Bab 21
Izraf menghabiskan masa hujung minggu itu dengan menjaga Aina yang terlantar sakit. Girang hatinya apabila
Aina sudah hampir pulih.
Tidak sia-sia dia keluar tengah-tengah malam ke 7-Eleven
untuk membeli plaster kool-fever. Izraf tidak peduli walaupun biasanya
ia digunakan oleh bayi dan kanak-kanak sahaja. Dia risau dan buntu apabila
demam Aina tidak mahu kebah. Puas dia menukarkan tuala basah di dahi Aina,
namun panasnya masih membakar.
‘Hmm, nampaknya berkesan juga kool-fever
tu dengan izin ALLAH, alhamdulillah.’ Izraf bergumam sendiri. Matanya melekat
pada Aina yang sedang duduk bersantai di taman mini mereka.
Suasana petang Ahad ini terasa lebih indah
apabila Aina ada bersama. Sepanjang Aina sakit, dunia Izraf seperti sunyi tanpa
suara Aina Humaira yang suka bercerita dan melapor itu ini kepadanya. Aina
Humaira, bidadari syurganya. Sayangnya Aina tidak mengerti hati dan perasaan
Izraf.
Izraf mengeluh perlahan,
lalu bersandar seketika di birai jendela sebelum mengorak langkah menuju ke
arah Aina. Langkahnya santai dan wajahnya kelihatan tenang, gelodak hatinya
tenggelam jauh ke dasar. Sedikit pun tidak terpancar gundah di hatinya, biarlah
hanya dia yang tahu. Belum masanya Aina tahu.
“Abang,” sapa Aina
apabila Izraf menarik kerusi di sebelahnya. Sinar matanya gemilang, mungkin
riang kerana dapat mengambil angin petang, sedangkan sebelum ini sudah dua hari
dia hanya berkurung di dalam bilik ketika terlantar sakit.
“Aina dah sihat?”Izraf sekadar ingin memastikan. Dari raut
wajah Aina, jelas terlihat Aina sudah sihat sepenuhnya.
“Emm... hmm...” Aina mengangguk kecil sambil
tersenyum simpul dan kelihatan agak malu-malu mencuri pandang ke arah Izraf.
Sebentar kemudian, Aina mengangkat kepalanya dan memandang Izraf serius.
“Abang, terima kasih sangat-sangat sebab jaga
Aina masa Aina sakit. Biasanya kalau Aina sakit, mesti rindu kat mak. Sebab
selalunya mak yang jaga Aina, masak bubur, paksa Aina makan ubat. Tapi, ini
kali pertama sepanjang hidup, Aina tak ada teringatkan mak pun masa Aina sakit.
Maksudnya abang dah jaga Aina dengan sempurna macam mak jaga.”
Izraf tersenyum.“Aina isteri abang. You are now my
responsibility. Of course I will do anything for you without you asking.”
Aina tersenyum. Terharu.
“Apa pun,Aina tetap nak ucap terima
kasih atas semua yang abang lakukan untuk Aina. Aina rasa dah sihat sekarang.
Tapi bila fikirkan esok dah kena ke sekolah, rasa macam nak ambil cuti lagi.
Susah hati Aina, tak tahu dah macam mana nak tackle budak-budak tu.
Nakal-nakal! Hari Jumaat tu Aina sakit adalah seorang dua yang tiba-tiba jadi
prihatin. Tapi dia orang tu bermusim, kejap insaf, kejap nakal balik.
Abang tahu tak, hari tu Aina bawa coklat nak
bagi kat mereka sekelas, ingatkan nak ambil hati. Alih-alih bukan main lagi
Aina diperli,dia orang kata cara Aina macam budak-budak. Memang
terkilan sangat-sangat. Bila Aina dah merajuk, pandai pulak dia orang pujuk.
Ingatkan dah insaflah, tapi bila Aina masuk kelas semula, tengok kerenah nakal
macam itu juga. Aduh, pening kepala Aina.”
Izraf tergelak mendengarkan aduan Aina yang
panjang lebar. Aina yang suka mengadu sudah kembali beraksi.
“Tengok tu! Abang pun gelakkan Aina!Lawak
sangat ke cara Aina tu?” Aina menampar bahu Izraf kegeraman.
“Nope! Tak lawak, cuma cara memujuk
Aina tu cute sangat.” Izraf tergelak lagi.
Menyedari Aina wajah Aina sudah mula masam,
Izraf berusaha menghentikan tawanya.Telapak tangannya menekup mulut bagi
mengelakkan sisa tawanya tersembur keluar.Dengan sengihan yang tertahan-tahan, Izraf memujuk Aina semula.
“Okay, my bad, I am sorry.Abang tak patut gelakkan
Aina. Okey, abang serius. Dia orang akan okey, tak selamanya dia orang nak buat
hal. Budak-budak ni bila memberontak, dia orang sebenarnya nakkan perhatian.
Aina kena fikir lagi banyak cara untuk mendekati dia orang.
Jangan kecewa bila satu cara tak berjaya,
sebab percubaan pertama tak semestinya berjaya. Don’t be too optimist.
Ada masanya, pesimis itu bagus. Bila kita bersikap pesimis, kita akan fikir
dengan lebih luas dan nampak segala kemungkinan yang ada sehingga ke worst
case scenario. Jadi, bila kita dah terfikirkan kemungkinan itu, secara tak
langsung kita dah ready nak menangani kalau-kalau benda yang tak
diingini itu benar-benar berlaku. Dari sepuluh cara yang Aina cuba, mungkin
yang kesepuluh itu barulah menjadi.Makanya, Aina tak boleh putus asa disebabkan
satu cubaan yang gagal, sebaliknya Aina preparesembilan lagi cara yang
lain.”
Tu dia! Bila dah serius, maka syarahan
berlembar-lembar muka surat diulas dengan sekali harung.
Aina terdiam. Tidak pernah terfikir pula ada kebaikannya
berfikiran negatif. Tapi apa yang dikatakan oleh Izraf memang masuk akal.
Selama ini Aina selalu mengingatkan dirinya untuk menjadi seorang yang sentiasa
positif. Nampaknya, akalnya bagaikan cuma sejengkal apabila dibandingkan dengan
cara berfikir Izraf yang jauh lebih matang.
“Hmm. Aina suka cara abang berfikir. Hari ni
Aina belajar benda baru yang berguna. Lepas ni Aina kena seimbang, tak boleh
positif sepanjang masa. Positif sangat pun boleh makan diri jugak.”
“Sebenarnya, bergantung pada keadaan.Bukan sepanjang masa nak
pesimis, ada masanya kena optimis pula. Contohnya, bila tengah bersedih atau
apabila sesuatu perkara yang malang menimpa kita, pada masa itulah kita kena
optimis bahawa sesuatu yang terjadi itu pasti ada hikmahnya. Mungkin ALLAH ada
rancangan yang lebih baik untuk kita.”
“Aina setuju dengan abang. Tapi macam mana
Aina nak sediakan sembilan lagi idea, ini satu idea pun Aina dah tak boleh
fikir. Aina tak kreatif sangat dalam bidang psikologi pujuk-memujuk ni.”
“Bertuah Aina dapat
abang sebagai suami. Dalam otak abang ni ada banyak stok cadangan. Hmm, Aina
kan gemar buat kek.Sedap sangat tau,kek lapis yang warnadia
macam lampu trafik tu. Apa kata bila Aina dah sihat nanti, Aina buatlah kek tu
bagi kat pelajar. Mesti dia orang terpikat dek air tangan Aina. Masa nak baking
tu baca doa pelembuthati sekali.”
Aina dengan tidak
semena-mena melompat dari kerusinya menyebabkan Izraf hampir terlompat sama
gara-gara terkejut dengan tindakan refleks Aina. Pantas tangan Izraf menekan
dadanya, kalau begini selalu, cepatlah dia kembali ke rahmatullah agaknya,
hari-hari jantungnya diberi kejutan.
“Kenapalah Aina tak terfikir! Betul cakap
abang.Mesti
dia orang akan dapat rasakan keikhlasan Aina nanti, bukan senang tau nak buat
kek tu, empat jam baru siap kukus. Lagipun, mesti seronok kalau ramai orang
yang sudi makan kek Aina. Terima kasih abang! Abang memang bijak!”
Izraf tersengih senang dengan pujian Aina.
Aina yang sedang tersenyum gembira tiba-tiba sudah mula berlari menuju ke
rumah.
“Aik, Aina nak ke mana tu?” Izraf bertanya
hairan melihat tingkah Aina yang macam lipas kudung berkuasa turbo. Sekelip
mata dah hampir tiba di pintu rumah.
“Nak pergi buat kek!”
Aina tidak menghentikan langkah sebaliknya
menjawab soalan Izraf dengan suara yang separuh menjerit.
“Tapi abang kata kalau dah sihat nanti.”
“Sekarang dah sihat!”
Aina terus lenyap di sebalik daun pintu.
Izraf menepuk dahinya.
‘Aduh, patutnya minggu depan baru aku bagi
cadangan tu, baruaje nak menikmati masa bersantai dengan dia
petang-petang ni. Dahlah tak sihat mana pun lagi.’ Izraf mengeluh sambil
menggeleng.
Akhirnya senyuman lucu
terbit jua di bibirnya mengenangkan keseronokan Aina. Tapi sebenarnya, Izraf
pun tumpang seronok, nanti dapatlah dia turut merasa kek Aina. Memang
betul-betul sedap, Secret Recipe pun tak mampu tandingi.
Sejak merasa kek yang dibuat Aina di rumah
papa tempoh hari, terus menjadi No.1 favourite Izraf!Sebenarnya
Izraf yang habiskan semua sekali sampai licin. Cuma Aina sahaja yang tidak
tahu. Tidak pasal-pasal si Tiger, kucing Sarah yang dituduh Aina mencuri kek
itu.
Aina, Aina... sejak bila pula kucing pandai
makan kek. Izraf pula tak sanggup hendak mengaku, nampak sangat gelojohnya
nanti, malulah dia. Akhirnya, Tiger yang menjadi si tertuduh dalam kes itu.
Kasihan Tiger. Tergelak Izraf mengingatkan peristiwa itu.
Bersambung...
*Novel
AKU JATUH CINTA terbitan ALAF 21 akan berada di pasaran pada Febuari ini! Boleh
tempah dengan penulis sendiri untuk dapatkan autograf & cenderamata.
Penulis boleh dihubungi di:
FB: https://www.facebook.com/anna.nabila.90
Terima
kasih atas sokongan semua, moga tulisan ini dapat menghibur! xoxo.