangannya ke dalam saku seluar. Dia kemudian berjalan merapati Intan. “Saya berhenti ni dengan niat baik. Nak tolong awak. Awak janganlah marah-marah saya.” Lembut tutur Faiz.

Intan diam tidak memberikan reaksi.

“Awak tak check air ke sebelum memandu tadi?” tanya Faiz.

“Baru pagi tadi saya isi sebelum pergi sekolah,” jawab Intan. Kali ini tulus jawapannya.

“Hmmm…mungkin radiator kereta awak bocor. Awak call syarikat insurans kereta awak then minta bantuan tow truck,” cadang Faiz. Dia berbicara serius. Sekarang bukan masa yang sesuai untuk mengusik Intan. Biar selesai hal kereta itu dahulu baru dia mengusik kembali si singa comel itu.

Intan pandang Faiz. “Eh, boleh minta bantuan tow truck dengan syarikat insurans ke?”

Faiz angguk kepala.

Sure?”

Faiz angguk lagi.

“Saya call ye.”

“Iya sayang.” Kali ini Faiz menjawab dengan usikan nakal. Seperti biasa, bibirnya tetap tersungging senyuman menawan.

Tetapi bibir Intan pula terus muncung panjang. Lelaki itu memang selalu begitu dengannya. Seriusnya hanya sekejap sahaja. Yang selebihnya asyik hendak menyakat sahaja.

“Dah?” tanya Faiz setelah melihat Intan mematikan panggilannya.

Intan sekadar menjawab dengan anggukan.

“Kalau macam tu, jomlah duduk dalam kereta saya dulu,” ajak Faiz.

Intan mengeraskan diri. “Tak apa. Saya tunggu kat sini.”

Faiz tersenyum dengan perangai Intan. ‘Wah! Berlagak. Aku betul-betul blah nanti baru tahu,’ getus hatinya.

“Jomlah duduk dalam kereta saya tu. Sementara nak tunggu tow truck tu sampai, bukan setakat gelap, mahu hangus juga kulit awak tu nanti,” ajak Faiz lagi.

Entah kenapa, Intan bagaikan terbius dengan tutur lembut Faiz yang seakan memujuk itu. Dia memandang wajah lelaki di sisinya. Nampak keikhlasan di situ. Akhirnya Intan mengalah. Dia menuruti langkah Faiz dari belakang menuju ke kereta Honda Civic milik lelaki itu.

Terasa lega di segenap tubuhnya apabila ada hawa dingin yang menyapa kulitnya. Udara sejuk dari penghawa dingin kereta Faiz benar-benar terasa menyamankan. Intan masih mengelap wajahnya yang masih bersisa peluh.

“Eh, awak nak buat apa ni?” soal Intan penuh cuak apabila Faiz tiba-tiba sahaja mendekatkan diri. Dia segera merapatkan tubuhnya ke pintu. Intan mula berfikir yang bukan-bukan tentang Faiz. Yang pasti, semuanya yang buruk-buruk belaka.

Faiz pula sudah tergelak-gelak. Melihat sahaja reaksi Intan, dia tahu, gadis itu sudah bersangka buruk dengannya. ‘Hisy, tinggi sungguh imaginasi cikgu ketot ini,’ desis hati Faiz.

Sorry. Saya nak capai barang kat belakang tu. Tak ada niat yang tak baik pun kat awak,” kata Faiz selamba. Seusai berkata, Faiz kembali berpaling ke belakang dan mencapai barang yang dimaksudkannya.

Intan memerhati tingkahlaku Faiz dengan perasaan yang tetap berwaspada.

“Nah.” Faiz menghulurkankan sebotol air mineral kepada Intan.

‘Hah! Air apa pulak ni? Jangan-jangan dia letak pil tidur ke, pil peransang ke dalam air ni. Jangan ambil Intan,’ bicara hati Intan penuh curiga tahap tertinggi.

Faiz kembali tergelak. Singa comel memang macam kartun. Imaginasi tinggi macam watak Alex dalam filem Madagascar. Memang sesuailah dengan Intan. Faiz gelak lagi. “Jangan fikir bukan-bukan. Tak baik bersangka buruk pada orang yang ikhlas menolong. Air mineral ni masih baru. Penutup pun belum buka lagi.”

‘Aik? Macam mana dia boleh tahu apa yang aku fikir ni?’ Intan menyoal diri.

“Riak muka awak tu ketara sangat dengan perasaan curiga tu,” ujar Faiz bersahaja.

Intan terkesima. ‘Oh, jujur sangatkah riak muka ku?’

“Memang patut pun saya curiga. Saya bukannya kenal awak sangat,” balas Intan membela diri.

“Tak payahlah awak nak curiga sangat. Saya ni lelaki baik. Calon suami contoh lagi,” sangkal Faiz sekaligus memuji diri sendiri.

Intan menjuihkan bibir. Perasan. Calon suami contohlah sangat!

Faiz tetap mengunjurkan botol air mineral tersebut kepada Intan bersama senyuman yang tidak lekang di bibir. Intan memandang muka Faiz. Cuba mencari kejujuran di situ. Dek kerana dahaga akibat kepanasan berdiri di luar tadi, akhirnya Intan mengalah. Botol berisi air mineral yang dihulurkan Faiz, disambutnya.

Faiz turut membuka sebotol lagi air mineral untuknya. Selepas membaca Bismillah, dia meneguk air tersebut. Alhamdulillah, terasa lega tekaknya. Dia kemudian menoleh kepada Intan. Laa…masih terkial-kial hendak buka penutup botol? Faiz segera menghulurkan tangan untuk membantu.

“Apa?” tanya Intan apabila Faiz menghulurkan tangan kepadanya.

“Botol tu. Bak sini saya tolong bukakan,” kata Faiz.

Perlahan-lahan Intan menghulurkan kembali botol air mineral di tangan kepada Faiz. Dengan mudah, penutup botol itu dibuka Faiz. Botol tersebut dihulurkan kembali kepada Intan bersama senyuman yang manis bergula.

‘Senyum…senyum. Nak mengejek akulah tu. Yang tangan ni pun satu. Buat malu sahaja. Nak buka penutup botol pun tak larat. Selalu boleh aje. Hari ni pulak kau nak mengada-ngada ya tangan.’ Intan mengomel dalam hati.

“Sama-sama,” ucap Faiz tiba-tiba.

Intan yang sedang meneguk air, hampir sahaja tersedak. Sedar, Faiz sedang memerli dirinya. “Thanks,” ujar Intan perlahan.

“Hah? Apa dia?” Faiz buat-buat pekak.

Intan tayang muka bosan. “Terima kasih,” ucapnya lebih kuat dari tadi.

Faiz tersenyum nakal. “Nanti saya pertimbangkan ya. Sama ada nak terima atau tidak kasih awak tu,” usiknya sambil mengeyitkan mata kepada Intan.

“Gatal!” kutuk Intan spontan.

Faiz tergelak senang hati. Kenapalah rasa bahagia sangat kalau jumpa Cik Ketot ni? Terlintas rasa lucu di hati Faiz. Baru dia sedar, rupanya sudah banyak gelaran yang diberikannya kepada gadis di sebelah. Minah tiramisu lah, Singa Comel Yang Garang lah, Cik Ketot lah. Hahaha…yang pasti, dia comel!

‘Kan bagus kalau dia adalah Intan yang sama.’ Hati Faiz tiba-tiba terdetik, teringatkan kekasih sejak zaman kecilnya.

“Awak tak payah susah-susah nak fikir, nak pertimbangkan ‘kasih’ saya tu. Reject je terus,” kata Intan lagi mematikan khayalan Faiz.

“Eh, eh dia ni. Suka hati sayalah nak terima atau nak reject. Hati saya, bukan saya pakai hati awak pun,” jawab Faiz menyakitkan hati Intan.

“Huh!” dengus Intan. Dia terus menyandarkan tubuhnya ke kusyen kereta lantas tubuhnya dipeluk kejap. Geram betul dengan nyamuk tiruk ini. Ada saja jawapan balas yang menyakitkan hati.

Setelah 15 minit, akhirnya bantuan tow truck dari syarikat insurans pun tiba. Kereta Kelisa Intan ditunda ke bengkel yang berhampiran. Intan dan Faiz mengikut dari belakang. Sampai sahaja di bengkel, Faiz yang menguruskan segalanya tentang kereta Intan. Intan disuruh tunggu dalam kereta sahaja.

Dari dalam kereta, Intan memerhati gerak laku Faiz. Ada senyuman yang terukir di bibirnya. Entah kenapa, terasa suka pula melihat lelaki itu. “Kalaulah dia Faiz yang sama,” ujar Intan perlahan.

Fikiran Intan mula melayang mengingatkan tarikh perjanjian antara dia dan Faiz zaman kecilnya yang akan sampai tidak lama lagi. Ada debar di hatinya. Mungkinkah janji itu masih terpakai? Walau tarikh luput surat itu belum sampai waktunya, masih boleh dipakai lagikah?

“Awak…ooo awak,” panggil Faiz sambil mengetuk cermin tingkap di sisi Intan.

Terkejut Intan dibuatnya. Habis mati khayalannya. Cepat-cepat dia menurunkan cermin tingkap. “Ada apa?” tanyanya.

“Amboi, bukan main awak layan blues ya? Saya yang kacak lawa ni memanggil-manggil awak pun, awak tak sedar ya?” kata Faiz dengan nada menyakat.

Intan menjuihkan bibir. “Kacak lawa konon. Perasan!” kutuk Intan.

“Eh, bukan perasan okey. Memang kenyataan yang saya ni memang kacak lawa orangnya,” balas Faiz tidak mahu kalah.

Intan juling mata ke atas. Meluat!

“Ni nak bagitahu awak. Radiator kereta awak tu bocor. Kena ganti,” beritahu Faiz.

Intan mengeluh. Melayang lagi duitnya hari ini. “Apa-apa ajelah awak. Janji kereta tu boleh jalan balik,” sahut Intan lemah.

Faiz berjalan kembali ke arah mekanik yang masih berdiri di sisi kereta Intan. Dia bercakap-cakap sesuatu dengan mekanik tersebut. Barangkali sedang berundingkan harga. Intan sekadar memerhati dari dalam kereta. Nak ikut berunding pun, satu habuk pun dia tidak tahu pasal kereta.

Setelah mencapai kata sepakat, Faiz kembali ke keretanya. “Dalam dua jam, siaplah kereta awak tu,” ujar Faiz.

“Ermmm…awak. Boleh tolong hantarkan saya ke Maybank yang terdekat tak?” pinta Intan.

“Boleh. Tapi kita pergi makan dulu ya. Saya laparlah.” Faiz tiba-tiba merengek manja. Tersengih-sengih dia.

“Err…takpelah. Awak hantar saya ke Maybank yang terdekat. Lepas tu awak pergilah makan. Nanti saya datang balik ke sini dengan teksi.” Intan menolak pelawaan Faiz.

Faiz mengeluh. “Okey,” jawabnya lantas mula menggerakkan kereta.

Intan menarik nafas lega. Sekurang-kurangnya kali ini lelaki itu tidak banyak bunyi bila dia membantah. ‘Mahu pula dia ikut je cakap aku. Agaknya dia kejar masa kot,’ fikir Intan.

Tetapi kelegaan Intan cuma seketika. Apabila melihat Faiz berhenti di hadapan sebuah kedai makan dan bukannya sebuah bank, Intan tahu, lelaki itu sudah main taktik kotor dengannya. Cis!

“Saya kata nak pergi bank. Bukan kedai makan,” kata Intan tidak berpuas hati.

“Kita makanlah dulu. Lepas tu kita pergi bank okey. Jangan risaulah, bank tu takkan lari punya,” balas Faiz bersahaja. Dia terus keluar dari kereta. Intan masih membatu di dalam. Sakit hatinya kerana dipermainkan Faiz.

“Keluarlah awak. Takkan nak duduk dalam kereta ni. Kang saya kunci kereta ni, mati kepanasan awak.” Faiz sedikit mengugut.

Dengan hati yang sebal, Intan keluar juga dari kereta. Faiz tersenyum menang kerana ugutannya mengena. Ketika makan, keadaan menjadi tenang antara mereka berdua. Faiz pun tidak lagi mengusik. Dibiarkan sahaja Intan makan dengan aman dan damainya.

Tetapi apabila tiba masa hendak membayar, pertelingkahan kembali terjadi. Intan berkeras mahu membayar sendiri harga makanannya tetapi Faiz lebih pantas menghulurkan wang. Mulalah Intan tarik muncung tidak puas hati.

“Sudah-sudahlah tarik muncung tu. Dari kaunter tu sampai ke dalam kereta ni awak tarik muncung. Tak lenguh ke?” ujar Faiz. Ketika itu mereka sudah sama-sama masuk ke dalam kereta.

“Awak ni kan…eiii geram saya tau. Tak boleh ke awak ikut je apa yang saya cakap,” bentak Intan.

Faiz terus ketawa. “Apa kes saya nak ikut cakap awak? Kita bukannya suami isteri, suka hati sayalah nak buat apa pun. In fact, kalau kita suami isteri pun, awak tu kena ikut cakap saya tau. Sebab saya suami. Isteri kena ikut cakap suami,” hujah Faiz membuatkan Intan terkedu.

‘Apa hal pulak nyamuk tiruk ni sampai masuk bab suami isteri ni? Siapa nak jadi isteri dia entah? Huh, perasan!’ kutuk Intan di dalam hati.

“Awak tak payah nak merepek lebih-lebih. Antara kita tak ada maknanya nak jadi benda yang bukan-bukan tu. Sekarang cepat beritahu, berapa harga makanan saya tadi,” ucap Intan tegas. Tangannya sudah mengeluarkan dompet dari dalam beg tangan.

“Tak apa. Saya belanja.”

“Takde…takde. Saya tak mahu awak belanja. Sekarang cakap, berapa harga makanan saya tadi.” Intan terus berdegil.

Faiz mengeluh. Degil betul singa comel ini. Kadang-kadang, memang mencabar sabar. “RM8.70,” beritahu Faiz tidak berperasaan.

Intan pantas mengeluarkan wang mengikut jumlah yang disebut oleh Faiz tadi. RM8.70. Tidak lebih dan tidak kurang. Wang tersebut dihulurkan kepada Faiz tetapi lelaki itu membatukan diri. Geram dengan perangai Faiz yang buat tidak endah, Intan meletakkan sahaja wang tersebut di ruang kecil yang terdapat bahagian hadapan gear. Puas hatinya kerana tidak perlu berhutang dengan lelaki itu.

Faiz menoleh memandang Intan. “Alang-alang awak nak bayar sangat, apa kata awak bayar sekali air mineral yang awak minum tadi. Tak mahal pun, RM1.50 je.”

Intan terkejut. Terus dia memandang muka Faiz dengan rasa tidak percaya. Bukan main selamba sahaja riak muka lelaki itu sedangkan Intan sudah kembang kempis hidung menahan geram di hati. Tidak mahu kalah, Intan terus sahaja mengeluarkan kembali dompetnya. RM1.50 dikeluarkan lalu di letak di tempat yang sama dengan wang tadi.

Previous: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.