HARI ini, Faiz pulang awal. Sengaja dia memohon
perlepasan kerja setengah hari. Dia mahu mengemas serba sedikit barang keperluannya
kerana esok dia perlu ke luar daerah atas urusan kerjanya. Selebihnya, dia mahu
merehatkan diri secukupnya kerana jadual kerja luar daerahnya kali ini agak
padat.
Selepas menunaikan solat asar sebentar tadi, di
laman rumah inilah dia bersantai. Sambil-sambil mengambil angin petang, dia
mengambil peluang meneliti kertas kerjanya. Memang sudah menjadi kebiasaannya
meneliti kerja sebelum menghadiri mesyuarat penting.
Faiz meneliti jam di tangan. Sudah pukul 5.00
petang. Sekejap lagi pulanglah adiknya. Dia sudah maklum hari ini adiknya akan
pulang lewat kerana ada kelas tambahan. Maklum sahaja, tahun ini adiknya bakal
menduduki SPM. Pasti jadual belajarnya lebih ketat.
Mama pula, tadi sudah menelefon memberitahu yang
dia akan pulang lewat sedikit kerana ada urusan dengan kawan-kawannya. Pukul
berapa hendak pulangnya, Faiz tidak pasti.
Faiz mengeluh kecil. Dia sedikit kesal dengan
sikap mama. Mama lebih pentingkan kerja dan kawan-kawan berbanding memberi
perhatian pada papa. Sejak papa diserang angin ahmar, mama seperti tiada
apa-apa. Kebajikan papa bukan perkara utama bagi mama.
Faiz kesal. Sudah naik buntu akalnya memikirkan
bagaimana caranya dia mahu menyedarkan mama yang papa sebenarnya sangat-sangat
memerlukan sokongan daripada mama. Hendak mengharapkan Fatin, adiknya itu pun
dua kali lima sahaja seperti mama. Dua-dua sibuk dengan hal sendiri. Perasaan
papa langsung tidak dipeduli.
“Kasihan papa,” keluh Faiz sendirian.
Hempasan kuat pada pintu pagar kecil rumah
membuatkan Faiz yang asyik melayan perasaan tersentak. Fatin sudah pulang.
Tetapi lain macam sahaja dia melihat lagak adiknya petang ini. Angin semacam
sahaja. Gaya berjalan pun sudah macam hendak menyerang orang.
“Apa hal pulak tu?” katanya perlahan. Namun,
Faiz tetap tersenyum menyambut kepulangan adiknya.
Langkah Fatin pula semakin laju. Melihat
senyuman abangnya, makin geram hatinya. Sakit hatinya didenda mencabut kemuncup
di padang hari ini belum habis. Puncanya, abangnya sendiri. Jadi dia harus
bersemuka dengan abangnya.
“Dah balik?” tegur Faiz ramah.
“Siapa suruh abang bagi idea gila kat cikgu
ketot tu?” sembur Fatin sebaik berhadapan dengan abangnya. Wajahnya mencuka.
“Aii, salam pun tak bagi,
tiba-tiba main serbu macam Taufan Hayyan landa Filipina ni kenapa?” kata Faiz.
“Ah, dah buat salah tu, tak
payah nak sindir-sindir orang pulak,” sembur Fatin lagi.
Berkerut dahi Faiz. “Salah apa
pulak abang dah buat?” Faiz benar-benar tidak faham. Iyalah, tiada mendung,
tiada awan hitam, tahu-tahu taufan sudah melanda. Siapa yang tidak blur kan?
“Siapa suruh abang bagi idea
gila kat cikgu ketot tu?” Fatin mengulangi soalan awalnya tadi.
Faiz terpinga-pinga. “Idea gila apa pulak? Cikgu
ketot mana pulak?” soalnya tidak mengerti. Terlupa pula dia yang singa comel
digelar ‘cikgu ketot’ oleh Fatin.
Fatin mendengus geram. Abangnya buat-buat
amnesia pula. Huh!
“Cikgu ketot mana lagi. Cikgu Intan la,” jelas
Fatin.
Segera wajah Cikgu Intan yang comel, tapi garang
macam singa itu muncul di minda Faiz. Dia tersenyum. ‘Ah, singa garang yang
comel rupanya,’ desis hatinya.
Berkerut dahi Fatin melihat abangnya
tersenyum-senyum. Orang tengah marah, boleh pula dia tersengih-sengih macam
kerang busuk. “Abang! Adik tengah marah ni, abang boleh senyum-senyum pula!”
marahnya.
“Apa masalah adik ni? Cuba cerita,” pujuk Faiz
lembut. Bahan kerjanya sudah diketepikan. Dia kini memberi tumpuan kepada
Fatin.
“Dia denda adik cabut kemuncup kat padang
sekolah,” beritahu Fatin dengan muncung panjang.
Cerita Fatin itu hanya membuatkan tawa meletus
daripada mulut Faiz. Sungguh dia tidak menyangka yang cikgu singa garang yang
comel itu akan menggunakan idea gilanya untuk mendenda Fatin.
‘Singa comel... singa comel...’ seru hati Faiz
sambil tersenyum-senyum.
Fatin bengkak hati dengan gelagat abangnya.
“Abang jangan nak sengih-sengih. Ini semua abang punya pasal,” tuduhnya.
“Apa pulak abang?” sangkal Faiz pantas.
“Yalah... Kalau tak kerana abang yang bagi idea
gila tu, cikgu ketot tu tak adalah cerdik sangat nak denda adik cabut kemuncup
tu.” Fatin mempertahankan tuduhannya.
Ketawa Faiz kembali berderai. Terasa geli hati
benar setiap kali adiknya menyebut tentang cabut kemuncup. Terbayang di
fikirannya bagaimana keadaan adiknya ketika mencabut kemuncup di sekolah tadi.
Tak pernah dibuat orang.
Bengkak hati Fatin makin membesar. Dilibas lengan
abangnya dengan surat khabar yang ada di atas meja. Geram sungguh bila melihat
abangnya bersungguh-sungguh mengetawakan dirinya. Bukan hendak simpati,
dibantai gelak pula.
“Aduh! Adik dengan cikgu adik tu sama aje. Macam
singa,” kutuk Faiz sambil menggosok-gosok lengannya yang terasa perit.
Fatin terus menundingkan jari telunjuknya.
“Abang jangan nak samakan adik dengan cikgu ketot tu ek. Kami tak sekufu okey.”
Dia memberi amaran.
Faiz ketawa lagi. Tak sekufu konon. Adiknya
dengan singa comel memang dua kali lima sahaja. Mujur tidak duduk serumah.
Kalau serumah, dia boleh bayangkan bagaimana huru-hara jadinya. Yang pasti, dia
akan tersepit di tengah-tengah.
‘Eh, Faiz. Apa ke hal pulak kau melalut sampai
duduk serumah dengan singa comel tu? Kau ni dah kena sakit ni.’ Akal logik Faiz
mematikan lamunan seketikanya. Dia tersenyum mengingati angan-angan merapunya
tadi.
“Abang!” jerit Fatin apabila Faiz seakan tidak
mengendahkannya. Abangnya seperti sedang mengelamun.
“Iya,” sahut Faiz.
“Abang ni, orang cakap buat tak tahu aje!”
bentak Fatin.
“Tak payah nak marah-marah la, dik. Jangan nak
salahkan orang sangat. Kalau adik tak buat hal kat sekolah, tentu adik tak kena
cabut kemuncup,” ujar Faiz.
Fatin terdiam.
Faiz mengeluh. “Sampai bila adik nak macam ni?
Apa faedah yang adik dapat dengan buat hal kat sekolah? Sudah-sudahlah tu, dik.
Fokus pada pelajaran. Tahun ni SPM, kan?” Lembut Faiz menasihati adiknya.
Fatin hanya tunduk memandang rumput di hujung
kaki. Kata-kata abangnya langsung tidak disahut. Rumput ditenyeh-tenyeh dengan
hujung kasut. Hisy! Mahu jahanam juga rumput permaidani mahal Puan Azizah itu.
“Jangan derhaka sangat dengan cikgu.
Tambah-tambah dekat nak periksa ni. Tak berkat ilmu tu nanti.” Faiz
memanjangkan lagi nasihatnya.
Fatin masih tidak mengangkat kepalanya. Bibirnya
dijuihkan tanda meluat. Faiz yang memandang hanya mampu menggeleng. Adiknya ini
memanglah. Segala nasihat orang, masuk telinga kanan, tak sempat hendak singgah
di otak, terus keluar telinga kiri.
“Banyak ke adik cabut kemuncup tadi?” tanya
Faiz.
“Ni yang adik geram ni. Ada ke patut cikgu ketot
tu suruh adik cabut kemuncup dan mesti ada 500 gram sebaik sahaja loceng tamat
kelasnya berbunyi. Cuba abang fikir, patut ke tak patut?” beritahu Fatin dengan
perasaan geram yang membuak-buak.
Ketawa Faiz kembali meledak. Boleh tahan gila
juga kepala otak cikgu singa comel tu rupanya. Dia kembali membayangkan
bagaimana rupa cemberut adiknya ketika menjalani hukuman di sekolah tadi. Mesti
kelakar habis. Kalaulah dia ada di waktu itu, sudah tentu dia ketawa
berguling-guling.
“Abang jangan nak gelak-gelakkan orang. Orang
tumbuk karang baru tau,” ugut Fatin. Dia tahu abangnya sedang mentertawakannya.
“Tak adalah. Abang cuma rasa geli hati bila
bayangkan adik kena cabut rumput tadi. Rasanya tak pernah ada dalam sejarah
sekolah kat Malaysia ni, ada pelajar kena denda cabut kemuncup kat padang.”
Faiz terus ketawa terbahak-bahak lagi. Tangan kanannya menekan perut, cuba
menahan senak akibat terlebih ketawa.
Kembang-kempis hidung Fatin memandang Faiz. Pap!
“Aduh!” Faiz menjerit nyaring.
Fatin tersengih puas hati. Kaki Faiz sudah
dijadikan tempat membalas dendam.
Berkerut wajah Faiz menahan sakit. Sudahlah
sakit akibat dipijak singa comel dua hari lepas masih terasa bisanya, hari ini
adiknya pula menambah. Hairan betul dia. Sudahlah dua-dua sama garang, perangai
suka pijak kaki orang pun sama juga. Siapa yang menuntut dengan siapa pun, dia
tidak pasti.
“Apa main pijak-pijak ni? Sakit tau tak!” marah
Faiz.
“Padan muka. Lain kali gelakkan orang lagi,” ejek
Fatin bersahaja.
Faiz tidak membalas lagi kata-kata adiknya. Dia
lebih sibuk membelek dan menggosok kakinya yang sedang kesakitan dipijak Fatin.
“Eh, awal abang balik kerja hari ni?” soal Fatin
tiba-tiba. Baru dia perasan abangnya ada awal di rumah hari ini.
“Ha’ah... abang balik awal. Esok abang outstation,”
jawab Faiz.
“Alaa... lama ke?” tanya Fatin lagi. Wajahnya
seakan tidak gembira.
“Tiga hari. Kenapa?” tanya Faiz kembali walaupun
dia sudah tahu adiknya itu akan muncung begitu setiap kali dia perlu ke luar
daerah.
“Bosanlah adik abang tak ada.”
Faiz tersenyum mendengar jawapan Fatin.
Sememangnya mereka dua beradik amat rapat antara satu sama lain. Berbanding
mama dan papa, Fatin lebih senang mengadu apa saja dengannya.
Dan ketika itu juga, sebuah kereta berhenti
betul-betul di hadapan pagar rumah mereka. Kemudian terdengar bunyi hon yang
bertalu-talu.
“Hah! Tu dia kawan adik dah datang,” kata Faiz
sambil memuncungkan mulutnya ke arah pagar rumah.
Fatin segera berpaling. Serta-merta dia
mempamerkan wajah menyampah apabila melihat tuan punya kereta. “Aduh, datang
pulak ulat beluncas ni,” rungutnya merujuk kepada sepupu mereka, Anita.
Faiz ketawa mendengar gelaran yang diberikan
Fatin kepada Anita. Ulat beluncas? Hmm... macam sesuai aje!
“Ulat beluncas ke, ulat gonggok ke, adik
layanlah kawan adik tu ya,” ujar Faiz yang sudah berdiri mahu beredar dari
situ.
Fatin jadi kelam-kabut. “Eh, abang nak pergi
mana?”
“Tiba-tiba sakit perut. Abang masuk dululah ya.”
Faiz segera melarikan diri ke dalam rumah. Laungan Anita yang memanggil-manggil
namanya dari luar pagar tidak diendahkan.
Fatin pula sudah berkira-kira mahu melarikan
diri juga. Biarlah Anita menjerit-jerit di luar pagar. Malas mahu melayan.
Namun belum sempat dia berbuat demikian, matanya sudah menangkap kehadiran
kereta Puan Azizah yang tiba di belakang kereta Anita.
“Aduh, masa ni jugalah mama nak balik,” omel
Fatin sambil tangannya memicit alat kawalan automatik pagar rumah mereka dengan
hati yang tidak sepenuh rela.
Fatin memerhati Anita dan mamanya yang berjalan
beriringan setelah keluar daripada kereta masing-masing. Dia bingkas bangun
untuk masuk ke dalam rumah.
“Kenapa lambat buka pintu pagar? Kasihan Kak
Nita berdiri lama kat luar,” bebel Puan Azizah.
“Cari remote tak jumpa.” Fatin memberikan
alasan yang kurang logik.
Puan Azizah sudah membuka mulut mahu membebel
lagi tetapi segera dipintas Anita. “Tak apalah, aunty. Bukan panas
sangat pun.” Dia cuba berbahasa mengambil hati. Sedangkan dalam hati tadi sudah
berbakul seranahnya. Tambahan pula melihat Faiz terkocoh-kocoh melarikan diri
masuk ke dalam rumah sebaik ternampak kereta dia. Sentap hati tau!
Fatin tayang muka tidak berperasaan. Puan Azizah
pula ternyata tidak puas hati. Bukan dia tidak tahu perangai anak-anaknya yang
cukup ‘alergik’ dengan Anita. Malah dia tahu, Fatin sengaja mahu mendera Anita
tadi dengan membiarkan anak saudaranya itu berjemur tengah panas.
“Err... abang Fatin tadi kenapa kelam-kabut lari
masuk rumah?” tanya Anita.
“Oh, abang. Pagi tadi dia terlebih makan betik. So,
sakit perut. Berak-berak,” auta Fatin dengan muka sehabis suci.
Puan Azizah menjeling Fatin. Dia tahu Fatin
sedang membohongi Anita. Bukannya dia tidak tahu, dua beradik itu memang selalu
saling cover line antara satu sama lain.
Anita pula sudah berwajah kelat.
“Tepi, tepi. Adik pun nak masuk bilik ni” Fatin
tiba-tiba buat kalut.
“Ni yang tiba-tiba kelam-kabut ni kenapa?” soal
Puan Azizah pelik.
Fatin tersengih sambil berkerut muka. “Adik
terlebih makan pisang. Tak sedap perut. Rasa macam nak uukkk...uukkk juga,”
dalih Fatin dengan alasan yang cukup merapu.
Puan Azizah naik geram. Nampak benar menipunya
anak-anak dia. Seorang terlebih makan betik, seorang terlebih makan pisang.
Kenapa tak cakap terlebih makan julap sahaja!
Fatin sedar mamanya sudah naik angin.
Cepat-cepat dia melarikan diri ke dalam rumah. Namun, telinganya sempat
menangkap kata-kata Puan Azizah.
“Kalau boleh, tahan-tahanlah sikit berak tu.
Musim-musim air kena catu ni, kena berjimat. Jangan nak membazir. Lain kali,
jangan makan pisang atau betik banyak sangat. Pesan sekali kat abang tu,”
sindir Puan Azizah.
Sambil melangkah anak tangga naik ke atas, Fatin
tersengih mendengar sindiran mamanya yang tajam menikam itu. Nampaknya, mama
tahu autanya.
Fatin melintas bilik abangnya untuk ke biliknya.
Teringat pesanan Puan Azizah tadi, Fatin segera berpatah balik. Pintu bilik
abangnya diketuk.
“Abang, buka pintu. Adik ni,” panggil Fatin.
Seketika, terdengar bunyi pintu dibuka dari
dalam. Terjengul wajah Faiz. Matanya meliar melihat kiri dan kanan.
“Dia tak adalah. Orang dah cakap abang sakit
perut sebab terlebih makan buah betik, berak-berak,” kata Fatin sambil
tersengih nakal.
Faiz tersengih. “Dah balik ulat beluncas tu?”
“Tak. Kat bawah dengan mama.”
Faiz pamer wajah kurang senang. Fatin sudah bersembur
ketawa. Kelam-kabut Faiz mengesat mukanya yang terkena tempias semburan Fatin.
“Huh! Tempias,” rungutnya.
“Ni orang panggil abang ni sebab nak sampaikan
amanat Puan Azizah,” jelas Fatin.
Dahi Faiz berkerut. “Amanat apa?”
“Mama pesan, musim-musim air kena catu ni,
jangan membazir air. Bawa-bawa tahan sikit berak-berak tu.” Fatin menyambung
cerita sambil ketawa terkekeh-kekeh.
Tawa Faiz turut pecah, namun masih dikawal
supaya tidak sampai ke bawah. Nahas kalau dengar dek Puan Azizah nanti.
“Habis, macam mana adik boleh terlepas?” tanya
Faiz bersama sisa-sisa ketawa.
“Adik cakap, adik pun sakit perut sebab terlebih
makan pisang.” Fatin terus terkekeh ketawa.
Ketawa Faiz kembali bersambung. Bab suruh mereka
cerita, adiknya itu memang terlebih bijak. Ada sahaja idea merapunya. Patutlah
menusuk benar amanat Puan Azizah tadi. Adiknya buat auta tidak teragak-agak.
Tetapi bila diingatkan, memang kelakar betul
alasan yang dicipta Fatin kali ini. Pasti muka Anita macam asam kecut mendengar
alasan Fatin.
‘Ah, nasib kaulah Nita,’ desis hati Faiz.
Faiz dan Fatin sama-sama ketawa lagi. Siap
saling ber’high-five’.